11.Kelebihan Dan Keistimewaan Kitab Jaami` Tirmizi.
Sebagai salah sebuah kitab yang sangat terkenal di bidang hadits, tentunya Jaami` at-Tirmizi itu mempunyai kelebihan, keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.
Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya alim `ulama’ di sepanjang masa mengaguminya. Apa yang telah diketemukan oleh para `ulama’ dan pengkaji hadits di
celah-celah Jaami` Tirmizi itu boleh anda saksikan di dalam pelbagai kitab syarah-syarah hadits hasil karangan mereka, sama ada dahulu mahupun sekarang.
Pujian, penghargaan, pengi`tirafan dan sanjungan yang diberikan oleh para `ulama’ terhadap kitab Jaami` at-Tirmizi itu lebih kurang sama adanya dengan yang telah mereka
berikan terhadap kitab-kitab hadits terkemuka yang lain, seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud dan lain-lain.Kerana keunikan dan keistimewaannyalah seorang tokoh hadits terkenal, Syeikh Ibrahim al-Baijuri menyarankan kepada setiap pelajar hadits agar mempelajari dan mendalami kitab al-Jaami` as-Sahih karangan Imam Tirmizi. Bagi beliau di dalam kitab ini terkumpul khazanah-khazanah ilmu yang amat banyak, terutamanya di bidang hadits dan fiqh. Selain itu ia juga memuatkan mazhab-mazhab (aliran-aliran fiqh) salaf dan khalaf. Bagi beliau kitab ini sahaja pun sudah memadai dan mencukupi untuk seorang mujtahid dan seorang muqallid (yang hendak bertaqlid).
Jaami` Tirmizi menyajikan kepada para penuntut dan pengkaji fiqh pendapat-pendapat mazhab yang pelbagai. Dengan demikian kedua-dua bidang ilmu hadits dan fiqh dapat dikuasai tanpa memerlukan seseorang itu merujuk dan berpandu kepada kitab lain.
Seorang tokoh hadits yang sangat terkenal di benua kecil India, Shah `Abdul 'Aziz telah menyenaraikan beberapa faktor kenapa kitab ini termasuk di antara kitab
hadits terbaik. Bahkan dari beberapa sudut, ia mengatasi kitab-kitab hadits yang lain. Antara faktor yang menjadikan Jaami` Tirmizi sangat istimewa bagi beliau ialah:
(1) Susunan di dalam kitab ini sangat elok dan hadits-haditsnya tidak berulang-ulang.
(2) Di dalamnya dikemukakan mazahib(pendapat-pendapat) fuqaha’ dan mujtahidin di samping dalil-dalil dan sandaran-sandaran mereka.
(3) Kedudukan hadits dinyatakan. Setelah mengemukakan sesuatu hadits, Imam Tirmizi menyatakan darjat dan
kedudukannya, sama ada ia sahih, hasan, dha`if, gharib, mu`allal dan sebagainya.
(4) Nama-nama perawi disebut dengan laqab (nama gelaran) ataupun kuniahnya (nama panggilannya) sekali. Tujuannya ialah supaya setiap perawi hadits itu dapat dikenal pasti identitinya. Ini kerana seringkali didapati beberapa orang perawi mempunyai nama yang sama. Dengan menyebutkan kuniah (nama panggilannya) dan laqab (nama gelaran) masing-masinglah, mereka dapat dibezakan.
(5) Melalui kitab ini keupayaan dan kedudukan perawi-perawi dapat dikenal pasti, sama ada ia boleh dipercayai atau tidak. Kelebihan dan kekurangan mereka juga dapat diketahui apabila Imam Tirmizi mengemukakan pendapat tokoh-tokoh Rijaal hadits yang mengkredit dan
mendiskreditkan mereka.
Ibnu as-Shalah, an-Nawawi dan as-Suyuthi berpendapat, Jaami` at-Tirmizi adalah kitab yang amat berfaedah kerana ia merupakan kitab asas untuk mengetahui dan
mengenali hadits-hadits hasan. Tirmizilah orang yang mula-mula memperkenalkan hadits hasan dengan ma`na yang berbeza daripada yang pernah diperkenalkan oleh
tokoh-tokoh hadits yang lain.
(Lihat as-Suyuthi - Tadrib ar-Raawi j.1 m/s 166, al-Qaasimi - Qawaa`idu at-Tahdits j.1 m/s 56, al-Munaawi - al-Yawaqit Wa ad-Durar j.1 m/s 409).
Hafiz Muhammad bin Thahir al-Maqdisi mengisahkan bahawa pernah disebut kitab Jaami` at-Tirmizi di hadapan Imam Abu Ismail Abdullah bin Muhammad al-Anshari ketika beliau di Hirat. Kata beliau, bagi saya Jaami` Tirmizi lebih berguna daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Kerana kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim itu hanya dapat difahami dan diambil manfa`at daripadanya oleh orang yang betul-betul `alim. Sedangkan kitab Abu `Isa (Jaami` Tirmizi) itu pula mampu difahami dan dicapai ilmunya oleh semua lapisan masyarakat.
(Lihat Maulana Dr. Taqiyuddin Nadwi - Muhadditsin Izaam m/s 219).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan