Rabu, April 06, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0017-24s 19/2/2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0017-24s 19/2/2022

٣ - بَابُ مَنْ رَفَعَ صَوْتَهُمِ 
Bab (3): Orang Yang Mengangkat Suaranya Untuk Menyampaikan Ilmu.²⁰

٦٠- حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ عَارِمُ بْنُ الْفَضْلِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِي بِشْرٍ عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ تَخَلَّفَ عَنَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَتْنَا الصَّلَاةُ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثً.

[Lihat athrāf ĥadīts ke-60 ini pada: 96, 163].

60–Abu an-Nu`mān `Aarim bin al-Fadhli meriwayatkan kepada kami, katanya, Abu `Awānah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Bisyr²¹ daripada Yusuf bin Māhak²² daripada `Abdullah bin `Amar,²³ katanya: “Pernah Nabi
s.a.w. ketinggalan di belakang kami dalam satu perjalanan.²⁴ Kemudian Beliau s.a.w. sempat sampai kepada kami ketika kami sedang berwudhu’ di penghujung 
waktu shalat.²⁵ (Dalam keadaan mahu cepat) Kami hanya menyapu²⁶ bahagian atas kaki kami sahaja. Maka Baginda s.a.w. berteriak dengan setinggi-tinggi suaranya:²⁷ “Kecelakaan²⁸ berupa api neraka untuk tumit-tumit.”²⁹ (Nabi s.a.w. berkata begitu) dua atau tiga kali.³⁰

_______________

²⁰ Tajuk bab yang dibuat oleh Imam Bukhāri ini bertujuan memberitahu bahawa perkara yang sangat berharga seperti ilmu sememangnya mempunyai adab dan disiplin tersendiri untuk diperolehi.

Seperti pada bab sebelum ini, ĥadīts yang dikemukakan di bawahnya ialah berkaitan dengan ahli ilmu yang ditanya oleh seseorang ketika dia sedang mengajar dan 
berbicara dengan orang ramai. Tindakan Nabi s.a.w. dalam ĥadīts tersebut mengisyaratkan juga kepada adab dan etika yang betul dalam menanyakan persoalan.

Tajuk bab ini pula dibuat untuk menghilangkan kekeliruan tentang kemestian seseorang itu bercakap dengan suara yang perlahan dan lembut ketika menyampaikan ilmu, terutamanya ilmu-ilmu agama, semata-mata untuk menjaga adab.

Memanglah sebahagian daripada sifat dan perangai Nabi kita Muĥammad s.a.w. dalam keadaan biasa adalah seperti tersebut di dalam ĥadīts berikut:
لَيْسَ بِفَظٍّ وَلَا غَلِيظٍ وَلَا سَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ
Bermaksud: Dia (Nabi Muĥammad) bukanlah seorang yang kasar dan keras, bukan juga seorang yang suka berteriak dan bertempik di pasar-pasar. 
(Ĥadīts riwayat Bukhāri, Tirmidzi, ad-Dārimi)...

Dan itu bukan sahaja sifat dan perangai Nabi kita, malah sifat dan perangai nabi-nabi lain sebelumnya. Orang-orang yang bijaksana dan cendekiawan di setiap zaman juga 
memang mengajar masyarakat supaya beradab dan beretika dalam kehidupan. Apabila bercakap, maka hendaklah dengan suara rendah dan lembut. 

Lihat bagaimana Luqmān al-Ĥakīm mengajarkan adab kepada anaknya, seperti tersebut di dalam al-Qur’ān:
Luqman 31:19
وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ 
Bermaksud: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa bercakap), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai 
(Luqmān:19).

Ĥadīts yang akan disebutkan nanti menghilangkan kekeliruan tadi, kerana ia mengemukakan contoh Nabi s.a.w. sendiri yang menguatkan suaranya untuk mengajar para Shaĥabat tentang perkara yang penting dan perlu diberikan peringatan serta penekanan yang lebih, sekaligus ia memberikan panduan kepada umat Islam tentang keutamaan ilmu dan keelokan menguatkan suara pada tempat yang sepatutnya.

Dari sudut yang lain pula boleh juga dikatakan bahawa Imam Bukhāri ingin memberitahu pembacanya tentang perkara kedua yang perlu diketahui setelah ilmu tentang keimanan, iaitu ilmu berkenaan dengan ibadat.

Ĥadīts yang dibawakan di bawah tajuk bab ini menceritakan tentang kepentingan wudhu’ yang menjadi syarat sah bagi ibadat yang paling utama dan sentiasa dilakukan setiap hari di sepanjang hayat, iaitu sembahyang 5 waktu.

Tajuk bab kemudian pula menceritakan tentang disiplin yang lain dalam penyampaian ilmu, yang tidak kurang juga pentingnya. Ia berkaitan dengan keshaĥīĥan sumber 
ilmu dan cara meriwayatkannya.

Di dalam Syarah Tarājim Abwāb al-Bukhāri Shah Waliyyullah menulis:
Tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini ialah kerana sifat Rasulullah s.a.w.sebagaimana tersebut di dalam ĥadīts adalah: ليس بصخاب ( tidak suka berteriak dan 
bertempik), sedangkan dalam peristiwa yang tersebut di dalam ĥadīts ke-60 ini pula jelas menceritakan Baginda telah berteriak dan bertempik. Maka yang dinafikan ialah
berteriak dan bertempik dalam bermain dan bersuka ria, bukan dalam menyampaikan ilmu dan hukum-hakam. Lihat Syarah Tarājim Abwāb al-Bukhāri m/s 15).

Syeikhul Ĥind Maulana Maĥmūdul Ĥasan di dalam al-Abwāb Wa at-Tarājim berkata:“Bercakap dengan suara yang luar biasa kuat dalam keadaan biasa memanglah bukan perangai Nabi kita, dan ia bukan sahaja tidak sesuai dengan kedudukan Beliau s.a.w., malah tidak sesuai juga digunakan dalam pengajaran ilmu agama. Bagaimanapun 
ĥadīts bab ini menunjukkan keharusan mengangkat suara bila perlu, malah ia elok dalam keadaan itu. Adapun mengangkat suara kerana kesombongan dan keangkuhan 
atau kerana sikap tidak pedulikan orang maka itu memanglah tercela.” 
(Lihat al-Abwāb Wa at-Tarājim m/s 43).

Maulana Zakariya pula berpendapat, ada dua tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini. 
Pertama, menyatakan adab guru. Guru boleh mengangkat suara bila perlu, supaya pengajarannya didengar oleh semua pelajar dengan baik. 
Kedua, menyatakan keelokan mengangkat suara ketika dharurat. Ini kerana terdapatnya ĥadīts-ĥadīts memuji percakapan dengan suara yang rendah dan lembut. Selain itu terdapat juga ĥadīts-ĥadīts yang mencela percakapan dengan suara yang kuat. 
(Lihat al-Abwāb Wa at-Tarājim Li Shaĥīĥ al-Bukhāri j.1 m/s 40).

²¹ Beliau ialah Ja`far bin Iyās al-Yasykuri. Abu Bisyr adalah kuniahnya. Beliau juga terkenal dengan kuniah Ibnu Abi Waĥsyiyyah al-Wāsithi al-Bashri. Kata Aĥmad, Yahya dan Abu Hātim, “Tsiqah.” Ibnu Sa`ad berkata, “Tsiqah, banyak meriwayatkan ĥadīts.” Abu Bisyr meninggal dunia pada tahun 124H. Ĥadīts-ĥadītsnya terdapat di dalam enam kitab utama ĥadīts. 

²² Beliau ialah Yusuf bin Māhak bin Bihzād al-Fārisi al-Makki. Selain mendengar dan meriwayatkan ĥadīts daripada ayahnya sendiri Māhak, beliau juga mendengar dan meriwayatkan ĥadīts daripada sahabat-sahabat seperti Ibnu `Umar, Ibnu `Amar, `Aaishah dan lain-lain.
Yahya, an-Nasā’i dan lain-lain mengatakan beliau perawi tsiqah. Ĥadīts-ĥadītsnya terdapat di dalam hampir semua kitab-kitab utama ĥadīts. Yusuf meninggal dunia 
pada tahun 113H.

²³ Seorang Shaĥabat istimewa Rasulullah s.a.w., ayahnya; `Amar bin al-`Aash merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Islam ke Mesir, juga merupakan seorang ahli politik yang besar seperti Sayyidina Mu`awiyah, Mughīrah bin Syu`bah dan lain-lain. Ramai ahli sejarah yang menyebutkan perkara yang tidak baik tentang `Amar bin al-`Aash tetapi ia adalah suatu penyelewengan sejarah. `Abdullah sendiri adalah seorang Shaĥabat yang suka beribadat, tidak seperti ayahnya yang menceburi bidang politik, minatnya kepada amal ibadah sehingga ada disebutkan dalam ĥadīts sebagai salah seorang Shaĥabat yang dimarahi Rasulullah kerana berhasrat mengabaikan tanggungjawab yang lain semata-mata kerana ingin beribadat:
 لَكِنِّي أَنَا أُصَلِّي وَأَنَا  وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ   وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Bermaksud: “Aku bersembahyang dan aku juga tidur, aku berpuasa dan juga tidak berpuasa, aku juga berkahwin dengan perempuan. Orang yang tidak suka kepada 
sunnahku, maka ia bukan dari kalanganku.”

Selain daripada ahli ibadat, beliau juga merupakan seorang ahli ilmu yang banyak mengajar, di zaman Nabi s.a.w. lagi beliau sudah ada mengumpulkan ĥadīts-ĥadīts
dalam bentuk penulisan sehingga menjadi kitab yang dipanggil الصحيحة الصحيفة(lembaran yang shaĥīĥ) atau الصادقة الصحيفة(lembaran yang benar). Abu Hurairah r.a. 
menyatakan bahawa `Abdullah bin `Amar melebihi dirinya kerana selain daripada menghafal dan menyebarkan ĥadīts melalui ingatan, beliau juga ada menulis ĥadīts.

²⁴ Riwayat ini menyebutkan satu perjalanan secara umum begitu sahaja, tetapi riwayat Muslim menjelaskan perjalanan manakah yang dimaksudkan. Kata `Abdullah:
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ....
Bermaksud: Kami pulang bersama Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah.

Perjalanan pulang dari Mekah ke Madinah yang tersebut di dalam ĥadīts `Abdullah bin `Amar ini mungkin sekali semasa pulang daripada mengerjakan haji wadā`. 
Kerana beliau memang ada bersama dalam perjalanan itu. Mungkin juga semasa pulang dari ghazwah al-Fatĥ. Tetapi semasa pulang dari ghazwah al-Fatĥ itu tidaklah mereka pulang terus dari Mekah, sebaliknya dari Ji`rānah. Bagaimanapun boleh jugalah dikatakan perjalanan pulang dari Mekah mengambil kira Mekahlah tempat permulaan mereka bertolak pulang ke Madinah.Ada juga kemungkinan perjalanan yang dimaksudkan itu semasa pulang dari 
`Umratul Qadhā’ pada tahun ke-7 Hijrah. Pada tahun itulah dikatakan `Abdullah memeluk agama Islam.
Rasulullah s.a.w. dikatakan ketinggalan di belakang kami dalam perjalanan itu. Pada kebiasaannya pembesar- pembesar dunia berjalan mendahului orang-orang lain. Orang-orang yang mendahului mereka dianggap mencabuli kehormatan mereka. 

Berbeza keadaannya dengan Nabi kita Muĥammad s.a.w. Sebagai seorang Rasul yang tidak menyerupai raja-raja dan pembesar biasa, Baginda bukanlah orang yang sentiasa 
pertama sekali sampai di sesuatu tempat ketika dalam perjalanan.

Semuanya ini menunjukkan betapa tawadhu` dan merendah dirinya seorang nabi dan rasul.

²⁵ Berdasarkan beberapa riwayat, termasuk riwayat Bukhāri sendiri di dalam Kitab al-`Ilm ini di bawah باب من أعاد الحديث ثلاثا ليفهم عنه ĥadīts ke-96, dan di dalam Kitab Wudhu’ di bawah  باب غسل الرجلين ولا يمسح على القدمين ĥadīts ke 163,
shalat yang dimaksudkan ialah shalat `Ashar.

Didalam riwayat tersebut أرهقَتْنَا الصَّلاةُ .Shalat sebagai Fā`il bagi أرهقَتْ . Kalau dibaca begini, maka ertinya ialah ‘sembahyang telah membuatkan kami kesempitan(waktu ) atau kami telah berada di penghujung waktu shalat.

Berdasarkan riwayat ke-96 pula tersebut أرهقَتْنَا الصَّلاةُ Shalat sebagai maf`ūl. Maka ia bererti ‘kami telah melewatkan sembahyang’.

Ada juga riwayat menyebutkan أرهقَتْنَا الصَّلاةُ.  Shalat  sebagai Fā`il  seperti bacaan pertama. Ertinya juga sama dengan yang pertama. Riwayat ini juga betul mengambil kira perkataan as-Shalat bukan mu`annats ĥaqīqi.

²⁶ Ma`na yang sebenarnya di sini bukanlah menyapu sahaja seperti yang dilakukan oleh golongan Syi`ah, tetapi membasuh dengan cepat, sesuai dengan penggunaan 
perkataan مسح dengan erti الخفيف الغسل   (pembasuhan yang ringan atau ringkas).Maksudnya ialah oleh kerana kami telah berada dipenghujung waktu shalat `Ashar, kami dengan tergesa-gesa membasuh kaki kami dengan basuhan ringkas atau sedikit yang tidak meratai ke semua bahagian kaki. Oleh kerana cara basuhan seperti itu 
masih tidak memadai untuk wudhu’ dan ia tidak sesuai dengan ajaran al-Qur’ān dan Nabi s.a.w., Baginda menegur mereka dengan keras.

²⁷ Di sinilah terletak kesesuaian ĥadīts dengan tajuk babnya. Berteriak atau bertempik biasanya berlaku dalam keadaan kecemasan dan terdapat bahaya, contohnya ketika seseorang hampir dilanggar kereta, ketika berlaku kebakaran, ketika ada orang lemas dan sebagainya.Dalam keadaan dan suasana yang menuntut suara dikeraskan boleh saja seseorang menggunakan pembesar suara atau berteriak dan bertempik dengan tujuan menyampaikan ilmu atau mengingatkan orang-orang tertentu daripada mendapat bahaya.Rasulullah s.a.w. sendiri dalam kesempatan-kesempatan tertentu sering juga bercakap dengan suara yang tinggi dan keras. Jābir bin `Abdillah meriwayatkan, katanya:
 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. kalau berucap (berkhutbah), merah kedua belah matanya, suaranya meninggi dan kemarahannya memuncak. (Ĥadīts riwayat Muslim).

An-Nu`mān bin Basyīr meriwayatkan, katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. berucap, kata Baginda: “Aku memberi amaran kepadamu dengan neraka, aku memberi amaran kepadamu dengan neraka, aku memberi amaran kepadamu dengan neraka.” (Begitu kuat suaranya) sehingga kalau seseorang berada di pasar sana, 
niscaya ia mendengarnya (suara Nabi s.a.w. itu) dari tempatku ini. Di dalam riwayatnya yang lain tersebut begini:
 حتى لو كان رجل كان في أقصى السوق، سمعه،وسمع أهل السوق صوته، وهو على المنبر
Bermaksud: (Begitu kuat suaranya) sehingga kalau seseorang berada di penghujung pasar sana, niscaya ia mendengarnya (suara Nabi s.a.w. itu), dan suaranya didengari oleh orang-orang di pasar ketika beliau s.a.w. (berucap) di atas mimbar. 
(Lihat Musnad Aĥmad j.4 m/s 272).

Sampai di sini persoalan mungkin timbul bahawa adakah Nabi s.a.w. belum pernah mengajar para Shaĥabatnya cara berwudhu’? Jawapannya ialah tentu sekali Nabi s.a.w. telah mengajar mereka, cuma boleh jadi sebahagian dari mereka tidak mempraktikkannya sebaik mungkin kerana keadaan 
tergesa-gesa seperti telah disebutkan sebelum ini, atau mereka fikir sudah memadai dengan menyapu begitu kerana telah kesuntukan waktu.

²⁸ Dalam terjemahan ini perkataan ويل diterjemahkan dengan kecelakaan. Selain memberi erti kecelakaan perkataan ويل juga mengandungi erti-erti lain seperti azab, 
seksaan, kerugian dan kebinasaan. 

Di dalam sesetengah riwayat tersebut:  ويل واد في جهنم  Bermaksud: Wail adalah satu lembah / lurah di dalam neraka Jahannam. 

Di dalam riwayat lain pula tersebut 
ويل واد في جهنم يسيل منه صديد أهل النار 
Bermaksud Wail :tersebut pula lain riwayat satu lembah / lurah di dalam neraka Jahannam. Mengalir daripadanya nanah ahli neraka. (Lihat kedua-dua ĥadīts itu di dalam Musnad Aĥmad j.4 m/s 272). 

Kalimah ويل adalah كلمة عذاب (kata menunjukkan azab),
sementara وِيْح pula كلمة ترحم وتوجع( kata yang menunjukkan kasihan belas dan simpati). 

Kepada orang yang mendapat kecelakaan, kerugian atau kebinasaan dan dia memang berhak serta layak mendapatnya dikatakan ويل. 
Kepada orang yang mengalami kecelakaan, kerugian atau kebinasaan padahal dia tidak patut dan tidak layak mengalaminya pula dikatakan وَيْح. 

Penggunaan ويح dalam ĥadīts Nabi s.a.w. dapat anda lihat pada sabda berikut:وَيْحَ عَمَّارٍ تَقْتُلُهُ الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ
Bermaksud: Kasihan `Ammār! Dia akan dibunuh oleh golongan pemberontak. 
(Ĥadītsriwayat Bukhāri, Aĥmad, Ibnu Ĥibbān dan al-Ĥākim). 

²⁹ Kebanyakan `ulama’ mengatakan sabda Nabi s.a.w. ini mengandungi majāz bil ĥadzfi (مجاز بالحذف) kerana ada mudhāf yang dibuang sebelum perkataan الأعقاب,
taqdirnya ialah: ويل لأصحاب  الأعقاب   . Maksudnya ialah ‘kecelakaan berupa api neraka untuk tuan-tuan tumit-tumit (yang tidak meratakan air ketika berwudhu’ hingga ke 
tumitnya). Sebahagian mereka pula mentaqdirkan begini:
ويل للمقصرين في غسل األعقاب من النار
Bermaksud: Wail di dalam neraka untuk orang-orang yang cuai dalam membasuh tumit-tumit (ketika berwudhu’).

Oleh kerana manusia tegak di atas tumitnya, maka apabila dikatakan tumitnya diseksa di dalam neraka, dengan sendirinya ia menunjukkan tuan punya tumit itu juga diseksa di dalam neraka.
Perkataan من di dalam ĥadīts sebelum perkataan النار boleh juga dipakai dengan erti في (dalam), seperti terpakai pada firman Allah di dalam Surah al-Jumu`ah berikut:
 إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ 
Bermaksud: … apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada 
hari Jumaat … (al-Jumu`ah:9).

Sesetengah `ulama’ pula berpendapat tidak perlu ditaqdirkan apa-apa di sini.Memadailah dengan ma`na tumit-tumit itu sendiri yang akan diazab dengan api 
neraka. Sesuai dengan kesalahan yang dibuat berpunca daripada tidak meratakan air pada bahagian tumit.

Diazab pada satu bahagian tubuh sahaja sama sekali tidak bererti bahagian-bahagian tubuh yang lain tidak terasa juga azabnya. Sebagai contohnya lihat saja apa yang
disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang seksaan yang dialami bapa saudaranya Abu Thālib. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَهْوَنُ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا أَبُو طَالِبٍ وَهُوَ مُنْتَعِلٌ بِنَعْلَيْنِ يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ
Bermaksud: Ahli neraka yang paling ringan azabnya ialah Abu Thālib. Dia memakai sepasang sepatu. Otaknya bergelegak kerana (kepanasan) sepatu yang dipakainya itu. 
(Ĥadīts riwayat Muslim dan Aĥmad).

Baginda juga telah bersabda tentangnya begini:
لَعَلَّهُ تَنْفَعُهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُجْعَلُ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ النَّارِ يَبْلُغُ كَعْبَيْهِ يَغْلِي مِنْهُ دِمَاغُهُ
Bermaksud: “Semoga syafa`atku berguna kepadanya di hari kiamat nanti. Dia akan diletakkan di bahagian neraka yang cetek, hingga ke buku lalinya. Begitupun, sudah 
bergelegak otaknya. (Ĥadīts riwayat Bukhāri dan Muslim).

Azab yang disebutkan di dalam ĥadīts ke-60 ini adalah di dalam neraka, bukan di padang mahsyar dan bukan juga semasa di alam kubur.

³⁰ Antara pengajaran, panduan, pedoman dan hukum-hakam yang terdapat di dlm 
hadits ini ialah:
(1) Ĥadīts ini selain daripada menyatakan kepentingan menjaga waktu sembahyang juga memberitahu tentang sia-sia sembahyang yang dilakukan dengan tidak sempurna syaratnya. 
(2) Dapat difahami juga daripada ancaman api neraka itu bahawa tidak sempurnanya wudhu’ menjadi punca dosa besar kerana tidak sahnya sembahyang.
(3) Keharusan berteriak atau menggunakan apa-apa alatan untuk menyampaikan ma`lumat dari jarak jauh sekiranya ia boleh membawa kepada bahaya.
(4) Perkara yang dianggap kecil dan tidak seberapa oleh kita tidak semestinya tidak mempunyai apa-apa implikasi dan risikonya. Mungkin juga ia menjadi penyebab kepada kemusnahan kita kelak jika tidak dijaga dengan baik.
(5) Kaki, termasuk tumit hingga ke buku lali wajib dibasuh dengan sempurna ketika berwudhu’. Menyapu sahaja tidak memadai. Kalau ia memadai, tentulah Rasulullah

s.a.w. tidak berteriak sebegitu rupa, dan tentulah tidak diancamnya dengan Wail di dalam neraka.
(6) Anggota-anggota wudhu’ selain kaki yang wajib dibasuh juga mestilah dibasuh dengan sempurna. Tidak sah wudhu’ dengan meninggalkan mana-mana bahagian daripadanya tanpa dibasuh.
(7) Kewajiban mengajar dan membimbing orang-orang jahil tentang selok-belokagama. 
(8) Tubuh dan jasad manusia yang melakukan dosa-dosa tertentu juga diseksa di dalam neraka. Inilah pegangan Ahli as-Sunnah Wa al-Jāmā`ah.
(9) Keharusan mengangkat suara dan meninggikannya ketika mengajar.
(10) Orang alim (yang mengetahui) hendaklah menegur apa-apa tindakan orang ramai yang menyalahi hukum-hakam agama. Dalam tegurannya itu ia boleh bersuara keras, bahkan bertempik sekalipun bila perlu.
(11) Keharusan mengulangi menyebut sesuatu perkarasebanyak beberapa kali dengan tujuan mengingatkan dan menimbulkan rasa prihatin terhadapnya.
(12) Nabi s.a.w. selalu menggunakan bahasa majāz (pinjaman) atau kiasan dan sindiran dalam percakapannya, termasuk juga membuang perkataan-perkataan tertentu apabila keadaan menghendakinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan