Daurah tafsir 2022 kuliah 0001(05-08)
Kepentingan belajar dan faham tafsir Quran:
Ini adalah kerana Allah suruh sampaikan Qur’an. Walaupun Qur’an ini senang sampai kepada manusia – hampir di mana-mana sahaja kita boleh dapat Kitab al-Quran ini. Tapi, begitupun, Nabi masih Allah suruh sampaikan juga kepada manusia. Maka, kalau kita kena sampaikan kepada manusia lain, kita sendiri kenalah tahu tafsir Qur’an itu sendiri. Kalau tidak, bagaimana kita nak sampaikan? Paling dekat yang kita kena sampaikan adalah ahli keluarga kita sendiri. Nabi telah bersabda bahawa manusia yang paling baik adalah yang belajar Quran dan menyampaikannya. Ini adalah satu perkara yang amat penting juga.
Terdapat perbezaan antara orang yang tabligh (menyampaikan) kepada orang lain, dengan orang yang hanya dengar sahaja, tapi tidak sampaikan kepada orang lain – dia dah belajar, tapi dia simpan sendiri. Dalam nas yang sampai kepada kita, Allah telah beri jaminan untuk menjaga iman mereka yang tabligh kepada orang lain. Jadi, ini adalah satu kelebihan yang amat penting sekali. Maknanya, kalau setakat tahu sahaja, belum tentu iman kita terpelihara.
Ilmu faham Quran ini adalah ilmu yang paling utama dalam dunia. Tidak ada lagi ilmu lain yang lebih penting. Kerana tidak kitab lain lagi yang lebih mulia lagi dari Quran.
Dan tidak ada ilmu lain lagi yang lebih penting dari Ilmu Aqidah – Quran banyak mengandungi ilmu aqidah, jadi untuk memperkemaskan akidah kita, kenalah kita belajar Tafsir Quran.
Definisi Qur’an:
Katakanlah kita ditanya, apakah maksud ‘Quran’?, bagaimana kita jawap kepada orang yang bertanya itu?
Jawap: satu kitab yang diturunkan dari Allah kepada Nabi Muhammad.Dan Quran ini diturunkan untuk insan semuanya, bukan kepada Nabi Muhammad sahaja.
Wajib untuk kita mempelajarinya, dan tidak dapat masuk syurga kalau tak faham Qur’an.
Oleh itu, bagaimanakah nasib mereka yang tidak menghiraukan Quran?
Tujuan faham Quran adalah untuk betulkan akidah dan amalan kita.
Kalau tak belajar, tidak lengkap akidah kita dan tidak benar amalan kita. Maka, kalau tidak belajar, akan ada banyak salah faham dan salah amal ibadat kita kerana kita tidak belajar dan kalau begitu, tempat tujuan kita adalah neraka. Alangkah malangnya, selepas banyak melakukan amal ibadat, tapi satu pun tidak dikira. Kita sangka kita dapat masuk ke syurga, kerana kita banyak amal, tapi rupanya masuk ke neraka. Ini amat malang sekali.
Apakah itu ‘Tafsir Quran’?:
Maksud ‘Tafsir’ adalah menyelak Qur’an sampai jelas. Kita belajar tafsir untuk tahu apakah kehendak Allah ke atas kita. Ianya tidak boleh dipelajari dengan sendiri, faham sendiri dan agak-agak sahaja. Ianya memerlukan pembelajaran, sampaikan sahabat pun kena belajar
dengan Nabi kerana ada yang rumit dan mereka tak faham. Sedangkan mereka itu bangsa Arab dan tentunya dah mahir dengan bahasa Arab, tapi mereka juga kena belajar dengan Nabi.
Bukan semua tafsir itu bagus. Ada tafsir yang dipuji dan ada tafsir yang dikeji. Bagaimana pula begitu? Ketahuilah, kalau kita bercakap tentang Qur’an tanpa belajar, kita akan
tanggung dosa. Kerana kita telah memperkatakan tentang Quran perkara yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu kerana kita tidak belajar. Amat ramai yang ikut akal sendiri dalam
memahami maksud ayat-ayat Quran. Apabila kita dengan bagaimana pemahaman mereka, kita amat sedih sekali dan kita akan tahu yang mereka itu tidak belajar sebenarnya.
Ingatlah, kita hanya boleh bercakap tentang ayat-ayat yang kita telah belajar. Kalau kita bercakap tentang ayat yang kita tidak belajar, tapi secara kebetulan ianya benar (mungkin lepas itu kita periksa dalam kitab, atau kita tanya ustaz), kita masih tetap berdosa. Kerana waktu kita bercakap tentang ayat itu, kita hanya agak-agak sahaja, tanpa kita pasti kebenarannya.
Darjat dalam tafsir:
Ada beberapa jenis tafsir yang kita kena tahu. Kerana tidak sama derajat antara tafsir-tafsir yang ada.
1. Tafsir Quran dengan Quran. Iaitu menggunakan ayat Quran sendiri untuk menafsir ayat Quran yang lain. Kerana ada ayat yang ringkas sahaja dalam menyebut sesuatu perkara dalam satu ayat dan ianya dijelaskan dengan lebih mendalam dalam ayat lain. Itulah sebabnya kena belajar 30 juzuk baru boleh dapat faham secara keseluruhan. Kerana kalau kita hanya tahu sebahagian ayat sahaja, kita tidak dapat tahu keseluruhan makna yang hendak disampaikan oleh Allah.Terdapat tafsir Qur’an dengan Qur’an dalam ayat yang sama. Maknanya tak jauh kita nak cari makna atau penjelasan satu-satu ayat itu. Tak banyak jenis ayat sebegini dalam Qur’an. Sebagai contoh, kita lihat ayat 2:187
dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)
dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِۖ
Asalnya ayat ini hanya,
وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِۖ
Tetapi ada sahabat yang tidak tahu apakah maksud ‘benang’ putih dan benang hitam itu.
Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan putih di bawah bantal mereka. Dan mereka akan melihat benang-benang itu sampai jelas kepada mereka warna antara hitam dan putih itu, baru mereka berhenti makan. Kerana mereka sangka maksudnya memang literal benang putih dan benang hitam. Akhirnya diturunkan tambahan kepada ayat itu perkataan ditambah dimana مِنَ ٱلْفَجْرِۖ
Oleh itu perkataan ٱلْفَجْرِۖ adalah tafsir kepada الخيط(benang). Dahulunya ayat itu hanya
setakat sebut benang sahaja. Tapi kemudian diberikan penjelasan bahawa ‘benang’ yang dimaksudkan adalah dari ‘fajar’. Jadi ini adalah contoh bagaimana ayat Qur’an ditafsirkan dengan ayat Qur’an di dalam ayat yang sama.
Ada juga tafsir Qur’an dengan Qur’an tapi ayat penafsiran itu duduk dalam surah yang lain. Jenis sebegini lebih banyak dari jenis yang sebelumnya. Tapi kita kena tahu dimanakah kita boleh berjumpa dengan ayat penafsiran itu. Sebab itu kena belajar habis 30 juzuk ayat-ayat Qur’an ini secara keseluruhan supaya kita boleh faham.
Contohnya ayat ini adalah bagaimana diceritakan Nabi Adam telah terima kalimat dari
Allah. Ini disebut dalam 2:37
فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَٰتٍ فَتَابَ عَلَيْهِۚ
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya),
lalu Allah menerima taubatnya;
Nabi Adam telah melakukan kesalahan memakan pohon larangan dan baginda telah bertaubat tapi Allah tak terima taubat baginda dan Hawa. Berbagai cara telah digunakan.
oleh mereka berdua tetapi Allah tidak memakbulkan taubat mereka. Sehinggalah Allah ajar sendiri kalimat taubat itu sendiri. Kalimat taubat itu ada dalam surah lain iaitu dalam
A’raf:23.
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
Kalau tak belajar keseluruhan Qur’an, boleh jadi kita ada sangkaan lain kepada apakah maksud ‘kalimat’ itu.
2. Tafsir Quran dengan Sunnah. Pertamanya, kita kena sedar bahawa ‘Hadis’ dan ‘sunnah’ tidak sama. Sebab hadis ada banyak jenis – ada yang sahih, yang dhaif dan yang
palsu pun ada. Kalau dikatakan sesuatu itu ‘sunnah’, semestinya hadis yang sahih. Hadis yang mansukh tidak dikira sunnah kerana tidak diamalkan lagi. Sebagai contoh, ada hadis yang Nabi pernah bersabda yang makan makanan yang dimasak dengan api akan membatalkan wuduk. Memang ianya ada dalam hadis yang sahih, tetapi itu adalah hukum semasa awal Islam dan hukum itu tidak dipakai lagi kerana ada hadis lain yang menunjukkan amalan Nabi tidak begitu.Kita memahami maksud sesuatu ayat itu mengikut apakah yang dijelaskan oleh Nabi. Ini
adalah kerana ianya tugas Nabi untuk menjelaskan mana-mana ayat yang tak jelas. Kalau baginda tidak jelaskan, tentu kita tidak akan dapat tahu. Bagaimana cara Nabi jelaskan? Baginda jelaskan dalam bentuk amalan. Dengan cara itu, kita dapat tahu bagaimanakah
cara untuk mengamalkan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, ayat Quran banyak menyuruh kita mengerjakan solat. Tapi kalau Nabi tidak ajar kita bagaimana mengerjakan solat, kita tidak akan tahu bagaimana caranya mengamalkan sesuatu yang Allah suruh kita lakukan dalam Qur’an.
3. Tafsir dengan perkataan sahabat. Kata-kata para sahabat boleh dipercayai sebab mereka belajar sendiri dengan Nabi. Dan mereka jujur dalam tafsir dan tidak dipertikaikan. Imam Hakim kata tafsir dengan sahabat Nabi itu adalah sesuatu yang kukuh dan teguh dan diterima pakai sebagai hujah oleh Bukhari dan muslim.
4. Tafsir dengan kata-kata tabein. Kerana mereka adalah anak murid kepada sahabat Nabi. Tapi tafsir dengan kata-kata tabein ini ada syarat. Bukan semua kata-kata tabein boleh dijadikan hujah dalam tafsir. Kalau mereka semua sepakat atas tafsir mana-mana ayat, maka itu adalah hujah. Tapi kalau mereka berselisih pendapat, tidak lagi boleh dipakai hujah itu untuk menghujah kata-kata tabein yang lain yang tidak sama. Dan tak boleh digunakan untuk lawan dengan hujah orang selepasnya pula (yang bukan tabein). Kalau jadi begitu, kena cari dalil sokongan untuk menguatkan hujah mereka. Antaranya, kena tengok pada lughah Qur’an dan lughah hadis. Iaitu melihat kebiasaan maksud yang digunakan dalam Qur’an dan hadis. Kalau tidak ada, maka kena pakai keumuman bahasa
Arab yang biasa digunakan dan difahami. Kena buka kamus bahasa Arab. Ataupun melihat kepada pendapat sahabat yang mirip kepada pendapat tabein itu.
Walaupun begitu, sikit sangat yang ada perselisihan antara tabein. Maka, kalau tafsir menggunakan pendapat ulama sahaja, ianya adalah lemah. Kisah Israiliyat pun tidak boleh
digunakan dan tidak perlu digunakan sebagai hujah dalam tafsir. Buat punah sahaja. Tafsir Israiliyat ini diambil dari kitab atau pendapat ulama Yahudi. Ini Tidak perlu dan tidak sangkut paut dengan kita. Malangnya, banyak sekali digunakan atau dimasukkan dalam kitab tafsir termasuk dalam Tafsir Jalalain sekalipun. Tapi hanya kita ketahui perkata ini kalau kita belajar. Takut kita hanya terima sahaja tanpa usul periksa.
Itulah empat jenis tafsir yang digunakan untuk kita memahami maksud Qur’an.
Oleh itu, kalau selain dari yang empat derajat tafsir ini, ia dipanggil ‘takwil’, bukan tafsir. Apakah Maksud Takwil?:
Takwil bermaksud huraian makna kedua. Ianya bukan datang dari Nabi, sahabat atau tabein. Ianya memalingkan makna dari lafaz asal kepada makna baru. Dari makna yang zahir kepada makna lain tapi bersesuaian dengan lafaz itu. Bersesuaian juga dengan ayat sebelum dan ayat selepasnya. Juga tidak bercanggah dengan ayat lain dan sunnah. Untuk mendapat kemahiran ini, bukannya mudah, kerana ianya berhajat kepada 15 ilmu alat. Kerana ianya adalah perkara yang amat rumit. Maka kita kena terima pendapat ulama tafsir yang dikenali. Kita tak layak nak takwil ayat Qur’an. Kena cari takwil yang muktabar.
Takwil begini tidak ditegah untuk para ulama, bukan untuk kita. Kerana mereka ada ilmu untuk mentafsir Qur’an.
Sebagai contoh, Ayat Maidah:6, ada dikatakan yang wuduk akan terbakal kalau ‘sentuh’.
وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُۚ
dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.
Makna asal perkataan لَٰمَسْتُمُ adalah ‘sentuh’. Abdullah Abbas kata maknanya bukanlah sentuh yang biasa tapi ‘bersetubuh’ – bersentuh-sentuhan. Pertukaran makna itu adalah takwil. Ibn Mas’ud pula kata memang ianya bermaksud ‘sentuh’ sahaja. Beliau juga sahabat. Oleh itu, dua-dua boleh pakai. Imam Syafie dalam qaul qadimnya, kalau sentuh bersyahwat maka akan batal wuduk. Jadi kalau sentuh tiada syahwat, tidaklah batal. Inilah
yang dipakai kalau pergi umrah haji. Supaya memudahkan mereka yang sedang dalam keadaan orang ramai itu supaya tidaklah selalu terbatal wuduk dan susah payah pula untuk ambil wuduk.Ilmu yang perlu ada untuk boleh tafsir sendiri ayat Qur’an dan boleh takwil ayat Qur’an:
1. Lughah – seseorang yang boleh takwil itu kenalah mahir bahasa Arab. Tahu bahasa Arab
dengan sempurna. Dah tahap hafal kamus dah.
2. Kaedah bahasa Arab. Tahu nahu bahasa Arab dengan mahir.
3. Tasrif – perubahan kalimah. Dalam bahasa Inggeris dipanggil tense.
4. Kajian asal kalimah. Tahu katadasar asal sesuatu ayat dalam Quran itu.
5. Ilmu Maani – satu-satu perkataan ada banyak makna, jadi ulama takwil kena mahir ilmu
ini.
6. Ilmu Bayan – Dan ada kalanya, banyak perkataan, tapi satu makna sahaja.
7. Ilmu badi’ – indah makna dari sebutan. Macam ada surah yang berakhir dengan ‘ya’
sahaja. Ini selalu digunakan dalam Qur’an.
8. Qiraat. Cara baca Qur’an yang berbeza-beza
9. Usuluddin – ilmu tentang akidah.
10. Usul Fiqh – kaedah mengeluarkan hukum fekah. Dari sinilah timbul beza mazhab.
Kerana usul feqah yang berbeza. Kalau tak boleh buat usul sendiri, kena ikut mazhab.
Macam di Malaysia senangnya pakai mazhab Syafie.
11. Asbabun Nuzul. Tahu sebab turun sesuatu ayat. Kita akan jelas tentang sesuatu ayat itu
kalau kita tahu apakah peristiwa turunnya ayat itu. Bukan semua memberi kesan kepada tafsir, sedikit sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan