Halaman

Khamis, Februari 10, 2022

K999.PENGALAMAN MELAKUKAN DIET INTERMITENT FASTING

K999.PENGALAMAN MELAKUKAN DIET INTERMITENT FASTING

Setiap hari saya cuba berkongsi tentang diet yang saya amalkan. Semoga ia menjadi inspirasi bagi mereka yang ingin sihat terutama yang sudah berusia 40an. 

Pengamalan diet yang lengkap harus meliputi 4 perkara. Bila mahu makan, apa mahu makan, kenapa kita makan dan bagaimana mahu makan. Dalam kebanyakan diet yang diajar, hanya fokus tentang apa yang hendak dimakan, bukan fokus pada kenapa kita makan,  bila hendak makan dan bagaimana hendak makan. Jadi makanan yang sepatutnya jadi ubat, telah menjadi racun. 

Contoh, kita mahu jadikan madu sebagai ubat. Madu (apa) haruslah diambil dengan cara yang betul (bagaimana) dan diambil pada masa yang betul (bila). Juga kita kena tahu kenapa kita ambil madu (kenapa)? Jika tidak, madu akan menjadi racun kerana madu mempunyai tahap gula yang tinggi. 

Kita berbalik tentang asas kepada pemakanan, iaitu kenapa kita perlu makan? Bagaimana pola atau corak pemakanan kita telah berubah? 

Kita akan berasa lapar setelah otak memberikan dua isyarat. Pertama apabila perut kita telah kosong. Selalunya selepas 4-6 jam kali terakhir kita makan. Kelenjar pada lapisan perut akan mengeluarkan hormon ghrelin. Ia memberitahu otak bahawa kita perlu makan. Itu isyarat pertama kita berasa lapar.

Bagi orang tidak biasa dengan lapar, mereka akan cari makan. Padahal kita belum lagi memerlukan makanan. Ini kerana pada masa itu tahap gula dan tenaga dalam tubuh masih dalam keadaan yang stabil. Kita tidak perlu makanan dari luar. Mungkin kita perlukan air sahaja untuk menghasilkan tenaga. Bila air mencukupi, lebih banyak penghasilan tenaga berlaku dari pembakaran gula dalam darah.

Isyarat kedua dikeluarkan apabila tahap gula sudah mula turun. Pada masa ini otak meminta kita mencari makanan. Inilah sebenarnya kenapa kita makan, iaitu apabila tahap gula menjadi rendah dalam julat yang normal. 

Kita tidak akan mati kalau kita tidak makan pada masa ini. Gula tidak akan turun sehingga menjadi terlalu rendah. Jika kita tidak makan langsung pun kita boleh bertahan untuk beberapa hari. Tenaga akan diperolehi dari simpanan yang ada.

Hipoglisemia (kekurangan gula dalam tubuh, kurang dari 4 mmol/l) hanya berlaku apabila kita ambil ubat anti-diabetis dan pada masa yang sama kita tidak makan. Orang yang sihat tidak akan mengalami hipoglisemia dan mati akibat hipoglisemia. Hanya pesakit diabetis saja yang mengalami hipoglisemia dan mungkin meninggal dunia apabila ambil ubat anti-diabetis dan tidak makan. Malah pesakit diabetis tidak akan mengalami hipoglisemia pun walaupun tidak makan, jika tidak ambil ubat anti-diabetis.

Jadi apa yang berlaku apabila gula menjadi rendah dalam julat yang normal? Otak mengarahkan kita mencari makanan. Bagaimana jika kita sedang berpuasa atau tiada makanan yang boleh diperolehi (ketika tiada duit beli makanan)? 

Bagi meningkatkan semula gula ke tahap yang stabil, semua simpanan akan dikeluarkan. Glikogen yang disimpan di otot dan lemak yang disimpan pada hati dan lapisan sel-sel lemak pada bawah kulit, akan dipecahkan untuk menjadikan tenaga. 

Kesimpulannya, kita berasa mula lapar setelah kita tidak makan  4-6 jam. Pada masa itu kita hanya memerlukan air sahaja untuk kekal bertenaga. Selepas 8-10 jam barulah lemak mula dibakar untuk menghasilkan tenaga. Pada masa ini, baru kita mula kurus. Ini fasa kurus. Jika kita terus berlapar selama 16 jam, baru bermulanya proses autophagy di mana tubuh akan menggunakan sel-sel yang rosak sebagai bahan api menghasilkan tenaga. Ini fasa kita sihat. 

Inilah yang menyebabkan kita terlindung dari penyakit metabolik yang kronik seperti diabetis, hipertensi dan tahap kolesterol yang tinggi. Ia juga menghalang komplikasi seperti serangan jantung dan serangan stroke. Malah ia mengelakkan beberapa penyakit kanser. 

Jadi pembakaran lemak akan bermula apabila tiada makanan yang dibekalkan apabila kita tidak makan dan berasa lapar setelah 8-10 jam. Kita akan dapat nikmat kesihatan bila berpuasa dan berlapar selama 16 jam.

Sebab itu ketika kita berpuasa di bulan Ramadhan kita berasa letih, bukan kerana kita tidak makan, tetapi kita kekurangan air (dehidrasi). Manusia boleh hidup seminggu tanpa makanan tetapi tidak boleh hidup 3 hari tanpa air. 

Dalam berdiet untuk kesihatan, jangan cepat untuk mencari makanan apabila berasa lapar. Minum air dulu. Ia sangat membantu kita untuk menghasilkan lebih banyak tenaga dari pembakaran gula dalam darah. 

Masalah dengan kita apabila kita makan di saat kita tidak lapar. Kita makan sebelum 4-6 jam dari masa terakhir kita makan. Jadi tiada pembakaran lemak. Tiada autophagy. Kita terus menyimpan lemak. 

Ini corak pemakanan kita sekarang. Kita tidak faham kenapa kita makan. Kita tidak tahu bila kita harus makan. Kita makan sebelum kita berasa lapar. 

Semoga bermanfaat. 

#HealthDrZubaidi 

Ikuti perkongsian  pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan. 

https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan