Halaman

Rabu, November 02, 2022

Jami' Al-Tirmizi 0001-0031s muqadimah(5)

Jami' Al-Tirmizi 0001-0031s muqadimah(5)

4.Guru-guru Imam at-Tirmizi
Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan bahawa Imam at-Tirmizi telah menjelajah serata negeri dan mendengar daripada ramai sekali guru dari kalangan orang Khurasan, Iraq dan Hijaz ².

Antara 'ulama' masyhur yang pernah menjadi guru beliau ialah Imam Bukhari, Imam Muslim, Ali bin Hujr al-Marwazi, Hannaad bin as-Sariyy, Qutaibah bin Said dan Muhammad bin Basysyaar (Ghundar). Imam Tirmizi juga pernah berguru dengan Imam Abu Daud. Walaupun Imam Ahmad dan Imam Muslim adalah guru beliau, tetapi tidak tsabit beliau ada meriwayatkan sesuatu hadits daripada Ahmad.
Daripada Imam Muslim pula beliau hanya mengambil satu hadits sahaja untuk dimasukkan ke dalam kitab Jaami'nya, iaitu hadits:أحصوا هلا شعبان لر مضان
[Hitungkanlah (pastikan) anak bulan Sya'ban untuk (menentukan bulan) Ramadhan]. Pendek kata sebahagian besar pengarang kitab-kitab hadits yang masyhur itu adalah guru beliau.

Riwayat Imam Tirmizi daripada Imam Bukhari pula banyak sekali, selain beliau memanfa'atkan kepakaran gurunya itu dalam bidang ilmu 'Ilal dan ilmu Rijal hadits. Anda akan dapati Imam at-Tirmizi selalu merujuk kepada Imam Bukhari dalam bidang-bidang tersebut itu di dalam kitab Jaami'nya ini. Selalulah beliau berkata: قال محمد بن أسماعيل (Kata Muhammad bin Isma'il). Yang dimaksudkan oleh beliau dengan Muhammad bin Isma'il itu ialah Imam al-Bukhari r.a.

Imam az-Zahabi berkata: تَفَقَّه في الحديث بالبُخَارِيّ Bermaksud: "Imam Tirmizi telah mendalami ilmu hadits dengan Imam Bukhari." Kerana itulah Imam Bukhari dianggap ulama' hadits sebagai guru dan rujukan utama Imam Tirmizi. AlHaakim menukilkan kata-kata ulama' di zamannya, bahawa: 
مَاتِ البخاري فلم يخلف بخراسان مثل أبي عيس في العلم وابحفظ والورع والزهد
Bermaksud: "Imam Bukhari mati dalam keadaan tiada siapa pun yang ditinggalnya di Khurasan seperti (sehebat) Abi lsa (Imam Tirmizi) daripada segi ilmu, hafalan, kewara'an dan kezuhudannya.

Kata-kata ini menunjukkan Imam Tirmizi adalah tokoh yang paling menonjol di Khurasan selepas era Imam al-Bukhari.

Imam Tirmizi adalah murid kebanggaan Imam al-Bukhari. Beliau telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan yang amat tinggi daripada Bukhari apabila Bukhari mengatakan: ما انتفعت بك أكثر مما انتفعت بي Bermaksud: "Apa yang aku perolehi daripadamu adalah lebih banyak daripada apa yang engkau perolehi daripadaku."

Para ulama' hadits menganggap kata-kata Bukhari itu sebagai pengiktirafan beliau terhadap Imam Tirmizi kerana peranan dan sumbangannya dalam meningkatkan dan mengembangkan lagi ilmu gurunya itu. Ilmu seseorang guru yang hebat akan terus berkembang jika ia mempunyai murid-murid yang cerdas dan pintar. Dengan timbulnya persoalan-persoalan daripada murid-murid yang cerdik dan pintar, perbahasan dan perbincangan menjadi lebih mendasar jauh ke dalam. Tanpa adanya persoalan-persoalan daripada murid yang bergeliga seperti Tirmizi, perbincangan, kajian serta penyelidikan Imam Bukhari mungkin tidak akan dapat dimanfaati ramai. Itulah sebabnya para 'ulama' menganggap demikian. Kerana jika ditinjau dari sudut riwayat hadits, Imam Bukhari hanya mengambil dua hadits sahaja daripada Imam Tirmizi, Satunya dikemukakan Tirmizi di dalam Kitab Tafsir, riwayat Ibni 'Abbaas berhubung dengan firman
Allah s.w.t: ما قطعتم من لينة Manakala yang satu lagi pula ialah hadits Abi Sa'id alKhudri r.a: يا علي لا يحل لأحد ان يجنب في هذا المسجد غيري  وغيرك . la dikemukakan beliau di bawah Manaaqib 'Ali. Tetapi Imam Bukhari tetap tidak memasukkan kedua-dua hadits tersebut di dalam Kitab Sahihnya kerana kedha'ifannya. Meskipun hanya dua riwayat sahaja diterima Bukhari daripadanya, Imam Tirmizi tetap berbangga dengannya. Kerana itulah selepas mengemukakan hadits-hadits tadi beliau berkata سمع مني محمد بن إسمعيل هذا الحديث (Muhamad bin Ismail telah mengambil hadits ini daripada saya)³

Tiada ulasan:

Catat Ulasan