Khamis, November 23, 2017

Tafsir asas quran sesi 68.


USUL KE 17
MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA'KKHIRIN

NASAKH MENURUT ISTILAH ULAMA' MUTAQADDIMIN

Shah Waliyullah (Ahmad bin `Abdir Rahim ad- Dihliwi m.1176H) di dalam al-Fauzul Kabirnya berkata: “Salah satu tempat yang rumit dalam bidang (usul) Tafsir dan luas perbincangannya serta banyak pula terdapat perbedaan pendapat `ulama’ tentangnya ialah perbincangan tentang Nasikh dan Mansukh.

Antara sebab terpenting bagi kesukaran bab ini ialah kerana berbedanya istilah mutaqaddimin dan mura’akkhirin tentang Nasakh itu sendiri.

Apabila diteliti dan diperiksa kata-kata Sahabat dan Tabi`in, anda akan mendapati mereka selalu menggunakan perkataan nasakh dan ma`na lughawinya (pengertian di sudut bahasa `Arab), iaitu إزالة شيء بشيء (menghilangkan sesuatu dengan sesuatu yang lain).

Mereka(mutaqaddimin)tidak memakainya menurut pengertian yang dipakai oleh `ulama’ Usul (`ulama’ muta’akkhirin).
Ma`na Nasakh menurut mereka ialah menghilangkan sifat-sifat tertentu dari sesuatu ayat (atau bahagian ayat) dengan ayat ( atau bahagian ayat) yang lain, sama ada dengan
(1) menyatakan habisnya tempoh beramal dengannya, atau
(2) dengan memalingkan percakapan daripada ma`na yang hampir dan segera difahami kepada ma`na yang jauh dan tidak difahami. Atau
(3) dengan menyatakan mana-mana qaid yang terdapat di dalam sesuatu ayat hanyalah qaid ittifaqi. Atau
(4) mentakhshihkan yang`aam. Atau
(5) menyatakan perbedaan di antara yang manshush dan apa-apa yang diqiaskan dengannya secara zahir. Atau (6) menghilangkan adat resam jahiliah. Atau
(7) menghapuskan syari`at yang lalu.

Pintu Nasakh menurut mereka luas. Perkongsian pemikiran juga berlaku dengan banyak sekali dalam bab ini. Dengan itu daerah perbedaan pendapat juga turut meluas, sehingga ayat-ayat yang dimansukhkan sampai kepada lima ratus ayat, bahkan jika direnungi dengan mendalam, niscaya tidak terhingga banyak bilangannya.

Secara ringkasnya Shah Waliyyullah menyimpulkan Nasakh menurut istilah mutaqaddimin berlaku untuk menyatakan tujuh keadaan:

(1) Menyatakan habisnya tempoh beramal dengan sesuatu nas al-Qur’an.
Antara contohnya ialah firman Allah

: وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ فَإِنْ شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا   

Bermaksud: Dan (terhadap) para wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat orang saksi diantara kamu ( yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka telah memberi persaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) di dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan lain kepadanya. (an-Nisaa’ : 15)

Ayat ini dimansukhkan oleh ayat kedua
Surah an-Nur
: الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (2)
Bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (an-Nur : 2)

Ertinya ialah ayat ke-2 Surah an-Nuur ini menyatakan habisnya tempoh beramal dengan ayat ke-15 Surah an-Nisaa; yang tersebut sebelum ini.

Selepas turun ayat ke-2 Surah an-Nuur ini, perintah yang tersebut di dalam ayat ke-15 Surah an-Nisa’ tidak boleh dipakai lagi, kerana tempoh beramal dengannya telah pun tamat.

`Ulama’ mutaqaddimin ternyata hanya bersepakat dengan `ulama’ muta’akkhirin dalam Nasakh bahagian (1) ini sahaja .

Adapun bahagian-bahagian lain yang dikemukakan oleh Shah Waliyullah selepas itu, semuanya tidak menepati definisi nasakh yang diterima pakai oleh `ulama’ muta’akkhirin.

2.Memalingkan percakapan atau perkataan daripada ma’na yang jauh dan tidak segera difahami.

Antara contohnya ialah firman Allah di bawah ini
:   أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالْآَنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آَيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (187)
Bermaksud:  Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian kamu, dan kamupun adalah pakaian mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma`af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu mencampuri mereka itu, sedang kamu beri’ktikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa. (al-Baqarah : 187)  

Ma’na yang  hampir dan segera  difahami daripada perkataan benang putih dan benang hitam diketahui semua orang yang mengerti dan memahami bahasa Melayu. Begitulah juga dengan الخيط الأبيض dan  الخيط الأسود, ma’na kedua-duanya diketahui oleh semua orang yang mengerti dan memahami bahasa `Arab.
Tetapi الخيط الأبيض dengan erti fajar Shadiq atau terang siang dan الخيط الأسود dengan erti kegelapan malam tidak diketahui semua orang dan tidak itu yang segera difahami baik oleh orang yang mengerti bahasa `Arab atau bahasa Melayu.
Rangkai kata  من الفجر yang terdapat di hujung bahagian yang bergaris dalam ayat al-Qur’an yang dikemukakan di atas dan juga terjemahannyalah yang memalingkan rangkai kata  الخيط الأبيض(benang putih) dan الخيط الأسود  (benang hitam) daripada  ma’nanya yang hampir dan segera difahami kepada ma’nanya yang jauh dan tidak segera difahami, iaitu fajar Shadiq.
Ialah yang menerangkan maksud sebenar kedua-dua perkataan tersebut digunakan di dalam ayat 187 surah al-Baqarah tadi.
Oleh kerana rangkai kata  من الفجر menghilangkan ma’na rangkai kata  الخيط الأبيض (benang putih) dan الخيط الأسود (benang hitam) daripada ma’nanya yang hampir dan segera difahami kepada ma’nanya yang jauh dan tidak segera difahami, maka ia dikira sebagai nasikh istilah `ulama’ Tafsir mutaqaddimin.

Itulah sebabnya Imam at-Thahawi (Abu Ja`ffar Ahmad bin Muhammad bin Salaamah at-Thahawi m.321H) mengatakan rangkai kata  من الفجر  merupakan nasikh bagi rangkai kata  الخيط الأبيض  (benang putih) dan  الخيط الأسود(benang hitam) yang tersebut sebelumnya.

Sedangkan menurut istilah muta’akkhirin, ia langsung tiada kaitan dengan bab nasakh.  

(3)  Menyatakan mana-mana  qaid yang terdapat di dalam sesuatu ayat hanyalah qaid ittifaqi.
Antara contohnya ialah firman Allah berikut:                                            يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ذَلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَى بَعْدَ ذَلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178)                                    
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pema’afan dari saudaranya, hendaklah  (yang mema’afkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi ma’af) membayar (diat) kepada yang memberi ma’af dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. (al-Baqarah : 178)  

Menurut zahir ayat ini, hukuman qishaash yang diwajibkan oleh Allah menghendaki kesamaan di antara pembunuh dan yang dibunuh. Hukuman bunuh tidak boleh dilaksanakan apabila tiada kesamaan di antara pembunuh dan yang dibunuh . Apabila orang merdeka membunuh orang orang merdeka, hamba membunuh hamba atau wanita membunuh wanita barulah ada hukuman qishaash yang dituntut oleh Allah menerusi ayat 178 surah al-Baqarah  ini.

Jika tidak, maka tidak ada hukuman qishaash. Hasilnya ialah orang merdeka tidak boleh dibunuh (diqishaash) kerana membunuh hamba, kerana tidak ada persamaan di antara mereka berdua. Orang merdeka lebih mulia berbanding hamba. Lelaki tidak boleh dibunuh dengan sebab membunuh perempuan, kerana tidak ada persamaan  juga di antara mereka. Lelaki lebih utama daripada wanita. Berbeza kalau sebaliknya berlaku. Jika wanita membunuh lelaki, maka ia wajib dibunuh kerana kedudukannya lebih rendah berbanding lelaki. Hamba juga wajib dibunuh apabila membunuh orang merdeka, kerana kedudukannya lebih rendah berbanding orang merdeka.
Demikianlah akan difahami kalau sifat merdeka, wanita dan hamba dianggap sebagai qaid ihtirazi atau syarat yang mesti.
Padahal qaid itu bukan qaid ihtirazi, malah ia hanya qaid ittifaqi semata-mata. Ada sebab dan latar belakang tertentu yang menghendaki sifat-sifat itu disebutkan. Ia hanya berkait dengan sebab dan latar belakang berkenaan sahaja.

Bagi Imam Abu Hanifah, ats-Tsauri, Ibnu Abi Laila dan lain-lain yang memang menganggap qaid itu sebagai qaid ittifaqi , tidak timbul sebarang masalah pada firman Allah tersebut.
Firman Allah di dalam surah al-Maa’idah di bawah ini merupakan bayan (keterangan) bagi ayat 178 Surah al-Baqarah  yang dikemukakan tadi.
Lihat firman Allah di dalam Surah al-Maa’idah berkenaan:
  وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ وَالْعَيْنَ بِالْعَيْنِ وَالْأَنْفَ بِالْأَنْفِ وَالْأُذُنَ بِالْأُذُنِ وَالسِّنَّ بِالسِّنِّ وَالْجُرُوحَ قِصَاصٌ فَمَنْ تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (45)
Bermaksud: Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At-Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan  jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qishaashnya. Barang siapa yang melepaskan (hak qishaashnya)nya, maka , melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka iti adalah orang-orang yang zalim. (al-Maa’idah : 45)  

Di dalam ayat ini hukuman qishaash tidak dikaitkan langsung dengan sifat-sifat yang disebutkan di dalam ayat  178 Surah al-Baqarah .

Ini menunjukkan qaid yang terdapat di dalamnya hanya qaid ittifaqi. Nyawa tetap dibalas nyawa, tidak kira nyawa siapa pun yang diragut dan siapa pun yang meragut nyawanya.
Tetapi menurut Ibnu `Abbas, Sya`bi , Qataadah, Sa`id bin Musaiyyab, an-Nakha`i dan lain-lain qaid di dalam ayat al-Baqarah itu memang qaid ihtirazi (syarat yang mesti), Cuma ia tidak boleh dipakai kerana dimansukhkan oleh ayat 45 Surah al-Maa’idah.

(4)Mentakhshiskan yang `aam.
Ertinya ialah mengkhususkan ma`na perkataan yang umum dengan sebahagian afraadnya sahaja.

Antara contohnya ialah firman Allah s.w.t. di bawah ini:
  لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (284)
Bermaksud: Kepunyaan Allah-lah  segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (al-Baqarah : 284)

  Ayat ini menyatakan Allah menghitung dan mengambil kira (sebagai kesalahan) serta menghukum manusia atas segala apa yang terlintas di hatinya, sama ada ia menyatakannya atau menyembunyikannya. Ia umum merangkumi semua lintasan  hati. Kalau begitu sukarlah manusia akan terlepas daripada dosa, kesalahan dan hukuman Allah. Keadaan itu akan membuat manusia sentiasa berada dalam ketakutan, kebimbangan dan keresahan.

Ayat 286 seterusnya mentakhsiskan (menyempitkan) erti umum yang terdapat di dalam ayat 284 tadi.

Allah berfirman:
  لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (286)
Bermaksud: Allah tidak membebani seseorang
  melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): “Ya Tuhan kami,  janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma`aflah kami; ampuni kami; dan rahmatilah kami. Engkau Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (al-Baqarah : 286)  

Ayat ini menyatakan yang dikira sebagai salah  dan dosa ialah apa yang mampu dan sanggup diusahakan oleh manusia. Adapun sesuatu yang di luar kemampuan dan kesanggupannya seperti lintasan hati, keadaan terlupa dan tersalah, maka itu tidak dikira sebagai suatu kesalahan dan dosa.

Menurut istilah mutaqaddimin ayat 286 Surah al-Baqarah ini merupakan nasikh bagi ayat  284 sebelumnya, kerana ia telah mentakhsiskan erti umum yang terdapat pada ayat 284 itu.  

(5) Menyatakan perbedaan di antara yang manshush (apa yang disebut dengan terang di dalam nas) dan apa-apa yang diqiaskan dengannya secara zahir. Atau dengan kata lain, menyatakan  qias fasid (qias yang tidak  memenuhi syarat-syarat qias yang betul) dan kemudian menolaknya. Apabila sesuatu ayat menolak qias fasid, maka menurut istilah mutaqaddimin ia juga merupakan nasik kepadanya.

Contohnya ialah kata-kata orang-orang kafir yang dinukilkan oleh Allah sebagai qias fasid mereka.
Kata mereka  إنما البيع مثل الربا
Bermaksud: “Sesungguhnya jual beli itu sama saja dengan riba.”

Untuk menyatakan ada perbezaan di antara menjual beli dan riba dan menolak riba, Allah berfirman
selepas itu: وأحل الله البيع وحرم الربا  
Bermaksud: “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”
Menurut  istilah mutaqaddimin, firman Allah
: وأحل الله البيع وحرم الربا
itu juga merupakan nasikh bagi:
 إنما البيع مثل الربا
yang merupakan qias fasid orang-orang kafir yang digambarkan oleh Allah dalam bentuk kata-kata mereka.

Kedua-dua firman Allah itu sebenarnya terkandung dalam ayat yang sama di dalam Surah al-Baqarah.
Di bawah ini diperturunkan ayat berkenaan selengkapnya bersama-sama terjemahannya:  

Bermaksud: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat) ,sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambil dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah : 275)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan