Halaman

Jumaat, Julai 01, 2022

Sahih bukhari kitab azan sesi 064(1551-1552)

Sahih bukhari kitab azan sesi 064(1551-1552)

٤٩-باب إِذَا اسْتَوَوْا فِي الْقِرَاءَةِ فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ: 

49-Bab: Apabila Kemampuan Membaca Al-Qur'an Sama, Maka Yang Lebih Berhak Menjadi Imam Adalah Yang Lebih Tua Di antara Mereka.¹⁷⁹⁷

٦٤٤ - حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ حَرْبٍ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ أَيُّوبَ عَنْ أَبِي قِلَابَةَ عَنْ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ قَالَ قَدِمْنَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ شَبَبَةٌ فَلَبِثْنَا عِنْدَهُ نَحْوًا مِنْ عِشْرِينَ لَيْلَةً وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحِيمًا فَقَالَ لَوْ رَجَعْتُمْ إِلَى بِلَادِكُمْ فَعَلَّمْتُمُوهُمْ مُرُوهُمْ فَلْيُصَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا وَصَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا وَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ


685 - Sulaiman bin Harb meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammaad bin Zaid meriwayatkan kepada kami daripada Ayyub daripada Abi Qilaabah daripada Malik bin al-Huwairits. Kata beliau: “Kami pernah mengunjungi Nabi s.a.w. ketika kami masih muda belia. Kami tinggal bersama Baginda kira-kira dua puluh malam. Kami dapati Nabi s.a.w. adalah orang yang sangat penyayang. Baginda bersabda kepada kami:“Jika kamu kembali ke negerimu, maka ajarilah mereka, suruhlah mereka mengerjakan shalat sekian pada waktu sekian, shalat sekian pula pada waktu sekian. Dan apabila telah masuk waktu shalat, maka hendaklah seseorang dari kamu adzan dan hendaklah yang mengimami shalatmu orang yang paling tua di antaramu.”¹⁷⁹⁸


_________________


¹⁷⁹⁷ Tajuk bab ini diadakan Bukhari untuk menjelaskan hadits di bawahnya. Bahawa perintah Rasulullah supaya yang lebih tua menjadi imam itu ialah apabila mereka dalam hal-hal lain sama.
Bukanlah lebih tua semata-mata itu mengatasi segala kelebihan yang lain.


¹⁷⁹⁸ Hadits Malik bin al-Huwairits ini dengan beberapa perbedaan pada lafaz dan ma'nanya telah pun berlalu di bawah bab adzan. Lihat hadits 627 dan 629 yang lalu. Antara pengajaran, panduan, pedoman dan hukum yang dapat disimpulkan daripada hadits ini ialah: 
(1) Sabda Nabi s.a.w.(dan hendaklah yang paling tua di antaramu menjadi imam) di penghujung hadits di atas menunjukkan mereka dalam syarat-syarat lain untuk menjadi imam adalah sama. Dalam keadaaan itu umur lebih tua juga merupakan salah satu kelebihan yang perlu diambil kira. Sebabnya mereka sama dalam syarat-syarat lain ialah kerana mereka telah berhijrah kepada Nabi s.a.w. bersama-sama, memeluk agama Islam juga pada masa yang sama, semua mereka telah bersahabat dan bergaul dengan Rasulullah s.a.w. selama dua puluh hari, mereka juga sama dalam menerima ajaran Islam daripada Baginda. Maka tidak ada lagi yang membezakan mereka selain umur. Itulah sebabnya kenapa Rasulullah s.a.w. bersabda begitu.

(2) Hadits ini merupakan salah satu dalil bagi golongan `ulama' yang mengatakan jawatan atau kedudukan imam lebih afdhal daripada jawatan dan kedudukan bilal. Alasan mereka ialah ketika Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka mengumandangkan azan, Baginda memberi pilihan kepada salah seorang daripada mereka tanpa menyebutkan apa-apa kelebihan. Berbeza dengan suruhan Baginda supaya menjadi imam, pada ketika itu disebutkan sesuatu kelebihan yang ada pada seseorang daripada mereka. 

(3) Malik bin al-Huwairits dan kawan-kawannya yang pergi mengunjungi Nabi s.a.w. pada ketika itu muda-muda semuanya. 

(4) Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang penyayang dan baik hati.

(5) Rasulullah s.a.w. sangat mengambil berat tentang shalat, khususnya shalat fardhu. Baginda sentiasa berpesan supaya mengerjakan shalat pada waktunya. Waktu-waktu shalat juga telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. 

(6) Baginda selalu berpesan supaya semua umatnya diajarkan ilmu agama. 

(7) Ramai daripada sahabat Rasulullah s.a.w. tidaklah lama bersama-sama Baginda. Riwayat ini menyebutkan mereka bersama Baginda selama 20 malam sahaja. Namun keberkatan bersamanya amat luar biasa, walaupun hanya sekejap sahaja. Kehidupan mereka berubah terus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan