Halaman

Rabu, April 06, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0017-24ss19/2/2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0017-24ss19/2/2022

٣ - بَابُ مَنْ رَفَعَ صَوْتَهُ بِالْعِلْمِ
Bab (3): Orang Yang Mengangkat Suaranya Untuk Menyampaikan Ilmu.²⁰

٦٠- حَدَّثَنَا أَبُو النُّعْمَانِ عَارِمُ بْنُ الْفَضْلِ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِي بِشْرٍ عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ تَخَلَّفَ عَنَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَتْنَا الصَّلَاةُ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثً.

[Lihat athrāf ĥadīts ke-60 ini pada: 96, 163].

60–Abu an-Nu`mān `Aarim bin al-Fadhli meriwayatkan kepada kami, katanya, Abu `Awānah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Bisyr²¹ daripada Yusuf bin Māhak²² daripada `Abdillah bin `Amar,²³ katanya: “Pernah Nabi
s.a.w. ketinggalan di belakang kami dalam satu perjalanan.²⁴ Kemudian Beliau s.a.w. sempat sampai kepada kami ketika kami sedang berwudhu’ di penghujung 
waktu shalat.²⁵ (Dalam keadaan mahu cepat) Kami hanya menyapu²⁶ bahagian atas kaki kami sahaja. Maka Baginda s.a.w. berteriak dengan setinggi-tinggi suaranya:²⁷ “Kecelakaan²⁸ berupa api neraka untuk tumit-tumit.”²⁹ (Nabi s.a.w. berkata begitu) dua atau tiga kali.³⁰

- inilah riwayat Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash
_______________
-Balik semula بَابُ مَنْ رَفَعَ صَوْتَهُ بِالْعِلْمِ
- jelas nabi saw yang meninggikan suara tapi IB tak sebut.
Dia nak umumkan untuk sesiapa sahaja.
- tidak dikira biadap atau tidak sopan.
- nabi saw ikutan kita dan tidak khusus untuknya.
Itulah makna مَنْ

sharif baca.

²⁰ Tajuk bab yang dibuat oleh Imam Bukhāri ini bertujuan memberitahu bahawa perkara yang sangat berharga seperti ilmu sememangnya mempunyai adab dan disiplin tersendiri untuk diperolehi.

Seperti pada bab sebelum ini, ĥadīts yang dikemukakan di bawahnya ialah berkaitan dengan ahli ilmu yang ditanya oleh seseorang ketika dia sedang mengajar dan 
berbicara dengan orang ramai. Tindakan Nabi s.a.w. dalam ĥadīts tersebut mengisyaratkan juga kepada adab dan etika yang betul dalam menanyakan persoalan.

Tajuk bab ini pula dibuat untuk menghilangkan kekeliruan tentang kemestian seseorang itu bercakap dengan suara yang perlahan dan lembut ketika menyampaikan ilmu, terutamanya ilmu-ilmu agama, semata-mata untuk menjaga adab.
- ini masih dengan adab atau displin.

Memanglah sebahagian daripada sifat dan perangai Nabi kita Muĥammad s.a.w. dalam keadaan biasa adalah seperti tersebut di dalam ĥadīts berikut:
لَيْسَ بِفَظٍّ وَلَا غَلِيظٍ وَلَا سَخَّابٍ فِي الْأَسْوَاقِ
Bermaksud: Dia (Nabi Muĥammad) bukanlah seorang yang kasar dan keras, bukan juga seorang yang suka berteriak dan bertempik di pasar-pasar. 
(Ĥadīts riwayat Bukhāri, Tirmidzi, ad-Dārimi)...

Dan itu bukan sahaja sifat dan perangai Nabi kita , malah sifat dan perangai nabi-nabi lain sebelumnya. Orang-orang yang bijaksana dan cendekiawan di setiap zaman juga 
memang mengajar masyarakat supaya beradab dan beretika dalam kehidupan. Apabila bercakap, maka hendaklah dengan suara rendah dan lembut. Lihat bagaimana Luqmān al-Ĥakīm mengajarkan adab kepada anaknya, seperti tersebut di dalam al-Qur’ān:
Luqman 31:19
وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ 
Bermaksud: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa bercakap), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai 
(Luqmān:19).

Ĥadīts yang akan disebutkan nanti menghilangkan kekeliruan tadi, kerana ia mengemukakan contoh Nabi s.a.w. sendiri yang menguatkan suaranya untuk mengajar para Shaĥabat tentang perkara yang penting dan perlu diberikan peringatan serta penekanan yang lebih, sekaligus ia memberikan panduan kepada umat Islam tentang keutamaan ilmu dan keelokan menguatkan suara pada tempat yang sepatutnya.

Dari sudut yang lain pula boleh juga dikatakan bahawa Imam Bukhāri ingin memberitahu pembacanya tentang perkara kedua yang perlu diketahui setelah ilmu tentang keimanan, iaitu ilmu berkenaan dengan ibadat.
- sebelum ini kitab iman.
- kemudiannya berkenaan ibadat.
- wuduk perlu untuk mengsahkan ibadat.
- beribadat bermula dengan wuduk.
- inilah disebutkan.

Ĥadīts yang dibawakan di bawah tajuk bab ini menceritakan tentang kepentingan wudhu’ yang menjadi syarat sah bagi ibadat yang paling utama dan sentiasa dilakukan setiap hari di sepanjang hayat, iaitu sembahyang 5 waktu.

Tajuk bab kemudian pula menceritakan tentang disiplin yang lain dalam penyampaian ilmu, yang tidak kurang juga pentingnya. Ia berkaitan dengan keshaĥīĥan sumber 
ilmu dan cara meriwayatkannya.
- ini bab ke4 akan datang.
-sumber ilmu mesti sahih.


Di dalam Syarah Tarājim Abwāb al-Bukhāri Shah Waliyyullah menulis:
Tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini ialah kerana sifat Rasulullah s.a.w.sebagaimana tersebut di dalam ĥadīts adalah:  ليس بِصَخَابٍ فِي الأَسْوَاقٍ ( tidak suka berteriak dan bertempik), sedangkan dalam peristiwa yang tersebut di dalam ĥadīts ke-60 ini pula jelas menceritakan Baginda telah berteriak dan bertempik. Maka yang dinafikan ialahberteriak dan bertempik dalam bermain dan bersuka ria, bukan dalam menyampaikan ilmu dan hukum-hakam. Lihat Syarah Tarājim Abwāb al-Bukhāri m/s 15).

Syeikhul Ĥind Maulana Maĥmūdul Ĥasan di dalam al-Abwāb Wa at-Tarājim berkata:“Bercakap dengan suara yang luar biasa kuat dalam keadaan biasa memanglah bukan perangai Nabi kita, dan ia bukan sahaja tidak sesuai dengan kedudukan Beliau s.a.w., malah tidak sesuai juga digunakan dalam pengajaran ilmu agama. Bagaimanapun 
ĥadīts bab ini menunjukkan keharusan mengangkat suara bila perlu, malah ia elok dalam keadaan itu. Adapun mengangkat suara kerana kesombongan dan keangkuhan 
atau kerana sikap tidak pedulikan orang , maka itu memanglah tercela.” 
(Lihat al-Abwāb Wa at-Tarājim m/s 43).

Maulana Zakariya pula berpendapat, ada dua tujuan Imam Bukhāri mengadakan tajuk bab ini. 
Pertama, menyatakan adab guru. Guru boleh mengangkat suara bila perlu, supaya pengajarannya didengar oleh semua pelajar dengan baik. 
Kedua, menyatakan keelokan mengangkat suara ketika dharurat. Ini kerana terdapatnya ĥadīts-ĥadīts memuji percakapan dengan suara yang rendah dan lembut. Selain itu terdapat juga ĥadīts-ĥadīts yang mencela percakapan dengan suara yang kuat. 
(Lihat al-Abwāb Wa at-Tarājim Li Shaĥīĥ al-Bukhāri j.1 m/s 40).
Minit 14
-ini lebihkurang tajuk bab IB apa maksudnya
- bincang khusus
-2atau 3 orang pengarang abwakwatarojim.
- penting dibincangkan sebab memudahkan kita memahami  mazhab dan fikhnya.
- di India dan Pakistan belajar sahih bukhari dan menekankan soal tajuk bab menjadi sistem mereka
Ini akan nampak betapa kehebatan IB, pengajaran hadits dalam bentuk tajuk bab.
- sekarang tentang ilmu.
-sebelum ini telah ditunjukkan dan ini lagi ingin ditunjukan.
Minit 16
-syarahan2 tajuk bab ada banyak.
-mmay tunjukkan kitab2nya
Minit 21
Sheikh  Waliyullah
Syeikhul Hind
-tempat belajar hadits memang ambil berat tajuk2 bab.
- makna athrāf telah disebutkan sebelum ini.
-boleh tengok semua hadits bila panduan athrāf
Minit 24 tentang Abu Annu'man.
Dalam jilid pertama
Hadits 58
Biodata Abu Nu' man(Muhamad bin Al-Fadhl)
أبو النعمن(محمد بن الفضل السدوسي البصري )
Beliau ialah Muhamad bin al-Fadhl as-Sadusi Bashri. Abu an-Nu'man itu ialah kuniah Muhamad bin al-Fadhl as-Sadusi Bashri.Laqad atau gelarannya pula ialah Aarim. Beliau lebih popular dengan kuniahnya itu(Abu Nu'man)
Abu Nu'man meriwayatkan hadits daripadaTsabit bin Yazid al-ahwal, Jarir bin Hazim. Hammad bin Salamah,Abdullah bin al- Mubarak,Abdul Aziz  bin Muhamad ad-Darawardi, Abdul Wahid bin Ziyad, Mu'tamir bin Sulaiman, Mahdi bin Maimun ,Abu Awanah Waddhah bin Abdillah dan lain-lain.

Imam Bukhari , Ibrahim bin Harb al-Askari, Ahmad bin Hambal,Hajaj bin asy-Syair, Abdullah bin Muhamad al-Musnadi, Abd bin Humaid,Abu Zur'ah Ubaidullah bin Abdil Karim ar-Razi,Abu Hatim  ar-Razi, Muhamad bin al-Mutsanna.  Muhamad bin Yahya adz-Dzuhli, Ya'kub  bin Syaibah as-Sadusi lain-lain orang-orang  yang meriwayatkan hadits daripada beliau.

Abu Hatim berkata, Bila Aarim meriwayatkan  hadits kepadamu, maka engkau cap sajalah diatasnya

Muhamad bin Yahya adz-Dzuhli berkata :Abu Nu' man seorang perawi tsiqah dan sahih kitab catitannya

Muhamad bin Muslim bin Warah berkata: Aarim  bin al-Fadhl perawi shaduq lagi ma'min (perawi yang terpelihara riwayatnya)
Al-Ijli berkata: Abu Nu' man perawi Bashrah yang tsiqah, orang baik
Beliau juga berkata ,Hafizh ,teguh, imam
Abu Hatim  bin Hibban berkata, Ingatan Abu Nu' man telah bercelaru  diakhir hayatnya  dan aqalnya telah hilang. Sesiapa yang telah  mendengar sebelum  bercelaru ingatan dan aqalnya , maka  sama' sahih.Aku telah mulai menulis  hadits daripadanya pada tahun 214 hijrah sebelum berlaku  kecelaruan ingatan dan fikirannya.
Ditempat yang lain beliau berkata, Abu Nu' man perawi yang tsiqah. Orang yang mendengar  hadits daripadanya sebelum tahun 220, maka sama'nya bagus.

An-nasa'i berkata Abu Nu' man memang perawi tsiqah sebelum fikiranya celaru.

Hafizh Ibnu Jajar berkata Abu Nu' man perawi tsiqah.Ingatan berubah diakhir umurnya.

AlIjli berkata, Setahun atau dua tahun sebelum meninggal fikiran Abu Nu' man telah bercelaru.

Daripada keterangan yang lalu dapat disimpulkan bahawa sebagai seorang perawi tsiqah dan teguh, cuma ingatan dan fikirannya celaru beberapa tahun sebelum meninggal. Dan beliau telah meninggal pada  tahun 224 Hijrah.

Hafizh Ibnu Hajar berkata Imam Bukhari telah mendengar 
Abu Nu' man pada tahun 213 hijrah, lama sebelum berlaku kecelaruan fikirannya.

Daripada pengarang kutub Sittah hanya Bukhari mengambi daripadanya secara langsung. Adapun yang lain-lain semuanya dengan perantaraan  seseorang perawi yang lain.
Abu Nu' man meninggal dunia di Bashrah pada tahun 224 hijrah.
Minit 36
Abu Awanah?

²¹ Beliau ialah Ja`far bin Iyās al-Yasykuri. Abu Bisyr adalah kuniahnya. Beliau juga terkenal dengan kuniah Ibnu Abi Waĥsyiyyah al-Wāsithi al-Bashri. Kata Aĥmad, Yahya dan Abu Hātim, “Tsiqah.” Ibnu Sa`ad berkata, “Tsiqah, banyak meriwayatkan ĥadīts.” Abu Bisyr meninggal dunia pada tahun 124H. Ĥadīts-ĥadītsnya terdapat di dalam enam kitab utama ĥadīts.(kuttub sittah)
- perlu tahu sebab ada beberapa.
- kunyah mungkin dikongsi.

²² Beliau ialah Yusuf bin Māhak bin Bihzād al-Fārisi al-Makki. Selain mendengar dan meriwayatkan ĥadīts daripada ayahnya sendiri Māhak, beliau juga mendengar dan meriwayatkan ĥadīts daripada sahabat-sahabat seperti Ibnu `Umar, Ibnu `Amar, `Aaishah dan lain-lain.
Yahya, an-Nasā’i dan lain-lain mengatakan beliau perawi tsiqah. Ĥadīts-ĥadītsnya terdapat di dalam hampir semua kitab-kitab utama ĥadīts. Yusuf meninggal dunia 
pada tahun 113H.
-tarikh meninggal dunia penting diketahui

Izudin baca
²³ Seorang Shaĥabat istimewa Rasulullah s.a.w., ayahnya; `Amar bin al-`Aash merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Islam ke Mesir, juga merupakan seorang ahli politik yang besar seperti Sayyidina Mu`awiyah, Mughīrah bin Syu`bah dan lain-lain. Ramai ahli sejarah yang menyebutkan perkara yang tidak baik tentang `Amar bin al-`Aash tetapi ia adalah suatu penyelewengan sejarah. `Abdullah sendiri adalah seorang Shaĥabat yang suka beribadat, tidak seperti ayahnya yang menceburi bidang politik, minatnya kepada amal ibadah sehingga ada disebutkan dalam ĥadīts sebagai salah seorang Shaĥabat yang dimarahi Rasulullah kerana berhasrat mengabaikan tanggungjawab yang lain semata-mata kerana ingin beribadat:
 لَكِنِّي أَنَا أُصَلِّي وَأَنَا  وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ  وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Bermaksud: “Aku bersembahyang dan aku juga tidur, aku berpuasa dan juga tidak berpuasa, aku juga berkahwin dengan perempuan. Orang yang tidak suka kepada 
sunnahku, maka ia bukan dari kalanganku.”

Selain daripada ahli ibadat, beliau juga merupakan seorang ahli ilmu yang banyak mengajar, di zaman Nabi s.a.w. lagi beliau sudah ada mengumpulkan ĥadīts-ĥadīts
dalam bentuk penulisan sehingga menjadi kitab yang dipanggil الصحيفة الصديفة(lembaran yang shaĥīĥ) 
atau الصحفية الصديقة(lembaran yang benar). 
Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa `Abdullah bin `Amar melebihi dirinya kerana selain daripada menghafal dan menyebarkan ĥadīts melalui ingatan, beliau juga ada menulis ĥadīts.
-secara ringkas  berkenaan sahabat Abdullah bin Amr.

Biodata 'Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash(m/s 325) minit 47
Nama dan salasilah keturunan beliau secara lengkap adalah seperti berikut: 'Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash bin Wa'il bin Hasyim bin Su'aid bin Sahm as-Sahmi al-Quraisy.

Kuniah(nama panggilan) beliau ialah Abu Muhamad, Abu Abdir-Rahman dan Abu Nushair.

Ibu beliau bernama Raithah binti Munabbih bin al-Hajjaj bin 'Aamir bin Huzaifah bin Su'aid bin Sahm.
-bertemua keturunan

Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash merupakan salah seorang daripada empat 'Abdul (العَبادلة الأربعة) yang masyhur dikalangan shahabat kerana kelebihan  dan kehebatan mereka. Selain terkenal sebagai seorang shahabat yang sangat alim,  zahid ,abid ,muhajir dan sukakan kedamaian , beliau juga dikenali sebagai  seorang mujahid(pejuang). Beliau  juga adalah salah seorang shahabat  agung Rasullah saw  yang diketahui banyak meriwayatkan hadits- hadits baginda.. 
Ini salah seorang sahabat Nabi yang meminta izin  daripada Rasullah saw  untuk menulis  dan mencatat hadit-hadits  Baginda dan akhirnya beliau berjaya  menghasilkan  sebuah (himpunan) hadits  yang dipanggil   الصحيفة الصادقة
Kitab ini ditulis ketika Rasullah sawmasih hidup lagi. Abu Hurairah pernah berkata:
مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلَا أَكْتُبُ
Bermaksud:Tidaklah ada seorangpun dari sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang lebih banyak haditsnya dibandingkan aku, kecuali 'Abdullah bin 'Amru.Kerana dia menulis  saya pula tidak.
(atsar riwayat Bukhari, Tirmizi, Darimi, Ibnu Hibban, Ahmad dan at-Thahawi)
- kata2 Abu Hurairah bukan sepanjang masa, ini hanya suatu ketika.

Menurut setengah ulamak , semua riwayat  'Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash sampai kepada kita hanyalah sebanyak 700 hadits .Sebanyak 26 haditsnya terdapat dalam Bukhari.17 daripadanya dimasukan Bukhari dan Muslim didalam kitab Sahih mereka. 8 hadits daripadanya  hanya diriwayatkan oleh Bukhari sahaja tanpa Muslim dan 20 hadits daripadanya pula hanya diriwayatkan oleh Muslim sahaja tanpa  Bukhari. Berhubung dengan kenapakah  hadits-hadits  yang diriwayatkan daripada beliau  jauh  lebih sedikit  berbanding hadits-hadits  yang diriwayatkan oleh  Abi Hurairah ra padahal Abu Hurairah sendiri mengakui banyak  hadits diterimanya daripada Rasullah saw.
Kalau tidak lebih banyak daripada Abu Hurairah pun mungkin lebihkurang sama  banyak dengan Abu Hurairah.
Berikut adalah antara sebabnya:
(1)'Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash terkenal sebagai seorang shahabat yang sangat  kuat beribadat (ahli ibadat). Beliau  tidak banyak terlibat dalam bidang periwayatan dan pengajaran.

(2)Setelah jatuhnya empayar  Rom dan Farsi , Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash menetap di Mesir. Sebahagian  hidup beliau  dihabiskan  di Syam dan di Thaif.
Perhatian para pelajar dan penuntut ilmu  agama pada masa itu tidak tertumpu  sangat ketempat-tempat itu. Berbeza dengan Madinah , kerana ia merupakan  pusat  ilmu Islam dan tempat berhimpunnya sekian ramai shahabat.  Abu Hurairah menetap di Madinah dalam keadaan  menumpukan sepenuh perhatiannya kepada meriwayatkan  hadits, mengajar dan memberi fatwa kepada masyarakat umum . Ini juga antara sebab utama kenapa riwayat  Abu Hurairah  lebih banyak tersebar berbanding riwayat  'Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash ra

(3) Semasa di Mesir Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash ditugaskan oleh Sayyidina Umar memegang jawatan  gabenor atau ketua menteri . Jawatan itu disandang beliau ke zaman pemerintahan Sayyidina Muawiyah. Sudah tentulah sebagai ketua menteri beliau amat sibuk dengan tugas- tugas dan tanggungjawab-tanggungjawabnya.

(4)Sebelum ini telah pun disebutkan  bahawa  Abu Hurairah ra. pernah  mendapat doa khusus Rasullah saw menyebabkan  beliau tidak lupa apa saja yang didengar nya daripada  Rasullah saw. Ini juga antara faktor kenapa Abu Hurairah lebih yakin dalam menyampaikan hadits-hadits Rasullah saw berbanding para shahabat yang lain.

(5)Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash adalah  seorang  ahli ilmu  yang bukan sahaja mengkaji al-Quran dan hadits , beliau juga  banyak mengkaji  kitab- kitab  yang tersebar dikalangan ahli kitab. Cerita beliau kadang-kadang  bercampur- baur dengan cerita  yang berpunca daripada kitab-kitab ahli kitab itu kerananya setengah tokohntabiin tidak mahu mengambil riwayat beliau atau mereka lebih berhati-hati terhadap riwayat-riwayatnya.

(6)Pada asalnya Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash termasuk salah seorang shahabat yang bercadang  hendak  melakukan ibadat sepanjang masa. Antara ibadat  yang hendak  dilakukannya ialah berpuasa tiap-tiap hari, mengkhatam al-Quran  tiap-tiap hari, beribadat  sepanjang malam  dan mahu mengkhasi  diri supaya  tidak lagi mempunyai nafsu yang mungkin  menjadi penghalang kepadanya ibadat.Setelah dilarang keras oleh Rasullah saw amalan ibadat yang terus  dilakukan  oleh Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash sampai keakhir hayatnya dengan izin Rasullah saw ialah :
(a)Berpuasa selang sehari
(b)Mengkhatam al-Quran setiap minggu.
(c) Bersembahyang malam dengan membaca satu hizb daripada al-Quran  setiap malam. 

Tentu sekali orang yang beriltizam  dengan amalan-amalan seperti itu   disamping menjaga  dan melaksanakan  pula tanggungjawab  lain sebagai seorang Islam yang taat , tidak akan  mempunyai banyak masa lagi untuk mengajar dan meriwayatkan hadits.

Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash mendahului ayahnya memeluk agama Islam . Ibunya juga telah memeluk agama Islam. Perbezaan umur beliau  dengan ayahnya 'Amar, dikatakan hanya dua belas tahun sahaja. Berdasarkan  satu riwayat  yang dikemukakan  oleh Imam adz- Dzahabi didalam Tadzkiratul al- Huffazh, Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash meninggal dunia di Mesir pada tahun 75 Hijrah.
- itulah mengenai Abdullah bin 'Amar bin Al-'Aash

Hani baca
²⁴ Riwayat ini menyebutkan satu perjalanan secara umum begitu sahaja, tetapi riwayat Muslim menjelaskan perjalanan manakah yang dimaksudkan. Kata `Abdullah:
Minit 59
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ....
Bermaksud: Kami pulang bersama Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah.

Perjalanan pulang dari Mekah ke Madinah yang tersebut di dalam ĥadīts `Abdullah bin `Amar ini mungkin sekali semasa pulang daripada mengerjakan haji wadā`. 
Kerana beliau memang ada bersama dalam perjalanan itu. Mungkin juga semasa pulang dari ghazwah al-Fatĥ. Tetapi semasa pulang dari ghazwah al-Fatĥ itu tidaklah mereka pulang terus dari Mekah, sebaliknya dari Ji`rānah. Bagaimanapun boleh jugalah dikatakan perjalanan pulang dari Mekah mengambil kira Mekahlah tempat permulaan mereka bertolak pulang ke Madinah.Ada juga kemungkinan perjalanan yang dimaksudkan itu semasa pulang dari 
`Umratul Qadhā’ pada tahun ke-7 Hijrah. Pada tahun itulah dikatakan `Abdullah memeluk agama Islam.
Rasulullah s.a.w. dikatakan ketinggalan di belakang kami dalam perjalanan itu. Pada kebiasaannya pembesar- pembesar dunia berjalan mendahului orang-orang lain. Orang-orang yang mendahului mereka dianggap mencabuli kehormatan mereka. 

Berbeza keadaannya dengan Nabi kita Muĥammad s.a.w. Sebagai seorang Rasul yang tidak menyerupai raja-raja dan pembesar biasa, Baginda bukanlah orang yang sentiasa 
pertama sekali sampai di sesuatu tempat ketika dalam perjalanan.

Semuanya ini menunjukkan betapa tawadhu` dan merendah dirinya seorang nabi dan rasul.

1jam 01 minit
- menunjukan Nabi saw tidak kisah perkara2 seperti ini.
- banyak peristiwa seperti ini.
- tahun ke 7 

Fadil baca
²⁵ Berdasarkan beberapa riwayat, termasuk riwayat Bukhāri sendiri di dalam Kitab al-`Ilm ini di bawah باب من أعاد الحديث ثلاثا ليُفْهَمَ عَنه (bab orang mengulang cerita sebanyak 3 kali supaya difahami daripadanya) ĥadīts ke-96, dan di dalam Kitab Wudhu’ di bawah  باب غسل الرجلين ولا يمسح على القدمين ĥadīts ke 163 (bab membasuh kedua kaki dan tidak boleh menyapu kaki)  ,hadits 163 , shalat yang dimaksudkan ialah shalat `Ashar.
- pada hadits ini jelas bagi tau.sebab itu atraf perlu tahu dan tengok. Disitu disebut solat asar.

Didalam riwayat  tersebut أرهقَتْنَا الصَّلاةُ .Shalat sebagai Fā`il bagi أرهقَتْ . Kalau dibaca begini, maka ertinya ialah sembahyang telah membuatkan kami kesempitan(waktu ) atau kami telah berada di penghujung waktu shalat.

Berdasarkan riwayat ke-96 pula 
tersebut أرهقَتْنَا الصَّلاةُ Shalat sebagai maf`ūl. Maka ia bererti ‘kami telah melewatkan sembahyang'.

Ada juga riwayat menyebutkan أرهقَتْنَا الصَّلاةُ.  Shalat  sebagai Fā`il  seperti bacaan pertama. Ertinya juga sama dengan yang pertama. Riwayat ini juga betul mengambil kira perkataan as-Shalat bukan mu`annats ĥaqīqi.

Muhamad Hul
²⁶ Ma`na yang sebenarnya di sini bukanlah menyapu sahaja seperti yang dilakukan oleh golongan Syi`ah, tetapi membasuh dengan cepat, sesuai dengan penggunaan 
perkataan مسح dengan erti الغسل الخفيف (pembasuhan yang ringan atau ringkas). Maksudnya ialah oleh kerana kami telah berada dipenghujung waktu shalat `Ashar, 
kami dengan tergesa-gesa membasuh kaki kami dengan basuhan ringkas atau sedikit yang tidak meratai ke semua bahagian kaki. Oleh kerana cara basuhan seperti itu 
masih tidak memadai untuk wudhu’ dan ia tidak sesuai dengan ajaran al-Qur’ān dan Nabi s.a.w., Baginda menegur mereka dengan keras.
- dalam hadits sebut  الغسل الخفيف ,مسح(pembasuhan yang ringan atau ringkas bukan sapu macam syiah.


²⁷ Di sinilah terletak kesesuaian ĥadīts dengan tajuk babnya. Berteriak atau bertempik biasanya berlaku dalam keadaan kecemasan dan terdapat bahaya, contohnya ketika seseorang hampir dilanggar kereta, ketika berlaku kebakaran, ketika ada orang lemas dan sebagainya. 

Pelajar baca
Dalam keadaan dan suasana yang menuntut suara dikeraskan boleh saja seseorang menggunakan pembesar suara atau berteriak dan bertempik dengan tujuan menyampaikan ilmu atau mengingatkan orang-orang tertentu daripada mendapat bahaya.Rasulullah s.a.w. sendiri dalam kesempatan-kesempatan tertentu sering juga bercakap dengan suara yang tinggi dan keras. Jābir bin `Abdillah meriwayatkan, katanya:
 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ اِحْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. kalau berucap (berkhutbah), merah kedua belah matanya, suaranya meninggi dan kemarahannya memuncak. (Ĥadīts riwayat Muslim).

An-Nu`mān bin Basyīr meriwayatkan, katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. berucap, kata Baginda: “Aku memberi amaran kepadamu dengan neraka, aku memberi amaran kepadamu dengan neraka, aku memberi amaran kepadamu dengan neraka.” (Begitu kuat suaranya) sehingga kalau seseorang berada di pasar sana, 
niscaya ia mendengarnya (suara Nabi s.a.w. itu) dari tempatku ini. 

Di dalam riwayatnya yang lain tersebut begini:
 حتى لو كان رجل كان في أقصى السوق، سمعه،وسمع أهل السوق صوته، وهو على المنبر
Bermaksud: (Begitu kuat suaranya) sehingga kalau seseorang berada di penghujung pasar sana, niscaya ia mendengarnya (suara Nabi s.a.w. itu), dan suaranya didengari oleh orang-orang di pasar ketika beliau s.a.w. (berucap) di atas mimbar. (Lihat Musnad Aĥmad j.4 m/s 272).

Sampai di sini persoalan mungkin timbul bahawa adakah Nabi s.a.w. belum pernah mengajar para Shaĥabatnya cara berwudhu’? Jawapannya ialah tentu sekali Nabi s.a.w. telah mengajar mereka, cuma boleh jadi sebahagian dari mereka tidak mempraktikkannya sebaik mungkin kerana keadaan 
tergesa-gesa seperti telah disebutkan sebelum ini, atau mereka fikir sudah memadai dengan menyapu begitu kerana telah kesuntukan waktu.
- nabi saw telah ajar.
- tetapi tergesa-gesa sehingga tidak sah.
- solat tak kena cara sebab seperti tidak solat.
- penting sekali  belajar.

Pelajar baca lain
²⁸ Dalam terjemahan ini perkataan ويل diterjemahkan dengan kecelakaan. Selain memberi erti kecelakaan perkataan ويل juga mengandungi erti-erti lain seperti azab, 
seksaan, kerugian dan kebinasaan. 

Di dalam sesetengah riwayat tersebut:  ويل وادٍ في جهنم  Bermaksud: Wail adalah satu lembah / lurah di dalam neraka Jahannam. 

Di dalam riwayat lain pula tersebut 
ويل واد في جهنم يسيل منه صدِيدُ أهل النار 
Bermaksud Wail :tersebut pula lain riwayat satu lembah / lurah di dalam neraka Jahannam. Mengalir daripadanya nanah ahli neraka. (Lihat kedua-dua ĥadīts itu di dalam Musnad Aĥmad j.4 m/s 272). ويل adalah كلمة عذاب kata 
(menunjukkan azab) وْيح pula كلمة تَرْحُم وتوجع( kata yang menunjukkan kasihan belas dan simpati). Kepada orang yang mendapat kecelakaan, kerugian atau kebinasaan dan dia memang berhak serta layak mendapatnya dikatakan ويل. Kepada orang yang mengalami kecelakaan, kerugian atau kebinasaan padahal dia tidak patut dan tidak layak mengalaminya pula dikatakan  و َ ي ح. 

Penggunaan ويح dalam ĥadīts Nabi s.a.w. dapat anda lihat pada sabda berikut: وَيْحَ عَمَّارٍ تَقْتُلُهُ الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ
Bemaksud: Kasihan `Ammār! Dia akan dibunuh oleh golongan pemberontak. 
(Ĥadīts riwayat Bukhāri, Aĥmad, Ibnu Ĥibbān dan al-Ĥākim). 
- bukan mqkna celaka

²⁹ Kebanyakan `ulama’ mengatakan sabda Nabi s.a.w. ini mengandungi majāz bil ĥadzfi (مجاز بالحذف) kerana ada mudhāf yang dibuang sebelum perkataan الأِعقاب,
taqdirnya ialah: ويل لأصحاب  الأعقاب   . Maksudnya ialah ‘kecelakaan berupa api neraka untuk tuan-tuan tumit-tumit (yang tidak meratakan air ketika berwudhu’ sehingga ke 
tumitnya). Sebahagian mereka pula mentaqdirkan begini:
ويل للمقصرين في غسل األعقاب من النار
Bermaksud: Wail di dalam neraka untuk orang-orang yang cuai dalam membasuh tumit-tumit (ketika berwudhu’).

Oleh kerana manusia tegak di atas tumitnya, maka apabila dikatakan tumitnya diseksa di dalam neraka, dengan sendirinya ia menunjukkan tuan punya tumit itu juga diseksa di dalam neraka.
Perkataan من di dalam ĥadīts sebelum perkataan النار boleh juga dipakai dengan erti في (dalam), seperti terpakai pada firman Allah di dalam Surah al-Jumu`ah berikut:
 إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ 
Bermaksud: … apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat ....
(al-Jumu`ah 9).

Sesetengah `ulama’ pula berpendapat tidak perlu ditaqdirkan apa-apa di sini.Memadailah dengan ma`na tumit-tumit itu sendiri yang akan diazab dengan api 
neraka. Sesuai dengan kesalahan yang dibuat berpunca daripada tidak meratakan air pada bahagian tumit.

Diazab pada satu bahagian tubuh sahaja sama sekali tidak bererti bahagian-bahagian tubuh yang lain tidak terasa juga azabnya. Sebagai contohnya lihat saja apa yang
disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang seksaan yang dialami bapa saudaranya Abu Thālib. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَهْوَنُ أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا أَبُو طَالِبٍ وَهُوَ مُنْتَعِلٌ بِنَعْلَيْنِ يَغْلِي مِنْهُمَا دِمَاغُهُ
Bermaksud: Ahli neraka yang paling ringan azabnya ialah Abu Thālib. Dia memakai sepasang sepatu. Otaknya bergelegak kerana (kepanasan) sepatu yang dipakainya itu  . 
(Ĥadīts riwayat Muslim dan Aĥmad).

Baginda juga telah bersabda tentangnya begini:
لَعَلَّهُ تَنْفَعُهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُجْعَلُ فِي ضَحْضَاحٍ مِنْ النَّارِ يَبْلُغُ كَعْبَيْهِ يَغْلِي مِنْهُ دِمَاغُهُ
Bermaksud: “Semoga syafa`atku berguna kepadanya di hari kiamat nanti. Dia akan diletakkan di bahagian neraka yang cetek, hingga ke buku lalinya. Begitupun, sudah 
bergelegak otaknya. (Ĥadīts riwayat Bukhāri dan Muslim).

Azab yang disebutkan di dalam ĥadīts ke-60 ini adalah di dalam neraka, bukan di padang mahsyar dan bukan juga semasa di alam kubur.
1jam 22 minit
- dihukum seperti tidak solat sebab tidak sah solat atau tak cukup syaratnya.
Tidak jaga wuduk dengan baik dosa besar sebab ancaman neraka.

Pelajar lain baca
³⁰ Antara pengajaran, panduan, pedoman dan hukum-hakam yang terdapat di dlm  hadits ini ialah:
(1) Ĥadīts ini selain daripada menyatakan kepentingan menjaga waktu sembahyang juga memberitahu tentang sia-sia sembahyang yang dilakukan dengan tidak sempurna syaratnya. 
(2) Dapat difahami juga daripada ancaman api neraka itu bahawa tidak sempurnanya wudhu’ menjadi punca dosa besar kerana tidak sahnya sembahyang.
(3) Keharusan berteriak atau menggunakan apa-apa alatan untuk menyampaikan ma`lumat dari jarak jauh sekiranya ia boleh membawa kepada bahaya.
(4) Perkara yang dianggap kecil dan tidak seberapa oleh kita tidak semestinya tidak mempunyai apa-apa implikasi dan risikonya. Mungkin juga ia menjadi penyebab kepada kemusnahan kita kelak jika tidak dijaga dengan baik.
(5) Kaki, termasuk tumit hingga ke buku lali wajib dibasuh dengan sempurna ketika berwudhu’. Menyapu sahaja tidak memadai. Kalau ia memadai, tentulah Rasulullah
s.a.w. tidak berteriak sebegitu rupa, dan tentulah tidak diancamnya dengan Wail di dalam neraka.
(6) Anggota-anggota wudhu’ selain kaki yang wajib dibasuh juga mestilah dibasuh dengan sempurna. Tidak sah wudhu’ dengan meninggalkan mana-mana bahagian daripadanya tanpa dibasuh.
(7) Kewajiban mengajar dan membimbing orang-orang jahil tentang selok-belok agama. 
(8) Tubuh dan jasad manusia yang melakukan dosa-dosa tertentu juga diseksa di dalam neraka. Inilah pegangan Ahli as-Sunnah Wa al-Jāmā`ah.
(9) Keharusan mengangkat suara dan meninggikannya ketika mengajar.
(10) Orang alim (yang mengetahui) hendaklah menegur apa-apa tindakan orang ramai yang menyalahi hukum-hakam agama. Dalam tegurannya itu ia boleh bersuara keras, bahkan bertempik sekalipun bila perlu.
(11) Keharusan mengulangi menyebut sesuatu perkara sebanyak beberapa kali dengan tujuan mengingatkan dan menimbulkan rasa prihatin terhadapnya.
(12) Nabi s.a.w. selalu menggunakan bahasa majāz (pinjaman) atau kiasan dan sindiran dalam percakapannya, termasuk juga membuang perkataan-perkataan tertentu apabila keadaan menghendakinya.
- tumit atau tubuh akan kena.
- nikmat atau azab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan