Isnin, Oktober 26, 2020

Misykatul masabiih hadis 003syarahan

Misykatul masabiih hadis 003syarahan

٣- وعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ : قَالً رسول اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ " الإيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُوْنَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا : قَوْلُ لَا إِلهَ إِلَّا اللهُ وَأَدْنَاهَا : إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيْمَانِ "  -  متفق عليه

3- Abu Hurairah r.a.⁶⁸ meriwayatkan, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Iman mempunyai lebih daripada tujuh puluh cabang.⁶⁹  Yang paling istimewa dan utama
daripadanya ialah لَا إِلهَ إِلَّا الله(tiada tuhan melainkan Allah). Yang paling rendah dan mudah daripadanya (pula) ialah menghilangkan apa-apa yang mengganggu (orang ramai) daripada jalan (yang dilalui mereka).⁷⁰  (Sifat) Malu adalah (salah) satu cabang besar iman."⁷¹ (Bukhari-Muslim).
___________________________________________________________

⁶⁸Abu ' Hurairah ad-Dausi al-Yamaani, salah seorang sahabat agung Rasulullah s.a.w. Beliau terkenal sebagai seorang hafiz dan faqih di kalangan sahabat. Selain itu Abu Hurairah juga terkenal sebagai seorang sahabat yang kuat beribadat dan sangat merendah diri. Para ulama' berbeza pendapat tentang nama sebenar beliau. Yang paling masyhur antaranya semasa jahiliyyah ialah 'Abdu Syamsin atau 'Abdu 'Amrin. Nama beliau selepas memeluk agama Islam pula menurut kebanyakan ulama' ialah 'Abdur Rahman atau 'Abdullah. Kata Abu Ahmad al-Haakim di dalam kitabnya al-Kuna: "Nama Abu Hurairah yang paling sahih di sisi kami ialah 'Abdur Rahman bin Shakhr." Bagaimanapun Abu Hurairah lebih popular dengan nama kunyahnya sehingga nama sebenarnya tidak diketahui ramai orang. Abu Hurairah memeluk agama Islam pada tahun berlakunya perang Khaibar. Beliau turut hadhir dalam peperangan itu bersama-sama Nabi s.a.w. dan para sahabat yang Iain. Setelah berangkat ke Madinah Abu Hurairah bertungkuslumus menghafal dan mempelajari hadits-hadits Rasulullah s.a.w. tanpa menghiraukan dirinya lagi. Kadang-kadang dia mengalami kebuluran dan jatuh pengsan kerananya. Hampir-hampir beliau tidak meninggalkan Rasulullah s.a.w. demi mengaut sebanyak mungkin ilmu Baginda. Ketika ramai di kalangan sahabat sibuk dengan perniagaan atau kebun-kebun mereka, Abu Hurairah pula terus tekun belajar. Rasulullah s.a.w. sendiri menyaksikan betapa besarnya keinginan dan minat Abu Hurairah terhadap ilmu yang diajarkan oleh Baginda. Pada suatu hari Abu Hurairah berkata: "Wahai Rasulallah, sesungguhnya saya telah banyak mendengar hadits-hadits daripadamu. Tapi saya terlupa. Maka Rasulullall s.a.w. bersabda: "Hamparkan selimutmu itu." Kata Abu Hurairah: "Setelah saya menghamparkannya, Rasulullah s.a.w. semacam menceduk sesuatu ke dalamnya. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: "Dakaplah selimut itu. Saya
terus mendakapnya. Selepas itu saya tidak lupa apa-apa lagi (daripada hadits-hadits Rasulullah s.aw.)."
(Hadits Bukhari dan Tirmizi).

Imam Bukhari berkata: "lebih lapan ratus orang sahabat dan tabi'in telah meriwayatkan hadits daripada beliau. Antara sahabat yang telah meriwayatkan hadits daripada Abu Hurairah ialah Ibnu 'Abbaas, Ibnu 'Umar, Jaabir bin Abdillah, Anas dan Waatsilah r.a. Abu Hurairah terus menetap di Madinah dan di sanalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 57H ketika berumur 78 tahun. Para 'ulama' sekata tentang Abu Hurairah adalah sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadits. Sebanyak lima ribu tiga ratus enam puluh empat (5,364) hadits telah diriwayat oleh beliau. Bukhari dan Muslim telah sama-sama meriwayatkan sebanyak tiga ratus dua puluh lima hadits (325) daripada Abu  Hurairah. Bukhari bersendirian tanpa Muslim telah meriwayatkan daripada beliau sebanyak sembilan puluh tiga (93) hadits. Muslim pula bersendirian tanpa Bukhari telah meriwayatkan  daripada beliau sebanyak seratus sembilan puluh (190) hadits.

⁶⁹ Riwayat ini menyebutkan lebih daripada tujuh puluh cabang (بِضْعٌ وَسَبْعُوْنَ شُعْبَةً). Inilah yang terdapat di dalam riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaa'i.

Sebenarnya riwayat berbeza-beza dalam menyebutkan bilangan di sini. Di dalam riwayat Bukhari tersebut lebih daripada enam puluh cabang (بِضْعٌ وَسِتُّوْنَ شُعْبَةً). Di dalam sesetengah riwayat yang lain pula tersebut أَرْبَعٌ  وَسِتُّوْنَ(enam puluh empat), سبع وسبعون (tujuh puluh tujuh) dan macam-macam lagi. Pada zahimya ia  kellhatan bertentangan. Sebenarnya tidak ada pertentangan antara riwayat-riwayat itu. Kerana  bilangan-bilangan seperti ini tidak lebih daripada satu kinayah (bahasa kiasan) yang diguna untuk  menunjukkan banyaknya jumlah cabang- cabang iman itu semata-mata. Sama sekali ia tidak  diguna untuk menunjukkan bilangan tertentu yang ditunjuki angka-angkanya. Di dalam hadits  Ibnu 'Umar yang lalu Nabi s.a.w. mengumpamakan Islam dengan sebuah khemah yang tegak teguh kerana tiang seri dan pancang- pancangya. Menerusi hadits Abu Hurairah ini pula Baginda s.a.w. mengumpamakan iman dengan sepohon pokok yang mempunyai dahan-dahan dan ranting rantingnya. Pada dahan-dahan dan ranting-ranting itulah berpaut daun-daun dan buah-buah pokok. Semua yang tersebut itu merupakan bahagian-bahagian daripada sepohon pokok .Pokok ada kalanya berdahan, berdaun dan berbuah. Ada kalanya pula tidak .Dalam keadaan ia tidak berdahan, berdaun dan berbuah bukankah ia tetap dipanggil pokok, walaupun pokok yang tidak sempurna atau pokok yang hampir mati kerana sudah ada tanda-tandanya? Begitulah juga dengan iman. Iman yang sempurna akan melahirkan sifat-sifat yang mulia dan amalan-amalan yang baik Tetapi kadang-kadang tidak begitu. Walaupun ada iman, buah dan hasilnya tiada. Sifat-sifat yang mulia dan amalan-amalan yang baik itu kepada iman sama seperti dahan, ranting, daun, bunga dan buah kepada pokok.  Apakah yang dikehendaki dan yang diharapkan daripada sepohon pokok? Sudah tentu yang sempurna dengan dahan, ranting, daum bunga dan buahnya. Apakah pula yang dikehendaki dan yang diharapkan daripada iman seseorang? Sudah tentulah sifat-sifat mulia dan amalan-amalan baik yang terhasil daripadanya. Lihatlah betapa indahnya perumpamaan yang dibuat oleh Rasullah saw itu.

⁷⁰ Perkataan di dalam sabda Baginda di atas mengandungi dua pengertian.
(1) Yang paling rendah daripada segi darjat dan martabatnya.
(2) Yang paling mudah daripadanya untuk dibuat atau dilaksanakan.
Perkataan أفضلها sebelumnya mengisyaratkan kepada hak-hak Allah yang perlu dijaga .Perkataan أدناها itu sendiri pula mengisyaratkan kepada hak-hak hamba atau hak-hak sesama manusia. Hadits ini sesungguhnya hendak mengingatkan kita umat Islam kepada tanggungiawab mereka terhadap   Allah dan tanggungjawab mereka terhadap sesama manusia. Umat Islam dituntut menjaga hak-hak Allah dan juga hak-hak manusia. Daripada hak-hak Allah disebutkan yang teristimewa dan yang paling utama. Daripada hak-hak manusia pula disebutkan yang paling rendah dan senang dibuat. Dengan menyebutkan yang tertinggi dan yang paling rendah daripada hak-hak Allah dan manusia itu termasuklah hak-hak lain di antara kedua-dua hak yang tersebut itu. Kesimpulannya ialah untuk menjadi seorang mu'min yang sempurna anda perlu sekali menunaikan semua hak Allah dan hak manusia sesama manusia.

⁷¹ Beberapa kemusykilan ditimbulkan tentang kenapa sifat malu merupakan satu cabang besar daripada iman.

Pertama: Sifat malu telah termasuk dalam cabang-cabang iman yang disebutkan sebelumnya.
Kenapa pula ia disebutkan secara khusus? Dua jawapan telah oleh para ulama' untuk merungkai kemusykilan ini, iaitu:
(1) la sangat membantu dan merupakan faktor penting dalam melahirkan cabang-cabang iman yang lain.
(2) Oleh kerana ia merupakan naluri dan sifat semula jadi manusia, mungkin sesetengah pihak mempertikaikannya sebagai salah satu cabang iman. Kerana itulah Rasulullah s.a.w. menyebutkannya secara khusus.

Kedua: Bagaimana sifat malu akan menjadi satu cabang atau sebahagian daripada iman, sedangkan ia adalah satu naluri manusia yang berada di luar daripada batas ikhtiarnya? Iman pula adalah sesuatu yang dituntut Allah dan ia memang termasuk dalam batas ikhtiar manusia? Jawapan kepada kemusykilan ini juga ada dua, iaitu:
(1) Sifat malu dikira sebagai sebahagian daripada iman memandangkan hasil dan natijahnya. Hasil dan natijah daripada sifat malu ialah meninggalkan perbuatan yang keji. Oleh kerana meninggalkan perbuatan yang keji itu sememangnya termasuk dalam batas ikhtiar manusia, maka punca kepadanya iaitu sifat malu dikira sebahagian daripada iman juga.
(2) Sifat malu yang dikira sebagai sebahagian iman itu ialah yang digunakan pada tempat yang sewajarnya.

Ketiga: Bagaimana kita akan mengatakan sifat malu itu satu cabang besar atau sebahagian yang penting daripada iman, padahal ia ada juga pada sesetengah orang kafir? Bahkan adakalanya mereka lebih kaya dengan sifat itu?? Kemusykilan ini boleh terungkai dengan dua jawapan berikut:
(1) Sifat malu yang ada pada orang-orang kafir itu bukan iman. Kerana ia bukan malu yang sebenar-benarnya atau malu yang hakiki. Bagaimana orang-orang kafir itu akan dikatakan bersifat dengan sifat malu sebenar, kalau mereka tidak malu kepada Tuhan yang sebenar Tuhan yang memberikan segala-segalanya kepada mereka tidak disembah. Yang disembah sebaliknya adalah tuhan-tuhan ciptaañ mereka sendiri!. Sifat malu yang ada pada mereka itu sebenarnya hanyalah sifat malu hasil cetusan adat dan budaya semata-mata, tidak lebih dari itu.
(2) Tidak semestinya apabila seseorang mempunyai beberapa ciri keimanan, dia terus menjadi orang mu'min. Sebagaimana tidak mesti dengan sebab adanya beberapa sifat kufur, seseorang mu'min akan terus menjadi kafir.

Percaya atau tidak percaya (iman dan kufur) adalah dua perkara yang berkait dengan hati. Tidak setiap perbuatan dan tindakan seseorang manusia itu benar-benar menggambarkan apa yang dipercayai dan diyakininya. Malu yang menghalang seseorang daripada menjunjung titah perintah Allah dan meninggalkan laranganNya bukan malu sebenarnya. la lebih merupakan sifat lemah dan leceh. Malu yang dikira sebagai sebahagian daripada iman itu ialah malu syar'i (menurut kaca mata syari'at Islam), bukan malu surfi (menurut adat dan budaya tertentu). Hafiz Ibnu al-Qaiyyim di dalam kitabnya Madaariju as-Saalikin membahagikan malu kepada sepuluh bahagian. Beliau membincangkannya secara terperinci di dalam kita tersebut. Elok sekali rasanya kalau pembahagian itu dikemukakan dalam bentuk ringkasan dan rumusan di sini: (1) حياء الجناية Malu kerana berasa bersalah. Antara contohnya ialah Nabi Adam a.s. apabila Baginda lari ke sana kemari di dalam syurga setelah melanggar pesanan Allah. Pada ketika itu Allah bertanya Baginda: "Adakah kamu lari daripadaku wahai Adam?" Jawab Adam a.s.: "Tidak Tuhanku, sebenarnya aku malu kepadaMu." Termasuk dalam bahagian ini juga rasa malu para rasul di Mahsyar nanti. (2)حياء التقصير Malu kerana berasa belum melaksanakan sesuatu sebagaimana sepatutnya. Antara contohnya ialah malunya para malaikat yang bertasbih siang dan malam tanpa henti itu kepada Allah. Kerana pada hari kiamat mereka masih Iagi berkata:
سبحانك ما عبدناك حق عبادتك
(Maha Suci Engkau Tuhan! Kami masih belum beribadat kepadaMu sebagaimana sepatutnya).

(3) Perkataan حياء الاجلتل Malu kerana terlalu memuliakan seseorang dan kerana sedar akan kedudukannya yang amat tinggi. Antara contohnya inilah malunya 'Amar bin al-'Aash r.a. kepada Nabi s.a.w. bin al-Aash r.a. menceritakan, kata beliau:
فَوَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَشَدَّ النَّاسِ حَيَاءً مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَلَا رَاجَعْتُهُ بِمَا أُرِيدُ حَتَّى لَحِقَ بِاللهِ عَزَّ وَجَلَّ حَيَاءً مِنْهُ
Bermaksud: ”Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang yang paling malu kepada Rasulullah s.a.w. Kerana malulah mataku tidak pernah puas melihat Baginda s.a.w. Tidak juga aku dapat mengemukakan kehendakku kepadanya, sehinggalah Baginda s.a.w. menemui Allah."
(Hadits riwayat Ahmad).

(4) Perkataan حياء الكرم Malu berkata atau bertindak kerana menjaga hati .Antara menyuruh beberapa orang sahabatnya yang masih leka berbual-bual setelah selesai menjamu selera mereka supaya pulang. Peristiwa ini berlaku ketika kenduri kahwin Baginda s.a.w. dengan Zainab r.a.

(5) Perkataan  حياء الحشمة Malu kerana ada hubungan persemendaan dengan seseorang. Antara contohnya ialah malunya Saiyyidina 'Ali bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hukum air mazi, mengingatkan Rasulullah s.a.w. itu adalah mertuanya

(6)Perkataan حياء الاستحقار واستصغار النفس Malu kerana berasa hina diri. Antara contohnya ialah malunya Nabi Musa as. apabila hendak meminta sesuatu keperluan duniawinya. Kata Baginda a.s.:
يا رب إن٥ لتعرض لي الحاجة من الدنيا فاستحي أن أسالك اياها يا رب
Tuhanku! Sesungguhnya aku ada hajat duniawi. Tetapi aku malu memintanya denganMu Tuhanku!" Atau seperti seseorang berasa malu untuk  berada di samping orang yang sangat  .

(7)Perkataan  حياء المحبة  Malu kerana cinta. Hakikatnya ialah malu seseorang kekasih kepada kekasihnya. Kesannya ternyata misalnya apabila wajah orang yang dicintai terbayang di dalam hati. Ia boleh menyebabkan wajah orang yang bercinta berubah kerananya.

(8)Perkataan  حياء العبودية Malu kerana sedarkan (menginsafi) diri hanya seorang hamba.Perasaan ini timbul hasil percampuran dua perasaan lain iaitu rasa Cinta dan rasa takut. Seseorang yang mempunyai perasaan malu ini akan merasakan dirinya tidak layak menjadi hamba pun kepada Tuhannya. Dia merasakan kedudukan Tuhannya sangat agung, tidak mampu dicapai oleh kedudukannya yang sangat hina.

(9)Perkataan حياء الشرفف والعزة Malu kerana kemuliaan jiwa dan keluhuran budi. Orang yang berjiwa mulia dan berbudi luhur akan berasa malu apabila telah melakukan sesuatu yang rendah dan tidak layak dengan dirinya.

(10)  Perkataan  حياء المرء من نفسه Malu seseorang kepada dirinya sendiri. Perasaan malu ini timbul di dalam hati orang yang berjiwa mulia apabila jiwanya berpuas hati dengan sesuatu yang rendah. Ia seolah-olahnya menyesali perasaan puas hatinya terhadap sesuatu yang rendah itu. Inilah perasaan malu yang paling tinggi dan sempurna. kerana apabila seseorang malu kepada dirinya sendiri, sudah tentulah kepada orang-orang lain dia akan lebih malu. Antara pengajaran dan panduan yang dapat diambil daripada hadits ini ialah:
(1) Iman adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana ia membuahkan banyak sekali sifat-sifat yang baik dan mulia. (2) Iman diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai sepohon pokok. Pokôk sempurna ialah yang berdahan, berdaun, berbunga dan berbuah. Demikian juga iman, iman yang sempurna ialah yang mendorong orang yang memilikinya bersifat dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.
(3) Konsep tauhid merupakan unsur yang paling utama dan istimewa dalam iman.
(4) Iman menuntut kita menjaga hubungan dengan Allah s.w.t dan hubungan sesama manusia.
(5) Tuntutan iman tidak sama tarafnya, Ada yang berat dan ada juga yang mudah dilaksanakan.
(6) Keelokan membuat perumpamaan dalam pengajaran dan pendidikan. Kesannya amat mendalam kepada jiwa manusia.
(7) Sifat malu sejati adalah satu sifat yang berkait rapat dengan iman. Selain Bukhari dan Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasaa'i, Ibnu Majali, Ahmad, Ibnu Ilibbaan, at-Thabaraani, Baihaqi dan lain-lain juga turut meriwayatkan hadits ini,

56






Tiada ulasan:

Catat Ulasan