Ahad, Jun 26, 2022

Sahih bukhari kitab azan sesi 063(1545-1551)s2


Sahih bukhari kitab azan sesi 63  4/6/22(2)
¹⁷⁸⁷ Di dalam tajuk bab ke-48 ini perkataan الأول (yang pertama) tersebut pada dua tempat. 
Pertama, pada kata Imam Bukhari: فَجَاءَ الإِمَامُ الأَوَّلُ. Yang dimaksudkan dengannya ialah imam ratib atau imam sebenar. 
Keduanya, pada kata beliau:فَتَأَخَّرَ الأَوَّلُ.  Di sini pula yang dimaksudkan dengan الأَوَّلُ ialah naib imam iaitu orang yang diminta menjadi imam sementara oleh imam sebenar atau imam ratib. 
Kesimpulannya ialah jika imam ratib kerana sesuatu sebab hendak pergi ke mana-mana dan ia menugaskan seseorang sebagai penggantinya menjadi imam jama'ah untuk sesuatu sembahyang ketika ketiadaannya, tiba-tiba ia datang semasa penggantinya sedang memimpin shalat. apakah langkah yang harus diambil dalam keadaan itu?

Imam Bukhari mengemukakan dua langkah yang boleh diambil dalam keadaan itu:

(1)Naib imam mundur ke shaf di belakangnya. Sementara imam ratib atau imam sebenar pula naik menggantikannya.Alasannya ialah naib imam ditugaskan memimpin shalat semasa ketiadaan imam sebenar sahaja. Sekarang imam sebenar sudah ada, maka habislah kuasa mengganti imam sebenar yang ada pada naib imam.

(2) Apabila naib imam telah memulakan shalat jama'ah dengan izin imam sebenar,dia tidak perlu mundur ke belakang lagi, walaupun imam sebenar datang pada masa itu. Apa yang harus dilakukan oleh imam sebenar hanyalah mengikutnya seperti ma'mum-ma'mum yang lain.

Bagi Bukhari kedua-dua cara itu boleh dipilih. Sembahyang orang-orang yang mengikut salah satu daripada dua cara itu sah. 

Alasan Bukhari ialah dua hadits:
Pertama ialah hadits 'Aaishah (Lihat hadits ke-683) yang telah dikemukakan di bawah bab sebelum ini (Lihat bab ke-47). Di dalamnya tersebut:
فَلَمَّا رَآهُ أَبُو بَكْرٍ اسْتَأْخَرَ فَأَشَارَ إِلَيْهِ أَنْ كَمَا أَنْتَ 
(Bila Abu Bakar nampak Rasulullah s.a.w. datang, dia pun hendak mundur. Tetapi Rasulullah s.a.w. mengisyarat kepadanya supaya terus berada pada kedudukannya).

Daripada isyarat Rasulullah s.a.w. supaya Abu Bakar terus berada pada kedudukannya dapat difahami bahawa naib imam tidak perlu mundur walaupun imam ratib telah datang dan telah berada di belakangnya.Apa yang harus dilakukannya ialah terus menjadi imam hingga ke akhir.

Di dalamnya juga tersebut:
 فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِذَاءَ أَبِي بَكْرٍ إِلَى جَنْبِهِ 
(Lalu Rasulullaln sa.w. duduk di samping Abu Bakar sejajar dengan kedudukannya). Daripada kenyataan ini dapat difahami bahawa imam ratib juga boleh naik ke hadapan untuk menggantikan naibnya. Dalam keadaan ini naib imam hendaklah mundur ke shaf di belakangnya untuk menjadi ma'mum seperti orang-orang lain. 

Dengan hadits itu terbukti mazhab Bukhari bahawa kedua-dua cara tersebut dibolehkan.

Kedua ialah hadits ke-684 di bawah bab ke-48 ini. Peristiwa yang tersebut di dalam hadits ke-684 di bawah bab ini telah berlaku pada tahun ke-3 Hijrah.
Ini bererti dalam masalah ini Imam Bukhari sependapat dengan Imam Syafi'e dan at-Thabari. Mereka juga mengharuskan kedua-dua cara tersebut. Tetapi jumhur 'ulama' yang terdiri daripada kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah,Hanaabilah dan lain-lain tidak membenarkan imam ratib menjadi imam menggantikan naibnya. Malah ia hendaklah menjadi ma'mum seperti orang-orang lain di belakang naibnya. Kecuali berlaku sesuatu keuzuran syar'i pada naib imam. Dalam keadaan itu bolehlah ia mundur ke belakang dan bolehlah imam sebenar mengambil alih tempatnya. Jumhur 'ulama' menta'wilkan hadits-hadits yang dikemukakan oleh Bukhari dan orang-orang yang sependapat dengannya sebagai dalil itu dengan tiga ta'wilan berikut:
(1) la khusus dengan Rasulullah s.a.w.Tidak boleh diqiaskan orang-orang lain dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itulah lbnu 'Abdil Barr berkata:
Bermaksud: Adapun mundurnya Abu Bakar dan naik Rasulullah s.a.w. ke tempatnya, itu adalah suatu yang khusus (dengan Nabi s.a.w.) menurut majoriti 'ulama'. Semua mereka tidak membenarkan dua imam dalam satu shalat, kecuali kalau shalat imam terbatal kerana berhadats. 
(Lihat al-Istidzkaar j.2 m/s311, at-Tamhid j.21 m/s 104).

(2)Mundurnya Abu Bakar ke belakang adalah kerana telah ada keuzuran padanya. Keuzurannya ialah kehadhiran Rasulullah s.a.w. Beliau terus menjadi kaku dan kelu sebaik sahaja menyedari kehadhiran Rasulullah s.a.w.Jiwanya yang lembut dan kehebatan Rasulullah s.a.w. yang
memenuhi hatinya membuatkan beliau tidak tergamak untuk terus berada di tempat imam. Itulah jiwa yang digambarkan oleh 'Aaishah apabila Nabi s.a.w. memerintahkan supaya disuruh Abu Bakar menjadi imam di akhir hayat Baginda. Kata `Aaishah:   
إن أبا بكر رجل حصر ومتى ما لا يراك الناس يبكون
 Bermaksud: “...Sesungguhnya Abu Bakar adalah seorang yang tidak akan dapat membaca, dan bila orang ramai tidak melihatmu mereka akan menangis...”
(Hadits riwayat Ahmad). 

Di dalam riwayat Ibnu Majah pula tersebut begini kata-katanya:
إِنَّ أَبَا بَكْرٍ رَجُلٌ رَقِيقٌ حَصِرٌ وَمَتَى لَا يَرَاكَ يَبْكِي وَالنَّاسُ يَبْكُونَ فَلَوْ أَمَرْتَ عُمَرَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ
Bermaksud::...Wahai Rasulalah. sesungguhnya Abu Bakar adalah seorang yang lembut hatinya dan tidak akan dapat membaca. Bila dia tidak nampak engkau, dia akan menangis. Orang ramai (juga) akan menangis.Bagaimana kalau engkau suruh saja 'Umar memimpin orang ramai bershalat...”

(3) Abu Bakar takut jika ia terus menjadi imam dalam keadaan ada Rasulullah bersama, ia akan termasuk dalam umum larangan Allah yang tersebut di dalam ayat berikut:
Al-Hujurat 49:1
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 
Bermaksud:Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Hujuraat:1).

Itulah sebabnya apabila Rasulullah bertanya Abu Bakar setelah selesai bershalat begini:
يا أبا بكر ما منعك أن تثبت إذ أمرتك 
(Wahai Abu Bakar, apa yang menghalangimu bila aku perintahkan agar kamu tetap pada kedudukanmu?),

Abu Bakar terus menjawab:
ما كان لابن أبي قحافة يصلي بين يدي رسول الله صلى الله عليه ؤسلم
(Tidaklah patut bagi anak Abi Quhaafah memimpin shalat di hadapan Rasulullah). 

Di dalam sesetengah riwayat bahkan tersebut perkataan  dalam jawapan Abu Bakar. Lihat sebagai contohnya riwayat Ahmad berikut
  ما كان لابن أبي قحلفة أن يتقدم أمام رسول الله صلى الله عليه وسلم 
Bermaksud: Tidaklah patut bagi anak Abi Quhaafah berada di hadapan Rasulullah s.a.w. (dalam shalat).

Imam Bukhari dan orang-orang yang sependapat dengannya pula mengatakan, ia tidak khusus dengan Rasulullah s.a.w. Abu Bakar pula telah mundur dengan kehendak dan pilihannya sendiri. Tidak ada apa-apa keuzuran padanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan