Ahad, Februari 14, 2021

Penjarakan sof solat musim Covid ustaz wan ji

Penjarakan sof solat musim Covid

Nampaknya isu ini tidak selesai lagi. Sudah setahun ulama seluruh dunia sudah fatwakan, tetapi masih ada kelompok yang tidak bersetuju pula dan tidak berpuas hati.

Secara dasarnya, dapat disimpulkan seperti berikut:

a. kelompok neo-zahiri dan golongan tidak pakai usul fiqh. Kelompok ini memandangkan bahawa sof wajib dirapatkan, walaupun musim Covid 19.

b. kelompok yang mengambil kira pandangan pakar kesihatan dan menggunakan pendekatan Usul al-Fiqh. Kelompok ini memandangkan bahawa sof boleh dijarakkan di musim Covid.

HUJAH

bagi kelompok (a), hujah-hujah mereka seperti berikut:

1. Nas hadis secara terang-terangan menyuruh saf dirapatkan. 

2. Soal mati dan hidup, ia ketentuan Tuhan. Justeru, kalau rapatkan saf pun, lalu ditakdirkan mati, ia tidak mengapa.

3. ini lah disebut sebagai ghuraba', iaitu dipandang ganjil kerana mengamalkan sunnah.

4. membenarkan perjarakan saf adalah bid'ah, kerana menyanggahi amalan Rasulullah saw.

Bagi kelompok (b) berhujah:

1. Dari sudut fiqh, hukum terbahagi kepada dua: hukum tasyrik dan hukum tanzil. 

Contoh hukum tasyrik, al-Quran menyuruh potong tangan pencuri. Contoh hukum tanzil, Saidina Umar tidak potong tangan pencuri di musim kebuluran dan ada hadis melarang potong tangan pada musim perang.

Justeru, dari sudut hukum tasyrik, solat perlu rapatkan saf. Namun, pada sudut hukum tanzil - ketika berlaku covid 19, untuk mengelak penyakit wabak tersebar, maka dibenarkan perjarakkan saf.

2. Apabila bertembung hukum qatie dan hukum zanni, maka hukum qatie didahulukan. 

hukum menjaga nyawa adalah qatie dilalah dan qatie subut. ini didasarkan banyak dalil dari al-Quran, hadis, malah ijmak ulama menyatakan penjagaan nyawa adalah kewajipan yang tidak ada pertikaian lagi.

hukum rapatkan saf, zanni dilalah dan zanni subut. ini kerana, ia bersandarkan kepada hadis ahad. lagi pula, masih berlaku perbezaan pendapat ulama dalam hal merapakatkan saf: 

pendapat pertama, kewajipan yang jika tidak rapatkan saf, maka solat tidak sah. Pendapat ini juga kata solat jemaah adalah wajib yang tidak sah solat jika tidak dilakukan secara berjemaah. ini adalah pandangan zahiri.

pendapat kedua, kewajipan yang jika tidak rapatkan saf, ia tidak menjadikan solat batal dan fasad. Bahkan, solat tetap sah. Cuma, solat Jemaah yang tidak rapatkan saf itu sekadar tidak dapat pahala jemaah sahaja. ini adalah pandangan majoriti ulama mazhab.

justeru, apabila bertembung hukum menjaga nyawa yang bersifat qatie dengan hukum rapatkan saf yang bersifat zanni, maka wajib dahulukan hukum yang qatie. Justeru, dibenarkan perjarakkan sof.

3. hukum merapatkan sof adalah tahsiniyat bagi solat Jemaah dalam hal menjaga agama. Sedangkan mengelak dari penyakit wabak adalah dharuriyat dalam hal penjagaan nyawa. Apabila bertembung antara dharuriyat dan tahsiniyat, maka wajib didahulukan dharuriyat.

4. hukum jarakkan saf di bawah maksud Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu kerosakan.

 Contohnya, hukum asal menjual anggur adalah harus. Tetapi, jika menjual anggur itu boleh membawa kepada kewujudan arak, maka hukum jual anggur itu adalah haram.

Justeru, hukum asalnya, perlu merapatkan saf. Namun, jika merapatkan saf boleh memberi kerosakan berantai, seperti: 

(a) Memungkinkan bahaya pada kesihatan manusia.

(b) Menyusahkan golongan para doctor yang sedang bertungkus lumur melawan covid 19

(c) Lebih dahsyat, bahawa boleh membawa bahaya pada nyawa manusia.

Makanya, tidak merapatkan saf solat adalah dituntut dan wajib, demi mengelak dari kerosakan pada kesihatan rakyat awam.

5. firman Allah: jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sayang kepada kamu.  (al-Nisa’, ayat 29)

Ayat ini ada kaitan dengan kisah Amru bin al-As yang beliau tidak mandi wajib, sekadar tayammum sahaja, lalu dia menjadi imam dalam solat Jemaah. Perkara itu dibangkitkan oleh Nabi. Lalu, Amru membaca firman Allah ini untuk menyatakan bahawa tidak salah sekadar tayammum di musim sejuk, walaupun kalau mandi, ia tidak sampai mati – sekadar mudharat kesihatan sahaja.

Dalam erti kata yang lain, walaupun sekadar kemungkinan mudharat pada kesihatan, waima tidak mati sekalipun, ia termasuk dalam maksud firman Allah : “Jangan kamu bunuh diri kamu”

Demikian juga, kemungkinan tersebar wabak penyakit dengan tidak perjarakkan saf. Ia termasuk dalam maksuk firman Allah dari surah al-Nisa’, ayat 29 ini.

6. bagi kalangan yang mendakwa tindakan mereka yang berkeras rapatkan saf pada musim covid 19 sebagai ghuraba' adalah kalangan yang tidak membaca teks hadis itu sehingga selesai. 

Dalam hadis, Nabi saw bersabda: “Islam bermula dalam keadaan ganjil, dan akan kembali dalam keadaan ganjil. Maka berjaya orang yang ganjil. Para sahabat tanya: siapakah golongan ganjil itu? 

Nabi jawab: Kamu melakukan islah – pembaikan (hindari kerosakan) di kala manusia sedang melakukan kerosakan dan kefasadan.

Fatwa agar jarakkan saf pada musim Covid adalah untuk hindari kerosakan dan mahu pembaikan kepada umat. Sedangkan, fatwa perlu rapatkan saf, memberi implikasi bahaya pada kesihatan manusia yang sudah pasti ia satu kerosakan. 

7. dakwaan perjarakan saf adalah bid'ah kerana menyanggahi amalan Rasulullah saw juga tidak tepat.

 Di atas sudah dijelaskan pembahagian hukum kepada dua, iaitu tasyrik dan tanzil. 

Bid’ah dalam islam adalah reka cipta dalam agama dalam kerangka tasyrik, seperti tanpa ada sebarang faktor seperti covid, mengatakan agama Islam mengajar saf perlu dijarakkan.

 Dalam kes fatwa perjarakkan saf ini dalam kerangka tanzil, iaitu dibenarkan perjarakan saf selama covid sedang mengganas dan tidak berjaya dilupuskan. 

Apabila sudah tidak ada covid nanti, maka akan kembali kepada hukum asal, iaitu merapatkan saf. 

Wallahu ‘Alam.


Laksanakan haji adalah Syariah. Tp, laksanakan haji dalam keadaan tak mampu adalah menyanggahi Syariah.

Laksanakan hudud adalah Syariah. Tp, laksanakan hudud dalam keadaan membuka ruang kezaliman, maka ia menyanggahi Syariah.

Solat rapatkan saf adalah sunnah. Tp, rapatkan saf boleh memberi implikasi mafsadah adalah menyanggahi sunnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan