Halaman

Rabu, November 02, 2022

Jami' Al-Tirmizi 0001-0031s muqadimah(10)


10.Pengenalan Kitab Jaami` Atau Sunan At-Tirmizi
Kitab yang telah melonjakkan Imam Tirmizi ke puncak kemasyhuran ialah kitab hadits susunan beliau yang dikenali dengan beberapa nama. 
(1) Jaami` at-Tirmizi. 
(2) Sunan at-Tirmizi. 
(3) Al-Jaami` al-Kabir. 
(4) Al-Jaami` as-Sahih. 
(5) Sahih at-Tirmizi. 
Antara lima nama ini nama yang pertamalah yang paling popular dan paling tepat untuknya. Nama kedua iaitu Sunan at-Tirmizi sering juga diguna para `ulama’. Ia diterima mereka berdasarkan penggunaan qaedah إطلاق الجزء وإرادة الكل . Kewajaran kitab itu dinamakan dengan Sunan ialah kerana ia dimulakan dengan perbahasan-perbahasan fiqh dan sebahagian besar kandungannya menyerupai susunan kitab Feqah. Namun ia tidaklah setepat nama pertama tadi. Justeru kitab jaami` bererti kitab hadits yang menghimpunkan lapan topik utama kandungan hadits-hadits Rasulullah s.a.w, iaitu Sirah, Adab, Tafsir, Aqidah, Fitan, Ahkam, Asyratus Sa`ah (tanda-tanda 
kiamat) dan Manaqib (kelebihan dan keutamaan para nabi dan para sahabat).⁸ 
Dilihat dari sudut ini nama Jaami` adalah nama yang paling tepat untuk kitab Tirmizi itu. Kata as-Suyuthi, Al-Hakim menggunakan nama Al-Jaami` as-Sahih untuk Sunan 
Tirmizi dan Khatib al-Baghdadi pula menggunakan nama Sahih untuk Sunan Nasaa’i dan Sunan Tirmizi. Ini adalah termasuk dalam sikap bermudah-mudah atau sikap 
terlalu bertolak ansur mereka sahaja. 
(Lihat Tadrib ar-Raawi, j.1 m/s 165). 

Maksud as-Suyuthi ialah tidak tepat perkataan Sahih digunakan untuk kedua-dua kitab Nasaa’i dan Tirmizi itu, kerana hadits-hadits dha`if dan maudhu` juga terdapat di dalamnya. 

Nama Al-Jaami` al-Kabir paling kurang digunakan untuk kitab Tirmizi ini. Ia ada disebut oleh al-Kattaani 
(Abu `Abdillah Muhammad bin Ja`far al-Kattaani al-Idrisi 
m.1345H) di dalam ar-Risalah al-Mustathrafahnya. 
(Lihat ar-Risalah al-Mustathrafah j.1 m/s 11). 

Akan tetapi jika diingat Imam Tirmizi sendiri menamakan kitabnya al-Musnad as-Sahih, maka boleh dikatakan benar jugalah orang yang menamakan kitab itu dengan Sahih at-Tirmizi. Ibnu Katsir menukilkan kata-kata Ibnu Nuqthah (Abu Bakr Muhammad bin `Abd al-Ghani bin Abi Bakr al-Hambali m.629H) di dalam at-Taqyidnya bahawa Imam Tirmizi berkata: 
صنفت هذا المسند الصحيح وعرضته على علماء الحجاز فرضوابه وعرضته عل ى علماء العراق فرضوابه وعرضته على علماء خراسان فرضوابه ومن كان في بيته هذا الكتاب فكأنما في بيته نبي ينطق 
Maksudnya: “Saya karang kitab al-Musnad as-Sahih ini dan saya kemukakannya kepada `ulama’-`ulama’ Hijaz, mereka berpuas hati dengannya. Saya kemukakannya kepada `ulama’-`ulama’ `Iraq, mereka berpuas hati dengannya. Saya kemukakannya kepada `ulama’-`ulama’ Khurasan, mereka juga berpuas hati dengannya. Orang yang di rumahnya ada kitab ini, seolah-olah ada nabi yang bercakap di dalam rumahnya.” 
(Ibnu Katsir- al-Bidayah Wa an-Nihayah j.11 m/s 77). 

Kata-kata Tirmizi ini dikemukakan juga oleh Ibnu al-Atsir al-Jazari (m.606H) di dalam Jaami` al-Ushulnya (j.1 m/s 194), dan Ibnu al-Mulaqqin (m.804H) di dalam al-Badru al-Munirnya (j.1 m/s 303). 

Cuma perlulah diingat bahawa kata-kata Tirmizi ini tidaklah berma`na semua hadits di dalamnya sahih, kerana ada antara haditsnya yang dipertikaikan oleh `ulama’ hadits dari sudut kesahihannya. Beliau sendiri juga menghukum sebahagian hadits yang terdapat di dalam kitabnya itu sebagai dha`if. Bagaimanapun kebanyakan hadits di dalamnya adalah sahih. Oleh sebab itulah ia dikategorikan sebagai salah sebuah Sihah Sittah (enam kitab hadits sahih). Jadi apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan sahih itu ialah berdasarkan kebanyakan hadits di dalamnya (secara taghlib).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan