Qawaid tafsir 2018 kaedah 010
قاعدة 10 إِذَا اخْتَلَفَتِ الْأَلْفَاظُ، وَكَانَ مَرْجِعُهَا إِلَى أَمْرٍ وَاحِدٍ لَمْ يُوْجِبْ ذَلِكَ اخْتِلَافًا
Kaedah 10
Lafaz-lafaz yang berbeza, apabila semuanya menunjukkan perkara yang sama,tidak akan menyebabkan percanggahan.
Maksud qaedah ke-10 ini ialah jika terdapat perbezaan pada lafaz, ayat atau gaya bahasa, tetapi semuanya menunjukkan ma'na yang sama, maka dalam keadaan itu tidak boleh dikatakan ada percanggahan di antara satu sama lain.
Aplikasi qaedah ini dapat anda lihat pada dua firman Allah berikut:
Al-Balad 90:1
لَآ أُقْسِمُ بِهَٰذَا ٱلْبَلَدِ
Aku benar-benar bersumpah dengan kota ini (Mekah).
(al-Balad:1).
At-Tin 95:3
وَهَٰذَا ٱلْبَلَدِ ٱلْأَمِينِ
dan demi kota (Mekah) ini yang aman.
(at-Tiin:3).
Jika dilihat sepintas lalu kepada perkataan dan gaya bahasa yang digunakan di dalam dua firman Allah di atas, jelas sekali kelihatan perbezaannya. Ayat pertama pada zahirnya merupakan ayat manfi (منفي), ayat kedua pula mutsbat (مثبت) Di dalam ayat pertama digunakan perkataan أقسم(Aku bersumpah). Di dalam ayat kedua tiada penggunaan seperti itu. Begitu juga di dalam ayat pertama digunakan rangkai kata هذا البد di dalam ayat kedua pula digunakan rangkai kata هذأ البلد الأمين Maka apakah terdapat percanggahan di antara dua ayat itu? Jawabnya tidak, kerana kedua-duanya merupakan ayat qasam. Di dalam ayat pertama memang digunakan perkataan اقسمyang mengandungi erti sumpah. Di dalam ayat kedua meskipun tidak digunakan perkataan yang jelas menunjukkan erti sumpah, namun haraf و di permulaannya juga memberi erti sumpah, kerana ia adalah واو القسم Ayat pertama walaupun kelihatan seperti ayat منفي namun ia juga مثبت, kerana perkataan لا di permulaannya bukannya لاnafi, sebaliknya ia adalah لا za'idah yang digunakan orang-orang 'Arab sebagai penguat sumpah mereka semata-mata.
هذا البد dan هذاالبد الأمبن
kedua-duanya menunjukkan kota yang sama, iaitu Kota Mekah. Jadi sebenarnya tidak ada sebarang percanggahan di antara dua ayat tersebut, sama ada pada perkataan-perkataannya atau ayat-ayatnya. Kerana kedua-duanya menunjukkan maksud dan ma'na yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan