Mishkat al-masabih kitab iman 4 ms071-77s
Misykatul Masobih syarah hadis kitab iman sesi 12
22 Sept 13.
Kemanisan Iman.
٦-وعَنْه أنس رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ " ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بهن حَلَاوَةَ الإِيمَانِ : مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمِا وَمَنْ أَحَبَّ عَبْدًا لِا يُحِبُّهُ إِلَّا ِللِه عَزَّ وَجَلَّ وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذَ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ " متفق عليه
6- Anas juga meriwayatkan, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tiga perkara, jika ada pada seseorang, tentu ia akan merasai kemanisan iman.⁸⁵ Pertama: Orang yang
menyintai Allah dan RasulNya melebihi kecintaannya kepada selain keduanya.⁸⁶ Kedua:Orang yang menyintai seseorang semata-mata karena Allah.⁸⁷ Dan ketiga: Orang yang tidak suka kembali⁸⁸ kepada kekafiran setelah ia diselamatkan oleh Allah⁸⁹ sebagaimana ia tidak suka dilemparkan kedalam api (Bukhari-Muslim)⁹⁰
___________________________________________________________
⁸⁵Sabda Nabi s.a.w. ini merupakan talmih (isyarat secara halus) kepada perihal deria rasa orang sihat atau orang yang mengidap penyakit kuning dan seumpamanya. Kepada orang yang mengidap penyakit kuning, segala-segalanya dirasakan pahit. Madu yang manis sekalipun dirasainya pahit. Orang yang betul-betul sihat pula merasai sesuatu tepat seperti rasa sebenarnya. Masin dirasainya masin, kelat dirasainya kelat, pahit dirasainya pahit, manis dirasainya manis dan begitulah seterusnya. Semakin sihat seseorang itu, semakin tepatlah pula deria rasanya. Sebaliknya apabila kesihatan sesaorang merosot. turut merosotlah deria rasanya. Begitulah juga keadaan iman. Semakin sempurna iman sesaorang, semakin terasa manislah kepadanya iman itu. Sebaliknya apabila iman sesaorang tidak sempurna, kemanisannya juga akan semakin berkurang. Malah kadang-kadang dalam keadaan penyakit yang menimpa terlalu teruk, deria rasa menjadi bercelaru dan tidak menentu. Yang manis dikatanya pahit! Bak kata al-Mutanabbi (seorang penya'ir Arab yang terkenal):
وَمَنْ يَكَ ذافَمِ مَريضٍ◇يَجِدْ مُرَّابِهِ المَاءَ الزُّ لالا
Bermaksud; 'Orang sakit yang pahit mulut akan berasa pahit, walaupun air yang jernih lagi sedap diminum."
Seolah-olahnya Rasulullah s.a.w. hendak mengatakan, Kesihatan rohani adalah sesuatu yang mesti dan diperlukan untuk sesaorang itu merasai kernanisan iman. Sebagaimana kesihatan jasmani adalah sesuatu yang mesti dan diperlukan untuk seseorang itu merasai kemanisan madu misalnya Dan antara tanda sesaorang itu
benar-benar sihat rohaninya ialah apabila ada padanya tiga perkara yang disebutkan Baginda s.a.w. seterusnya. Para ulama' berbeda pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan kemanisan iman itu. Berikut dikemukakan scbahagian daripadanya,
(1) Kemanisan iman ialah keseronokan dan kelazatan yang dirasakan;
(a) Apabila beribadat dan melakukan keta'atan kepada Allah.
(b) Apabila mengalami kesukaran dalam menegakkan agama Allah dengan menjunjung segala titah perintahNya dan menjauhi segala IaranganNya. Dan
(c) Apabila mengutamakan kepentingan akhirat daripada kepentingan dunia.
(2) Kemanisan iman ialah kepuasan dan kelegaan jiwa yang diperolehi apabila melaksanakan apa-apa tuntutan agama. Walaupun mungkin kerana adanya sedikit sebanyak penyakit hati, sesaorang itu terasa juga malas dan Iesu dalam melaksanakannya. Namun. kerana sedar akan faedah dan keuntungannya di dunia dan di akhirat, ia tetap melakukannya. Dan setelah melakukannya, ia mendapat semacam kepuasan. Ubat yang pahit misalnya, tidak disukai semua pesakit. Tetapi ia tetap meneguknya.
Lantaran sedar ubat yang pahit itu akan menghilangkan kesakitannya.Pesakit yang bijaksana sedar bahawa kepahitan yang terpaksa ditanggunng hanyalah untuk sebentar sahaja. Sedangkan kesihatan yang akan diperolehi daripadanya pula adalah berpanjangan. Berus gigi tiap-tiap hari. Itu saja pun kadang-kadang terasa malas juga melakukannya. Fikiran bahkan kadang-kadang terganggu. Tetapi setelah sedar akan faedahnya dan memikirkan kebaikannya jangka panjang, anda memberus gigi dengan senang hati. Setelah menjadi kebiasaan, anda berasa tidak selesa kalau tidak memberus gigi. Akhirnya memberus gigi beberapa kali menjadi suatu kemestian kepada anda dan semacam kepuasan serta kelegaan anda perolehi apabila memberus gigi. Para ulama' juga berbeda pendapat tentang kemanisan iman yang dirasai itu, adakah ia sesuatu yang hissi (memang dapat dirasai deria) atau ma'nawi (niskala)? Ada yang berpendapat kemanisan iman itu adalah sesuatu yang abstrak dan niskala. la tidak dapat dirasai dan dikesan dengan deria. la cuma dapat dimengerti dan difahami jiwa. Apabila kemanisan iman itu ada pada seseorang, maka akan adalah juga kesan-kesannya. Antara kesannya ialah:
(1) Keyakinan yang kukuh teguh terhadap apa yang dipercayai.
(2) Menurut patuh kepada apa yang diimani.
(3) Semacam keseronokan, kelazatan dan kepuasan jiwa dikecapi apabila melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-laranganNya.
Ada pula yang berpendapat kemanisan iman itu adalah sesuatu yang hissi dan memang dapat dirasai batin. Pendapat ini bagi mereka lebih tepat dan Iebih kuat
berbanding pendapat yang pertama tadi. Alasannya ialah: (1) Lafaz dan makna hadits temelihara. tidak tergugat dan tidak memerlukan ta'wilan.
(2) Banyak sekali terdapat contoh-contoh hidup di dalam sejarah para sahabat dan as-Salaf as-Saleh yang menyokong kemanisan iman dalam ma' na sebenarnya.
Berikut dikemukakan tiga contoh sahaja daripadanya:
(a) Ketika di ambang Pintu maut, Saiyyiduna Bilal bin Rabaah r.a. terdengar rintihan isterinya: وَاكَرْبَاهُ(Aduhai sedihnya!). beliau terus membuka mata lalu berkata:
وَاطَرَبَاهُ غَدًا أَلقَى الْأَحِبَّهْ مُحَمَّدًا وَحِزْبَه
(Aduhai seronoknya, sukanya! Kerana besok aku akan bertemu para kekasih, Muhammad dan kumpulannya! ). (Lihat al-Qadhi 'lyaadh- asy-Syifa Bi Ta'rifi Huquq al-Mustafa j.2 m/s 23, Ibnu Amir al-Haaj- al-Madkhal j.2 m/s 190, Ibnu Taimiyyah- Minhaaj as-Sunnah an-Nabawiyyah j.6 m/s 1).
(b) Lihatlah apa yang dibuat dan diucapkan oleh bapa saudara Anas bin Malik, Haraam bin Milhaan, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Setelah beliau ditikam dari belakang dengan Iembing sehingga menembusi dadanya. Sambil menyapu muka dan kepala dengan darah yang memancut keluar dari tubuhnya, beliau melaungkan; Allahu Akbar! فُزْتُ وَرِبَّ الْكَعْبَةِ(Aku telah berjaya demi Tuhan Ka'bah! ). Kisah beliau ini diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad dan lain-lain tokoh hadits.
(c) Imam Bukhari meriwayatkan secara ta'liq di dalam Sahihnya daripada Jabir bahawa; "Ketika Nabi s.a.w dalam peperangan Zatir Riqaa" pernah berlaku seorang lelaki (seorang sahabat Anshari Nabi s.a.w.) dipanah musuh ketika sedang bersembahyang. Anak panah yang mengenainya itu menyebabkan darah terkeluar dengan banyak dari tubuhnya. Tetapi dia tetap rukuk,sujud dan eneruskan sembahyangnya."
Berdasarkan riwayat Abu Daud, Ahmad, lbnu Khuzaimah, Ibnu Hibbaan dan Iain-lain, sahabat itu telah terkena tiga anak panah. Tetapi kelazatan bersembahyang dan membaca al-Qur'an di dalamnya menbatasi kesakitan kerana terkena anak panah. Ini juga merupakan salah satu contoh kemanisan iman yang dapat dikesan di dalam lipatan sejarah para sahabat r.a.
⁸⁶ Maksud Cinta kepada Allah ialah sentiasa mentaatiNya dan tidak menderhakaiNya. Maksud menyintai Rasulullah s.a.w pula ialah sentiasa berpegang teguh dengan syari'at yang dibawanya, di samping taat dan patuh kepadanya. Hadits di atas menyatakan bahawa kemanisan iman pasti akan dirasai sesaorang yang ada padanya tiga perkara yang tersebut di dalamnya. Salah satunya ialah menyintai Allah dan rasulNya melebihi segala-segala yang Iain. Ia secara tidak langsung mengandungi maksud orang yang benar- benar mentaati Allah dan rasulNya adalah orang yang sudah ada padanya satu daripada tiga perkara yang akan membuatnya merasai kemanisan iman. Di dalam al-Qur'an Allah menyatakan salah satu tanda orang yang benar-benar menyintaiNya dan orang yang cintanya berbalas. Ia adalah orang yang mengikuti Sunnah RasulNya. Lihat firman Allah ini:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Bermaksud: Katakanlah, "Jika kamu benar-benar menyintai Allah, ikutilah daku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Aali lmraan:31).
Timbul kemusykilan di sini. Kenapakah Nabi s.a.w. menggunakan dhamir tafsniah (ganti nama yang menunjukkan dua) pada سِوَاهُمَا(selain keduanya) yang mengumpulkan Allah dan dirinya sendiri, padahal beliau s.a.w. pernah menegur seorang yang berkata begitu dalam satu ucapannya? Kata orang itu:
من يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعصهما فقد غوى
Bermaksud: "Sesiapa taat kepada Allah dan rasulNya, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk .Dan sesiapa yang derhaka kepada kedua-duanya, sesungguhnya dia telah sesat." Mendengar kata-kata orang itu Nabi s.a.w. bersabda:
نِنْسَ الخَطِيبُ اَنْتَ قُلْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ
Bermaksud: "Engkaulah penceramah yang paling teruk! Katalah (begini): Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan rasulNya. (Muslim, Ahmad, lbnu Abi Syaibah. Baihaqi dan Iain-lain).
Secara terpisah Allah dan rasulNya itu bukan kedua-duanya dikumpulkan bersama dalam satu dhamir tatsniah.
Beberapa jawapan kepada kemusykilan di atas telah diberikan oleh para ulama'. Antara Iainnya adalah seperti berikut:
(1) Sesetengah ucapan, seperti khutbah wa'az dan Iain-lain, menghendaki perincian dan penjelasan. Dalam keadaan itu tidak elok digunakan perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang ringkas dan boleh mengelirukan. ltulah sebabnya Rasulullah s.a.w. menegur penceramah berkenaan dengan kata Baginda s.a.w.
(Engkaulah penceramah yang paling teruk!). Sesetengah ucapan atau khutbah pula lebih elok diringkaskan. Khutbah hajah (seperti khutbah nikah dan Iain-lain) misalnya, lebih elok dalam bentuk padat dan ringkas. Kerana itu terdapat juga hadits yang menyatakan Nabi s.a.w. sendiri berkhutbah hajah dengan lafaz yang sama diguna oleh orang ditegur Baginda s.a.w. itu, daripada segi penggunaan dhamir tatsniah (ganti nanti yang menunjukkan dua) yang mengumpulkan Allah dan rasulNya.
Lihat teksnya ini:
مَنْ يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَإِنَّهُ لَا يَضُرُّ إِلَّا نَفْسَهُ وَلَا يَضُرُّ اللَّهَ شَيْئًا
Bermaksud: "Sesiapa taat kepada Allah dan rasulNya. dia telah mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang derhaka kepada kedua-duanya, dia tidak kecuali dirinya sendiri. Dia tidak memudharatkan Allah sedikit pun."
(Abu Daud, al-Baihaqi dan at-Thabaraani).
Demikian juga dengan hadits Anas di atas yang sedang dibincangkan sekarang. Ia memang sengaja disabdakan oleh Baginda s.a.w. dalam bentuk ringkas seperti itu dengan mengumpulkan Allah dan rasul dalam satu dhamir tatsniah, supaya mudah dihafal dan diingati umat.
(2) Hadits yang melarang penggunaan dhamir tatsniah yang mengumpulkan Allah dan rasul, Iebih patut diutamakan daripada hadits yang zahirnya menampakkan keharusan penggunaannya kerana beberapa alasan qaedah berikut:
(a) Kerana hadits yang melarang merupakan sunnah qauliyyah. Sedangkan hadits yang dianggap sebagai mengharuskannya pula hanya berupa sunnah fi'liyyah. Sunnah fi'liyyah dalam hal ini berkemungkinan besar mempunyai latar belakangnya yang tersendiri.
( واقعة حال لا عموم لها)
(b) Dalam kes pertentangan berlaku di antara riwayat yang melarang (مانع) dan yang mengharuskan (مجيز), pada umumnya riwayat yang melaranglah ditarjihkan.
(c) Hadits yang melarang penggunaan dhamir tatsniah yang mengumpulkan Allah dan rasul merupakan ناقل عن الأصل (dalil yang memindahkan sesuatu daripada hukum asalnya).
Hadits yang zahirnya membenarkan pula adalah باق على الأصل(dalil tentang kekalnya sesuatu atas hukum asalnya).
Menurut qaedah Usul, segala benda atau perkara asalnya hendaklah dianggap harus terlebih dahulu. Kecuali ada dalil yang mengharamkan, barulah ia dianggap terlarang atau haram.
Dalam kes ini, hadits-hadits yang zahirnya mengharuskan itulah yang dikira asal.
Sementara hadits-hadits yang melarang pula dianggap sebagai ناقل عن الأصل (dalil yang memindahkan sesuatu daripada hukum asalnya).
Apabila berlaku pertentangan di antara باق على الأصل(dalil tentang kekalnya sesuatu atas hukum asalnya)
dan ناقل عن الأصل(dalil yang memindahkan sesuatu daripada hukum asalnya), perlulah diutamakan ناقل عن الأصل daripada باق على الأصل .
Antara bukti yang menyokong qaedah ini ialah riwayat- riwayat yang merupakan ناقل عن الأصل itu sedang mengemukakan satu qaedah kulliyyah. Sedangkan qaedah kulliyyah seperti itu tidak dapat diambil daripada riwayat-riwayat yang merupakan باق على الأصل
(3) Perbuatan mengumpulkan Allah dan rasul dalam satu dhamir tatsniah merupakan khususiyah Nabi saw.Ia hanya dibenarkan kepada Rasulullah s.a.w. Orang-orang lain tidak dibenarkan menggunanya. Itulah sebabnya Baginda s.a.w. melarang orang menggunanya. Alasan kenapa orang-orang lain selain Rasulullah s.a.w. tidak dibenarkan menggunanya ialah kerana penggunaan seperti itu boleh mengelirukan sesetengah orang tentang kesamaan kedudukan Allah dan rasulNya. Secara tidak langsung ia boleh mengheret mereka ke kancah kesyirikan. Adapun Rasuluilah s.a.w. maka baginda daripada terpelihara dalam soal ini.
(4) Sama yang ke(3) tadi juga, cuma kebimbangan tidaklah kerana ia mungkin mengelirukan orang-orang Iain sahaja. malah orang yang berucap itu sendiri juga dibimbangi akan terheret ke kancah kesyirikan.
(5) Sabda Rasulullah s.a.w. "Orang yang menyintai Allah dan RasulNya melebihi kecintaannya kepada selain keduanya", mengisyaratkan bahawa kecintaan kepada Allah dan rasulNya itu dikehendaki bersepadu. Kecintaan kepada salah satu daripadanya secara terpisah-pisah adalah perbuatan sia-sia dan tiada nilainya di sisi agama. Allah saja dicintai tanpa rasul, tidak diterima. Rasul saja dicintai tanpa Allah, juga tidak diterima. ltulah maksud tersirat di sebalik sabda Baginda s.a.w. (مِمَّا سِوَاهُمَا), menggunakan dhamir tatsniah yang mengabungkan Allah dan rasulNya. Berbeza dengan penceramah yang ditegur Nabi s.a.w. Kerana kata-katanya; ومن يعصهما فقد غوى membayangkan seolah-olahnya seseorang itu baru tersesat, apabila ia menderhakai Allah dan rasul kedua-duanya sekali. Padahal bukankah menderhakai Allah saja atau rasul saja pun boleh menyebabkan sescorang itu tersesat?
(6) Imam Thahaawi berpendapat, Nabi s.a.w. menegur penceramah berkenaan tidak kerana Iain melainkan kerana dia telah waqaf (berhenti) ditempat yang tidak sepatutnya waqaf. Seolah-olahnya orang itu berkata من يطع الله ورسوله فقد رشد ومن يعصهما . Sampai di sini saja dia terus waqaf dan berhenti tanpa menyambung terus kata-katanya: فقد غوى selepas itu. Kerana dengan berhenti pada perkataan يعصهما tanpa menyambung terus فقد غوى selepas itu, ma' na ucapannya akan berubah kepada; "Sesiapa taat kepada Allah dan rasulNya, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang derhaka juga."
Jadi orang yang mendapat petunjuk itu bukan sahaja orang yang ta'at kepada Allah dan rasulNya. orang yang derhaka kepada kedua-duanya juga mendapat petunjuk .Bukankah ma'na ucapannya telah berubah teruk dengan sebab waqaf di tempat yang tidak sepatutnya waqaf? ltulah sebenarnya yang ditesur Rasulullah s.a.w.
⁸⁷ Perkara kedua yang disebut Nabi s.a.w. jika ada pada seseorang, tentu ia akan merasai kemanisan iman ialah apabila ia menyintai seseorang semata-mata karena Allah. Bukan kerana harta, kedudukan, pangkat, kecantikan dan sebagainya. Maksud menyintai seseorang semata-mata kerana Allah ialah kerana tuntutan agama Allah. Seperti menyintai dan mengasihi seseorang kerana ketaqwaan dan kepatuhannya kepada Allah atau kerana ilmu agamanya yang tinggi dan berguna kepada masyarakat serta budi pekertinya yang mulia. ltulah yang dikatakan menyintai seseorang semata-mata kerana Allah s.w.t. Imam Malik pernah berkata:
المحبة في الله من واجبات الإسلام وهو دأب أولياء إلله تعالى
Maksudnya: "Cinta kerana Allah itu termasuk salah satu kewajipan Islam dan ia merupakan perangai para kekasih Allah s.w.t." Tiga macam orang yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. pasti akan mendapat kemanisan iman di dalam hadits di atas, jika dianalisa dapat dibahagikan kepada tiga bahagian.
Pertamanya:
مَنْ كَانَ الله وَرَسُولُهُ أًحَبَّ إِلَيْهَ مِمَّا سِوَاهُمَا
Keduanya; وَمَنْ أَحَبَّ عَبْدًا لَا يُحِبُّهُ آِلَّا لِلِه عَزَّ وَجَلَّ
dan
ketiganya ialah
وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ بَعْدَ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى النَّار
Daripada tiga bahagian orang yang pasti akan merasai kemanisan iman itu, yang mula-mula sekali disebut Rasulullah s.a.w. ialah orang yang menyintai Allah dan
RasulNya melebihi kecintaannya kepada selain keduanya. Apabila Allah dan rasulNya dicintai sesaorang melebihi segala sesuatu yang lain sudah tentulah orang-orang lain yang dicintainya juga akan dicintai semata-mata kerana Allah s.w.t. atau dengan kata lain dicintai dengan penuh keikhlasan.
Bahagian kedua hadits sebenarnya merupakan kesan atau hasil daripada bahagian pertamanya. Apabila cinta seseorang kepada Allah dan rasulNya mengatasi dan menguasai cintanya kepada segala sesuatu yang lain, cintanya kepada sesama manusia pula berasaskan keikhlasan maka tentu sekali orang itu akan membenci dengan sepenuh hatinya kepada kekufuran .Kerana Itulah Baginda s a.w. meletakkan sabdanya:
وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فٍي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذَ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ
itu pada bahagian ketiga hadits. Kebencian kepada kekufuran yang amat sangat itu digambarkan oleh Rasulullah s aw.. bagaikan ia akan dilempar ke dalam api. Tidak ada siapa pun di dunia ini suka ia dicampak ke dalam api. Lihatlah betapa harmoni dan saling berkaitnya ketiga-tiga bahagian hadits di atas di antara sesamanya.
⁸⁸ Rasulullah s.a.w. menyebutkan "kembali kepada kekafiran' di sini memandangkan kebanyakan orang yang memeluk agama Islam pada ketika itu pada asalnya adalah kafir. Mereka telah memeluk Islam dengan meninggalkan kekufuran. Adapun orang-orang yang berasal daripada keturunan Islam, zahir kata-kata Nabi s.a.w. "kembali kepada kekafiran'' itu tidak ada kena mengena dengannya. Apa ertinya ia kembali kepada kekafiran, kalau ia tidak pernah pun menjadi kafir. Maka para 'ulana' mengatakan, jika sabda Rasulullah s.a.w. hendak dikaitkan juga dengan orang-orang Islam sejak turun-temurun Iagi seharusnya perkataan عود dipakai terlebih dahulu dipakai dałam ma' na majaazinya. Makna majaozi bagi perkataan عودitu ialah (menjadi, masuk, bertukar atau berpindah kepada dan Iain-lain). Jadi sabda Rasulullah s a.w. itu seharusnya ditaqdirkan begini:
وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْيَصِيْرَ يَعُودَ فٍي الْكُفْرِ بَعْدَ إِذَ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ.
Orang yang tidak suka menjadi kafir/masuk ke dalam kekufuran setelah ia dłselamatkan oleh Allah sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api). Tidak ada lagi dalam terjemahan ini rangkai kata "kembali kepada kekafiran'' tadi, disebabkan oleh perkataan tidak dipakai dalam makna haqiqinya. Malalh ma'na majaazi bagi perkataan iłu telah mcngambil alih tempatnya. Pecahan perkataan عود dengan ma' na صيرورة ada diguna oleh Allah di dalam al-Qur'an sendiri. Oleh itu tidak ada kesalahan memalingkannya daripada ma' na asalnya kepada makna lain. Sebagai contohnya firman Allah berikut ini:
قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لَنُخْرِجَنَّكَ يَٰشُعَيْبُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَكَ مِن قَرْيَتِنَآ أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَاۚ قَالَ أَوَلَوْ كُنَّا كَٰرِهِينَ
Maksudnya, Ketua-ketua yang sombong dari kaumnya (Nabi Syuib) berkata:Sesungguhnya Kami akan mengusir mu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini atau kamu berpindah (bertukar) kepada ugama kami. Nabi
Syuaib menjawab. Apakah (kamu akan mengusir kami), sekalipun kami tldak menyukainya? (al-A raaf 88).
Rangkał kata أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَاۚ seharusnya diterjemahkan seperti di atas dengan dipalingkan makna asal dan haqiqinya kepada makna majaazinya iaitu صيرورة. Sebabnya ialah kalau makna asalnya (kembali) dipakai, niscaya kandungannya tidak akan menepati kenyataan sebenar. Lantaran Nabi Syuaib dan keluarga baginda sekurang- kurangnya, tidak pernah hidup dalam kekafiran. Itulah sebabnya Iman al-Qurthubi mentafsirkan أَوْ لَتِعُوْدُنَّ فِى مِلَّتِنَا dengan katanya أَوْ لَتَصِيْرُنَّ إِلَى مِلَّتِنَا (atau kamu berpindah (bertukar) kepada ugama kami).
⁸⁹ Allah menyelamatkan sesaorang daripada kekafiran dengan salah satu daripada dua cara berikut
(1) Dengan melahirkannya dalam keluarga Islam dan menghidupkannya sebagai orang Islam sampai mati,
(2) Dengan melepaskannya daripada kegelapan kekufuran kepada cahaya Islam. Atau dengan kata Iain mendorongnya memeluk agama Islam.
⁹⁰ Selain Bukhari dan Muslim, hadits ini diriwayatkan juga oleh Ahmad, Tirmizi, Nasaa'i dan Ibnu Majah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan