Halaman

Rabu, April 13, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0025-0035s 26/3/22 4

Sahih bukhari kitab ilmu 0025-0035s 26/3/22 4
٦٢ - حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ مَخْلَدٍ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دِينَارٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنْ الشَّجَرِ شَجَرَةً لَا يَسْقُطُ وَرَقُهَا وَإِنَّهَا مَثَلُ الْمُسْلِمِ حَدِّثُونِي مَا هِيَ قَالَ فَوَقَعَ النَّاسُ فِي شَجَرِ الْبَوَادِي قَالَ عَبْدُ اللَّهِ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَاسْتَحْيَيْتُ ثُمَّ قَالُوا حَدِّثْنَا مَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ هِيَ النَّخْلَةُ

62 – Khālid Bin Makhlad⁴⁷ meriwayatkan kepada kami, katanya, Sulaiman⁴⁸  meriwayatkan kepada kami, katanya, `Abdullah Bin Dīnār meriwayatkan kepada kami daripada Ibni `Umar daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda: 
“Sesungguhnya di antara sekian banyak pokok, ada satu pokok yang daunnya tidak gugur. Ia betul-betul seperti orang muslim⁴⁹ dalam perumpamaan, ceritakanlah kepadaku apakah pokok itu?” `Abdullah berkata, “Fikiran para Shaĥabat melayang kepada pokok-pokok yang terdapat di padang pasir.”
`Abdullah berkata: “Fikiran saya (pula) mengatakan pokok itu ialah pokok tamar, tetapi saya malu. Kemudian mereka (para Shaĥabat) berkata: “Ceritakanlah kepada kami, apakah pokok itu wahai Rasulallah”. Rasulullah 
(pun) bersabda: “Pokok tamar.”⁵⁰


___________________
⁴⁷ Abu al-Haitsam al-Qathawāni al-Bajali al-Kūfi. Qathawān adalah nama satun tempat di Kūfah. Beliau meriwayatkan daripada Malik, Sulaiman bin Bilāl dan lain-lain. Ishaq bin Rāhawaih, kedua-dua anak Abi Syaibah, Muhammad bin Bundār, Bukhari dan lain-lain adalah antara tokoh yang meriwayatkan hadits daripadanya. Ahmad bin Ĥambal dan Abu Haatim berkata, “Dia ada hadits-hadits munkar.” Yahya 
bin Ma`īn berkata, “Tidak mengapa dengannya.” Abu Haatim juga berkata, “Boleh ditulis haditsnya.” Ibnu `Adi pula berkata, “Dia adalah salah seorang muĥaddits 
Kūfah yang banyak meriwayatkan hadits. Bagi saya, tidak mengapa dengannya.” Khalid bin Makhlad meninggal dunia pada bulan Muĥarram tahun 213 Hijrah. 

⁴⁸Beliau ialah Sulaiman bin Bilāl at-Taimi al-Qurasyi al-Madani. Kuniahnya Abu Muhammad atau Abu Ayyub. Sulaiman adalah maula (hamba yang dimerdekakan) 
`Abdullah bin Abi `Atīq. Nama sebenar Abu `Atīq ialah Muhammad bin `Abdir Rahman bin Abi Bakr as-Shiddīq. Sulaiman bin Bilāl adalah seorang Barbar yang cantik dan kacak, seorang yang bijaksana dan juga mufti. Pernah menjadi pegawai percukaian di Madinah. Imam Ahmad berkata tentangnya, “Tidak mengapa dengannya, tsiqah.” Yahya bin Ma`īn pula berkata, “Perawi tsiqah lagi Shaleh.” 
Sulaiman perawi kitab-kitab utama hadits. Beliau meninggal dunia pada tahun 172 Hijrah di zaman pemerintahan Harun ar-Rasyīd.


⁴⁹ Tasybih (perbandingan) yang digunakan oleh Nabi s.a.w. di sini dibuat dengan mendahulukan perkataan musyabbah (pokok) dan mengemudiankan musyabbah bihi 
(orang muslim). Susunan ayat tasybih sebegini menghasilkan makna sifat keteguhan, sentiasa mempunyai hasil dan bermanfaat ketika hidup dan matinya itu lebih banyak terdapat pada seseorang muslim berbanding adanya pada pokok tamar, kerana mengikut kaedah tasybih ialah wajah syabah (sifat-sifat dan sudut yang hendak 
diserupakan) itu lebih kuat dan lebih dominan adanya pada musyabbah bihi berbanding pada musyabbah. Bukan orang Islam yang menyamai pokok tamar, tetapi pokok tamar 
yang menyamai orang Islam.



⁵⁰ Ĥadīts yang dibawakan di sini sama sahaja isinya dengan yang telah disebutkan pada bab sebelumnya, Imam Bukhāri mengisyaratkan dengan ĥadīts yang sama ini kpd orang 
yang bijaksana, tidak semestinya ia mempunyai sumber rujukan yang banyak, bahkan daripada hadits yang sama boleh saja dikeluarkan pelbagai kesimpulan dan pengajaran, boleh saja dibuat pelbagai tajuk bab untuknya. Pendek kata sesuatu hadits itu boleh dilihat daripada pelbagai sudut pandang. Selain dari itu, Imam Bukhari juga mahu mengisyaratkan kepada kelebihan dan keistimewaan sumber wahyu berupa ĥadīts, walaupun bilangannya sedikit sahaja, namun ia sangat padat, berkualiti dan mengandungi banyak pengajaran dan pedoman, tidak seperti kisah-kisah tauladan yang biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan