Isnin, Jun 20, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0055(58-67)18/6/22ss3



Sahih bukhari kitab ilmu 18/6/22(3)
⁸³ Sebelum ini Imam Bukhari telah membuat bab tentang membaca dan mengemukakan hadits di hadapan guru, sebelum itu lagi ialah bab guru yang membaca dan periwayatan menggunakan istilah ĥaddatsana dan sebagainya. 

Sekarang Imam Bukhari ingin mengemukakan pula cara munawalah, iaitu guru memberikan kitab yang ditulisnya kepada murid, kitab itu mengandungi sanad gurunya, murid tersebut tidak membacanya pun di hadapan guru, kalau guru itu menyebutkan: “Saya benarkan kamu riwayatkan apa yang ada di dalam kitab ini dengan sanad saya”, maka murid tadi boleh meriwayatkannya dan periwayatan 
sebegitulah dipanggil periwayatan secara munawalah.

Boleh juga kitab itu disalin daripada murid yang lain kemudian dikemukakan di hadapan guru yang menulisnya 
dan gurunya itu membenarkannya untuk meriwayatkannya.

Mengikut istilahnya, munawalah terbahagi kepada dua:
Satu(1)مناولة مقرونة باإلجازة   
Munawalah yang disertai kebenaran daripada guru, mengikut Imam Bukhari, Ayyub as-Sakhtiyani dan lain-lain 
cara ini membenarkan periwayatan secara ĥaddatsana dan akhbarana seolah-olahnya guru itu sendiri yang membacanya atau dibacakan di hadapan guru. Ini kerana guru itu tentunya sudah mengambil tahu tentang muridnya yang ingin mengambil ijazah dan sanad daripadanya.  

Kedua(2) مناولة غير مَقْرُونَة   باإلجازة
Munawalah yang tidak disertai kebenaran guru. Terdapat khilaf `ulama’ tentangnya, ada yang berpendapat tidak 
boleh digunakan istilah ĥaddatsana atau akhbarana tetapi sebaliknya perlu digunakan نَاوَلَنِيْ فُلَانٌ atau أَخْبَرَنِيْ الشَّيْخُ مُناوَلَةً
yang bermaksud ‘si fulan (guru) itu telah memberikan 
kepada saya’ atau ‘meriwayatkan kepada saya secara munawalah’, dengan istilah ini akan difahami bahawa murid itu tidak membaca di hadapan gurunya, tidak juga 
gurunya membaca di hadapannya. Kelayakan penerima tadi perlu diperhatikan juga, sekiranya dia seorang yang berkelayakan, maka boleh diterima periwayatannya, 
sekiranya dia bukan orang yang mempunyai kelayakan, maka ia seharusnya ditolak. 

Sesetengah `ulama’ mengatakan bahawa riwayat munawalah atau mukatabah mestilah disebut dengan lafaz anba’ana, ada juga yang mengatakan mesti disertakan 
lafaz yang memberi ma`na mukatabah atau munawalah tetapi Imam Bukhari tidak mensyaratkannya. Cuma bila begitu, akan timbul kemusykilan pula tentang riwayat-
riwayat ĥaddatsana dan akhbarana di dalam Shahih Bukhari kerana tidak ada apa-apa tanda, adakah ia betul-betul riwayat taĥdīts (betul2 drp guru) atau munawalah?

Jawapannya ialah riwayat-riwayat yang ada di dalam Shahih Bukhari ini tidak dimasukkan oleh Imam Bukhari jika hanya diterima beliau melalui cara munawalah atau mukatabah sahaja, bahkan Imam Bukhari mensyaratkan adanya tsubut liqa’ (terbukti telah bertemu) selain adanya mu`asharah (sezaman) antara murid dan guru. 

Imam Bukhari juga memilih perawi yang telah lama bersama gurunya, yang kuat ingatannya dan menjadi 
harapan kepada gurunya. Jadi pendapat yang disebutkan oleh Imam Bukhari tadi adalah untuk umum dan tidak terpakai kepada Shahih Bukharinya ini.

Imam Abu Hanifah menolak periwayatan secara munawalah kerana baginya ia sama dengan surat yang dibacakan di hadapan Qadhi yang memerlukan saksi. Maka periwayatan secara munawalah ini juga memerlukan kepada dua orang saksi yang mengakui bahawa seseorang murid itu telah menerima tulisan gurunya sama seperti 
dalam masalah surat yang dibacakan di mahkamah. 

Imam Bukhari menerima periwayatan munawalah dengan jawapan bahawa surat di hadapan Qadhi itu ialah dalam bab Syahadah (kesaksian) dan ia tidak sama dengan bab Ikhbar dan I`lan Hadits (penyampaian hadits), ini kerana ia lebih longgar dan tidak diketatkan dengan syarat-syarat seperti dalam bab Syahadah (kesaksian). Kerana itu juga tidak ada beza antara periwayatan lelaki atau perempuan, berbeza dengan kanun kesaksian, di mana seorang lelaki menyamai dua orang perempuan. Begitu juga umur perawi tidak terhad seperti umur saksi mahkamah.

Satu istilah lain yang hampir dengan munawalah ialah وجادة (wijadah) iaitu seseorang murid menemui kitab gurunya yang tidak diberikan kebenaran oleh gurunya secara 
khusus. `Ulama’ berbeza pendapat juga tentang cara ini, periwayatan wijadah yang boleh diterima ialah sekiranya kitab gurunya itu dikenal pasti sebagai tulisan gurunya 
sendiri, juga sudah ditashihkan dan muridnya pula seorang yang berkelayakan.


⁸⁴ Selain daripada periwayatan secara munawalah, Imam Bukhari juga mengemukakan satu lagi cara yang juga boleh diterima, ia dipanggil mukatabah atau surat yang ditulis oleh ahli ilmu kepada ahli ilmu lain di serata negeri. Secara tidak langsung mengisyaratkan kepada kepelbagaian cara untuk memperolehi ilmu, terutama di zaman kita sekarang ini, dengan mesej digital, televisyen, cakera padat, 
kaset, rakaman suara, rakaman video, dan sebagainya.

(penentuan sahih atau tidak lagi bergantung kepada perawi kerana pembukuan telah siap)

Periwayatan dengan cara-cara begini dibenarkan, dengan syarat dapat dipastikan kesahihannya dan sumbernya 
adalah daripada tuan asal dan tidak ada apa-apa tokok tambah dan pengubahan-pengubahan dari pihak ketiga.

(dalam sejarah berlaku toko tambah dan  dilihat tokot tambah ini dalam kitab rijal)

Penyalinan isi dan juga percetakan tanpa apa-apa pengubahan yang dilakukan oleh orang yang ingin mengambil keuntungan dibenarkan dengan izin pengarang asal, kerana ada saja pengarang yang tidak mengambil berat tentang keuntungan dan hanya ingin menyebarkan ilmu ke serata tempat. Pengawalan dan izin ini termasuk di bawah kategori undang-undang hak cipta yang diterima Islam untuk menjaga hak pengarang, kesahihan dan keaslian hasilnya supaya ia terjaga daripada tokok tambah orang yang tidak bertanggungjawab.


Surat yang disertai dengan izin untuk meriwayatkan kandungannya itu sah untuk digunakan, surat yang hanya mengandungi riwayat hadits sahaja terdapat beberapa
pendapat `ulama’ tentangnya, secara umumnya ia sah tetapi periwayatannya mestilah كَاتَبَنِي atau  حَدَّثَنِي كِتَابَةً 
yang bermaksud ‘dia telah meriwayatkan kepadaku secara mukatabah, atau secara murasalah (dengan mengutus surat ) sepertiأَجَازَنِي مُرَاسَلَةً yang bermaksud 'dia telah mengizinkan kepada saya secara murasalah’.

⁸⁵ Imam Bukhari membawakan bukti untuk munawalah; salinan al-Qur’an oleh Sayyidina `Utsman yang disahkan dan dijadikan sebagai mushaf rasmi dan dihantarkan ke pelusuk negeri. Jika al-Qur’an sah untuk disampaikan dengan cara itu, hadits yang darjatnya lebih rendah itu tentunya boleh.

⁸⁶ Imam Bukhari membawa pendapat orang-orang terdahulu untuk membuktikan keabsahan pendapat yang dikemukakannya, cuma terdapat kemusykilan tentang 
siapakah yang dimaksudkan oleh beliau dengan `Abdullah bin `Umar itu? Adakah dia Ibnu `Umar? `Abdullah bin `Amar bin al-`Aash atau `Abdullah bin `Umar yang lain?

Berikut adalah beberapa jawapan bagi merungkai kemusykilan ini: 
(1) Yang dimaksudkan ialah `Abdullah bin `Umar bin `Aashim bin `Umar atau dikenali sebagai `Abdullah bin `Umar al-`Umariy, cicit Sayyidina `Umar r.a. Demikianlah kata al-Kirmāni. Buktinya ialah Imam Bukhari meletakkan dia bersama-sama Yahya bin Sa`id dan Imam Malik yang kedua-duanya bukan sahabat tetapi orang `alim di 
peringkat kemudian. Imam Tirmizi dan Anwar Syah al-Kasymiri mengatakan dia sebagai seorang perawi yang hasan, maka timbul pula persoalan mengapakah Imam 
Bukhari menyebutkan perawi hasan terlebih dahulu berbanding Yahya bin Sa`id dan Imam Malik yang merupakan perawi shahih? 

( kenapa diletakan disitu dan ramai tak setuju dgn pendapat ini)


(2) Kerana persoalan itulah Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa `Abdullah bin `Umar yang dimaksudkan di sini ialah anak Sayyidina `Umar r.a. itu sendiri atau `Abdullah bin `Amar bin al-`Aash kerana cicitnya (`Abdullah bin `Umar al-`Umariy) itu lebih rendah darjatnya berbanding 
Yahya bin Sa`id dan Imam Malik. Hakim di dalam kitab wasiat ada menyebutkan bahawa `Abdullah bin `Umar ada melakukan munawalah kepada salah seorang anak 
muridnya beberapa hadits. 

(3) Biras Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz al-`Aini berpendapat, 
`Abdullah bin `Umar yang dimaksudkan di sini bukanlah Ibnu `Umar, tetapi ia adalah `Abdullah cicit Sayyidina `Umar. Alasan beliau ialah Imam Bukhari ada mengambil 
riwayatnya berkenaan hadits Dzul Yadain. Beliau juga mengatakan bahawa andaian `Abdullah bin `Amar tidak tepat kerana tidak ada mana-mana nuskhah yang ditulis 
dengan ada wau fariqah (untuk dibaca sebagai عَمَرو` Amar), semuanya ditulis tanpa wau. Bagaimanapun al-`Aini juga tidak dapat menemukan riwayat yang menyebutkan 
bahawa Ibnu `Umar berpendapat riwayat munawalah adalah harus (boleh diterima) sebagaimana kenyataan Imam Bukhari.
Kemusykilan ini semakin memuncak apabila perawi yang meriwayatkan daripada `Abdullah itu adalah `Abdur Rahman al-Ĥubuli yang hanya menyebut “`Abdullah”
sahaja sedangkan dia berguru dengan kedua-dua `Abdullah bin `Amar dan `Abdullah bin `Umar. 

Al-`Aini akhirnya mengatakan bahawa menurut para `ulama’ apabila disebutkan `Abdullah sahaja dari kalangan sahabat, maka biasanya ia difahami sebagai `Abdullah Ibnu Mas`ud. Cuma yang menjadi masalahnya ialah beliau bukan 
guru kepada `Abdur Rahman al-Ĥubuli.

⁸⁷ Seperti al-Humaidi, guru Imam Bukhari, Imam Malik dan lain-lain. Istilah Ahli al-Kufah atau `ulama’ Kufiyyin pula digunakan untuk Imam Abu Hanifah, Sufyan ats-Tsauri dan lain-lain.

⁸⁸ Beliau ialah `Abdullah bin Jahsy, beliau telah menjadi ketua pasukan pengintip yang terdiri daripada 12 orang untuk melaksanakan satu misi intipan tentang keadaan 
orang-orang kafir, peristiwa ini berlaku sebelum perang Badar pada tahun ke-2 Hijrah.

⁸⁹ Kerana isi kandungan surat itu adalah rahsia yang mungkin kalau dibaca di tempat awam, akan diketahui oleh orang-orang munafiq yang akan membocorkannya kepada 
orang-orang kafir. Peperangan memerlukan perancangan yang rapi dan penjagaan maklumat yang ketat kerana sedikit kesilapan boleh membawa kepada kematian dan 
kehilangan nyawa, Nabi s.a.w. memahami perkara ini dan menggunakan surat sebagai salah satu cara yang lebih bercermat.

⁹⁰ Lantikan seorang ketua pasukan yang dijadikan utusan oleh Nabi s.a.w. itulah bukti dia seorang yang boleh diamanahkan dan juga berkelayakan untuk menyampaikan 
hadits Nabi kepada orang lain, izin Baginda untuk dibacakan surat itu juga menjadi bukti sahnya munawalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan