TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS
- Sesi 66- 25-Okt-17
Ringkasan 20 Usul Tarsi Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 17
MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA'KKHIRIN
NOTA KULIAH: NASAKH HADITS DENGAN AL-QURAN
Jumhur `ulama’ berpendapat al-Qur’an harus menasakhkan Hadits.
Contohnya perbuatan Nabi dan sahabat mengadap ke arah Baitul Maqdis ketika sembahyang.
Sebagaimana Hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
Bermaksud: “Sesungguhnya Nabi pernah mengadap ke arah Baitul Maqdis sebagai qiblat ketika sembahyang selama 16 bulan, selepas itu ia dinasakhkan dan Nabi diarahkan menukar qiblat ke Ka’bah pula”
Nas al-Qur’an yang menasakhkan hadits Hadits tersebut ialah: Bermaksud:
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke qiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” (al-Baqarah : 144)
NASAKH DENGAN IJMA’ Jumhur `ulama’ mengatakan Ijma` tidak harus menasakhkan nas al-Qur’an dan Hadits, kerana apabila sesuatu nas itu qath`i maka tidak mungkin berlaku Ijma` yang menyalahinya. Seandainya pula ia zanni, maka kemungkinan berlaku Ijma` menyalahinya. Namun begitu, Ijma` hanya berlaku dengan berdasarkan dalil yang kuat menurut pandangan `ulama’ yang telah bersepakat mengenai nas-nas tertentu.
NASAKH IJMA’ DENGAN AL-QURAN DAN HADITS Sebagaimana tidak harus Ijma` menasakhkan al-Qur’an atau Hadits, begitu juga al-Qur’an atau Hadits tidak harus menasakhkan Ijma`.
Hal itu kerana yang menasakhkan itu mestilah terkemudian daripada yang dinasakhkan. Sedangkan al-Qur’an dan Hadits mendahului Ijma`, kerana Ijma` diperlukan selepas kewafatan Nabi.
NASAKH IJMA’ DENGAN IJMA’ Ijma` tidak harus menasakhkan Ijma` lain. Hal tersebut kerana, apabila Ijma` terlaksana, maka wajib beramal dengannya dan tidak sah menyalahinya.
NASAKH AL-QURAN ATAU HADITS ATAU IJMA’ DENGAN QIAS Adalah tidak harus dinasakhkan al-Qur’an atau Hadits atau Ijma` dengan Qiyas, begitu juga tidak harus dinasakhkan Qiyas dengan al-Qur’an atau Hadits atau Ijma`.
Hal tersebut kerana syarat sah Qiyas itu ialah dengan tidak menyalahi nas al-Qur’an dan Hadits dan Ijma`. Sekiranya Qiyas itu menyalahi nas-nas tersebut, maka ia tidak sah dan tidak boleh beramal dengannya.
NASAKH QIYAS DENGAN QIYAS Adalah tidak harus Qiyas menasakhkan Qiyas yang lain.
NAS YANG TIDAK BOLEH DINASAKH Tidak semua perkara yang tersebut di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah boleh dinasakhkan. Ada di antaranya yang menerima penasakhan ada pula yang tidak boleh.
Antara perkara yang tidak boleh dinasakhkan ialah:
1. Ayat-ayat yang menyentuh tentang akidah dan iman. Seperti sifat-sifat Allah, kekuasaan-Nya, perkara-perkara Sam`iyyat yang telah tetap dan jelas. Contohnya: Tentang alam barzakh, syurga, neraka dan sebagainya. 2. Ayat mengenai sejarah dan perkara-perkara yang menyentuh tentang nabi-nabi dan umat silam yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui wahyu. Contohnya, kisah al-Kahfi, Zul Qarnain, Nabi Musa dan Firaun, Nabi Nuh dan kaumnya dan sebagainya.
3. Hukum-hukum syara` yang telah diputuskan selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. serta melalui ijma` `ulama’.
4. Hukum tentang semua sifat mulia atau keji yang tidak akan berubah dengan sebab perubahan keadaaan dan maut. Contohnya: keadilan, kebenaran, sifat amanah, kezaliman dan lainnya.
5. Hukum-hukum tentang furu’ atau cabang syara`, yang telah dijelaskan berkekalannya oleh syara`. Contohnya: Berjihad dan lain-lain.
(SAMBUNGAN NOTA KULIAH - NOTA: NOTA INI TIDAK DIBACA SEMASA KULIAH TETAPI SAMBUNGAN DARI NOTA ASAL YANG PERLU DIBACA SENDIRI OLEH PESERTA KULIAH)
Jumhur `ulama’ muta’akkhirin sepakat mengatakan Nasakh memang berlaku dalam hukum syara`. Antara hikmat Nasakh ialah:
1. Untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan manusia, di mana kadang-kadang kemaslahatan itu berubah mengikut keadaan.
2. Dasar Islam yang tidak membebankan umatnya dan sesetengah hukum itu diturunkan secara beransur-ansur, supaya manusia tidak rasa berat dan dapat menerima pembinaan hukum yang dibawa oleh Islam. Contohnya terhadap hukum pengharaman riba, di mana ia datang dalam empat peringkat.
Peringkat Pertama: Allah menerangkan perbezaan antara riba dan zakat. Firman Allah:
Bermaksud: “Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.”
(ar-Ruum : 39)
Peringkat Kedua: Allah menerangkan riba itu suatu perbuatan zalim. Firman Allah: Bermaksud:
“Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia di jalan Allah.
(160).
Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa tang tidak terperi Sakitnya.”
(an-Nisaa’ : 160-161)
Peringkat Ketiga:
Allah melarang mengambil riba dengan cara dan gambaran yang tidak baik. Firman Allah: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.“
('Aali `Imraan : 130).
Perigkat Keempat: Allah mengharamkan riba secara mutlak. Firman Allah: Bermaksud:
“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit. Keadaaan mereka yang sedemikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (al-baqarah : 275)
3. Untuk mengemaskinikan hukum syara` dan mengembangkan perundangan Islam. Hal itu memandangkan ada sesetengah hukum-hukum Islam yang diturunkan pada peringkat permulaan Islam hanya sesuai dengan zaman dan masyarakat waktu itu sahaja.
4. Hikmat Nasakh dan mansukh serta penurunan al-Qur’an secara beransur-ansur adalah bertepatan dengan sifat manusia yang lemah iaitu memudahkan mereka memahami dan menghayati tuntutan dan pelaksanaan syari`at dengan lebih senang.
5. Selain itu ia juga untuk memudahkan dan memberi kesempatan kepada umat Islam, khususnya masyarakat `Arab awal Islam yang bergantung dengan adat Jahiliyyah meninggalkan kefahaman mereka secara beransur-ansur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan