Khamis, November 23, 2017

Tafsir asas quran sesi 65.

NOTA KULIAH DISEDIAKAN DI BAWAH*** TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS - Sesi 64- 18-Okt-17 Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 17
MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA'KKHIRIN

NOTA KULIAH NASAKH KESELURUHAN ATAU KULLI Ia bermaksud syara` membatalkan keseluruhan hukum terdahulu dan ia merangkumi setiap mukallaf.
Contohnya firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(al-Baqarah : 240).
Hukum ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami selama setahun yang dapat difahami daripada ayat tersebut telah dinasakhkan dengan ayat 234 surah al-Baqarah juga.
DI dalam ayat 234 dijelaskan masa ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami ialah selama empat bulan sepuluh hari sahaja.
Di bawah ini dikemukakan ayat 234 surah al-Baqarah berkenaan, yang bermaksud: “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber`iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis `iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah : 234)
Hukum dalam ayat ini menasakhkan hukum terdahulu dalam ayat 240 surah al-Baqarah yang disyari`atkan kepada semua isteri-isteri.
Nasakh seperti inilah yang dinamakan nasakh secara keseluruhan atau kulli. NASAKH SEBAHGAIAN ATAU JUZ'I Ia membawa maksud syara` telah mensyari`atkan hukum secara umum yang merangkumi setiap mukallaf, kemudiannya telah membatalkan hukum itu untuk sebahagian mukallaf sahaja.
Contohnya firman Allah yang bermkasud: ”Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menagguhkan dirinya (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.”
(al-Baqarah : 234)
Oleh kerana ayat ini diturunkan secara umum menyatakan `iddah perempuan atau isteri yang kematian suami, sama ada ketika itu ia sedang mengandung atau tidak mengandung ialah selama empat bulan sepuluh hari. Maka kemudiannya turunlah pula firman Allah yang lain, bermaksud,
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haidh, jika kamu menurut syak (terhadap tempoh `iddah mereka), maka `iddahnya ialah tiga bulan dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaidh. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan.
(at-Talaaq : 4)
Ayat ini menerangkan bahawa perempuan mengandung, sama ada yang diceraikan atau pun kematian suami, `iddahnya ialah melahirkan anak kandungannya. Oleh sebab itu ayat ini telah menasakhkan ayat 234 Surah al-Baqarah di atas secara sebahagian.
Hal itu kerana hukum `iddah perempuan yang tidak mengandung dan kematian suami, masih dikekalkan berdasarkan kehendak ayat 234 Surah al-Baqarah itu, iaitu selama empat bulan sepuluh hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan