Rabu, Ogos 31, 2022

Jami ' tirmizi kitab bersuci sesi 111 21/8/22(3)


Jami ' tirmizi kitab bersuci  21/8/22(3)
⁶⁷⁴ Bin `Abdillah bi al-Hudair bin `Abdil `Uzza bin `Aamir bin al-Ĥārits bin Ĥāritsah bin Sa`ad bin Taim bin Murrah at-Taimi. Kuniahnya ialah Abu `Abdillah. Ada juga 
orang menyebut kuniahnya Abu Bakar. Muhammad bin al-Munkadir adalah seorang imam dan tokoh besar. Beliau tsiqah, fādhil dan ĥāfizh. Meninggal dunia ketika 
berumur 76 tahun pada tahun 131 Hijrah.
Tujuan Imam Tirmidzi mengemukakan sanad Muhammad bin al-Munkadir ini ialah untuk menampung kelemahan yang terdapat pada saluran pertama disebabkan 
adanya`Abdullah bin Muhammad bin `Aqīl yang dianggap sebagai seorang perawi dha`if. 

⁶⁷⁵ Hadits ini menunjukkan tidak perlu berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang dimasak dengan api. 

⁶⁷⁶ Hadits Abu Bakar ini dikemukakan oleh Abu Ya`la dan al-Bazzaar. Lafaznya ialah:
فأن النبي صلى الله عليه وسلم نهش من كتف ثم صلى ولم يتوضأ
 Bermaksud: Kata beliau, “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menggigit paha (kambing / biri-biri), kemudian bersembahyang tanpa berwudhu’.” Di dalam sanadnya ada Ĥusām bin Mishak. Para `ulama’ Rijāl bersepakat tentang kedha`ifannya. Demikian tersebut di dm Majma` az-Zawā’id. 


⁶⁷⁷ Hadits Ibnu `Abbaas diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, an-Nasā’i, Ibnu Khuzaimah dan lain-lain.

⁶⁷⁸ Hadits Abu hurairah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ibnu khuzaimah, Ibnu Hibbaan, al-Bazzaar dan lain-lain.

⁶⁷⁹ Hadits Ibnu Mas`ud diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Ya`la. Lafaznya ialah:
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يأكل اللحم ثم يقوم إلى الصلاة ولا يمس ماء
Bermaksud: Sesungguhnya Nabi s.a.w. selalu makan daging, kemudian bershalat tanpa menyentuh air (berwudhu’).

⁶⁸⁰ Hadits Abu Rāfi` diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, an-Nasā’i dan lain-lain. 

⁶⁸¹ Hadits Ummu al-Ĥakam diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Abi Syaibah, Abu Ya`la dan lain-lain.

⁶⁸² Hadits amar bin Umaiyyah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

⁶⁸³ Hadits Ummu `Aamir diriwayatkan oleh at-Thabaraani di dalam al-Mu`jam al-Kabīr.

⁶⁸⁴ Hadits Suwaid bin an-Nu`mān diriwayatkan oleh al-Bukhari. 

⁶⁸⁵ Hadits Ummu Salamah pula diriwayatkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya.

⁶⁸⁶ Kuniahnya ialah Abu Sahal al-Bashri, seorang perawi dha`if yang hampir-hampir dianggap matrūk. Al-Fallaas dan ad-Daaraquthni bahkan menganggapnya matrūk.

⁶⁸⁷ Inilah juga pegangan dan amalan para Khulafā’ ar-Rāsyidīn r.a. Bukhari di dalam Sahihnya berkata, “Abu Bakar, `Umar dan `Utsman memakan apa yang dimasak dengan api dan mereka tidak berwudhu’ (kerananya). Kata Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fatĥul Bāri, “Ia diwashalkan oleh at-Thabaraani di dalam Musnad asy-Syāmiyyīn dengan isnad yang hasan daripada saluran riwayat Sulaiman bin `Aamir, katanya: “Aku melihat Abu Bakar, `Umar dan `Utsman makan sesuatu yang dimasak denganapi dan mereka tidak berwudhu’ (kerananya). Melalui banyak saluran kami mendapat riwayat daripada Jābir secara marfū` dan juga mauqūf daripada mereka bertiga secara berasingan dan juga secara bersama. 

⁶⁸⁸ Az-Zuhri pula berpendapat sebaliknya, hadits yang menyuruh supaya berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang dimasakkan memansukhkan bagi hadits yang
mengharuskan. Kerana keharusan memang terdahulu. `Ulama’-`ulama’ lain tidak bersetuju dengannya, kerana mereka berpegang dengan kata-kata Jābir bahawa yang
terakhir daripada perbuatan Nabi s.a.w. ialah tidak berwudhu’ kerana memakan apa yang dimasak dengan api. Demikian diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasā’i dan lain-
lain.
Al-Baihaqi menukilkan kata-kata `Utsman ad-Dārimi bahawa oleh kerana hadits-hadits dalam bab ini berbeza-beza dan tidak jelas mana yang rajih daripadanya, maka kita perlu melihat kepada amalan Khulafā’ ar-Rāsyidūn selepas Nabi s.a.w. Apa yang diamalkan oleh mereka itulah yang kita pilih. 
Imam an-Nawawi di dalam Syaraĥ Muhadzdzab bersetuju dengan pilihan `Utsman ad-Dārimi itu. 
Dari itu nyatalah hikmat kenapa Bukhari memulakan bab di dalam Sahihnya dengan mengemukakan atsar tiga orang daripada Khulafa’ ar-Rāsyidīn tersebut sebelum 
mengemukakan hadits Ibnu `Abbaas bahawa Rasulullah s.a.w. memakan paha biri-biri, kemudian bersembahyang tanpa berwudhu’. 
Imam an-Nawawi berkata, “Khilaf di kalangan Sahabat dan Tabi`in memang dima`lumi berhubung dengan perkara ini. Kemudian berlaku ijma` bahawa tidak perlu  berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang dimasak dengan api, kecuali kalau daging unta, kerana khilaf tentangnya masih berterusan. Khatthābi pula cuba menjama`kan kedua-dua hadits dengan mengatakan perintah berwudhu’ seharusnya dipakai dengan ma`na istiĥbāb sahaja, bukan dengan ma`na wajib. Pengarang al-Muntaqa juga memilih jalan itu, kata beliau, nas-nas yang menunjukkan Nabi s.a.w. tidak berwudhu’ setelah memakan sesuatu yang dimasak dengan api itu hanya menafikan kewajiban bukan menafikan istiĥbāb. Kerana itulah  Nabi s.a.w. apabila ditanya, “Apakah kita perlu berwudhu’ apabila memakan dagingkambing?” Maka baginda bersabda, “Berwudhu’ pun boleh, tidak mahu berwudhu’ pun boleh juga.” Kalau berwudhu’ tidak mustaĥab dalam keadaan itu, tentu penanya tidak dibenarkan berwudhu’, kerana berwudhu’ bererti berlebih-lebihan dan menyia-nyiakan air tanpa faedah. Menurut asy-Syaukani, hadits yang mengandungi perintah berwudhu’ kerana memakan apa yang dimasak dengan api tidak mansukh. Hadits-hadits yang menunjukkan tidak perlu berwudhu’ pula hanya mengecualikan memakan daging kambing sahaja. Selain daging kambing tetap termasuk dalam perintah supaya berwudhu’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan