Selasa, April 12, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0001-0009ss2

Sahih bukhari kitab ilmu 0001-0009ss2
 
¹ Kitāb Ilmu dengan Kitāb Iman sebelumnya mempunyai hubungan yang sangat rapat, kerana ilmu yang betul akan meneguhkan iman seseorang yang boleh bertambah dan 
berkurang itu.

Dengan ilmu juga seseorang mu’min dapat mengetahui apakah tuntutan iman yang sebenarnya, bagaimanakah cara pelaksanaannya dan dengannya juga dia akan dapat 
mengetahui perkara-perkara yang membahayakan imannya.

Ilmu yang ada pada seseorang yang tidak beriman juga tidak berguna, kerana ilmu yang tidak berasaskan iman hanyalah bersifat sementara dan tidak akan mencapai 
maksud sebenar ilmu itu dipelajari. Selain dari itu, ilmu tentang keimanan dan kepercayaan yang diperolehi dengan tidak berpandukan wahyu juga tidak boleh dipegang dan diyakini. 

Kerana itulah setelah Allah menyatakan tanda-tanda kewujudan dan kebesaranNya di dalam al-Qur’ān, disebutkan bahawa ia hanyalah tanda-tanda kebesaran, kewujudan, keagungan, kebesaran dan kekayaan Allah s.w.t. kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan. 

Lihat sebagai contohnya firman Allah berikut:Ar-Rum 30:22
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّلْعَٰلِمِينَ 
Bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (dan bukti-bukti) bagi orang-orang yang berilmu pengetahuan .

Sering kali juga ilmu pengetahun membawa seseorang yang tidak beriman kepada keimanan, tidak kerana lain melainkan kerana rapatnya hubungan ilmu pengetahun 
dan iman itu.

Imam Bukhāri juga menyesuaikan susunan Kitāb Ilmu ini dengan firman Allah s.w.t. di dalam bab pertama nanti yang menyebutkan bahawa Allah s.w.t. mengangkat darjat 
orang-orang yang beriman terlebih dahulu, kemudian barulah disebutkan orang-orang yang berilmu. 

Susunan sebegini juga mengisyaratkan bahawa antara ilmu yang ada di dunia ini, ilmu yang paling berfaedah ialah ilmu tentang Kitāb yang disebutkan olehnya sebelum ini, iaitu ilmu tentang keimanan dan `aqidah. Ilmu-ilmu itu juga menjadi keperluan dan kemestian setiap orang Islam, tidak seperti ilmu lain yang tidak salah jika tidak mengetahuinya . 

Ilmu yang berguna dalam konsep agama Islam ialah ilmu yang berkaitan dengan  Allah s.w.t. dan hari akhirat, bukan semata-mata ilmu yang berkait dengan kehidupan 
duniawi sahaja, kerana kehidupan seorang muslim tidak hanya terhenti di dunia ini.

Adapun Kitāb Wahyu yang disebut terlebih dahulu daripada Kitāb Iman, ia bukan menunjukkan iman itu kurang penting dan tidak sesuai dijadikan Kitāb pertama, tetapi 
kerana ilmu yang boleh diyakini dan boleh dijadikan pegangan dalam `aqidah , mestilah berpunca daripada wahyu dan bukan dicapai hanya dengan menggunakan `aqal manusia. 

Imam Bukhāri juga dengan itu mengisyaratkan bahawa ilmu tentang keimanan yang diyakini itu sumbernya adalah wahyu, bukan `aqal, bukan pengalaman, bukan uji kaji
(eksperimen), bukan ilmu yang diperolehi melalui pancaindera dan lain-lain yang semuanya boleh berlaku kesilapan. 

Beliau juga mengisyaratkan bahawa segala ilmu yang akan disebutkan di dalam kitāb-kitāb dan bab-bab seterusnya juga berpunca daripada wahyu, sama ada berupa al-
Qur’ān atau ĥadīts Nabi s.a.w.

² Di dalam Shaĥīĥ Bukhāri, kadang-kadang anda akan dapati Basmalah tidak terletak sebelum “Kitab”, tetapi selepasnya. Ia menunjukkan tempat Imam Bukhāri mula 
menulis kembali setelah beliau berhenti dari penulisan yang sebelumnya. 

Di dalam nuskhah Abi Dzar, Basmalah di sini tertulis sebelum Kitāb al-`Ilm, bukan selepasnya. Di dalam nuskhah al-Ashīli, Karimah dan lain-lain pula ia terletak selepas
Kitāb al-`Ilm. Demikian kata Hafizh Ibnu Hajar. 
Kedudukan Basmalah selepas Kitāb al-`Ilm sebenarnya lebih menyerupai susunan al-Qur’ān daripada segi nama surah yang tertulis terlebih dahulu, kemudian Basmalah
dan kemudian barulah isi surah.

³ Untuk menggalakkan pembaca supaya tertarik dan minat kepada ilmu, Imam Bukhāri membuat bab tentang kelebihan ilmu, kerana ilmu yang tidak diketahui 
kelebihannya akan terbiar, terabai dan tidak diberikan perhatian, manakala ilmu yang diketahui, dima`lumi ganjaran dan jaminannya akan diusaha dengan penuh
kesungguhan dan kesediaan untuk berkorban.

Ilmu-ilmu dunia yang balasannya hanya sekadar kehidupan dunia ini sahaja tidak disebutkan di dalam al-Qur’ān dan ĥadīts kerana kelebihannya bersifat sementara seperti dunia yang juga sementara. 

Mengetahui kelebihan ilmu Islam akan mengubah mentaliti seseorang, ia akan membuatkannya berterusan menimba ilmu, menyebarkannya dengan penuh kesungguhan, mempunyai kesanggupan untuk berkorban, sentiasa berfikir untuk masa depan agama, walaupun tanpa tawaran istimewa dan habuan dunia.

Mengikut syarat Imam Bukhāri dalam penyusunan kitabnya, beliau tidak akan mengulangi tajuk yang sama sepenuhnya dua kali atau lebih. Pada bab ke-22 akan datang, terdapat “Bab: Kelebihan Ilmu”, maka sesetengah `ulama’ cuba memberikan jawapan bahawa mengikut nuskhah Shaĥīĥ Bukhāri yang lain, rangkai kata “Kelebihan Ilmu” itu tidak ada pun di sini sebenarnya, bahkan ayat yang sebenarnya 
hanyalah “Bab: firman Allah…”. 

Ĥāfizh al-`Aini berpendapat perlu dita’wilkan perkataan
ilmu ( فضل العلم ) di sini dengan ma`na ‘orang yang 
berilmu’ (فضل العالم  ) iaitu perkataan mashdar dipakai dengan ma`na isim fā`il. Pendapat beliau itu bagaimanapun menimbulkan kemusykilan yang lain pula iaitu ada kemungkinan juga berlaku kesilapan yang berpunca daripada penyalin atau mungkin juga telah berlakunya tashĥīf di situ.

Dan kenapakah pula disebutkan firman Allah yang bermaksud: Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu, bukankah itu menunjukkan bahawa kelebihan yang 
dimaksudkan di sini adalah kelebihan ilmu, bukan orang yang berilmu? Beliau menyatakan lagi bahawa orang yang berilmu menjadi lebih kerana ilmunya, tetapi dakwaannya ini agak jauh. 

Maulana Maĥmūdul Ĥasan menta’wilkan perkataan فضل tersebut dengan mengatakan bahawa bab pertama ini bertujuan menyatakan kelebihan ilmu, adapun pada bab ke-22 akan datang, dinyatakan pula tentang lebihan-lebihan ilmu, dengan taqdir: باب ما  زاد من العلم atau باب فاضل العلم   ,
seperti ilmu-ilmu fardhu kifayah ilmu yang lebih daripada 
keperluan asas, tidak utama dan lain-lain.

Ilmu yang sebegitu pun masih ada kelebihannya, pahalanya, keistimewaannya dan tidak termasuk dalam perkara yang sia-sia jika dipelajari, sebagaimana yang disebut oleh Nabi s.a.w.: 
مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
Bermaksud: “Antara tanda keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak berguna dan tidak berfaedah kepadanya.” 

Bagaimanalah pula dengan ilmu yang memang utama dan berguna di dunia dan diakhirat.


⁴ Firman Allah ini jelas menunjukkan perkaitan yang sangat rapat di antara iman dan ilmu. Ia juga menunjukkan orang yang beriman dan berilmu memang mempunyai 
kelebihan. Allah menaikkan mereka ke darjat-darjat yang tinggi dan memuliakan mereka melebihi orang-orang lain. 
Tambahan perkataan ْمْنْكُم ِselepas الذين آمنوا  pada firman Allah ini menunjukkan orang-orang yang beriman diberikan kelebihan itu, dan secara tidak langsung ia menuntut 
dan mendorong semua manusia supaya beriman.

Ketiadaan perkataanمْنْكُم ِselepas  والذين أوتوا العلم   pula bererti tidak semestinya orang  tidak berilmu tidak 
mempunyai apa-apa kelebihan.

Seorang mu’min biasa jauh lebih baik di sisi Allah daripada seorang yang berilmu tetapi tidak beriman. Ini kerana seringkali terdapat orang yang tidak beriman 
mempelajari sesuatu ilmu yang tidak berguna langsung untuk kemanusiaan, malah sebaliknya membahayakan mereka. Untuk menggambarkan orang-orang seperti itulah 
Allah berfirman:وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْۚ
Bermaksud: … Dan mereka mempelajari sesuatu yang membahayakan dan tidak berguna kepada mereka (sendiri)... (al-Baqarah:102).

Perkataan دَرَجَاتِ disebutkan dalam bentuk nakirah dengan ma`na ta'zhim untuk mengagungkan, membesarkan dan memuliakan darjat tersebut sehingga tidak dapat 
dibandingkan dengan darjat dan kedudukan yang diberikan oleh manusia.

Selain itu ia juga menyatakan bahawa darjat tersebut bukan satu tetapi banyak.Nakirah itu juga digunakan untuk perkara yang tidak ma`lum atau tidak diketahui secara terperinci, kerana darjat yang diberikan oleh Allah tidak diketahui bentuk rupanya, seperti ganjaran pahala dan sebagainya.
Amalan kebaikan yang terhasil daripada ilmu yang dimiliki seseorang yang berilmu pula tidak dinyatakan perinciannya. Apa yang disebutkan hanyalah sebagai balasan 
yang istimewa.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah mempercayai dan meyakini bahawa darjat kelebihan beriman yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. itu tentulah istimewa dan tidak sama dengan darjat dunia, sesuai dengan firman Allah s.w.t.:
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍۗ
Bermaksud: (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah (pula) tetap kekal. (an-Naĥl:96).


Kelebihan orang yang beriman dan berilmu pula tentunya lebih istimewa daripada orang yang beriman semata-mata. Seperti mana kelebihan ilmu seseorang di dunia ini
menaikkan darjatnya sesuai dengan ilmunya di sisi manusia, begitulah juga kelebihan ilmu seorang mu’min akan menaikkan darjatnya sesuai dengan ilmunya di sisi Allah.

⁵ Bukan sahaja perkara zahir yang diketahuiNya, tetapi Allah juga mengetahui niat seseorang yang ada di dalam hatinya sesuai dengan perkataan خبير yang digunakan.  Dia mengetahui apakah yang kamu lakukan dengan ilmu yang ada padamu dan apa tujuanmu dengan ilmu itu. Nabi s.a.w. telah bersabda sebagai peringatan dan ancaman terhadap orang-orang yang tidak ikhlas dalam menuntut ilmu:
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا لِغَيْرِ اللَّهِ أَوْ أَرَادَ بِهِ غَيْرَ اللَّهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Bermaksud: “Sesiapa yang belajar sesuatu ilmu bukan kerana Allah ataupun dia menghendaki dengan ilmu itu sesuatu selain Allah, bererti dia telah menyediakan 
tempatnya di dalam neraka.” 
(Ĥadīts riwayat Tirmidzi, Nasā’i, Ibnu Abi Syaibah dan 
Ibnu Majah daripada Ibni `Umar).

 مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا
Bermaksud: Sesiapa mempelajari sesuatu ilmu yang seharusnya kerana Allah `azza wa jalla, tetapi ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat habuan dunia dengannya, maka ia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat (nanti). 
(Ĥadīts riwayat Aĥmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ĥākim daripada Abi Hurairah). 

Al-Mujadila 58:11
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ 
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majelis-majelis,” maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “Berdirilah kamu,” maka berdirilah, niscaya Allah akan mengangkat (derajat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa derajat. Dan Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan.

Firman Allah s.w.t. di dalam ayat ke-11 Surah al-Mujādilah ini, demikian juga sabda-sabda rasulullah yang dikemukakan di atas jelas menekankan tentang kepentingan niat terutamanya dalam pembelajaran dan pencarian ilmu, kerana Dia mengetahui seikhlas 
mana kamu dalam pencarian ilmu. Boleh jadi dengan niat keduniaan, ilmu yang dipelajari seseorang akan membawa kepada kerosakan dan kehancuran yang berakhir dengan dirinya dimasukkan ke dalam neraka seperti sabda Nabi s.a.w. tadi.

⁶ Allah s.w.t. mengajar kepada Nabi kita Muĥammad s.a.w. supaya meminta ditambahkan ilmu, tidak perkara lain. Ini bererti ilmu secara mutlaqnya merupakan suatu kelebihan, keutamaan dan keistimewaan, sehingga Nabi s.a.w. yang dikurniakan ilmu orang-orang terdahulu dan terkemudian pun diperintah supaya memintanya.

Firman Allah ini juga bererti ilmu perlu diminta, dicari dan ditambah walaupun telah lanjut usia. 

Selain itu, ayat ini juga menunjukkan bahawa dalam pembelajaran ilmu, seseorang itu tidak boleh lupa dan meninggalkan Allah s.w.t., tidak boleh semata-mata bergantung kepada kemampuan dan tenaga diri sendiri sahaja, tetapi perlu juga meminta dari  Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui.

Imam Bukhāri tidak mengemukakan apa-apa ĥadīts di bawah bab ini. Beliau hanya menyebutkan dua firman Allah s.w.t. semata-mata. Sebenarnya terdapat beberapa 
pendapat tentang tindakan Imam Bukhāri ini:
(1) Ada `ulama’ mengandaikan bahawa sebenarnya Imam Bukhāri bercadang untuk meletakkan ĥadīts yang bersesuaian di bawah bab ini, tetapi beliau tidak sempat 
memasukkannya.

(2) Ada juga `ulama’ mengandaikan bahawa boleh jadi di dalam sesetengah nuskhah Shaĥīĥ al-Bukhāri terdapat ĥadīts yang diletakkan beliau, cuma penyalin tersilap dan
tidak memasukkannya. Tetapi sebenarnya tidak ada di dalam mana-mana nuskhah pun ĥadīts di bawah bab ini.

(3) Ada juga yang mengatakan, kerana tidak terdapatnya ĥadīts yang sesuai dengan syarat yang diletakkan oleh Imam Bukhāri untuk Kitab Shaĥīĥnya ini, maka beliau 
tidak mengemukakannya. Namun pendapat ini tidak diterima para `ulama’, kerana memang terdapat banyak ĥadīts shaĥīĥ yang menepati syarat Imam Bukhāri
menyatakan kelebihan ilmu. Antaranya ialah ĥadīts berikut:
 مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan (yang besar dan istimewa) untuknya, niscaya ia diberi Allah ilmu yang mendalam tentang agama. 
(Ĥadīts riwayat Bukhāri, Muslim, Aĥmad, Ibnu Ĥibbān, Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain).

Ĥadīts ini diriwayatkan oleh Bukhāri sendiri, bagaimana akan dikatakan tidak ada ĥadīts yang menepati syarat beliau berhubung dengan kelebihan ilmu? 

(4) Ada juga `ulama’ mengatakan bahawa kelebihan ilmu yang dimaksudkan itu boleh dilihat pada ĥadīts ke-59 yang akan disebutkan di bawah bab ke-2 nanti. Alangkah 
lebihnya ilmu itu sehingga ketiadaannya boleh menyebabkan berlaku kiamat!

(5) Sesetengah `ulama’ berpendapat, Imam Bukhāri disamping menulis kitab ĥadīts, tidak melupakan sumber rujukan utama asas Islam iaitu al-Qur’ān. Ayat-ayatnya
sudah memadai untuk menyatakan kelebihan ilmu. Seolah-olahnya beliau berkata, bahawa sebenarnya dalam keadaan telah ada firman Allah, ĥadīts-ĥadīts tidak
diperlukan lagi. Ini kerana al-Qur’ān itu sudah cukup kuat untuk dijadikan sebagai hujah dan dalil.

(6) Imam Bukhāri juga boleh jadi tidak mengemukakan mana-mana ĥadīts kerana ĥadīts berkaitan dengan kelebihan ilmu sangat banyak jumlahnya dan tidak sesuai 
mengkhususkan kelebihan ilmu dengan hanya beberapa ĥadīts sahaja.

(7) Mungkin juga Imam Bukhāri bermaksud menguji dan mencabar para pembaca Kitab Shaĥīĥnya demi mengasah dan menajamkan fikiran mereka (تشحيذا لألذهان )
dengan berusaha mencarinya sendiri. 

(8) Boleh jadi juga Imam Bukhāri mahu mengisyaratkan bahawa semua ĥadīts-ĥadīts yang terdapat di bawah bab-bab seterusnya boleh juga dijadikan bukti bagi kelebihan ilmu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan