Tafsir asas quran nota 9(235)15
(11) Daripada Surah al-Maa’idah firman Allah yang bergaris di bawahnya nanti dikatakan telah mansukh:
Al-Ma'idah 5:2
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ[ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ ]وَلَا ٱلْهَدْىَ وَلَا ٱلْقَلَٰٓئِدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًاۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَٱصْطَادُوا۟ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ أَن تَعْتَدُواۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi´ar-syi´ar Allah, dan [jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram], jangan (mengganggu)
binatang-binatang hadyu (yang dibawa ke Mekah untuk dikorbankan), dan binatang-binatang qalaa’id (dikalongkan sebagai tanda ia adalah hadyu), dan jangan (pula)
mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu,
mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maa’idah:2).
Yang dikatakan telah mansukh hanyalah bahagian yang bergaris di bawahnya atau kurungan itu sahaja. Di dalam ayat di atas Allah telah melarang orang-orang yang beriman daripada melanggar dan menceroboh lima perkara. Salah satu daripadanya ialah melanggar kehormatan bulan-bulan haram iaitu bulan Rajab, Dzul Qa`dah, Dzul Hijjah dan Muharram. Menurut jumhur mufassirin, maksud melanggar dan menceroboh bulan-bulan haram itu ialah berperang dengan orang-orang musyrikin di bulan-bulan itu.
Demikianlah diriwayatkan daripada Ibnu `Abbaas, Qataadah bin Di`aamah m.107H) dan lain-lain. (Lihat al-Aalusi - Ruuh al-Ma`ani j.6 m/s 53, an-Nahhaas - Kitab an-Naasikh Wa al-Mansukh m/s 115).
Berdasarkan tafsiran inilah ayat 2 Surah al-Maa’idah itu dikatakan telah mansukh. Abd bin Humaid, Abu Daud, Ibnu Jarir dan Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada Sya`bi (Aamir bin Syuraahil m.114H) bahawa beliau berkata: “Di dalam Surah al-Maa’idah hanya ayat ini sahaja yang dimansukhkan.”
235
Tiada ulasan:
Catat Ulasan