Usul dirayah hadis 0022-0032s(usul 43)5/2/22
Usul dirayah hadis 0022-0032(usul 43)
Kepapaan adalah kebanggan ku dan dengannyalah aku berbangga.
Ini hadits dusta dan maudhuk. Tidak ada sesiapapun yang mempunyai pengetahuan tentang hadits yang meriwayatkan daripada Nabi saw.
Komentar
1.
Peserta baca.
Komen mmay
-Hafiz Ibnu Hajar
-tidak mengiktiraf Ibnu Taimiyah
- semata2 kerana dia berpegang cara fahaman salaf
- kitab As-Shaghani ada dalam Syamelah
-fon hadits sahih dan tidak berbeza.
- jika Nabi saw nak berbangga pun.
-hadits maudhuk biasanya tiada sanad.
-maknanya karut
- maknanya bercanggah dengan hadits2 lain yang sahih.
- tidak sesuai dengan sifat Nabi saw.
- macam mana hadits
- mmay nak tunjuk
Pukul 10 :58
Usul dirayah hadis 0022
Usul (43): Riwayat-riwayat yang menyebutkan tentang kelebihan hidup dalam keadaan miskin dan papa kedana maudhu` semuanya. Tidak ada satu pun sahih. Demikian juga riwayat-riwayat yang memuji kemiskinan dan kepapaan, menyatakan kemuliaan orang-orang miskin di akhirat dan kehinaan orang-orang yang berharta secara mutlaq.Riwayat-riwayat seperti ini sebenarnya banyak. Penulis hanya mengemukakan beberapa sahaja daripadanya sebagai contoh.
Contoh Pertama: الفقر فخري وبه أفتخر
Bermaksud: Kepapaan adalah kebangganku, dan dengannyalah aku berbangga.
Rujukan:
Majmū` al-Fatāwa j.11 m/s 117, al-Fatāwa al-Kubra j.5 m/s 89, at-Talkhīsh al-Ĥabīr j.3 m/s 239-241, Mirqāt al-Mafātiĥ Syarĥ Misykāt al-Mashābīĥ, Tuĥfatu al-Aĥwadzi j.6
m/s 139, Kasyfu al-Khafā’ j.2 m/s 87, Tadzkiratu al-Maudhū`āt m/s 178, al-Maqāshidu al-Ĥasanah 480, al-Mashnū` Fi Ma`rifati al-Ĥadīts al-Maudhū` m/s 128.
Komentar:
(1) Hafizh Ibnu Hajar berkata di dalam at-Talkhīsh al-Ĥabīr, “Ĥāfizh Ibnu Taimiyyah pernah ditanya tentang hadits ini, maka beliau menjawab, “Ia adalah dusta, tidak
diketahui adanya di dalam mana-mana kitab riwayat orang-orang Islam. As-Shaghāni yakin ia maudhu` (hadits yang diada-adakan atas nama Nabi s.a.w.).”
(2) Di dalam Majmū` al-Fatāwa, Ĥāfizh Ibnu Taimiyyah sendiri menulis begini:
“Adapun hadits tersebut iaitu “Kepapaan adalah kebangganku, dan dengannyalah aku berbangga”, maka ia adalah dusta dan maudhu`. Tidak ada siapa pun yang mempunyai pengetahuan tentang hadits meriwayatkannya daripada Nabi s.a.w. Ma`nanya juga karut.
Sebabnya ialah Nabi s.a.w. tidak pernah berbangga dengan apa-apa, sebaliknya Baginda bersabda: أَنَ سَيِّد وَلَدِ آدَمَ وَلَا فَخْرَ
Bermaksud: Aku adalah penghulu anak Adam, bukan untuk berbangga dan bermegah aku berkata begitu.”
Di dalam hadits lain pula Baginda bersabda:
إنه أوحي إلى أن تواضعوا حتى لايفخرا أحد على على أحد ولا
يبغي أحد على أحد
Bermaksud: “Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa hendaklah kamu merendah diri supaya tiada siapa pun akan membangga diri di hadapan orang lain, dan supaya tidak ada siapa pun menyombong terhadap orang lain.”
Jikalau Nabi s.a.w. memang hendak berbangga dengan sesuatu, niscaya Baginda akan berbangga dengan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya melebihi sekalian makhlukNya yang lain.”
Imam Ibnu Taimiyyah nampaknya telah menghukum maudhu` terhadap hadits tersebut kerana beberapa sebab:
i- Kerana ia tidak diriwayatkan oleh sesiapa pun yang mempunyai pengetahuan tentang hadits daripada Nabi s.a.w.
ii- Ma`nanya karut.
iii- Ia bercanggah dengan hadits-hadits lain yang sahih sedangkan ia sendiri tidak sahih.
iv- Tidak sesuai dengan sifat Nabi s.a.w. yang memang diketahui sebagai seorang yang amat merendah diri.
(3) Kalaulah kepapaan dan kemiskinan itu memang sesuatu yang dibanggakan oleh Rasulullah s.a.w. kenapa dalam sekian banyak hadits, Baginda diriwayatkan berlindung
kepada Allah daripadanya?
Sebagai contohnya lihat saja hadits-hadits berikut:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْفَقْرِ وَالْقِلَّةِ وَالذِّلَّةِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ
Bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kefakiran, kekurangan dan kehinaan. Aku (juga) berlindung denganMu daripada menzalimi (orang) dan dizalimi
(orang).”
(Hadits riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Hibbaan, Nasā’i, Ibnu Majah, al-Haakim, at-Thabaraani dan lain-lain daripada Abi Hurairah).
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْفَقْرِ وَالكُفْرِ
Bermaksud: “Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kefakiran dan kekufuran.”
(Hadits riwayat an-Nasā’i dan Ibnu Hibbaan daripada Abi Sa`id secara marfu`).
٣- عن أبي بكرة << أن رسول الله-صلى عليه وسلم- كان يقول في دبر الصلا: أعوذ بك من الكفر والفقر
3 -Bermaksud: Abu Bakrah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. selalu mengucapkan selepas shalat: “Aku berlindung denganMu daripada kekufuran, kepapaan dan azab kubur.”
(Hadits riwayat Ibnu Hibbaan dan al-Haakim).
(4) Tājuddin as-Subki menurut apa yang dinukilkan oleh az-Zarkasyi dan anak beliau Taqiyyuddin as-Subki di dalam at-Tausyīĥ telah berkata:“Rasulullah s.a.w. tidak pernah papa kedana harta sama sekali. Keadaan Baginda s.a.w.
juga bukan seperti orang papa. Rasulullah s.a.w. bahkan seorang yang sangat kaya. Keperluan dunia untuk diri dan keluarganya mencukupi. Sabda Nabi s.a.w. اللهم أحيني مسكينا
(Ya Allah, hidupkanlah aku sebagai seorang miskin),
bererti rendah hati, ia tidak bererti orang miskin yang tidak mempunyai keperluan yang mencukupi.” Beliau (Tājuddin as-Subki) membantah keras terhadap orang-orang yang tidak berpendapat sepertinya.
(5) Shah `Abdul Ghani di dalam Injāĥ al-Ĥājah Syarĥ Sunan Ibni Majah menulis, “Sabda Nabi s.a.w. أعوذ بك من الفقر
(aku berlindung denganMu daripada kepapaan) tidak
bercanggah dengan hadits hidupkanlah aku sebagai orang miskin). Inilah terjemahan zahirnya.
Terjemahannya yang tepat ialah (hidupkanlah aku sebagai orang yang merendah diri dan tidak sombong). Kerana المسكنة yang dipinta oleh Rasulullah s.a.w. bererti sifat merendah diri dan tidak sombong.
Andai kata المسكنة yang dipinta oleh Nabi s.a.w. itu bererti kepapaan atau kemiskinan harta benda, maka telah tidak diterimalah oleh Allah doanya itu. Kerana Nabi s.a.w.
telah wafat dalam keadaan kaya-raya dan senang-lenang lantaran banyaknya harta fai’ dan ghanimah yang diperolehi. Walaupun tidaklah Baginda melonggok duit.
Tidak boleh dikatakan orang yang mati dalam keadaan meninggalkan sekian banyak kebun di Madinah dan di Fadak, di samping harta benda yang lain, mati dalam keadaan miskin.
Allah s.w.t pula berfirman tentang NabiNya Muhammad s.a.w. begini:
Ad-Dhuhaa 93:8 وَوَجَدَكَ عَآئِلًا فَأَغْنَىٰ
Bermaksud: Dan (bukankah) didapatiNya engkau (Muhammad) miskin, lalu Dia memberikan kekayaan (kepadamu)? (ad-Dhuĥa:8).
Kalaulah kefakiran itu baik, tentulah Allah tidak menyebutkan kekayaan sebagai ni`mat kurniaanNya kepada Baginda…
Menta’wilkan kefakiran atau kepapaan dengan kepapaan jiwa salah. Kita tidak mengetahui ada mana-mana nabi dan sahabat Nabi s.a.w. memohon kepapaan atau malapetaka, mereka sebaliknya berdoa agar terhindar dari kedua- duanya.
Mutharrif berkata, “Aku selamat sejahtera, lalu bersyukur lebih baik lagi daripada aku diuji, lalu bersabar.”
Sekiranya kepapaan itu suatu kelebihan dalam semua keadaan, niscaya para nabi dan sahabat merekalah yang paling patut mendapatnya. Sedangkan kita tidak mengetahui ada nabi-nabi yang susah selain Nabi `Isa dan Nabi Yahya a.s. sahaja.
Saiyyidina Abu Bakar r.a. telah meninggalkan kebun tamar sebagai pesakanya. Dengan harta yang dibelanjakannyalah dia telah mendapat darjat kehampiran dengan Allah.
Saiyyidina `Umar telah mempusakakan dan mewakafkan harta bendanya. Beliau juga mendapat habuan yang banyak daripada harta fai’.
Abu Dzar yang ditonjolkan sebagai contoh oleh orang-orang yang melebihkan kehidupan miskin daripada kehidupan kaya juga mempunyai sekumpulan unta dan
kambing. Az-Zubair, Thalĥah dan `Abdur Rahman telah meninggalkan banyak sekali harta benda.
Ibnu `Abbaas berkata, “Aku mempunyai perbelanjaan untuk lapan puluh tahun. Perbelanjaan untuk setiap harinya seribu.”
Sa`id bin Musayyab berkata, “Tiada kebaikan pada orang yang tidak mengumpulkan harta. Dengan hartalah dia dapat membayar hutangnya, dapat menjalin perhubungan
kekeluargaan dan dapat menjaga air mukanya.”
Sufyan meninggal dunia dalam keadaan mempunyai barang-barang berharga bernilai seratus lima puluh dinar. (Lihat Injāĥ al-Ĥājah Syarĥ Sunan Ibni Majah m/s 273).
(6) Berdasarkan perbincangan dan keterangan yang lalu dapatlah disimpulkan bahawa patutlah pakar-pakar hadits seperti as-Shaghāni, Ibnu Taimiyyah, al-`Irāqi, Ĥāfizh Ibnu
Ĥajar, as-Sakhāwi, Mulla `Ali al-Qāri, al-Mubārakfūri, al-Albāni dan lain-lain menghukum hadits contoh pertama itu sebagai karut dan maudhu`.
Contoh Kedua:
الفقر شين عند الناس وزين عندالله يوم القيامة
Bermaksud: Kepapaan adalah kecacatan di sisi manusia, tetapi kecantikan di sisi Allah pada hari kiamat.
Rujukan:
Musnad al-Firdaus j.2 m/s 342, Kasyfu al-Khafā’ j.2 m/s 101, Silsilatu al-Aĥādītsi ad-Dha`īfah Wa al-Maudhū`ah j.9 m/s 30.
Komentar:
(1) Ad-Dailami meriwayatkannya daripada Anas secara marfu` menerusi saluran riwayat berikut:
عن محمد بن مقاتل الرازي: حدثنا جعفر بن هارون الواسطي: حدثنا سمعان بن مهدي، عن أنس رفعه
(2) Kecacatan pada sanad hadits ini terletak pada Sam`ān dan orang-orang di bawahnya.
Berkenaan Sam`ān kata Imam adz-Dzahabi, “Sam`ān bin Mahdi (meriwayatkan) daripada Anas bin Malik. (Sam`ān) Haiwan yang tidak dikenali. Dikaitkan dengannya
satu nuskhah (sebuah kitab) berisi hadits palsu. Saya telah melihat kitab itu. semoga Allah menghodohkan rupanya. (Mīzān al-I`tidāl j.2 m/s 234).
(3) Hafizh Ibnu Hajar menulis tentang Sam`ān: “Sam`ān bin Mahdi daripada Anas bin Malik, seorang yang hampir-hampir tidak dikenali.” Setelah menukilkan apa yang disebut oleh Imam adz-Dzahabi tadi Hafizh Ibnu Hajar menulis: “Nuskhah (kitab) yang dikaitkan dengan Sam`ān itu mengandungi lebih tiga ratus hadits. Kebanyakan matannya maudhu`. Ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Muqātil ar-Rāzi daripada Ja`far bin Harun daripada Sam`ān. (Lisān al-Mīzān j.4 m/s 191).
(4) Kebanyakan pengarang kitab-kitab yang mengumpul dan membincangkan hadits-hadits maudhu` tidak lupa menceritakan tentang sebuah kitab yang dikaitkan dengan
Sam`ān. Namanya ialah “Musnad Anas al-Bashri”. Ia dikatakan mengandungi kira-kira tiga ratus hadits yang diriwayatkan oleh Sam`ān daripada Anas. Hadits pertamanya ialah أمتي في سائر الأمم كالقمر في النجوم (Umat ku berbanding sekalian umat lain seperti bulan di antara bintang-bintang).
(Lihat Kasyful Khafā’ j.2 m/s 504, Asna al-Mathālib
m/s 339, al-Fawā’id al-Majmū`ah, al-Asrār al-Marfū`ah m/s 407, al-Mashnū` Fi Ma`rifati al-Ĥadīts al-Maudhū` m/s 247 dan lain-lain).
(5) Hafiz Ibnu `Abdil Hādi di dalam as-Shārim al-Manki berkata: “Sam`ān adalah salah seekor haiwan yang kita tidak mengetahui sama ada ia pernah wujud atau tidak.” (As-Shārim al-Manki m/s 177).
(6) Kenyataan yang diberikan di atas menunjukkan riwayat ad-Dailami yang dikemukakan sebagai contoh kedua itu sebenarnya berpunca daripada Musnad Anas al-Bashri, sebuah buku yang penuh dengan hadits-hadits maudhu` itu juga.
(7) Mengenai Ja`far bin Harun pula adz-Dzahabi di dalam Mīzān al-I`tidāl berkata: “Ja`far bin Harun meriwayatkan (hadits) daripada Muhammad bin Katsīr as-Shan`āni.
Dia (Ja`far bin Harun) membawa hadits maudhu`.” Keterangan adz-Dzahabi ini disokong oleh Hafizh Ibnu Hajar di dalam Lisān al-Mīzān. (Lihat Mīzān al-I`tidāl j.1
m/s 420, Lisān al-Mīzān j.2 m/s 480).
(8) Muhammad bin Muqātil ar-Rāzi walaupun tidak disebut sebagai penyebar atau pereka hadits maudhu`, tetapi dia juga perawi bermasalah. Kata adz-Dzahabi: “Dia perawi yang dipertikaikan oleh para ulama Rijāl, walaupun tidaklah sampai dianggap matrūk (perawi yang tidak boleh diterima langsung riwayatnya).” Hafizh Ibnu Hajar pula di dalam Taqrīb at-Tahdzīb berkata: “Dia dha`if.” (Lihat Mīzān al-I`tidāl j.4 m/s 47, Taqrīb at-Tahdzīb j.2 m/s 210).
(9) Tidak ada erti yang dapat difahami daripada kata-kata, “Kepapaan adalah kecacatan di sisi manusia, tetapi kecantikan di sisi Allah pada hari kiamat”, selain daripada
kepapaan itu sebenarnya adalah suatu kelebihan yang tidak nyata pada pandangan manusia. Dan jika dianggap kepapaan itu satu kekurangan sekalipun, ia akan diganjari
dengan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak.
(10) Dengan adanya kenyataan-kenyataan seperti ini atas nama hadits Nabi s.a.w. secara tidak langsung akan membuatkan orang-orang yang mempercayainya
menganggap kepapaan dan kemelaratan adalah suatu keistimewaan yang tersembunyi!
(11) Tentulah apa yang cantik di sisi Allah itulah yang sebenar-benar cantik. Kerana nilai sebenar sesuatu tidak dapat ditentukan oleh manusia. Apabila penilaian manusia
bertembung dengan penilaian Allah, sepatutnya penilaian Allah-lah yang akan diutamakan oleh orang-orang yang beriman. Kalau begitu, kenapa pula tersebut di
dalam hadits-hadits sahih, Rasulullah s.a.w. sendiri memohon perlindungan kepada Allah daripada kepapaan. Kenapa bukan sahaja Baginda memohon perlindungan
kepada Allah daripadanya, bahkan Baginda juga menyuruh sahabat-sahabatnya dan umatnya memohon perlindungan kepada Allah daripadanya?!
Lihat sabda Rasulullah s.a.w. ini sebagai contohnya”
تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الْفَقْرِ وَالْقِلَّةِ وَالذِّلَّةِ وَأَنْ تَظْلِمَ
Bermaksud: Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada kepapaan, kekurangan dan kehinaan, juga daripada engkau menzalimi (orang) dan dizalimi (orang).
(Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Hibbaan, Ibnu Majah, an-Nasā’i dan al-Haakim).
Contoh Ketiga:
اطلبوا الأيادي عند فقراء المسلمين فإن لهم دولة يو القيامة
Bermaksud: Carilah pertolongan pada orang-orang faqir miskin di kalangan orang-orang Islam, kerana mereka ada kuasa di hari kiamat (kelak).
Rujukan:
Ĥilyatu al-Auliyā’ j.8 m/s 297, Tārīkh Dimasyq j.14 m/s 19, Faidhul Qadīr j.1 m/s 113, at-Tanwīr Syarĥ al-Jāmi` as-Shaghīr j.1 m/s 303, al-`Ilal al-Mutanāhiah j.2 m/s 516, al-Ajwibah al-Mardhiyyah j.2 m/s 748-750, al-Fawā’id al-Maudhu`ah Fi al-Aĥādīts al-Maudhu`ah m/s 116, Naqdu al-Manqūl j.1 m/s 132, Kasyfu al-Khafā’ j.1 m/s 37,
Tadzkiratu al-Maudhū`āt m/s 178, Silsilah al-Aĥādīts ad-Dha`īfah Wa al-Maudhū`ah
j.3 m/s 161.
Komentar:
(1) Abu Nu`aim dikatakan telah meriwayatkan hadits tersebut dengan sanadnya di dalam Ĥilyatu al-Auliyā’ daripada Ĥusain bin `Ali cucunda Nabi s.a.w. Demikianlah
tersebut di dalam al-Jāmi` as-Shaghīr, Kasyfu al-Khafā’ dan lain-lain. Pengarang at-Tanwīr bagaimanapun mengatakan beliau tidak mendapati riwayat berkenaan
diriwayatkan daripada Ĥusain bin `Ali cucunda Nabi s.a.w. di dalam Ĥilyatu al-Auliyā’. Sebaliknya ia bagi beliau diriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih seperti
kata at-Tharafi. Memang benar keraguan yang ditimbulkan oleh pengarang at-Tanwīr itu. Di dalamĤilyatu al-Auliyā’ edisi terbitan as-Sa`ādah Mesir yang menjadi punca bagi edisi-edisi terbitan Darul Kitab al-`Arabi Beirut, Darul Fikr Beirut dan Darul Kutub al-`Ilmiyyah Beirut, riwayat itu tidak dikaitkan dengan Ĥusain bin `Ali. Sebaliknya ia dikaitkan
dengan Wahab bin Munabbih.
(2) Di bawah ini dikemukakan teks riwayat yang berpunca daripada Wahab bin Munabbih bersama sanad Abu Nu`aim di dalam Ĥilyatu al-Auliyā’:
Bermaksud: Kata Wahab: “Carilah pertolongan pada orang-orang miskin, kerana sesungguhnya mereka pada hari kiamat kelak mempunyai kuasa.”
Perawi teratas di dalam sanad ini ialah Wahab (bin Munabbih). Dan ia menunjukkan apa yang tersebut sebagai contoh ketiga itu sebenarnya tidak lebih daripada kata-kata Wahab sahaja. Wahab tidak pun mengaitkannya dengan Nabi s.a.w.Jika diandaikan Wahab memang mengangkat kata-katanya itu kepada Nabi s.a.w.berdasarkan sesuatu sanad yang lain (entah sanad mana?), maka ia tetap tidak sah sebagai hadits Rasulullah s.a.w. Kerana selain terputus sanadnya di antara Wahab dan Rasulullah s.a.w., di dalamnya juga terdapat perawi seperti Ashram bin Ĥausyab yang dikenali sebagai pendusta besar. Ibnu Hibbaan, al-Haakim dan an-Naqqāsy bahkan mengatakan Ashram pereka hadits.
(3) Terdapat satu lagi saluran riwayat di dalam Ĥilyatu al-Auliyā’ bagi apa yang dida`wakan sebagai hadits itu. Lihat sanad dan teksnya di bawah ini:
Bermaksud: Maka berkata Abu ar-Rabī`, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Carilah pertolongan pada faqir miskin di kalangan orang-orang Islam. Kerana mereka ada kuasa
pada hari kiamat (nanti).”
Perawi teratas di dalam sanad ini ialah Abu ar-Rabī`. Dia memang dengan jelas berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda. Dengan itu terbuktilah contoh ketiga yang dikemukakan di
atas memang telah dida`wa sebagai hadits Rasulullah s.a.w. Di dalam sanad ini juga tidak tersebut nama Ĥusain bin `Ali cucunda Rasulullah s.a.w.
Siapakah Abu ar-Rabī` yang dimaksudkan di dalam sanad itu? Adakah dia seorang sahabat Rasulullah s.a.w.? Tentu sekali tidak. Kerana Abu Nu`aim sendiri menyebutkan bahawa Abu ar-Rabī` itu ialah Abu ar-Rabī`
as-Sā’iĥ. Memang tidak ada seorang pun sahabatRasulullah s.a.w. yang digelari dengan gelaran Abu ar-Rabī` as-Sā’iĥ seperti itu. Abu ar-Rabī` as-Sā’iĥ ini digelari juga dengan
gelaran Abu ar-Rabī` as-Shūfi.
Daripada 17410 buah buku di dalam Maktabah asy-Syāmilah, nama Abu ar-Rabī` as-Sā’iĥ ini terdapat di dalam hanya 2 buah buku sahaja, “Ĥilyatul Auliyā’” dan “Fadhā’il Mishr al-Maĥrūsah”. Ya, nama ini tersebut juga di dalam “Ĥusnu at-Tanabbuh Li Ma Warada Fi at-Tasyabbuh”, buku ketiga selain dua buku tadi, tetapi pada hakikatnya ia
hanyalah petikan daripada kitab Ĥilyatul Auliyā’ itu juga.
Daripada dialog yang tersebut di dalam riwayat berkenaan dapat dikesan Abu ar-Rabī yang tersebut di dalam sanad itu adalah seorang yang hidup sezaman dengan Ĥammād
bin Zaid.
Ĥammād bin Zaid menurut Hafizh Ibnu Hajar adalah perawi dari thabaqah ke-8.
Mereka terdiri daripada Tāb`i at-Tābi`īn peringkat tengah, seperti Sufyan bin `Uyainah dan lain-lain. Walaupun Imam Malik dan Ĥammād bin Zaid meninggal dunia pada
tahun yang sama, iaitu pada tahun 179 Hijrah, namun Malik lebih tua daripadanya. Kerana itu Malik disenaraikan sebagai perawi dari thabaqah ke-7. Paling tidak dua orang perawi telah gugur / digugurkan di antara Abu ar-Rabī` dan Nabi s.a.w. Kalau begitu hadits tersebut sudah dikira sebagai hadits mu`dhal. Dan Abu ar-Rabī` hanya meriwayatkannya secara ta`līq.
Hadits mu`dhal dan hadits mu`allaq juga terbilang sebagai hadits dha`if. Kalau perawi yang gugur atau digugurkan lebih ramai, maka haditsnya akan menjadi semakin dha`if.
Mengambil kira riwayat kelima di bawah nama Abu ar-Rabī` as-Sā’iĥ yang dikemukakan oleh Abu Nu`aim di dalam Ĥilyatul Auliyā’ pula, kemungkinan perawi yang gugur di antara Abu ar-Rabī` dan Rasulullah s.a.w. adalah antara 4 atau lima orang. Lihat riwayat berkenaan bersama sanadnya di bawah ini:
Bayangkan betapa lemahnya hadits contoh ketiga tersebut. Empat atau lima orang perawi gugur berturut-turut di dalam sanadnya. Itu belum lagi dilihat kepada keadaan
perawi-perawinya yang lain. Kalau perawi di antara Imam Malik dan Rasulullah s.a.w. di dalam kitab beliau al-
Muwattha’ kadang-kadang sampai tiga atau empat orang, maka apa peliknya kalau di antara Abu ar-Rabī` juga ada 4 atau lima orang. Soalnya siapa mereka yang gugur atau
digugurkan itu dari sanadnya itu? Apa nama mereka?
Selagi tidak diketahui dengan jelas dan pasti siapa mereka, dan tidak terbukti pula mereka perawi yang tsiqah, selama itulah hadits tersebut dianggap dha`if.
4) Al-`Irāqi berkata, “Sanadnya sangat dha`if.” Ibnu Taimiyyah, adz-Dzahabi, Ibnu al-Qaiyyim, Hafizh Ibnu Hajar, as-Sakhāwi dan kebanyakan pengarang kitab-kitab yang
mengumpulkan hadits-hadits maudhu` pula dengan yakin mengatakan ia adalah hadits maudhu`. (Lihat Faidhu al-Qadīr j.1 m/s 113).
(5) Hadits-hadits palsu seperti contoh ketiga itu jika tidak didedah kepalsuannya, secara tidak langsung akan memberi kesan buruk kepada jiwa orang-orang Islam, kerana ia menyatakan kelebihan kehidupan dalam keadaan papa kedana dan melarat. Kalau tidak di dunia pun, di akhirat sudah pasti terjamin!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan