Tafsir asas quran nota 9(287)18
Kata golongan kedua iaitu golongan muta'akkhirin, firman Allah ini menunjukkan adanya ayat al-Qur'an tertentu yang dimansukhkan. Maka tentulah ada pula naasikhnya. Allah sendiri mengatakan "Tidak ada satu pun ayat yang Kami nasakhkan atau Kami lupakan manusia terhadapnya melainkan Kami akan bawakan (ayat) yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya".
Ayat ini kata mereka menunjukkan beberapa perkara:
(a) Adanya ayat al-Qur'an yang dimansukhkan oleh Allah.
(b) Adanya ayat al-Qur'an yang Allah lupakan manusia terhadapnya.
(c) Apabila Allah menasakhkan sesuatu ayat al-Qur'an, ia pasti digantiNya dengan ayat yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya.
(d) Ayat Naasikh (yang memansukhkan) lebih baik darip ada ayat mansukh atau setidak-tidaknya ia mesti sebanding dengannya.
Ayat 106 dari Surah al-Baqarah itu menurut mereka menunjukkan adanya ayat-ayat al-Qur'an yang mansukh hukum atau bacaannya, atau mansukh kedua-duanya sekali dan diganti dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya.
Bantahan Terhadap Dalil Pertama.
Golongan ketiga mengkritik dan mempertikaikan cara golongan kedua memahami ayat itu. Kesilapan golongan kedua bagi mereka terletak pada beberapa perkara:
(a) Mereka telah memakai perkataan ننسخ (Kami nasakhkan) dengan erti Kami mansukhkan atau Kami tukarkan hukum yang terdapat di dalam sesuatu ayat dengan hukum yang terdapat di dalam ayat lain yang diturunkan kemudian. Padahal perkataan nasakh menurut bahasa 'Arab tidak semestinya bererti begitu. Jika dilihat kepada erti nasakh yang telah diberikan sebelum ini, maka ada banyak sekali ertinya. Antaranya ialah:
(i) Nasakh dengan erti penghapusan.
(ii) Nasakh dengan erti perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.
(iii) Nasakh dengan erti al-Izalah ataumenghilangkan.
287
Tiada ulasan:
Catat Ulasan