Kitab ilal 01-15sssP13 1
Perkara ketigabelas :
Kehujjahan hadits mursal
Hadits mursal terbahagi dua:
(1) Mursal `Aam (2) Mursal khas.
Mursal `Aam ialah hadits yang terputus di mana-mana bahagian sanadnya.
Sama ada ia diriwayatkan secara
ta`liq, iaitu apabila seseorang pengarang kitab hadits tidak menyebutkan atau menggugurkan seorang atau lebih perawi di permulaan sanad, atau dalam bentuk
inqithā` (munqathi`), iaitu dengan membuang seorang perawi di tengah sanad, atau dalam bentuk
i`dhāl, iaitu dengan membuang dua orang atau lebih perawi secara berturut-turut di tengah sanad, atau dalam bentuk
irsāl sebenarnya, iaitu dengan menggugurkan nama sahabat yang meriwayatkannya di penghujung sanad.
Semua bentuk-bentuk yang tersebut di atas dalam istilah mutaqaddimīn disebut mursal.
Di dalam enam kitab utama hadits yang terkenal itu banyak sekali digunakan mursal menurut istilah mutaqaddimīn. Mursal inilah juga yang dimaksudkan oleh Tirmidzi dalam perbincangannya ini.
Mursal khas ialah mursal menurut istilah muta’akhkhirīn, iaitu hadits yang tidak disebutkan nama sahabat yang meriwayatkannya di penghujung sanad.
Tābi`i terus meriwayatkan sesuatu hadits daripada Nabi s.a.w. tanpa menyebutkan nama sahabat yang meriwayatkan kepadanya hadits itu.
Perhubungan di antara mursal `aam dan mursal khas adalah perhubungan umum khusus mutlaq. Mursal khas tentunya merupakan sebahagian daripada mursal `aam.
Apabila Imam Tirmidzi membincangkan tentang mursal `aam, dengan sendirinya termasuk juga di bawah perbincangannya mursal khas.
Terdapat perbedaan pendapat tentang kehujahan hadits mursal.
Kebanyakan fuqaha’ menerimanya sebagai hujah.
Kebanyakan muĥadditīn pula tidak menerimanya sebgai
hujah.
Perbedaan mereka bukanlah perbedaan dalam erti kata yang sebenarnya.
Kerana orang-orang yang menerimanya sebagai hujah tidaklah menerimanya secara mutlaq, dengan erti semua hadits mursal dapat dijadikan hujah.
Orang-orang yang tidak menerimanya sebagai hujah juga tidaklah tidak menerimanya secara mutlaq. Mereka juga menerima hadits mursal orang-orang tertentu sebagai hujah dan mu`tabar.
Dalam perbincangan ini Imam Tirmidzi menukilkan pandangan Yahya bin Sa`id al-Qatthān, bahawa bagi beliau hadits-hadits mursal itu tidak sama darjatnya.
Hadits mursal riwayat
`Athā’,
Abu Ishaq,
A`masy,
at-Taimi,
Yahya bin Abi Katsīr,
ats-Tsauri dan
Ibnu `Uyainah dha`if.
Sebabnya ialah mereka mengambil riwayat
daripada perawi-perawi yang bermacam-macam latar belakangnya. Mereka pula tidak memeriksa dan menapisnya.
Riwayat mursal
Mujāhid,
Thāwūs,
Sa`id bin Jubair,
Imam Malik dan
Ĥasan al-Bashri pula boleh diterima,
kerana mereka memeriksa dan meneliti perawi-perawi yang hendak diambil hadits daripadanya. Mereka pula tidak mengambil hadits-hadits daripada perawi-perawi sembarangan.
Kesimpulannya ialah hadits mursal itu tidak semuanya boleh diterima dan tidak semuanya juga tertolak.
Para Tābi`īn tidak begitu menekankan sangat soal sanad di zaman mereka. Mereka lebih mementingkan hadits yang diterima daripada mana-mana sahabat Rasulullah
s.a.w. Hadits-hadits itulah yang dihafal mereka, bukan nama-nama sahabat yang meriwayatkannya. Kerana bagi mereka sahabat Nabi s.a.w. itu semuanya baik dan
boleh dipercayai.
Setelah bermula zaman hadits dikemukakan dengan sanad, sukarlah kepada sesetengah mereka menyebut nama sahabat dengan tepat, lalu mereka meriwayatkan
hadits-hadits yang diingati dan dihafal mereka terus daripada Nabi s.a.w.
Periwayatan secara mursal oleh para Tabi`īn itu sebenarnya bukanlah kerana kecuaian atau sikap tak acuh mereka, tetapi kerana keterpaksaan yang dialami mereka pada
ketika itu. Ketsiqahan para Tabi`īn yang sangat tinggi juga membuatkan kedhaifan jarang-jarang sekali ditemui pada hadits-hadits mursal mereka. Itulah sebabnya Imam
Abu Hanifah dan Imam Malik menerima hadits-hadits mursal secara mutlaq.
Setelah zaman Tābi`īn berlalu dan bermula zaman Tābi` at-Tābi`īn, maka keperluan kepada sanad mulai dirasakan.
Sebabnya ialah perawi-perawi hadits pada ketika itu
sudah agak ramai dan mereka pula tidak sekuat perawi-perawi sebelumnya.
Malah sudah ada di kalangan mereka orang-orang yang sangat bermasalah.
Banyak riwayat mursal di zaman itu terbukti dha`if.
Maka kajian sanad lebih dirasakan kepentingannya. Kerana itulah Imam asy-Syafi`e dan Imam Ahmad secara umumnya tidak mahu menerima riwayat mursal, kecuali riwayat mursal Tabi`īn tertentu sahaja.
Banyak sekali riwayat yang di peringkat awalnya tidak dha`if, kerana perawi-perawinya terdiri daripada orang-orang kuat.
Tetapi kemudiannya dikatakan dha`if, kerana ada di bahagian bawah sanadnya perawi yang dha`if. Mungkin juga di bahagian bawahnya terdapat idhthirāb atau inqithā` yang menyebabkan sesuatu hadits dihukum dha`if.
Maka mungkin sekali sesuatu hadits yang telah dijadikan sebagai dalil dan hujah oleh Imam Abu Hanifah atau Imam Malik kerana ia sampai kepada mereka melalui saluran
sanad yang kuat, tetapi tidak diterima sebagai dalil dan hujah oleh imam-imam yang datang kemudian daripada mereka. Sebabnya ialah pada sanad selepas Abu Hanifah
atau Imam Malik terdapat perawi-perawi yang dha`if.
Perhatian:
Imam Tirmidzi mula-mula sekali nanti akan mengemukakan kata-kata orang-orang yang tidak menerima hadits mursal sebagai hujah. Untuk tujuan itu beliau kemukakan
tujuh riwayat.
Beliau selepas itu mengemukakan pula sebab kenapa mereka tidak menerimanya. Untuk tujuan itu beliau kemukakan tiga riwayat.
Dan akhir sekali beliau kemukakan kata-kata orang yang menerima hadits mursal sebagai hujah. Di bawahnya beliau kemukakan satu sahaja riwayat. Itulah ringkasan kesemua
perbincangan Imam Tirmidzi akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan