Sabtu, Ogos 14, 2021

Sahih Al Bukhari (Bahagian 1 007-026)s(sambungan 4)

Sambungan empat
⁶ Imam Bukhari mengulang sebut hadits ini pada tujuh tempat di dalam Sahihnya. Kecuali di sini, ia dikemukakan oleh Bukhari secara lengkap di semua tempat Iain. Bahagian ketiga hadits, iaitu  فَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُولِهِ tidak tersebut di sini. Kenapakah Bukhari tidak menyebutnya? Macam-macamlah pendapat diberikan untuk menjawab soalan itu. Antara yang terbaik daripada jawapan-jawapan itu ialah dua jawapan berikut ini:

(1) Imam Bukhari bermaksud mengisyaratkan kepada salah satu seni periwayatan hadits, di mana sesebuah hadits boleh diriwayatkan secara ringkas atau dipetik sebahagian sahaja daripada keseluruhan teksnya. Ini berlaku apabila sesebuah hadits itu sudah terlalu masyhur dan diketahui ramai atau maksud dan perkara yang diperbincangkan hanya terkandung di dalam potongan-potongan tertentu sahaja daripada keseluruhan hadits tersebut. Teknik sebegini juga dibenarkan dalam memetik ayat-ayat al-Qur'an. Kerana untuk menyampaikan maksud yang dikehendaki, tidak semestinya keseluruhan ayat dari awal hingga ke akhirnya dipetik. Perbuatan meringkaskan hadits seperti ini dipanggil  خرم في ابحديث .Ia bagi Bukhari harus dilakukan sama seperti harusnya meriwayatkan hadits berdasarkan ma'nanya. 

(2) Walaupun hadits ini tercatat dengan lengkap di dalam Musnad alHumaidi, mungkin sekali Imam Bukhari pernah mendengarnya secara langsung dari Humaidi dengan lafaz seperti yang dikemukakannya di sini iaitu tanpa bahagian ketiganya. Berdasarkan riwayat yang didengarnya itulah Bukhari mengemukakannya di sini. Tambahan pula dengan adanya bahagian ketiga itu, seolah-olahnya Imam Bukhari mendabik dada tentang keikhlasannya dalam menulis kitabnya ini. Itu bagi beliau semacam memuji atau membersih diri sendiri. Untuk membuktikan sama ada beliau ikhlas atau tidak, beliau serahkan saja kepada masa yang akan menentukannya. Dan itu telah pun tersebut di dalam bahagian kedua hadits. وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
(Setiap orang akan mendapat apa yang diniatnya). Bagi kita yang hidup lebih seribu tahun selepas kewafatan Imam Bukhari, keikhlasan beliau telah jelas terbukti. Kitab karangan beliau ini bahkan telah dianggap sebagai kitab yang paling sahih selepas Kitab Allah. Khutbah Sahih Bukhari. Sesetengah ulama' mendakwa bahawa Imam Bukhari tidak memulakan kitabnya dengan khutbah beliau sendiri kerana beliau menganggap khutbah Saiyyidina 'Umar r,a. yang terdapat di dalam hadits pertama sudah memadai dan mewakili khutbah kitabnya. Justeru itulah
khutbah paling lengkap, memadai dan memenuhi kehendak sebuah khutbah yang sempurna. Mesejnya amat tepat dan sasarannya menyeluruh untuk setiap lapisan masyarakat. Apakah motif di sebalik Imam Bukhari membuka Sahihnya dengan membawakan hadits berbentuk khutbah ini? Sedia dimaklumi bahawa khutbah adalah salah satu media pengajaran dan peringatan yang dianggap sebagai suatu wadah sangat besar dan penting di dalam agama. Memberikan tumpuan kepadanya sama ada dalam bentuk mendengar dengan teliti mahupun dengan menumpukan sepenuh perhatian dan perasaan adalah suatu tuntutan serius di dalam Islam. Berbual, leka atau bermain-main semasa khatib sedang berkhutbah adalah perbuatan-perbuatan terlarang yang dikira "lagha" dan mendatangkan dosa. Jadi tujuan Imam Bukhari memulakan haditsnya dalam bentuk khutbah adalah untuk mengingatkan semua pihak agar memberikan sepenuh tumpuan kepada isi kandungan kitabnya yang terdiri daripada sabda-sabda Rasulullah s.a.w. yang tentunya menjadi pedoman dan pengajaran dalam kehidupan ummat. Manakala mengikut sesetengah ulama' yang Iain pula tujuan Imam Bukhari membawakan hadits tersebut sebagai pembuka kitabnya adalah untuk mengingatkan para pembaca kitabnya supaya sentiasa ikhlas dalam apa jua perbuatan dan tindakan, terutamanya dalam mempelajari ilmu-ilmu agama yang berteraskan alQur'an dan as-Sunnah. Kerana tanpa keikhlasan, setiap amalan termasuklah pengajian hadits kita ini akan menjadi sia-sia sahaja. Antara contoh penyimpangan ikhlas ialah mengharapkan habuan dunia atau material semata-mata, atau memasang tujuan-tujuan Iain selain tujuan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan RasulNya. Peristiwa berhijrah demi mendapat dunia atau demi berkahwin dengan seseorang wanita yang dijadikan ibarat di dalam hadits di atas adalah sebaik-baik contoh untuk semua. Imam Bukhari dari awal-awal lagi mengingatkan kita agar membetulkan niat belajar kita, supaya tidak tergelincir dari landasan yang betul. Sekali pandang tidak kelihatan sebarang perkaitan di antara maksud hadits ini dengan tajuk yang dibuat oleh Imam Bukhari. Tetapi jika direnungi dengan cermat dan lebih mendalam, sudah pasti anda akan dapati tidak ada satu hadits pun di dalam Sahih Bukhari yang melencong daripada kehendak tajuk babnya. Hadits ketiga di bawah bab ini misalnya memuat peristiwa Nabi s.a.w. mengalami mimpi-mimpi yang benar sebelum Baginda s.a.w. mendapat wahyu. Selepas itu Rasulullah s.a.w. mula menjauhkan diri daripada masyarakat dengan pergi beribadat di Gua Hira'. Di situlah akhirnya Baginda mendapat wahyu yang pertama. Jika peristiwa tersebut diperhatikan dengan cermat, anda akan dapati antara faktor kenapa Baginda didatangi mimpi-mimpi yang benar dan seterusnya mendapat wahyu serta bimbingan daripada Allah s.w.t. ialah: 
(1) Disebabkan oleh kesedaran Rasululah s.a.w. yang tinggi yang lahir daripada keikhlasan hati Baginda. 
(2) la merupakan sebahagian daripada hasil hijrah Baginda daripada masyarakat dan kemewahan hidup duniawi. 
(3) Tujuan Baginda menyendiri di Gua Hira' pula bukanlah untuk mendapatkan sebarang pulangan kebendaan. Sebaliknya tujuan Baginda adalah ikhlas kerana Allah s.w.t. Kerana pada ketika itu jiwa Baginda yang suci sudah tidak mampu lagi menyaksikan tanah suci yang pernah dibuka oleh Nabi Ibrahim a.s. di suatu ketika dahulu, setelah sekian lama menjadi pusat ajaran tauhid telah bertukar kepada suatu tempat yang menjadi paksi amalan syirik dan dipenuhi dengan pelbagai ma'shiat dan kemungkaran yang Iain. Dalam usaha memikirkan bagaimana cara untuk mengubah masyarakat itulah Baginda mendapat wahyu yang pertama hasil keikhlasan Baginda s.a.w. Hasil daripada keikhlasan juga setiap amalan dan sumbangan seseorang akan berkembang dan berkekalan sepanjang masa. Lihatlah betapa mesranya kesinambungan hadits itu dengan tajuk bab ini serta hadits penamanya. Rangkap hadits seterusnya yang berbunyi: فَهَجْرَتُهُ إِلَى مَا هَا جَرَإِلَيْهِ (maka hijrahnya dikira untuk tujuannya itu) merupakan jawapan kepada syarat فَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنَّيَا يُصِيْبُهَا أَوِمْرَأَةٍ ينكحها (Sesiapa yang hijrahnya ialah untuk mendapat dunia atau untuk berkahwin dengan seseorang wanita). Di sini tidak diulangi sebutan 'dunia' atau 'wanita' sebagaimana diulang sebutan perkataan Allah dan RasulNya di dalam rangkap sebelumnya. Sebaliknya digantikan dengan perkataan ما sahaja yang bererti: "maka hijrahnya dikira untuk tujuannya itu". 'Ibarat seperti ini menimbulkan beberapa tanggapan dan tafsiran. Antaranya: 

(1) Ada 'ulama' berpendapat bahawa apa yang diganti oleh perkataan ما  atau berada di sebaliknya, tidak layak disebut. Dalam erti kata yang lain walau sebesar manapun matlamat duniawi yang kita kejar hakikatnya tidak ada nilai langsung jika dibandingkan dengan Allah dan RasulNya, 

(2) Ada pula ulama' berpendapat bahawa apa yang tersirat di sebalik ما itu terlalu banyak. Matlamat-matlamat lain yang berada di sebalik perkataan ما kalau hendak disebut, tidak terhitung jumlahnya. Oleh sebab itulah ia di sembunyikan di sebalik perkataan ما yang mengandungi erti umum dan samar. Asbabul wurud dan objektif hadits Hadits ini berlatar belakangkan satu peristiwa yang diriwayatkan oleh atThabaraani, di mana seorang sahabat rasulullah s.a.w berhasrat untuk mengahwini seorang sahabat wanita. Namun sahabat wanita tersebut memintanya agar berhijrah terlebih dahulu sebelum meneruskan hasratnya itu. Lalu demi memenuhi permintaan wanita yang dikasihinya, sahabat tersebut pun berhijrah dan akhirnya mereka berdua pun diijab kabul. Tindakan sahabat tersebut kalau direnungi, tidaklah mengandungi sebarang unsur yang mengaibkan, malah niatnya untuk berkahwin adalah sesuatu yang amat baik. Namun ia tetap mendapat teguran daripada Allah melalui RasulNya hanya kerana menyertakan niat hijrahnya dengan niat yang lain. Walaupun pada asasnya perkara tersebut bukanlah sesuatu yang salah, malah ia adalah salah satu perkara yang dituntut Sunnah. 

Menerusi hadits ini Nabi s.a.w. sebenarnya bermaksud menegaskan kepada kita bahawa dalam melaksanakan sesuatu ibadat kepada Allah s.w.t, niat kita haruslah bersih daripada perkara-perkara sampingan seperti itu, kerana selain menampakkan ketidakikhlasan, ia dibimbangi akan menjerumuskan kita ke dalam perbuatan syirik yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. Dalam menerapkan 'aqidah Tauhid di dalam ibadah hambaNya, Allah s.w.t. telah berfirman di dalam satu hadits Qudsi: 
أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنْ الشِّرْكِ مَنْ عَمِلَ عَمَلًا أَشْرَكَ فِيهِ غَيْرِي فَأَنَا مِنْهُ بَرِيءٌ وَهُوَ لِلَّذِي أَشْرَكَ
Bermaksud: "Akulah (Tuhan) yang paling tidak perlu kepada perkongsian." Atau boleh juga diterjemahkan dengan "Akulah (Tuhan) yang paling pantang dikongsi. Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan di mana dia mengongsikan Aku dengan orang lain, Aku berlepas diri darinya dan ia (amalannya itu) adalah untuk orang yang dikongsikan denganKu itu." 
(Hadits riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Majah, Thabaraani, alBazzaar dan lain-lain). 

Jadi tindakan sahabat tersebut walaupun zahirnya tidak salah, tetapi sudah cukup untuk ditegur oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah anda tidak akan menemui nama sahabat berkenaan disebut di dalam mana-mana kitab hadits mahupun syarah-syarahnya kecuali nama 'samaran' beliau sahaja iaitu 'Muhajir Ummi Qais' yang bermaksud orang yang berhijrah demi Ummi Qais (nama Ummi Qais yang sebenarnya ialah Qailah), selaras dengan adab periwayatan hadits yang tidak akan mendedahkan keaiban seseorang kecuali untuk sesuatu maslahat yang jelas umpamanya sahabat yang berzina yang disebut namanya. Itupun ianya tidak menjadi suatu keaiban kepadanya malah semakin membuktikan ketinggian, keimanan dan keteguhan peribadinya apabila beliau sendiri tampil mengakui kesalahannya dan beberapa kali mendesak Nabi s.a.w, agar melaksanakan hukuman ke atasnya. Adapun kesalahan kecil sahabat yang berhijrah itu tidak perlu diungkit-ungkit. Kerana beliau sendiri telah menyesal dan berasa malu atas perbuatannya setelah ditegur oleh Nabi s.a.w. Peristiwa seumpama ini juga pernah dialami Oleh Abu Thalhah r.a. yang ingin berkahwin dengan Ummu Sulaim r.a. Tetapi Ummu Sulaim r.a. enggan menerima lamarannya kecuali setelah beliau memeluk Islam. Abu Thalhah r.a. pula kebetulannya pada ketika itu memang sudahpun berhasrat untuk memeluk Islam. Lalu beliau pun memeluk Islam sebelum mengahwini Ummu Sulaim dengan kerelaannya sendiri, bukannya semata-mata untuk memenuhi syarat wanita yang dicintainya itu. Sebab itulah perbuatan Abu Thalhah itu tidak mendapat sebarang teguran daripada Nabi s.a.w. Berbeza dengan sahabat yang berhijrah tersebut yang menumpangkan niat berkahwinnya dengan niat hijrahnya. Walaupun kita yakin bahawa niatnya untuk berhijrah adalah lebih utama baginya, kerana beliau adalah seorang sahabat Baginda s.a.w. bukannya seorang munafiq, namun ia tetap tidak disukai Allah s.w.t. yang menuntut sepenuh ketulusan dalam beribadat kepadaNya. Apa lagi kalau niat sampingan seseorang itu menyamai atau lebih utama dan mengatasi keikhlasan terhadapNya.

Memang hadits ini menepati kehendak tajuk bab Imam Bukhari. Huraian dan kupasan yang dikemukakan di atas menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hadits ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tajuknya. Sebaliknya mereka mendakwa Imam Bukhari memulakan kitabnya dengan hadits ini hanya sebagai satu peringatan terhadap dirinya sendiri dan juga para pembaca kitabnya, atau sebagai khutbah pembuka kitabnya semata-mata, bukan sebagai isi kandungan kitab itu sendiri. Antara Pengajaran, pedoman, panduan dan hukum yang dapat diambil daripada hadits ini ialah: 

(1) Kita dikehendaki berhati-hati dalam memasang niat. Niat yang dipasang haruslah ikhlas kerana Allah s.w.t, semata-mata. 
(2) Segala amalan ibadat menghendaki niat. Tanpa niat sesuatu ibadat tidak dikira sah dan tidak mendatangkan pahala. 
(3) Allah dan RasulNya mestilah diutamakan daripada segala kepentingan yang Iain. 
(4) Di dalam hadits ini terdapat amaran daripada nabi s.a.w. supaya umatnya berhati-hati dan berwaspada terhadap perasaan riyaa' (menunjuk-nunjuk), sum'ah (perasaan suka kalau orang mendengar dan tahu tentang sesuatu amalan kebajikan yang dibuat) atau bersamal kerana selain Allah. Kerana semua sifat-sifat keji itu boleh menghapuskan pahala sesuatu amalan kebajikan. Malah adakalanya ia boleh membatalkan amalan itu sendiri. 
(5) Kita umat Islam dikehendaki menjaga dan mengawal hati serta mengambil berat tentangnya, supaya ia tidak terpesong dan tersasar daripada landasan keikhlasan. 
(6) Berhijrah dari negeri kafir ke negeri Islam adalah antara ibadat yang sangat istimewa sekiranya ia dilakukan benar-benar kerana Allah. Kerana itulah nabi s.a.w. pernah bersabda kepada  Amar bin al-Aash:  أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الْإِسْلَامَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلِهَا وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ
Bermaksud:'Tidakkah engkau tahu bahawa sesungguhnya Islam itu merobohkan (menghapuskan) dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya, hijrah merobohkan (menghapuskan) dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya dan haji (juga) merobohkan (menghapuskan) dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya? (Muslim, Ibnu Khuzaimah dan Abu 'Awaanah).

(7) Pahala amalan seseorang mengikut niatnya. Walaupun ia mengerjakan satu saja amalan tetapi kalau di samping itu ia memasang beberapa banyak niat baik yang Iain, niscaya ia akan memperolehi banyak pahala berdasarkan niat-niatnya yang baik itu.

(8) Keelokan membuat contoh dan perbandingan bagi setiap pengajaran yang diberi supaya mudah difahami. 

(9) Kadang-kadang seseorang mendapat pahala atau berdosa atau tidak mendapat apa-apa kerana niatnya. 

(10) Amalan-amalan kebiasaan manusia atau amalan-amalan yang didorong oleh thabi'at dan naluri manusia seperti makan, minum, tidur. bersetubuh dan sebagainya boleh mendatangkan pahala jika disertakan niat yang baik bersamanya. 

(11)Amalan yang sama mungkin mendatangkan pahala kepada seseorang, mungkin juga mendatangkan dosa kepadanya. Perkara yang membawa hasil yang berbeza kepadanya ialah niat. 

(12) Keikhlasan adalah syarat yang mesti untuk diterima sesuatu amalan. Kelebihan sahabat kerana mereka dididik oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Jika berlaku kesilapan dalam apa-apa perbuatan dan tindakan mereka, ia terus ditegur oleh Rasulullah s.a,w. sendiri. keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan keterpeliharaan mereka secara umumnya daripada terus hanyut dalam kesalahan.  

Maksud hadits ini telah difahami dengan baik oleh para sahabat dan mereka telah menunjukkan contoh yang terbaik di dalam mengadaptasinya. Perhatikanlah lembaran sejarah para sahabat, anda pasti akan menemui contoh ketinggian keikhlasan mereka dalam berjuang dengan mempertaruhkan nyawa demi menegakkan agama Islam. Walaupun dalam masa yang sama penglibatan mereka dalam peperangan-peperangan menentang musuh itu turut dijanjikan dengan harta ghanimah (rampasan perang) yang lumayan oleh Allah dan RasulNya. Tetapi semua itu tidak sedikit pun memesongkan mereka daripada keikhlasan dalam menegakkan agama Allah. 

(13) Hadits inilah yang dijadikan asas dan sandaran oleh para fuqaha' untuk satu qaedah fiqh ciptaan mereka yang berbunyi: الأمور بمقاصدها Bermaksud: "Segala perkara dikira berdasarkan maksud-maksudnya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan