Halaman

Ahad, Mac 27, 2022

Kecacatan('Ilal)hadis sesi 027(0064-0075)p10s

Kecacatan('Ilal)hadis sesi 027(0064-0075)p10s

Perkara Ke-Sepuluh:           
                    
Perawi-Perawi Tsiqaat Yang Tinggi Kedudukannya Dan Perbezaan Darjat di antara Mereka.

Mula-mula sekali Imam Tirmidzi membicarakan tentang perawi-perawi dha'if. Kemudian tentang perawi-perawi yang dipertikaikan dan sekarang pula tentang perawi-perawi tsiqaat yang tinggi kedudukannya, perawi-perawi yang betul-betul ingat hadits-hadits dan masak dengannya.

Perawi-perawi hebat itu pun tidak sama darjatnya, ada tinggi rendahnya. Mereka semuanya hebat, tetapi sebahagiannya ada yang lebih hebat daripada yang Iain-lain. Penentu kepada perbedaan kedudukan dan darjat mereka adalah dua perkara berikut:

(1) Ingatan dan keteguhan ilmu (الفظ والإتقان), iaitu ingat hadits-hadits yang didengar dan diterima daripada guru serta menyimpannya dengan baik dan kemas. 
(2) Cermat dan teliti (التثبت) ketika mendengar hadits dan menyampaikan hadits. Semakin baik keadaan perawi dalam dua perkara tersebut, semakin tinggilah pula kedudukan dan darjatnya.
Tetapi itu bukanlah bererti perawi-perawi yang tinggi kedudukannya itu tidak pernah tersalah dan tidak mungkin tersalah. Tidak ada siapa pun yang terpelihara daripada tersalah dan terlupa. Biar bagaimana cermat sekalipun tokoh-tokoh hadits itu dan biar bagaimana kuat sekalipun ingatan mereka, namun mereka juga manusia. Sebagai manusia mereka tidak terlepas daripada tersalah dan tersilap. Mereka juga boleh terlupa. 
Kata Ibnu Ma'in, "Aku tidak hairan kenapa seseorang muhaddits tersalah meriwayatkan hadits. Yang aku hairan ialah bagaimana orang yang meriwayatkan hadits itu meriwayatkannya dengan tepat dan betul." Kata Ibnu al-Mubarak, "Siapa terpelihara daripada waham?" Saiyyidina 'Aaishah telah mengaitkan beberapa orang sahabat dengan waham dalam periwayatan mereka. Ada 'ulama' yang bahkan telah menulis secara khusus berkenaan dengan kritikan Saiyyidatna 'Aaishah terhadap beberapa orang sahabat.
Oleh kerana itu tidak dapat tidak, mestilah diterima ada berlaku sedikit kesilapan dan kesalahan dalam riwayat sesetengah perawi yang hebat dan cermat bagaimana sekalipun. Kesilapan kecil yang berlaku kepada mereka seharusnya dima'atkan,  memandangkan begitu banyak riwayat mereka yang tidak salah.

Imam Tirmidzi mengemukakan 16 contoh perawi hebat seperti itu. Kata beliau:
قال أبو عيسى......حفظهم
Bermaksud: Kata Abu 'Isa, "Ahli Ilmu (perawi-perawi hadits) hanya berbeza (kedudukan mereka) dengan sebab ingatan, itqaan dan tatsabbut ketika mendengar

حدثنا.....حرفا
Bermaksud: Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada 'Umaarah bin al-Qa'qaa', katanya: "Ibrahim an-Nakha'i pernah berkata kepadaku, "Kalau engkau hendak meriwayatkan hadits kepadaku, maka riwayatkanlah kepadaku hadits daripada [1]Abi Zuìah bin 'Amar bin Jarir.¹¹¹ Kerana dia pernah meriwayatkan kepadaku satu hadits. Beberapa tahun kemudian, aku bertanya dia tentang hadits itu, dia tidak  mengurangkan satu haraf pun daripadanya.¹¹²
حدثنا....يكتب
Manshur, katanya: "Aku bertanya Ibrahim, "Kenapa [2] Salim bin Abi al-Ja'ad¹¹³ lebih sempurna haditsnya daripada haditsmu?" Jawab beliau, "Kerana dia menulis.¹¹⁴

حدثنا.....حرف
Bermaksud: Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Sufyan, katanya: Kata [3] 'Abdul Malik bin 'Umair:¹¹⁵  Sesungguhnya aku meriwayatkan hadits dengan tidak meninggalkan satu harafpun daripadanya.¹¹⁶
 
 حدثنا......قلبى
Bermaksud: Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ma'mar, kata[4] Qataadah:¹¹⁷  Tidak ada sama sekali apa yang didengar oleh kedua telingaku, melainkan ia diingat oleh hatiku."

حدثنا ....... الزهرى
Bermaksud: Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada 'Amar bin Dinar, kata beliau: "Tidak pernah ku lihat siapa pun yang lebih hebat daripada [5] az-Zuhri dalam mengemukakan hadits marfu'
حدثنا.....كثير
Bermaksud: Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ayyub asSakhtiani, katanya: "Aku tidak tahu ada orang lain yang lebih alim daripada [6] Yahya bin Abi Katsir¹¹⁹ tentang hadits orang-orang Madinah selepas az-Zuhri
حدثنا محمد....سيرين
Bermaksud: Imam Timidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Hammaad bin Zaid, kata beliau: "Ibnu 'Aun selalu meriwayatkan hadits (daripada Muhammad bin Sirin). Bila saya meriwayatkan kepadanya hadits Ibnu Sirin daripada [7] Ayyub as-Sakhtiyani¹²⁰ yang berbeza daripada apa yang diriwayatkannya,  beliau akan meninggalkan hadits yang didengarnya sendiri daripada Ibnu Sirin. Maka aku berkata kepadanya: "Bukankah engkau sendiri meriwayatkan hadits ini daripada Ibnu Sirin?''¹²¹ Maka jawab Ibnu 'Aun: "Ayyub lebih mengetahui tentang hadits-hadits Ibnu Sirin daripada kami ¹²²
حدثنا......الناس
Bermaksud: (Kata Imam Tirmidzi) Abu Bakar meriwayatkan kepada kami daripada 'Ali bin 'Abdillah, katanya: Aku bertanya Yahya bin Salid, "Siapakah yang lebih mantap, Hisyam ad-Dastawa'i atau Mis'ar?" Jawab Yahya, "Tidak pernah aku melihat orang seperti [8] Mis'ar.¹²³ Mis'ar adalah orang yang paling mantap (dalam menerima dan meriwayatkan hadits)."
١-
٢-
٣-
٤-
٥-
٦-
Bermaksud: 
1- Imam Aku mendengar Tirmidzi dengan sanadnya daripada Abu al- Walid' katanya: Aku mendengar Hammaad  bin Zaid meriwayatkan "Tidak daripada [9] Syu'bah¹²⁴Abu al-
menyalahiku Pada sesuatu hadits, melainkan aku meninggalkan hadits itu.¹²⁵

2- Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abu al-Walid Iagi, katanya: Hammaad bin Salamah pernah berkata kepadaku, "Jika engkau mahukan hadits (yang kemas), maka pastikan engkau menerimanya daripada Syu'bah."

3- (Kata Tirmidzi) 'Abd bin Humaid meriwayatkan kepada kami, katanya: Abu Daud meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu'bah berkata, "Tidak ada orang yang aku riwayatkan daripadanya satu hadits melainkan aku pergi kepadanya lebih dari satu kali. Orang yang aku riwayatkan daripadanya sepuluh hadits, aku pergi kepadanya lebih dari sepuluh kali. Orang yang aku riwayatkan daripadanya lima puluh hadits, aku pergi kepadanya lebih dari lima puluh kali. Dan orang yang aku riwayatkan daripadanya seratus hadits, aku pergi kepadanya lebih dari seratus kali, kecuali Hayyaan (bin Iyaas) al-Baariqi (al-Kufi), kerana aku mendengar hadits-hadits ini daripadanya, kemudian aku pergi kepadanya, tetapi aku dapati dia telah meninggal."

4- Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Ibnu Mahdi, katanya: Aku mendengar Sufyan berkata, "Syu'bah Amirul Mu'minin dalam bidang hadits."

5- Imam Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Yahya bin Sa' id, katanya: "Tidak ada siapa pun lebih aku suka daripada Syu'bah. Bagiku, tidak ada siapa pun menyamainya. Tetapi kalau Sufyan menyalahinya, aku akan berpegang dengan riwayat Sufyan.

6- (Kata Tirmidzi) 'Ali (bin al-Madini) berkata, "Pernah aku bertanya Yahya,"Siapakah yang lebih ingat hadits-hadits panjang, sufyan atau Syu'bah?" Jawab Yahya, "Syu'bah lebih lancar (dan lebih ingat apabila meriwayatkan hadits-hadits
yang panjang)." Yahya juga berkata, "Syu'bah paling alim tentang rijal "fulan daripada fulan", Sufyan pula ahli dalam bidang fiqh (dan masalah-masalah agama).¹²⁷
حدثنا....زيد
Bermaksud: (Kata Tirmidzi) 'Amar bin 'Ali meriwayatkan kepada kami, katanya: Aku mendengar 'Abdur Rahman bin Mahdi berkata, "Imam-imam dalam hadits ada empat orang. Sufyan  ats-Tsauri, Malik bin Anas, [10] al-Auzaa'i¹²⁸ dan [11]
Hammaad bin Zaid.¹²⁹
حدثنا.....حدثنى
Bermaksud: Tirmizi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Wakii', katanya: KataSyu'bah, [12] "Sufyan (ats-Tsauri)¹³⁰ lebih hafal daripadaku. Tidak ada Sufyan
meriwayatkan kepadaku apa pun daripada seseorang syeikh, lalu aku bertanya syeikh melainkan aku dapati ia sebagaimana yang diriwayatkan Oleh Sufyan kepadaku."

سمعت.....الحديث
Bermaksud: (Kata Tirmizi) Aku mendengar Ishaq bin Musa al-Anshaari berkata, aku mendengar Ma'an bin ' Isa al-Qazzaaz berkata, [13] "Malik bin Anas¹³¹ bersikap keras berhubung dengan hadits Rasulullah s.a.w. Berhubung dengan dan seumpamanya pun beliau keras.¹³²
(Kata Tirmizi) Ibrahim bin 'Abdillah bin Quraim al-Anshaari, qadhi' Madinah, meriwayatkan kepadaku, katanya: "Pernah Malik bin Anas lalu di hadapan Abi Haazim (Salamah bin Dinar al-Madani) ketika Abu Haazim sedang (menyampaikan hadits sambil) duduk, tetapi Malik terus beredar dari situ. Beliau (Malik) ditanya orang, "Kenapa engkau tidak duduk (mendengar hadits-hadits yang
disampaikannya)?" Jawabnya, "Aku tidak mendapati tempat untuk duduk dan aku tidak suka menerima hadits Rasulullah s.a.w. dalam keadaan berdiri."
Tirmidzi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Yahya bin Saqid al-Qatthaan, kata beliau, "(Riwayat) Malik daripada Saiid bin Musaiyyab lebih aku sukai daripada (riwayat) Sufran daripada Ibrahim an-Nakha'i." Kata Yahya (lagi), "Tidak ada siapa pun di kalangan muhadditsin, orang yang lebih sahih haditsnya daripada Malik bin Anas. Malik adalah seorang imam dalam bidang hadits.
سمعت....القطان
Bermaksud: Imam Tirmidzi berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hasan berkata: Aku mendengar Ahmad bin Hambal berkata: "Tidak pernah mataku melihat orang seperti [14] Yahya bin Sa' id al-Qatthaan.¹³⁴
قال أحمد.....إمام
Bermaksud: Kata Ahmad bin Hasan, Ahmad bin Hambal pernah ditanya tentang Wakii' dan 'Abdur Rahman bin Mahdi, maka jawab Ahmad: [15] (Kedudukan) Wakii'¹³⁵ sangat besar di hatiku, dan [16] 'Abdur Rahman bin Mahdi adalah imam.
سمعت.....مهدى
Bermaksud: (Kata Tirmidzi) Aku mendengar Muhammad bin 'Amar bin Nabhaan bin Shafwaan ats-Tsaqafi al-Bashri berkata, aku mendengar 'Ali bin al-Madini berkata: ''Kalau aku hendak bersumpah di antara rukun (Hajarul aswad) dan Maqam (Ibrahim), niscaya dapat bersumpah bahawasanya aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih alim daripada 'Abdur Rahman bin Mahdi.
قال أبو عيسى.....فيه
Bermaksud: Kata Abu 'Isa at-Timidzi, "(Kesimpulannya), Perbincangan berhubung dengan darjat dan kedudukan Ahli Ilmu Hadits dan riwayat mengenainya ada banyak. Kami hanya menerangkan sedikit sahaja daripadanya secara ringkas untuk dijadikan dalil bagi adanya perbezaan kedudukan dan kelebihan di kalangan Ahli Ilmu Hadits dalam hafalan dan keteguhan ilmunya. Ahli ilmu yang memperkatakan tentangnya pula diketahui kenapa dia memperkatakannya.¹³⁶

____________
¹¹⁰ Mana-mana daripada mereka yang lebih kuat ingatan, lebih kemas catitan dan lebih teliti  dalam periwayatan, ia dianggap lebih baik daripada yang kurang daripadanya.

¹¹¹ Abi Zur'ah bin 'Amar bin Jarir bin 'Abdillah al-Bajali al-Kufi. Beliau adalah perawi tsiqah dari kalangan Tabi'in yang terpilih. Datuknya Jarir bin 'Abdillah al-Bajali adalah sahabat Nabim s.a.w. Selain meriwayatkan hadits daripada datuknya, Abu Zur'ah juga meriwayatkan hadits daripada Abu Hurairah r.a.  Riwayat beliau terdapat di dalam ke-enam-enam kitab utama hadits. Abu Zur'ah ar-Razi adalah seorang muhaddits yang muncul lama selepas Abu Zur'ah bin 'Amar ini. Abu Zur'ah ar-Razi seorang muhaddits yang sezaman dengan Imam Bukhari dan Muslim. Riwayatnya banyak terdapat di dalam Sunan Tirmidzi. 


¹¹²  [1] Abu Zuriah bin 'Amar bin Jarir. Ini adalah contoh pertama tokoh hadits yang dikemukakan Imam Tirmidzi.

¹¹³  [2] Salim bin Abi al-Ja'ad al-Ghathafaani al-Asyja'i. Beliau tinggal di Kufah. Salah seorang perawi tsiqah yang terpilih. Tokoh-tokoh hadits meriwayatkan hadits daripadanya. Beliau meninggal dunia pada tahun ke-97 Hijrah. Ini adalah contoh ke-dua tokoh hadits yang dikemukakan Imam Tirmidzi.

¹¹⁴ Oleh kerana dia mencatat hadits-hadits dengan baik di samping menghafalnya, dan meriwayatkan hadits berpandukan catatannya itu, maka tidak berlaku kesilapan pada riwayatnya. Adapun aku, maka aku semata-mata bergantung kepada ingatanku dan meriwayatkan hadits berdasarkan ma'nanya. Kerana itulah berlaku sedikit sebanyak perbezaan pada riwayatku. Jawapan Ibrahim an-Nakha'i ini menunjukkan riwayat berdasarkan lafaz asal hadits itu lebih utama.

¹¹⁵   [3] 'Abdul Malik bin 'Umair adalah contoh ke-tiga tokoh hadits yang dikemukakan oleh Imam Tirmidzi. Beliau seorang perawi tsiqah dan fasih. Ramai sekali muhadditsin meriwayatkan hadits daripadanya. Setelah tua ingatannya banyak terjejas. Beliau dikatakan telah meninggal dunia ketika berumur 130 tahun.

¹¹⁶ Maksudnya ialah beliau ingat betul hadits-hadits yang diriwayatkannya dan meriwayatkannya dengan lafaz asal yang diterimanya daripada guru.

¹¹⁷[4] Qataadah bin Di'aamah adalah contoh ke-empat tokoh hadits yang dikemukakan oleh Imam Timidzi. Kuniahnya adalah Abul Khatthaab. Beliau dari qabilah Sadus dan tinggal di Bashrah. Qataadah buta semenjak lahir, tetapi beliau dikurniakan ingatan dan kepintaran yang luar biasa. Sa'id bin al-Musaiyyab pernah berkata, "Tidak ada seorang pun murid daripada 'Iraq yang datang kepadaku lebih banyak ingat hadits daripada Qataadah." Qataadah bersama Sa'id selama lapan hari sahaja. Setelah tiga hari Sa'id berkata kepadanya, '*Cukuplah, pergilah kamu. Kamu telah betul-betul memerah apa yang ada padaku." Mathar al-Warraaq berkata: "Qataadah menghafal hadits yang didengarnya dengan bersungguh-sungguh. Beliau apabila mendengar hadits akan resah gelisah selagi tidak ingat hadits yang didengarnya." Pernah dalam satu majlis penyampaian hadits, Qataadah berkata: "Aku tidak pernah terlupa apa-apa." Kemudian setelah selesai majlis itu, Qataadah berkata kepada khadamnya:
"Bawakan kepadaku seliparku." Maka si khadam berkata, "Bukankah tuan telah memakai selipar tuan?" Begitulah manusia, biar bagaimana kuat sekalipun ingatannya, ia tetap terlupa juga. Qataadah terlupa yang dia telah pun memakai selipar!¹¹⁸ [5] Az-Zuhri adalah contoh ke-lima tokoh hadits yang dikemukakan oleh Imam Tirmidzi. Nama sebenar az-Zuhri dan susur galur beliau adalah seperti berikut: Muhammad bin Muslim bin 'Ubaidillah bin 'Abdillah bin Syihaab. Beliau dikenali sebagai az-Zuhri kerana mempunyai pertalian dengan Bani Zuhrah yang merupakan salah satu cabang kaum Quraisy. Az-Zuhri dikenali dengan dua kuniah (nama panggilan), Ibnu Syihaab dan Abu Bakar. Beliau adalah salah seorang hafiz hadits dan imam mujtahid. Kehebatannya dalam bidang hadits diakui semua pihak. Meninggal dunia pada tahun 125 Hijrah. Oleh kerana az-Zuhri agak mesra dengan para khulafa' di zamannya, sesetengah orang menuduh beliau sebagai 'ulama' dunia atau 'ulama' pengampu dan upahan. Sedangkan gurunya 'Amar bin Dinar berkata, "Zuhri adalah seorang yang paling tidak mempedulikan wang ringgit. Dinar dan dirham pada pandangannya tidak lebih daripada tahi kambing saja." Bolehkah orang alim seperti ini dikatakan 'ulama' dunia atau 'ulama' upahan?
Perkataan    أَنَصَّ  yang disebut oleh 'Amar bin Dinar adalah isim tafdhil daripada  نَصَّ.  Ayat     نَصَّ الحَدِيْثِ  bererti memarfu'kan hadits iaitu mengemukakan hadits dengan sanad sampai kepada Nabi s.a.w. Az-Zuhri ingat sanad-sanad hadits marfu' dengan baik. 'Setiap hari sebelum tidur beliau akan mengulangi membaca hadits-hadits riwayatnya lengkap dengan sanad berdasarkan ingatannya. Riwayat-riwayat mursal beliau bagaimanapun dianggap dha'if.

¹¹⁶[6] Yahya bin Abi Katsir at-Tha'i adalah contoh ke-enam tokoh hadits yang oleh Imam Tirmidzi. Beliau meninggal dunia pada tahun 129 Hijrah. Kata Syu'bah, "Yahya lebih banyak ingat hadits daripada az-Zuhri." Yahya bin sa'id al-Qatthaan bagaimanapUn menganggap hadits.hadits mursalnya sebagai dha'if. Beliau mengatakan, ia seperti angin(tidak boleh dipegang). Imam Ahmad Juga tidak suka dengan hadits-hadits mursalnya, kerana beliau meriwayatkan daripada perawi-perawi dha'if.

¹²⁰[7] Ayyub as-Sakhtiyani adalah contoh ke-tujuh tokoh hadits yang dikemukakan oleh Imam Tirmidzi. Beliau ialah Ayyub bin Abi Tamimah al-Bashri as-Sakhtiyani. Nama sebenar ayahnya ialah Kaisaan. Sakhtiyan ialah kulit binatang yang kecil seperti amab dan Iain-Iain. Mungkin beliau dari keluarga yang kerjanya berniaga kulit binatang yang kecil, sehingga beliau dikaitkan (dinisbahkan) dengannya dan dikatakan as-Sakhtiyani. Sakhtiyan bukan bahasa 'Arab, entah dari bahasa apa asalnya! Beliau adalah salah seorang tokoh  ulama' dan hafiz hadits yang hebat. Syu'bah berkata, "Ayyub as-Sakhtiyani meriwayatkan kepada kami, beliau adalah penghulu fuqaha'." Abu Khusyainah berkata, "Aku bertanya Muhammad bin Sirih, siapakah yang meriwayatkan hadits sekian-sekian kepadamu?" Jawab beliau, "Orang yang sangat kuat, sangat kuat meriwayatkannya kepadaku, iaitu Ayyub." Hisyam bin  'Urwah dinukilkan berkata, "Tidak pernah datang kepada kami orang Iraq yang lebih mulia daripada Ayyub dan Mis'ar bin Kidaam." Ibnu Abi Mulaikah berkata, "Ayyub, tidak ada di sebelah timur orang sepertinya." Kata Ibnu Ma'in, "Ayyub tsiqah, dia lebih mantap daripada Ibnu 'Aun. Apabila Ayyub dan Ibnu 'Aun berbeda pendapat tentang hadits, maka Ayyub lebih teguh dan mantap daripada Ibnu 'Aun." Imam Malik adalah salah seorang tokoh hadits yang meriwayatkan hadits daripada Ayyub, kata beliau tentang Ayyub. Tidak aku riwayatkan hadits kepadamu daripada sesiapa pun melainkan Ayyub lebih utama Syu'bah juga dinukilkan ada berkata begitu tentang Ayyub. Ibnu al-Mubarak berkata, "Tidak pernah aku melihat orang yang lebih mulia daripada Ayyub." Ayyub tidak menulis hadits yang diterimanya. beliau sebaliknya menghafalnya. Beliau meninggal dunia pada tahun  171 Hijrah.

¹²¹Jadi kenapa engkau meninggalkan apa yang diterima olehmu secara langsung daripada Muhammad bin Sirin?
Maksud beliau ialah di kalangan murid-murid Ibnu Sirin. Ayyublah yang paling hebat dalam mengingati hadits-haditsnya.

¹²³ Mis'ar bin Kidaam al-HilaIi ar-Ruasi al-Kufi. Sufran bin  Uyainah berkata, "Mis'ar adalah lombong kebenaran." Apabila berlaku perselisihan diantara Syu'bah dan ats-Tsauri, Sufyan bin 'Uyainah akan berkata, "Mari kita pergi kepada batu uji" Maksud beliau ialah mari kita pergi kepada Mis'ar. Kata Syu'bah, "Kami selalu menyebut Mis'ar sebagai mushaf." Kerana,Mis'ar ingat hadits-hadits seperti ingat al-Qur'an. Mis-ar adalah seorang yang mempunyai sifat seorang yang redha dan berpuas hati dengan apa yang dikurniakan oleh Allah, meskipun sedikit. Beliau tidak suka dikenali dan sangat mengelak diri daripada jadi masyhur. Mis'ar adalah salah seorang imam dan tokoh hadits, Beliau meninggal dunia pada tahun 153 Hijrah.

 ¹²⁴   Abu Bisthaam Syu'bah bin al-Hajaaj al-'Ataki al-Azdi al-Wasithi al-Bashri. Syu'bah adalah imam dalam bidang ilmu hadits. Beliau terbilang sebagai salah seorang tokoh Ilmu Jarh dan Ta'dil. Syu'bah merupakan pelopor dalam memperluaskan perbincangan tentang Jarh dan Ta'dil serta kaedah-kaedah sanad yang bersambung-sambung (متصل) dan sanad yang terputus (منقطع). Beliau sangat arif tentang 'ilal hadits. Muhadditsin yang datang selepasnya mengikuti jejaknya dalam Jaril dan Ta'dil dan lain-lain. Shaleh bin Muhammad berkata, "Syu'bahlah orang yang mula-mula sekali membincangkan tentang perawi-perawi hadits.

Beliau diikuti Yahya bin sasid al-Qatthaan. Yahya pula diikuti oleh Ibnu Ma'in dan Imam Ahmad menganggap syu'bah seperti sekumpulan pakar-pakar hadits. Syuibah meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah.


¹²⁵  Sebabnya ialah Syu'bah lebih ingat hadits-hadits daripada Hammaad. Hammaad sedar ingatan syu'bah lebih patut dipercayai daripada ingatannya sendiri.
Kerana bagi Yahya bin id al-Qatthaan, Sufyan lebih kuat dan teguh daripada Syu'bah.

¹²⁶ Kerana bagi Yahya bin Sa'id al Qatthaan, Sufyan lebih kuat dan teguh daripada Syu'bah


¹²⁷  Kerana Sufyan mujtahid dalam bidang fiqh, sedangkan Syu'bah pula bukan mujtahid dalam bidang itu.


¹²⁸  'Abdur Rahman bin 'Amar. Al-Auzaa'i adalah nisbah bagi keturunannya. Negeri tempat tinggalnya ialah Syam. 'Abdur Rahman bin 'Amar al-Auzaa'i terbilang salah seorang tokoh muhadditsin dan imam mujtahidin. Imam Malik berkata, "Al-Auzaa'i adalah seorang yang layak dijadikan ikutan." Imam Malik lebih mengutamakannya daripada Sufyan ats-Tsauri. Kata Ibnu Ma' in, "Al-Auzaa'i adalah perawi yang lebih teguh daripada Ibnu 'Uyainah." Ibnu Mahdi pula berkata, "Di Syam tidak ada orang yang lebih hebat daripada al-Auzaa'i dalam pengetahuan tentang Sunnah."

¹²⁹   Abu Ismail Hammaad bin Zaid adalah penduduk Bashrah. Imam Ahmad mengiranya sebagai salah seorang imam umat Islam. Beliau seorang yang buta, tetapi ingat dengan baik semua hadits yang diriwayatkannya.
Beliau ialah Sufyan bin Sa'id ats-Tsauri. Seorang muhaddits dan imam mujtahid di Kufah. Syu'bah lain-lain imam hadits menganggap beliau sebagai Amirul Mu'minin di bidang hadits. Sufyan ats-Tsauri hidup semian dengan Imam Abu Hanifah. Sembilan puluh peratus pendapatnya dalam bidang fiqh sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah.

¹³⁰ Beliau ialah [12] Sufyan bin Sa'id ats-Tsauri. Seorang muhaddits dan imam mujtahid di Kufah. Syu'bah lain-lain imam hadits menganggap beliau sebagai Amirul Mu'minin di bidang hadits. Sufyan ats-Tsauri hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah. Sembilan puluh peratus pendapatnya dalam bidang fiqh sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah.


¹³¹ Beliau terkenal sebagai salah seorang imam empat mazhab. Gelaran yang diberikan kepada Malik bin Anas ialah Imam Daril Hijrah, sebagai orang yang paling alim di Madinah. Malik bin Anas adalah seorang mujtahid besar dan seorang muhaddits yang kukuh. Beliau meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah.

¹³²  Maksudnya ialah beliau tidak boleh bertolak ansur dengan kesilapan-kesilapan Yang berlaku pada periwayatan hadits. Kesilapan pada huruf-hurufpun tidak dapat diterima beliau.


¹³³ Kerana ia kelihatan tidak sopan, dan kerana dalam keadaan berdiri seseorang tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada hadits yang disampaikan. Imam Malik sangat menghormati dan memuliakan hadits-hadits Nabi s.a.w. Beliau bukan sahaja bersopan ketika menerima hadits. Ketika menyampaikan hadits-hadits juga beliau menjaga kesopanan. Pernah semasa menyampaikan hadits Imam Malik disengat sebanyak enam belas kali oleh jengking. Walaupun warna wajah beliau berubah-ubah, namun beliau tidak bergerak dan berganjak dari tempatnya. Setelah selesai penyampain hadits, barulah beliau berkata, "Aku tidak bergerak dan berganjak semata-mata kerana menghormati hadits-hadits Nabi s.a.w." Pendek kata, Imam Malik memang terkenal dengan kesopanan dan adabnya ketika menerima dan menyampaikan hadits.

¹³⁴ Dikatakan al-Qatthaan kepada orang yang menjual atau berniaga kapas. Itulah pekerjaan Yahya dan pekerjaan bapanya Sa' id. Yahya bin Sa'id terkenal sebagai Imam Jarh dan Ta'dil. Beliau dianggap sebagai khalifah Syu'bah dalam bidang ini. Imam Ahmad, 'Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma' in dan lain-lain mempelajari ilmu ini daripada beliau. Yahya bin Sasid al-Qatthaan meninggal dunia pada tahun 198 Hijrah.


¹³⁵ Beliau ialah Abu Sufyan Wakii' bin al-Jarraah al-Ruasi al-Kufi, Wakii' terkenal sebagai salah seorang tokoh muhaddits. Beliau meninggal dunia pada tahun 196 Hijrah.

¹³⁶Apakah semata-mata untuk mentadilkan seseorang perawi dan mentsiqahkannya atau lebih lagi dari itu, dia juga hendak menyatakan kelebihan dan keutamannya?





Tiada ulasan:

Catat Ulasan