Halaman

Selasa, Januari 26, 2021

Daurah tafsir 2019 sesi 17(44)nota 14(295)

Daurah tafsir 2019 sesi 17(44)nota 14(295)

Zaman Diturunkan
Surah ad-Dukhan diturunkan di permulaan peringkat ketiga kehidupan Rasulullah s.a.w. di Mekah antara tahun ke-6 hingga ke-10 Kenabian, besar sekali kemungkinan ia diturunkan ketika berlakunya kemarau yang dahsyat pada tahun ke-7 Kenabian bersama-sama Surah al-Jaatsiyah.
Dalam rangkaian حَوامِيم  ia merupakan surah yang ke-5.
Pada masa itu, macam-macam kritikan dan tuduhan dibuat oleh orang-orang musyrikin Mekah terhadap Rasulullah s.a.w., baginda dituduh gila, dirasuk hantu مُعَلَّم (seorang yang diajar), orang-orang Quraisy berada dalam keraguan tentang kewujudan hari akhirat, mereka diancam akan dihukum pada hari kiamat. Perangai orang-orang Quraisy betul-betul seperti perangai Fir'aun dan penyokong-
penyokongnya yang bermaharajalela di muka bumi. Menggunakan perkataan: 'Tunggulah' (فَارْتَقِب); Rasulullah s.a.w. dipujuk dan dalam masa yang sama orang-orang Quraisy diancam bahawa dalam masa beberapa tahun sahaja lagi keadaan akan menjadi terbalik.

Perkaitan Surah Ad-Dukhan Dengan Surah Sebelum Dan Selepasnya
1. Di dalam Surah az-Zukhruf telahpun dijelaskan tentang tauhid tasyri' dan tauhid haakimiyyah dalam bentuk positif, di dalam Surah ad-Dukhan ini pula perkara yang sama diperjelaskan dalam bentuk negatif dengan menjadikan sikap Fir'aun sebagai contohnya.

2. Sikap Fir'aun dalam عُلُوْ فِي الارض (berrmaharajalela) di muka bumi adalah hasil dan akibat daripada 'aqidah شِرك فِي التَّشرِيع (syirik dalam menerima orang lain selain Allah mempunyai hak untuk membuat peraturan dan undang-undang kepada manusia) dan شِرك فِي الحاكمية  (syirik kerana menerima orang lain selain Allah sebagai hakim dan pemutus perkara).

Beberapa Kata Kunci Dan Tema Utama Surah
1. Di dalam Surah ad-Dukhan al-Qur'an dikatakan sebagai كِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ  (kitab yang jelas) (Ayat: 2), Qur'an juga dikatakan sebagai rahmat (Ayat: 6), melalui perkataan  يَسَّرْنَٰهُ بِلِسَانِكَ diperjelaskan bahawa al-Qur'an  diturunkan dalam Bahasa Arab supaya mudah difahami oleh orang-orang Arab yang mula-mula menerimanya (Ayat: 58).

Ad-Dukhan 44:2
وَٱلْكِتَٰبِ ٱلْمُبِينِ 
Demi Kitab (Al-Qur'an) yang jelas,

Ad-Dukhan 44:6
رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ 
sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui,

Ad-Dukhan 44:58
فَإِنَّمَا يَسَّرْنَٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ 
Sungguh, Kami mudahkan Al-Qur'an itu dengan bahasamu agar mereka mendapat pelajaran.


2. Tuduhan orang-orang Quraisy bahawa Rasulullah gila, dirasuk dan diajar oleh pihak tertentu yang tidak diketahui siapa sebenarnya dijawab dengan al-Qur'an berbahasa Arab yang mudah difahami dan terang maknanya (Ayat: 14).

Ad-Dukhan 44:14
ثُمَّ تَوَلَّوْا۟ عَنْهُ وَقَالُوا۟ مُعَلَّمٌ مَّجْنُونٌ 
kemudian mereka berpaling darinya dan berkata, “Dia itu orang yang menerima ajaran (dari orang lain) dan orang gila.”

295

Tiada ulasan:

Catat Ulasan