Sahih bukhari kitab ilmu 0006-0017ss1
٢ - بَابُ مَنْ سُئِلَ عِلْمًا وَهُوَ مُشْتَغِلٌ فِي حَدِيثِهِ، فَأَتَمَّ الحَدِيثَ ثُمَّ أَجَابَ السَّائِلَ
Bab (2): Orang Yang Ditanya Tentang Sesuatu Ilmu Ketika Dia Sedang Sibuk Berbicara, Dan Dia Menyempurnakan Bicaranya Itu, Kemudian Baru Menjawab Soalan Orang Yang Bertanya.⁷
______________________________
⁷ Tajuk bab sebelum ini menitikberatkan tentang kelebihan ilmu dan keluasannya, namun ia tidak akan diperolehi tanpa adanya soal jawab dengan kepelbagaian bentuknya.
(faktor penting untuk perkembangan ilmu)
Ketiadaan sifat curiga dan ingin tahu tentang sesuatu akan membantut perkembangan ilmu, sekiraya kelebihan ilmu telah diketahui sebagaimana yang dinyatakan dalam
bab sebelum ini, tentunya seseorang itu akan tertanya-tanya: “Bagaimanakah saya ingin mendapatkan kelebihan-kelebihan itu?”, maka sesuailah dengan tajuk bab ini dan ĥadītsnya yang menceritakan tentang cara-cara untuk mendapatkan ilmu berserta segala kelebihannya. Ia adalah dengan cara bertanya dengan penuh disiplin.
Imam Bukhāri juga ingin menyatakan bahawa kepandaian bertanya juga merupakan sebahagian daripada ilmu, ia dapat dilihat dalam tindakan Nabi s.a.w. terhadap
persoalan yang diajukan kepadanya oleh seorang A`rābi (badwi).
Untuk memikul amanah yang berisiko membawa masyarakat kepada kemusnahan, seseorang mestilah terlebih dahulu mempunyai ilmu dan kelayakan. Keadaan ini juga secara tidak langsung menunjukkan kebesaran dan kelebihan ilmu.
Adapun perkaitan bab ini dengan bab selepasnya pula, maka ia terletak pada adanya perbezaan di antara ilmu-ilmu dari sudut kepentingan dan keutamannya. Ada ilmu
yang tidak boleh dinantikan soalan terlebih dahulu barulah dikemukakan jawapannya.
Seperti dalam bab akan datang nanti, Nabi s.a.w. menunjukkan tindakannya yang tegas dalam perkara-perkara yang amat perlu diberikan perhatian.
Baginda s.a.w. menyampaikan ilmu tanpa didahului soalan dan itu pun dengan suara yang tinggi.
-inilah keistimewaan tajuk bab sahih bukhari.
- kena tengok keadaan orang yang bertanya, jika bahaya seperti solat tidak sah,maka perlu segera,seperti kaki tidak terkena air ketika wuduk.Ilmu ikut keperluannya.
Ada pula ilmu yang boleh ditangguhkan jawapannya, tidak perlu diberikan jawapan yang segera kepada yang bertanya.
Telah masyhur di kalangan pensyarah-pensyarah Shaĥīĥ Bukhāri bahawa sekurang-kurangnya terdapat empat tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini, dan ia
adalah seperti berikut:
(1) Kebanyakan pensyarah Shaĥīĥ Bukhāri berpendapat, tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini ialah untuk menyatakan bahawa tidak semua soalan yang
dikemukakan perlu dijawab dengan segera.
Sebelum mengemukakan ĥadīts yang sama, Imam Ibnu Ĥibbān di dalam Kitab Shaĥīĥnya telah mengadakan satu tajuk bab, begini adanya:
ذِكّرُ الْخَبَرِ الدَّالِّ عَلَى إِبَاحَةِ إِعْفَاءِ عَنِ إِجَابَةِ السَّائِلِ عَلَى الْفَوْرِ
(Sebutan ĥadīts yang menunjukkan keharusan orang yang ditanya tidak menjawab dengan segera pertanyaan tentang sesuatu ilmu oleh orang yang bertanya).
(Lihat Shaĥīĥ Ibnu Ĥibbān j.1 m/s 307).
Apa yang difahami Ibnu Ĥibbān daripada ĥadīts berkenaan ialah orang yang ditanya tentang sesuatu ilmu tidak salah apabila ia tidak memberi jawapan segera kepada
penanya.
Para `ulama’ boleh dikatakan bersepakat tentang tidak salahnya melewatkan jawapan kepada orang yang bertanya dalam perkara-perkara yang tidak menuntut jawapan
segera. Dalam kes yang menuntut jawapan segera pula tidak harus dilewatkan jawapan kepada pihak yang bertanya. Malah jawapan yang segera perlu diberikan
kepadanya. Jika tidak akan terlepas waktunya. Sebagai contohnya, orang yang sedang hendak melontar jamrah bertanya tentang masalah yang berkaitan dengan jamrah, soalannya mestilah dijawab dengan segera,
jika tidak masa melontarnya akan terlepas.
Nabi s.a.w. sendiri telah menunjukkan contoh dalam perkara yang menuntut jawapan segera. Imam Muslim, an-Nasa’i dan lain-lain meriwayatkan bahawa:
قَالَ أَبُو رِفَاعَةَ انْتَهَيْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ قَالَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ غَرِيبٌ جَاءَ يَسْأَلُ عَنْ دِينِهِ لَا يَدْرِي مَا دِينُهُ قَالَ فَأَقْبَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَرَكَ خُطْبَتَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَيَّ فَأُتِيَ بِكُرْسِيٍّ حَسِبْتُ قَوَائِمَهُ حَدِيدًا قَالَ فَقَعَدَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعَلَ يُعَلِّمُنِي مِمَّا عَلَّمَهُ اللَّهُ ثُمَّ أَتَى خُطْبَتَهُ فَأَتَمَّ آخِرَهَا
Bermaksud: Kata Abu Rifā`ah, aku sampai kepada Nabi s.a.w. ketika Baginda sedang berkhutbah. Lalu aku berkata, “Wahai Rasulallah! (saya) seorang lelaki asing datang
(untuk) bertanya tentang agamanya. Dia tidak tahu apa agamanya.” Kata perawi, “maka datanglah Nabi s.a.w. kepadaku dengan meninggalkan khutbahnya, sehingga
beliau sampai dekatku. Maka dibawakan kerusi untuk beliau. Aku rasa kaki kerusi itu diperbuat daripada besi.” Kata perawi, “Maka duduklah Rasulullah s.a.w. di atas
kerusi itu. Beliau s.a.w. terus mengajarku apa yang Allah telah ajarkan kepadanya. Kemudian beliau kembali berkhutbah hingga ke akhirnya.”
(2) Shah Waliyyullah menukilkan pendapat gurunya Syeikh Abu Thāhir al-Madani berkenaan dengan maksud dan tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini. Kata
Syeikh Abu Thāhir, “Maksudnya ialah melewatkan jawapan bagi soalan yang dikemukakan untuk menyelesaikan perbincangan yang sedang berlaku, tidak termasuk dalam bab menyembunyikan ilmu yang diancam oleh nabi di dalam ĥadīts-ĥadītsnya. Antaranya ĥadīts ini:
مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Bermaksud: Sesiapa ditanya tentang sesuatu ilmu, lalu ia menyembunyikannya, niscaya Allah mengekangnya dengan kekang daripada api (neraka) di hari kiamat nanti.
(Ĥadīts riwayat Abu Daud, Aĥmad, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Ĥibbān).
Bahkan erti menyembunyikan ilmu itu ialah tidak menjawab langsung dan melewatkan jawapan sehingga terlepas waktunya.” (Lihat Shah Waliyyullah - Syarah Tarājim Abwāb al-Bukhāri m/s15).
(3) Maksud Bukhāri mengadakan tajuk bab ini ialah mengajar adab kepada orang yang berilmu (orang alim) dan menyatakan bahawa jika ia ditanya ketika sedang
sibuk dengan sesuatu kerja, maka tidak perlulah ia marah dan mengherdik orang yang bertanya. Dia boleh saja meneruskan kerjanya. Setelah selesai kerja barulah dijawab soalan orang yang bertanya, seperti telah dilakukan oleh rasulullah sendiri berdasarkan ĥadīts ke-59 di bawah bab ini. Perbuatan seperti itu tidak melanggar kesopanan , tidak salah dan tidak juga berdosa.Bagaimanapun ia terta`luk kepada soalan yang dikemukakan dan sejauh mana keperluan orang yang bertanya kepada jawapan bagi soalannya. Jika soalannya berkait dengan perkara akidah yang wajib atau perkara fardhu yang akan terlepas waktunya, maka perlulah diberikan segera jawapan. Jawapan bagi soalan-soalan yang berkait dengan perkara-perkara sunat pula tidaklah perlu disegerakan.
(4) Menerusi tajuk bab ini Imam Bukhāri juga mahu mengajar adab kepada para pelajar. Pelajar hendaklah pandai membaca keadaan guru. Ketika guru sedang sibuk
dengan sesuatu, janganlah pada masa itu dikemukakan soalan. Jika soalan tidak dilayan, janganlah pula terkilan.
Bagaimanapun semuanya bergantung kepada kemusykilan yang timbul. Jika kemusykilannya berkenaan dengan perkara wajib yang tidak boleh ditangguh-tangguh
dan tidak boleh dilewatkan, maka ketika guru sibuk sekalipun ia boleh juga bertanya. Guru pula dalam keadaan itu hendaklah terus menjawab.
-bergantung kepada keadaan.
-contoh panggilan ibu ketika anak sedang solat
-ini tajuk tentang tajuk bab....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan