Ahad, Disember 27, 2020

Sahih bukhari kitab iman sesi 01 145-149s

Sahih bukhari kitab iman sesi 01 145-149s
*sesi 2

2-Kitab Iman⁸⁸


⁸⁸ Sebelum meneruskan perbincangan tentang hadits- hadits Kitabul Iman, elok kiranya terlebih dahulu dibincangkan tentang apakah maksud di sebalik susunan tajuk kitab dan tajuk bab Imam Bukhari ini, iaitu Kitabul Iman selepas Kitahul Wahyi. Sebagaimana telah dibincangkan di bawah tajuk kitab yang lepas, bahawa segala perkara yang berkaitan dengan agama, sama ada yang berhubungan dengan 'aqidah (اعتقاديات) atau yang berkaitan dengan amalan (عمليات), semuanya berpunca daripada wahyu. Antara kandungan ajaran agama yang terpenting yang berpunca daripada wahyu ialah iman. Kepentingan dan keutamaan iman tidak pernah diatasi perkara-perkara lain semenjak Nabi Adam a.s. diturunkan ke dunia lagi. Iman adalah suatu perkara asas yang paling penting. Kerana dengan tiadanya iman, segala amalan lain tidak akan diterima. AlQur'an sendiri telah menyatakan kepentingan iman selaku perkara pokok yang mengesahkan amalan setiap orang manusia. Antara ayat-ayat yang menjelaskan tentang peranan iman dałam mengesah dan menafikan amalan seseorang ialah:
Al-Furqan 25:23
وَقَدِمْنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُوا۟ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَٰهُ هَبَآءً مَّنثُورًا 
Bermaksud: dan Kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amalan iłu (bagaikan) debu yang berterbangan. (al-Furqaan:23).


An-Nur 24:39
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَعْمَٰلُهُمْ كَسَرَابٍۭ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ ٱلظَّمْـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمْ يَجِدْهُ شَيْـًٔا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ 
Bermaksud: dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorangana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya tempat itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun; dan didapatinya (ketetapan) Allah disisi amalnya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amalnya dengan cukup; dan Allah adalah sangat cepat perhitunganNya. (an-Nuur:39).


Amalan yang sehebat dan sebanyak mana sekalipun jika tidak dibina di atas dasar iman, tidak lebih daripada sebuah istana pasir. Biar bagaimana besar dan cantik tersergam sekalipun, ia tetap tidak akan mendatangkan apa-apa manfa'at dan pasti akan roboh menyembah bumi pada bila-bila masa saja .

Hakikat inilah yang mendorong Imam Bukhari terus menyusulkan Kitabul Iman sebagai tajuk ke duanya selepas Kitabul Wahyi.
Melalui susunan ini juga, Imam Bukhari ingin mengingatkan bahawa di antara manusia dan Penciptanya Yang Maha Agung yang dipanggil Tuhan, wujud suatu hubungan. Hubungan tersebut dieratkan oleh jalinan kasih dan sayang. Hubungan kasih sayang atau rahmat yang dimaksudkan sudahpun digambarkan oleh Tuhan Yang Maha Agung apabila sering menggelarkan diriNya sebagai ar-Rahman dan ar-Rahim (Tuhan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang). Bukti kasih sayangNya yang paling jelas kepada hamba-hambaNya ialah penurunan wahyu sebagai petunjuk dan rahmat daripadaNya.
Namun konsep ketuhanan yang diterapkan di dalam agama-agama atau falsafah-falsafah lain selain Islam ternyata amat berbeza. 'Tuhan' di dalam agama-agama atau falsafah-falsafahbtersebut digambarkan mempunyai sifat dan ciri yang berbeza-beza. Hubungan diantaraNya dengan makhluk juga tidak sama. Antara tanggapan-tanggapan mereka tentang hubungan Tuhan dengan hamba-hambaNya
(1)dianggap sebagai musuh. Ini kerana bagi mereka Tuhan menyembunyikan rahsia alam ini daripada manusia, sehingga manusia terpaksa mengkaji dan memikirkannya sendiri untuk menyelesai dan memecahkan segala persoalan Yang tersembunyi selama ini. Anggapan yang sebegini telah mendorong mereka menjadi anti-tuhan atau atheis. Bagi mereka meninggalkan terlalu banyak persoalan-persoalan yang tidak mampu dijawab dengan jawapan yang memuaskan hati oleh agama-agama yang wujud di sekeliling mereka. Fahaman seperti ini juga popular di kalangan para saintis yang menjadikan 'aqal sebagai satu-satunya neraca.  Maka perhubungan golongan ini dengan Tuhan dianggap sebagai perhubungan antara musuh. Setiap kali mereka menyingkap sesuatu penemuan atau memecahkan sesuatu persoalan yang selama ini menjadi misteri alam, mereka menganggap bahawa mereka telah berjaya 'merampas'nya dari 'simpanan' Tuhan. 

(2) Sebahagian ahli falsafah di zaman lampau menda'wa Tuhan telah mencipta sepuluh tingkatan 'aqal (العقول العشرة). Setiap daripadanya pula menerbitkan dua falak. Malangnya mereka sendiri tidak dapat menjelaskan dengan pasti apakah sebenarnya 'aqal dan falak itu. Lalu jika konsep yang tidak lebih dari satu andaian ini diterima, apakah alasan Tuhan untuk tidak hanya menjadikan satu atau dua aqal sahaja bagi kejadian-kejadian lain seterusnya? Malah menurut fahaman mereka, tuhan tidak akan 'campur tangan' lagi dalam perkembangan tingkatan 'aqal tersebut, sehinggalah ia mampu untuk meningkat dengan sendirinya demi mencapai tingkatan tertinggi iaitu 'aqal ke sepuluh yang menurut da'waan mereka mampu mencipta segala-galanya. Sepertimana pendapat pertama, golongan yang berpegang dengan pendapat ini juga tidak pernah berasa tenang terhadap hubungan mereka dengan Tuhan.

(3) Ada yang berpendapat bahawa selepas tuhan selesai mencipta sekalian makhlukNya, Dia mengambil keputusan untuk 'merehatkan diri' daripada tugas mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan mereka. Bagi mereka tanggungjawab tuhan tidak lebih daripada sang pencipta yang melepaskan tugas penyelenggaraan dan nasib ciptaannya kepada orang lain pula. Mereka mengumpamakan tugas Tuhan mencipta alam ini tidak lebih daripada seperti pembuat jam sahaja. Apabila jam itu sudah berfungsi, tugas mengawal pergerakan jam tersebut sudah tidak menjadi tanggungjawabNya lagi. 

(4) Ada juga yang berpendapat bahawa Tuhan hanya menentukan ibadah-ibadah yang berbentuk ritual sahaja kepada manusia. Segala panduan yang berkaitan dengan urusan dan peraturan kehidupan manusiawi, kesemuanya diserahkan kepada kebijaksanaan manusia sendiri. Terpulanglah kepada mereka untuk menentukan segala peraturan hidup mengikut keputusan îaqal yang diterima dan disepakati sebagai sesuatu yang baik oleh kebanyakan mereka. Sedangkan realiti pergolakan kehidupan, terutamanya yang berkaitan dengan pertelagahan sesama manusia, kesemuanya berpunca daripada kelonggaran peraturan hidup yang diatur oleh kebijaksanaan 'aqal manusia itulah!! 

(5) Kebanyakan agama menerima konsep orang tengah di antara orang awam dan Tuhan. Tuhan digambarkan seperti seorang maharaja yang sukar didekati atau Tuhan Yang dipercayai terlalu suci itu tidak mungkin dihubungi terus oleh manusia yang bergelumang dengan dosa-dosa. Maka lahirlah ahli-ahli agama dengan pelbagai nama seperti sami, paderi, biksu, rabai, paus dan sebagainya yang dianggap sebagai manusia suci. Merekalah golongan yang dipercayai dapat menjadi orang tengah di antara Tuhan dan manusia biasa. Untuk mendapat sesuatu daripada Tuhan, golongan inilah yang mesti dipujuk dan dimenangi terlebih dahulu.

Konsep-konsep ketuhanan tersebut ternyata amat jauh sekali berbeza daripada ketuhanan yang diterapkan di dalam agama Islam. Inilah Yang ingin dibuktikan oleh Imam Bukhari apabila beliau membawakan bab wahyu sebagai pendahuluan kitabnya. Justeru wahyu adalah rahmat paling besar yang membuktikan bahawa Allah s.w.t. tidak pernah membiarkan manusia bersendirian menjalani kehidupan ini tanpa panduan dan bimbingan yang jelas. Malah dengan memahami konsep ini dengan jelas, segala persepsi yang tersasar tentang sifat-sifat Tuhan yang mengakibatkan jiwa manusia tidak pernah tenang, akan dapat diperbetulkan. Lalu perhubungan di antara manusia dan Tuhan mereka akan terjalin dalam suatu ikatan yang penuh dengan kasih sayang.

Dalam membimbing perjalanan hidup makhluk ciptaanNya yang paling mulia ini, setiap insan tidak kira siapa pun jua akan dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan dua perkara yang akan sentiasa menemaninya dalam menempuh liku-liku kehidupan. Dua perkara yang menjadi kayu pengukur dan neraca penimbang tersebut ialah 'aqal dan naluri. Dan untuk menyempurnakan proses bimbingan tersebut, Allah s.w.t. sentiasa mengutuskan seorang manusia pilihan pada setiap zaman yang diakui paling baik, pintar dan sempurna bagi membantu mereka menjelaskan panduan hidup sebagaimana yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Pencipta itu. Orang-orang pilihan yang digelar rasul atau nabi tersebutlah yang diamanahkan Oleh Tuhan untuk menyampaikan wahyu selaku panduan yang boleh diumpamakan sebagai sekeping peta bagi sang pengembara yang dipenuhi oleh petunjuk-petunjuk arah, skala dan tanda-tanda amaran. Begitulahlah wahyu. la menjadi satu petanda paling agung yang menunjukkan bahawa hubungan Tuhan dengan makhluknya adalah hubungan di antara kekasih dengan kekasih, bukannya di antara musuh dengan musuh atau sebagai barangan ciptaan yang terbiar tanpa pengurusan. Malah ada juga yang melencong lebih jauh lagi dengan mengangkat hubungan sesetengah individu atau sesuatu bangsa dengan tuhannya, sebagai perhubungan di antara anak dan bapa!

Sesetengah manusia yang singkat aqalnya gagal memahami konsep kasih sayang yang terjalin di antara Allah dan hambanya. Apabila kehendak dan permintaan mereka tidak diperkenan Tuhan, mereka akan menganggap bahawa Tuhan tidak mengasihi dan menyayanginya. Pemahaman sedemikian tentang konsep kasih sayang adalah suatu tanggapan yang tersasar daripada kebenaran. Kerana konsep kasih sayang sebenar adalah seperti kasih sayang ibu bapa yang benarbenar menyayangi anak-anak mereka. Mereka tetap akan melakuk'an apa sahaja tindakan demi kebaikan anak-anak, walaupun dengan menghampakan permintaan anak-anak. Lantaran memanjakan anak-anak dengan memenuhi setiap permintaan mereka tanpa batas dan sempadan, bukanlah merupakan kasih sayang sebenar, sebaliknya ia adalah tindakan merosakkan anak-anak itu sendiri.

Begitulah juga dengan ilmu dan keperluan manusia di dunia ini. Tuhan hanya akan menentukan sesuatu sesuai dengan keperluan mereka, dengan membataskan ilmu-ilmu dan penemuan-penemuan tertentu pada zaman-zaman yang bersesuaian. Sekiranya segala ilmu dan penemuan dibukakan sekali gus kepada mereka, nescaya tamaddun kemanusiaan akan rosak binasa. Berdasarkan hikmah yang demikianlah, ilmu yang diberikan tidak di dedah serta diagihkan kesemuanya sekali gus. Keadaan ini berlaku bukanlah disebabkan Tuhan terlalu 'berkira' atau kedekut dengan hamba-hambaNya, tetapi tuhan mengiranya melalui kasih sayang dan kebijaksanaanNya. Walau bagaimanapun. untuk memahami konsep ketuhanan sebegini ternyata amat sukar bagi 'aqal-aqal manusia yang dangkal, sekiranya tidak ada panduan dan rujukan berupa wahyu yang hanya terdapat di dalam agama Islam sahaja. Bahkan dari sudut lojiknya  pula, sekiranya  Tuhan mengagihkannya tanpa batasan , sudah tentu perjalanan  hidup ini tidak  akan berlangsung secara normal lagi atau tidak mampu dibayangkan lagi simpangsiurnya,  apabila setiap orang sudah tidak lagi bergantung atau memerlukan kewujudan orang lain.

Inilah realiti dunia, manusia tidak pernah  berasa puas. Dan perasaan tidak pernah puas tersebut membuktikan sebenarnya di sana memang suatu kehidupan sempurna yang akan memuaskan hati setiap manusia. Kehidupan yang belum pernah dijejaki oleh keturunan manusia tersebut hanya diketahui oleh manusia melalui perkhabaran agama sahaja. Malah manusia hanya akan menikmati kepuasan dan ketenangan sejati apabila berada di sana. Itulah syurga. sebuah alam maha sempurna tempat asal keturunan manusia. Oleh sebab itulah manusia tidak pernah berasa puas. kerana dunia ini bukanlah kediaman sebenar mereka.
Manusia memerlukan agama kerana hanya agamalah yang mampu membimbing mereka menuju ke arah kesempurnaan yang diidam-idamkan oleh naluri mereka. Namun ia terbukti tidak mampu dicapai, apalagi untuk disusun oleh 'aqal mereka. Ini kerana kemampuan 'aqal hanya dapat membantu mereka yang bijak menggunakan sahaja. Itupun faedahnya amatlah terbatas. Contohnya. hanya mereka yang arif tentang kesan buruk dadah, alkohol dan sebagainya akan mendisiplinkan diri mereka daripada terjebak ke dalam pengambilannya. Sedangkan orang-orang yang patuh kepada agama akan berusaha sedaya upaya untuk menghindari diri daripada terlibat dalam melakukan apa jua larangan agama, walaupun mereka sendiri tidak pernah mengetahui apakah sebab dan hikmah sebenar di sebalik larangan tersebut. Buktinya larangan memakan daging babi, siapakah orang Islam yang mengetahui sebab sebenar agama Islam megharamkan daging binatang itu? Sebab sebenar yang menghalang mereka daripada memakannya tidak ada, selain daripada keimanan kepada Allah semata-mata.

Pengaruh agama yang dianuti manusia seringkali menutup segala pertimbangan 'aqal, kadang-kadang terbukti ianya jelas menongkah logik. Contohnya berapa ramaikah jumlah penganut agama Kristian di seluruh dunia yang menerima hakikat bahawa tuhan mempunyai anak? Bukankah menurut kepercayaan mereka, tuhan telah sanggup membiarkan 'Isa - satu-satunya anak tuhan - dibunuh dengan tragis hanya kerana ingin menebus dosa yang pernah dilakukan Oleh Nabi Adam a.s.? Lebih membingungkan lagi, anak tuhan yang ternyata lemah itupun dianggap juga sebagai tuhan yang harus disembah!

Manakala agama Sikh yang mengharam keras penganutnya daripada menghisap rokok pula tidak pernah menganggap pengambilan alkohol sebagai suatu larangan.
Itulah hakikat kemampuan 'aqal. Untuk memperolehi keseimbangan dalam peraturan-peraturan agama yang dibina di atas 'aqal sahaja pun adalah suatu kemustahilan, apalagi untuk mencapai tahap kesempurnaan sepeni apa Yang dibawa oleh agama Islam yang berteraskan wahyu.

lman
Antara kandungan yang paling utama ialah iman. Iman yang bermaksud percaya berpunca daripada kata dasar Amnun (أَمْنٌ) dan Amänun (أَمَانٌ) yang bererti, aman, damai, tenteram. tenang dan seumpamannya. Dalam erti kata yang Iain, iman juga bermaksud menjadikan makhluk Iain terutamanya manusia aman (terhindar) daripada segala sikap buruk orang yang beriman. Seperti pencerobohan terhadap harta bendanya, pencabulan maruahnya memfitnah dan menipunya, menghampa dan mengecewakannya dan sebagainya. Dalam menjelaskan definisi iman, Nabi s.a.w. pernah bersabda: 
الْمُؤْمِنُ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ
Bermaksud: "Orang yang beriman ialah orang yang orang lain berasa aman daripadanya, sama ada terhadap harta benda atau diri-diri mereka.” 
(Hadits riwayat Ibnu Majah, Ibnu Hibbaan, at-Thabaraani dan al-Haakim).

Iman tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Kerana iman menggambarkan kepercayaan dalaman seseorang, manakala Islam pula memaparkan sikap luarannya. Sepertimana iman membawa erti aman, damai, tenteram, tenang dan seumpamanya, Islam juga membawa erti selamat, sejahtera, sentosa dan lain-lain. 

Islam dengan erti-erti ini telah digunakan dengan jelas oleh Nabi s.a.w. sendiri dałam hadits-hadits Baginda s.a.w. Lihat umpamanya surat Baginda kepada Hiraqlu, sebagaimana termaktub di dalam kandungan hadits yang lepas, iaitu:أَسْلِمْ تَسْلَمْ Bermaksud: "Islamlah kamu, niscaya kamu akan selamat.”

Keselamatan yang dijamin tidaklah terbatas kepada kehidupan di dunia sahaja, tetapi ianya juga merangkumi keselamatan di dunia dan di akhirat. Malah jaminan keselamatan tersebut juga tidak hanya terbatas kepada penganutnya sahaja, bahkan ia juga meliputi keselamatan penganut-penganut agama lain. Nabi s.a.w. bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُؤْمِنُ مَنْ أَمِنَهُ النَّاسُ عَلَى دِمَائِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ
Bermaksud: "Orang Islam ialah orang yang orang lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. Orang beriman ialah orang yang orang lain berasa aman daripadanya, sama ada terhadap darah (diri-diri) mereka atau harta benda mereka.” 
(Hadits riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasaa'i, Ibnu Hibbaan, Haakim dan at-Thabaraani). 

Untuk menjelaskan lagi jaminan ini, Nabi s.a.w. telah menganjurkan umatnya agar menyebarkan salam kepada setiap orang Islam yang ditemui. Kerana maksud 'Selamat sejahtera ke atas kamu ' (السلام عليكم ialah jaminan keselamatan daripada gangguan pemberi salam kepada penerimanya.

Begitu juga sebaliknya harapan pemberi salam daripada penerimanya. Apabila penerima salam menjawab salam, bererti ia juga memberi jaminan keselamatan kepada pemberi salam. Itulah interpretasi Islam yang sebenarnya. laitu jaminan keselamatan luaran secara khusus. Sementara ma'na iman pula ialah kedamaian dan ketenteraman jiwa.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan