Qawaid tafsir 2018 kaedah 0049.
قاعدة 49 الشَّرْطُ لَا يَقْتَضِي جَوَازَ الْوُقِوْعِ
Syarat (yang disebut untuk sesuatu perkara) tidak semestinya menghendaki (bererti) keharusan berlakunya.
Keterangan: Menggantung sesuatu perkara dengan syarat tertentu tidak semestinya bererti syarat itu memang wujud dan mungkin berlaku. Adakalanya sesuatu perkara
dikaitkan dengan sesuatu yang memang mustahil dan tidak mungkin berlaku.Sebagai contohnya lihat saja beberapa contoh di bawah ini:
(1)
وَلَقَدۡ أُوحِیَ إِلَیۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَیَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ
65. Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada
Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! jika engkau (dan
pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah
akan (terhapus) gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang
rugi
(az-Zumar:65).
Terhapus dan gugurnya amalan Rasulullah s.a.w. dan baginda dikatakan akan tetap termasuk dalam orang-orang yang rugi, digantungkan (dikaitkan) dengan (syarat)
perbuatan syirik (mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah) dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Padahal syirik adalah suatu yang mustahil dan tidak mungkin
berlakunya pada mana-mana nabi pun, termasuk juga Nabi kita Muhammad s.a.w. Inilah bukti kebenaran qaedah ke-49 yang menyebutkan: "Syarat (yang disebut untuk sesuatu perkara) tidak semestinya menghendaki (bererti) keharusan berlakunya."
(2)
قُلۡ إِن كَانَ لِلرَّحۡمَـٰنِ وَلَدٌ فَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡعَـٰبِدِینَ
81. Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): Kalau betul
Allah Yang Maha Luas RahmatNya, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang mula-mula sekali akan menyembah anak itu;(tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)! (az-Zuhruf:81).
Nabi Muhammad s.a.w. dikatakan akan menjadi orang yang mula-mula sekali menyembah anak Allah jika ia memang betul-betul ada. Dan Allah pula diandaikan jika mempunyai anak. Padahal kedua-duanya mustahil ada. Mustahil Allah ada anak dan mustahil juga Nabi s.a.w. akan menyembah anak Allah yang mustahil adanya itu. Bagaimanapun Allah menyuruh NabiNya Muhammad s.a.w. berkata kepada orang-orang musyrikin yang percaya Allah mempunyai anak supaya berkata seperti yang tersebut di dalam firman Allah itu. Ini membuktikan kebenaran qaedah ke-49 yang
diberikan di atas, bahawa: "syarat (yang disebut untuk sesuatu perkara) tidak
semestinya menghendaki (/bererti) keharusan berlakunya."
(3)
لَوۡ أَرَدۡنَاۤ أَن نَّتَّخِذَ لَهۡوًا لَّٱتَّخَذۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّاۤ إِن كُنَّا فَـٰعِلِینَ
Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya. (al-Ambiyaa':17).
Firman Allah di atas mengandaikan Allah dengan suatu andaian yang mustahil, iaitu jika Dia hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah diambilNya hiburan dari
sisiNya tanpa ada siapa pun dapat menghalangNya daripada kehendakNya. Ternyata
Dia tidak melakukan apa yang tersebut itu dan tidak menghendakinya, kerana ia
adalah suatu yang mustahil kepadaNya, bagaimana pula Dia akan menghendakinya?!
Firman Allah ini termasuk dalam bab menggantungkan sesuatu yang mustahil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan