Posting panjang sikit hari ini.
Selepas anak didiagnos dengan masalah perkembangan neuro (neurodevelopmental disorder – Autism, ADHD, intellectual disabilty), ini antara soalan lazim yang ibu bapa lontarkan – macam mana dengan persekolahan dia nanti.
Saya kongsikan di sini supaya jawapan ini sampai kepada ibubapa yang sedang keliru dalam bab ini.
Ini antara perkara yang ibubapa perlu faham.
Diagnosis tidak menentukan jenis sistem pendidikan yang sesuai dengan anak. Apa yang menentukan ialah tahap dan kemampuan anak.
Apa yang kita perlu dipertimbangkan ialah kemampuan asas anak:
1. Mampu ke tandas sendiri dan membersihkan diri
2. Mampu mengikut arahan – sekurang-kurangnya satu langkah
3. Mampu duduk di meja dan melakukan tugasan di meja
4. Tiada tingkahlaku agresif/berisiko kepada kepada orang lain/diri sendiri
5. Mampu berkomunikasi untuk memenuhi keperluan sendiri
Jika kemahiran asas ini dipenuhi, sekurang-kurangnya anak mampu mengikuti proses pembelajaraan di PPKI.
Untuk di integrasikan ke aliran perdana pula, kemampuan berikut perlu diambil kira:
1. Menguasai kemahiran asas 3M
2. Tiada masalah tingkahlaku
3. Bersedia belajar di kelas aliran perdana
4. Boleh berinteraksi dengan baik.
Maka, jika anak masih usia pra-persekolahan (5 tahun ke bawah), saya selalu sarankan ibubapa menjadikan kemahiran di atas sebagai sasaran dalam intervensi awal.
Jika anak masih belum memenuhi menjelang usia 6 tahun, maka ibubapa perlu menganggap kelas Pendidikan khas PPKI sebagai sebahagian dari lanjutan intervensi, untuk anak terus dibantu. Bukan sebagai ‘kekurangan/disadvantage’ kepada anak.
Jika guru melihat perkembangan anak (berdasarkan ciri di atas) guru PPKI akan mempertimbangkan semula anak untuk di inklusifkan secara bertahap ke aliran perdana.
Setiap pilihan sudah tentu ada pro dan kontranya. Namun kita sebagai ibubapa buatlah pertimbangan terbaik berdasarkan kefahaman.
Jangan tentukan kelas anak berdasarkan ego kita. Tapi jujurlah dengan kemampuan dan keperluan anak.
Fokus pada intervensi, sokongan dan terus belajar untuk membantu perkembangan anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan