Sabtu, April 09, 2022

Kitab ilal 01-15sssP5

Kitab ilal 01-15sssP05

Perkara ke 5
(جَوَاز الحكم على الرِّجَال والأسانيد)
Keharusan mempertikaikan Perawi-perawi dan sanad- sanad hadits.

 وَقد عَابَ بعض من لَا يفهم على أهل الحَدِيث الْكَلَام فِي الرِّجَال وَقد وجدنَا غير وَاحِد من الْأَئِمَّة من التَّابِعين قد تكلمُوا فِي الرِّجَال مِنْهُم الْحسن الْبَصْرِيّ

 وطاووس

 تكلما فِي معبد الْجُهَنِيّ وَتكلم سعيد بن جُبَير فِي طلق بن حبيب وَتكلم إِبْرَاهِيم النَّخعِيّ وعامر الشّعبِيّ فِي الْحَارِث الْأَعْوَر وَهَكَذَا رُوِيَ عَن أَيُّوب السّخْتِيَانِيّ وَعبد الله بن عون وَسليمَان التَّيْمِيّ وَشعْبَة بن الْحجَّاج وسُفْيَان الثَّوْريّ وَمَالك بن أنس وَالْأَوْزَاعِيّ وَعبد الله بن الْمُبَارك وَيحيى بن سعيد الْقطَّان 

ووكيع بن الْجراح وَعبد الرَّحْمَن بن مهْدي وَغَيرهم من أهل الْعلم أَنهم تكلمُوا فِي الرِّجَال وضعفوا

وَإِنَّمَا حملهمْ على ذَلِك عندنَا وَالله أعلم النَّصِيحَة للْمُسلمين لَا ظن بهم أَنهم أَرَادوا الطعْن على النَّاس أَو الْغَيْبَة إِنَّمَا أَرَادوا عندنَا أَن يبينوا ضعف هَؤُلَاءِ لكَي يعرفوا لِأَن بَعضهم من الَّذين ضعفوا كَانَ صَاحب بدعو وَبَعْضهمْ كَانَ مُتَّهمًا فِي الحَدِيث وَبَعْضهمْ كَانُوا أَصْحَاب غَفلَة وَكَثْرَة خطأ فَأَرَادَ هَؤُلَاءِ الْأَئِمَّة أَن يبينوا أَحْوَالهم شَفَقَة على الدّين وتثبيتا لِأَن الشَّهَادَة فِي الدّين أَحَق أَن يثبت فِيهَا من الشَّهَادَة فِي الْحُقُوق وَالْأَمْوَال

Bermaksud: Sesetengah orang yang tidak faham mencela Ahlul Hadits (para ulama' hadits) kerana mempertikaikan perawi-perawi hadits, sedangkan kami mendapati bukan seorang dua para imam dari kalangan Tabi'in telah mempertikaikan para perawi.³⁹ Antara mereka Hasan al-Bashri 

dan Thawus, mereka berdua telah mempertikaikan Ma'bad al-Juhani.⁴⁰ Sa'id bin Jubair telah mempertikaikan Thalq bin Habib,⁴¹ Ibrahim an-Nakha'i dan 'Aamir asy-Sya'bi mempertikaikan al-Harits (bin Abdillah) al-A'war. Demikian juga diriwayatkan daripada Ayyub as-Sakhtiani,⁴²'Abdullah bin 'Aun, Sulaiman at-Taimi, 

Syu'bah bin al-Hajjaaj, Sufyan ats-Tsauri,'Malik bin Anas, al-Auzaa'i, 'Abdullah bin al-Mubarak, Yahya bin Sa'id al-Qatthaan,

 Waki' bin al-Jarraah, 'Abdur Rahman bin Mahdi dan lain-lain ahli ilmu, semua mereka telah mempertikaikan perawi-perawi tertentu dan mendha'ifkan (mereka). 

Bagi kami, yang mendorong mereka berbuat begitu — والله أعلم— tidak lain hanyalah kerana mahukan kebaikan untuk orang-orang Islam. Tidak boleh dianggap mereka hanya mahu memburuk-burukkan orang tertentu dan mahu mengumpatnya. Bagi kami, mereka hanya mahu menyatakan kelemahan perawi-perawi yang lemah itü supaya diketahui, kerana ada orang yang dikatakan dha'if itü ahli bid'ah. Ada antara mereka tertuduh berduşta. Ada juga orang-orang yang alpa dan banyak tersilap. Maka para imam itü mahu menerangkan keadaan mereka, kerana sayangkan agama dan untuk mempastikan kebenarannya. Justeru mempastikan kebenaran kesaksian dalam hal-hal keugamaan lebih perlu daripada mempastikan kebenaran kesaksian dalam urusan hak-hak dan harta benda.

____


³⁹ Tujuan imam Tirmizi mengemukakan perkara ke-lima ini ialah untuk menyatakan keharusan perbincangan tentang baik buruknya para perawi hadits. Ini bagi beliau adalah suatu perkara yang diijma'kan keharusannya semenjak zaman Salaf lagi. Kerana dengannyalah dapat diketahui mana hadits yang mesti diterima dan mana pula yang tidak harus diterima. Imam al-Ghazali di dalam Ihyaa' Ulum ad-Din j.3 m/s 148-150 dengan jelas menyebutkan ijma' para ulama' tentang masyru'nya 'jarh dan terhadap para perawi hadits. Demikian juga telah disebutkan oleh an-Nawawi di dalam Riyadh as-ShaIihin m/s 581-582

Sesetengah orang yang tidak faham menganggap ia termasuk dalani bab mengumpat. Padahal bukan begitu. Justeru menyebutkan keaiban seeorang adalah harus tanpa khilaf di kalangan ulama' jika terdapat padanya kemaslahatan, meskipun kemaslahatan itu hanya berkait individu tertentu semata-mata. Sebagai contohnya anda boleh meng'aibkan peribadi yang kesaksian palsu terhadap seseorang demi menjaga kemaslahatannya. Jika untuk menjaga kemaslahatan dan kepentingan individu dibolehkan mendedah keburukan maka untuk menjaga kemaslahatan dan kepentingan agama dan masyarakat umum lebih-lebih lagilah . Bukan sekadar dibolehkan, malah dalam keadaan-keadaan tertentu hukumnya wajib. Imam an-Nawawi berkata: "Menyebutkan keburukan perawi dan saksi-saksi yang bennasalah adalah karus menurut ijma' orang-orang Islam, bahkan ia wajib kerana keperluan (berbuat begitu demi menjaga agama dan maslahat umum)." (Lihat Riyadh as-Shalihin m/s 432).

Ibnu Abi Haatim dengan isnadnya telah meriwayatkan daripada Bahz bin Asad, katanya: "Sekiranya sesaorang  menghutangkan wang sebanyak sepuluh dirham kepada seseorang yang lain). Kemudian orang yang berhutang menafikan (ia ada berhutang), tidak boleh diambil daripadanya (hutang yang dida'wa) melainkan dengan adanya dua orang saksi yang adil. Maka ugama Allah lebih-lebih lagilah patut diambil melalui orang-orang yang adil." Mengatai seseorang perawi dan mendedahkan keburukannya, meskipun pada zahirnya kelihatan mengumpat, tetapi ia bukan mengumpat yang diharamkan menurut istilah agama- Kerana itulah Syu'bah selalu berkata: "Marilah kita mengumpat kerana Allah sejenak." Maksud beliau ialah marilah kita berbincang-bincang tentang jarh dan ta'dil (baik buruknya perawi) sejenak.

Ibnu al-Mubarak pernah menyebut tentang seseorang. Katanya tentang orang itu, 'Dia berdusta. Tiba-tiba ada seseorang berkata kepadanya, "Wahai Aba 'Abdir Rahman, kamu mengumpat. Maka kata Ibnu al-Mubarak, "Diam". Jika kami tidak jelaskan (tentang perawi), bagaimana kebenaran dapat dibezakan daripada kebatilan?"

Ada diriwayatkan daripada Ibnu Ulaiyyah bahawa beliau pernah berkata tentang keharusan mengatai para perawi hadits dengan alasan, "la adalah amanah bukan mengumpat".

Kata Abu Zur'ah ad-Dimasyqi, "Pernah aku mendengar Abu Mushir ketika beliau ditanya seorang perawi yang melakukan kesilapan, waham dan melakukan tashif dalam periwayatan hadits. Jawab beliau, "Nyatakan keadaannya". Ketika itu aku berkata kepada Abu Mushir, "Apakah engkau berpendapat itu mengumpat?" Jawab Abu Mushir, "Tidak".

Ahmad bin Marwaan al-Maliki meriwayatkan, katanya: 'Abdullah bin Ahmad meriwayatkan kepada kami, katanya: "Abu Turab an-Nakhsyabi pernah datang kepada ayahku. Kemudian ayahku berkata, "Si fulan dha'if. Si fulan tsiqah." Lantas Abu Turab berkata, "Wahai Syeikh! Janganlah mengumpat para ulama'." Kata Abdullah, "Maka berpalinglah ayahku kepadanya seraya berkata, "Eh! Ini nasihat, bukan mengumpat."

Muhammad bin Bundaar as-Sabbaak al-Jujaani berkata, ''Pernah aku berkata kepada (Imam) Ahmad, "Sesungguhnya amat terasa berat kepadaku mengatakan: "Si fulan dha'if. Si fulan pendusta besar." Lalu Imam Ahmad berkata, "Kalau engkau diam dan aku pun diam, maka bila orang jahil akan tahu membezakan yang sahih dari yang dha' if?"

Kata Isma'il al-Khuthabi, Abdullah bin Ahmad meriwayatkan kepada kami, katanya: "Pernah aku bertanya ayahku, "Apa kata ayah tentang ahli hadits yang pergi kepada syeikh berfahaman Murji'ah atau Syiah atau fahaman-fahaman lain yang bercanggah dengan Sunnah, bolehkah saya diam dan tidak memberi tahu kepadanya tentangnya atau perlu saya mengingatkannya (dengan memberitahu hakikatnya)?' Jawab ayahku, "Jika dia menyeru kepada sesuatu bid'ah dan dia pula adalah ketuanya, makanya, berilah peringatan dan ancaman kepada orang-orang yang pergi kepadanya."

Al-Khallaal meriwayatkan daripada al-Hasan bin 'Ali al-Iskaafi bahawa beliau bertanya Imam Ahmad tentang apakah kata-kata terhadap seseorang yang tidak termasuk dalam erti mengumpatnya? Jawab Imam Ahmad, "Apabila engkau tidak bermaksud mengaibkannya." Al-Hasan bin 'Ali bertanya lagi, "Bagaimana kalau seseorang berkata: "Dia (seseorang perawi) tidak mendengar (hadits ini daripada orang tertentu). Dia melakukan kesilapan?" Jawab Imam Ahmad bin Hambal, "Kalau orang meninggalkan jarh dan ta'dil ini, niscaya tidak akan diketahui (hadits) yang mana sahih dan yang mana tidak sahih."

Al-Hasan bin ar-Rabi' meriwayatkan, katanya: Abdullah bin al-Mubarak berkata, "Al-Mu'lla bin Hilal bagus, tetapi bila meriwayatkan hadits dia berdusta." Maka ada seorang ahli sufi berkata kepadanya, "Wahai Aba 'Abdir Rahman engkau sedang mengumpat tu." Terus 'Abdullah bin al-Mubarak berkata, "Diam! Kalau kami tidak nyatakan, bagaimana akan dikenali kebenaran daripada kebatilan?

Riwayat-riwayat seperti ini banyak sekali dinukilkan daripada para as-Salaf as-Saleh. la dapat dilihat umpamanya di dalam kitab-kitab Abu Bakar al-Khathib al-Baghdadi, "al-Kifayah Fi 'Ilmi ar-Riwayah m/s 43, 45-46, Imam Muslim, "Muqaddimah Sahih Muslim j. I m/s 16-21.

⁴⁰ Ma' bad adalah salah seorang pengasas aliran Qadariah. Dia telah dibunuh pada tahun 80 Hijrah. Hasan al-Bashri pernah berkata tentang Mai bad, "Jauhilah Ma'bad, dia sendiri sesat dan dia pula menyesatkan orang lain." Thawus pernah berkata tentangnya, "Pernah satu kali saya bertanya dia, "Apakah kamu berdusta atas nama Allah?" Dia menjawab, "Aku dituduh berdusta."

⁴¹ Kata beliau, "Thalq mempercayai akidah "rajah". Raj'ah adalah salah satu kepercayaan golongan Syiah. Terdapat beberapa tafsiran mengenai raj'ah di sisi mereka. 

(i) Saiyyidina 'Ali berada di dalam awan. Apabila ada seseorang daripada anak cucu beliau keluar memberontak terhadap pemerintah semasa, Saiyyidina 'Ali berseru dari atas awan, katanya, "Keluarlah kamu semua bersamanya." Beliau sendiri juga akan keluar bersamanya. Itulah erti raj'ah. 

(ii) Keluarnya imam kedua belas yang telah ghaib iaitu Muhammad bin al-Hasan al'Askari dari gua di Surra Man Ra'a, zaman keluarnya itulah yang dinamakan raj'ah. 

(iii) Kedatangan Saiyyidina Ali buat kali kedua ke dunia setelah dihidupkan kembali sebelum kiamat.

Kata Ayyub as-Sakhtiani, "Pernah Sa'id bin Jubair melihat aku duduk dekat Thalq bin Habib.  Maka beliau bekata kepadaku, "Jangan engkau duduk bersamanya." Ada juga ' 'ulama" mengatakan Thalq seorang saleh, tetapi dia berfahaman Murji'ah. Thalq bin Habib meninggal dunia selepas tahun ke-90 Hijrah. 

Fahaman Irjaa' (Murji'ah) adalah satu bid'ah dalam akidah umat Islam yang telah muncul di zaman pemulaan Islam. Antara fahaman mereka yang sangat membahayakan ajaran Islam ialah bagi mereka iman yang sempurna dapat dicapai dengan hanya membenarkan ajaran Islam semata-mata, walaupun seseorang itu tidak melakukan apa pun amalan saleh. 

Percaya sahaja akan kebenaran agama Islam sudah memadai untuk memasukkan seseorang ke dalam syurga yang tertinggi. Dosa-dosa pula tidak  sedikit pun menjejaskan iman. walau bagaimana banyak sekalipun dosa yang dilakukan seseorang yang beriman, dia tetap tidak akan masuk neraka. Kesimpulannya ialah terkumpul pada orang yang bernama Thalq ini dua bid'ah besar dalam akidah, iaitu bid'ah Syiah dan bid'ah Murji'ah.

⁴²Kata Sya'bi, "Harits al-A'war meriwayatkan kepadaku, dan dia adalah seorang pendusta besar." İbnu Hibbaan pula berkata tentang Harits al-A'war, "Dia adalah seorang pelampau Syi'ah, dan lemah dalam hadits.” Harits al-A'war meninggal dunia di zaman pemerintahan İbnu az-Zubair.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan