Sabtu, April 09, 2022

Kitab ilal 01-15sssP13

Kitab ilal 01-15sssP13

Perkara ketigabelas :
Kehujjahan hadits mursal


Hadits mursal terbahagi dua:
(1) Mursal `Aam (2) Mursal khas.

Mursal `Aam ialah hadits yang terputus di mana-mana bahagian sanadnya. Sama ada ia diriwayatkan secara ta`liq, iaitu apabila seseorang pengarang kitab hadits tidak
menyebutkan atau menggugurkan seorang atau lebih perawi di permulaan sanad, atau dalam bentuk inqithā` (munqathi`), iaitu dengan membuang seorang perawi di tengah sanad, atau dalam bentuk i`dhāl, iaitu dengan membuang dua orang atau lebih perawi secara berturut-turut di tengah sanad, atau dalam bentuk irsāl sebenarnya, iaitu dengan menggugurkan nama sahabat yang meriwayatkannya di penghujung sanad. 
Semua bentuk-bentuk yang tersebut di atas dalam istilah mutaqaddimīn disebut mursal. 

Di dalam enam kitab utama hadits yang terkenal itu banyak sekali digunakan mursal menurut istilah mutaqaddimīn. Mursal inilah juga yang dimaksudkan oleh Tirmidzi dalam perbincangannya ini.

Mursal khas ialah mursal menurut istilah muta’akhkhirīn, iaitu hadits yang tidak disebutkan nama sahabat yang meriwayatkannya di penghujung sanad. Tābi`i terus 
meriwayatkan sesuatu hadits daripada Nabi s.a.w. tanpa menyebutkan nama sahabat yang meriwayatkan kepadanya hadits itu.

Perhubungan di antara mursal `aam dan mursal khas adalah perhubungan umum khusus mutlaq. Mursal khas tentunya merupakan sebahagian daripada mursal `aam. 

Apabila Imam Tirmidzi membincangkan tentang mursal `aam, dengan sendirinya termasuk juga di bawah perbincangannya mursal khas.

Terdapat perbedaan pendapat tentang kehujahan hadits mursal. Kebanyakan fuqaha’ menerimanya sebagai hujah. Kebanyakan muĥadditīn pula tidak menerimanya sebgai 
hujah. Perbedaan mereka bukanlah perbedaan dalam erti kata yang sebenarnya. Kerana orang-orang yang menerimanya sebagai hujah tidaklah menerimanya secara 
mutlaq, dengan erti semua hadits mursal dapat dijadikan hujah. Orang-orang yang tidak menerimanya sebagai hujah juga tidaklah tidak menerimanya secara mutlaq. 
Mereka juga menerima hadits mursal orang-orang tertentu sebagai hujah dan mu`tabar. 

Dalam perbincangan ini Imam Tirmidzi menukilkan pandangan Yahya bin Sa`id al-Qatthān, bahawa bagi beliau hadits-hadits mursal itu tidak sama darjatnya. 

Hadits mursal riwayat `Athā’, Abu Ishaq, A`masy, at-Taimi, Yahya bin Abi Katsīr, ats-Tsauri dan Ibnu `Uyainah dha`if. Sebabnya ialah mereka mengambil riwayat 
daripada perawi-perawi yang bermacam-macam latar belakangnya. Mereka pula tidak memeriksa dan menapisnya. 

Riwayat mursal Mujāhid, Thāwūs, Sa`id bin Jubair, Imam Malik dan Ĥasan al-Bashri pula boleh diterima, kerana mereka memeriksa dan meneliti perawi-perawi yang
hendak diambil hadits daripadanya. Mereka pula tidak mengambil hadits-hadits daripada perawi-perawi sembarangan.

Kesimpulannya ialah hadits mursal itu tidak semuanya boleh diterima dan tidak semuanya juga tertolak.
Para Tābi`īn tidak begitu menekankan sangat soal sanad di zaman mereka. Mereka lebih mementingkan hadits yang diterima daripada mana-mana sahabat Rasulullah
s.a.w. Hadits-hadits itulah yang dihafal mereka, bukan nama-nama sahabat yang meriwayatkannya. Kerana bagi mereka sahabat Nabi s.a.w. itu semuanya baik dan 
boleh dipercayai.

Setelah bermula zaman hadits dikemukakan dengan sanad, sukarlah kepada sesetengah mereka menyebut nama sahabat dengan tepat, lalu mereka meriwayatkan 
hadits-hadits yang diingati dan dihafal mereka terus daripada Nabi s.a.w.

Periwayatan secara mursal oleh para Tabi`īn itu sebenarnya bukanlah kerana kecuaian atau sikap tak acuh mereka, tetapi kerana keterpaksaan yang dialami mereka pada 
ketika itu. Ketsiqahan para Tabi`īn yang sangat tinggi juga membuatkan kedhaifan jarang-jarang sekali ditemui pada hadits-hadits mursal mereka. Itulah sebabnya Imam 
Abu Hanifah dan Imam Malik menerima hadits-hadits mursal secara mutlaq.

Setelah zaman Tābi`īn berlalu dan bermula zaman Tābi` at-Tābi`īn, maka keperluan kepada sanad mulai dirasakan. Sebabnya ialah perawi-perawi hadits pada ketika itu 
sudah agak ramai dan mereka pula tidak sekuat perawi-perawi sebelumnya. Malah sudah ada di kalangan mereka orang-orang yang sangat bermasalah. Banyak riwayat mursal di zaman itu terbukti dha`if. Maka kajian sanad lebih dirasakan kepentingannya. Kerana itulah Imam asy-Syafi`e dan Imam Ahmad secara umumnya 
tidak mahu menerima riwayat mursal, kecuali riwayat mursal Tabi`īn tertentu sahaja.

Banyak sekali riwayat yang di peringkat awalnya tidak dha`if, kerana perawi-perawinya terdiri daripada orang-orang kuat. Tetapi kemudiannya dikatakan dha`if, 
kerana ada di bahagian bawah sanadnya perawi yang dha`if. Mungkin juga di bahagian bawahnya terdapat idhthirāb atau inqithā` yang menyebabkan sesuatu hadits 
dihukum dha`if.

Maka mungkin sekali sesuatu hadits yang telah dijadikan sebagai dalil dan hujah oleh Imam Abu Hanifah atau Imam Malik kerana ia sampai kepada mereka melalui saluran 
sanad yang kuat, tetapi tidak diterima sebagai dalil dan hujah oleh imam-imam yang datang kemudian daripada mereka. Sebabnya ialah pada sanad selepas Abu Hanifah 
atau Imam Malik terdapat perawi-perawi yang dha`if.

Perhatian:
Imam Tirmidzi mula-mula sekali nanti akan mengemukakan kata-kata orang-orang yang tidak menerima hadits mursal sebagai hujah. Untuk tujuan itu beliau kemukakan 
tujuh riwayat. Beliau selepas itu mengemukakan pula sebab kenapa mereka tidak menerimanya. Untuk tujuan itu beliau kemukakan tiga riwayat. Dan akhir sekali 
beliau kemukakan kata-kata orang yang menerima hadits mursal sebagai hujah. Di bawahnya beliau kemukakan satu sahaja riwayat. Itulah ringkasan kesemua 
perbincangan Imam Tirmidzi akan datang.


 قَالَ أَبُو عِيسَى والْحَدِيث إِذا كَانَ مُرْسلا فَإِنَّهُ لَا يَصح عِنْد أَكثر أهل الحَدِيث قد ضعفه غير وَاحِد مِنْهُم
(الحَدِيث الْمُرْسل)
١-حَدثنَا عَليّ بن حجر أخبرنَا بَقِيَّة بن الْوَلِيد عَن عتبَة بن أبي حَكِيم قَالَ سمع الزُّهْرِيّ إِسْحَاق بن عبد الله بن أبي فَرْوَة يَقُول قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم فَقَالَ الزُّهْرِيّ قَاتلك الله يَا بن أبي فَرْوَة نجيئنا بِأَحَادِيث لَيست لَهَا خطم وَلَا أزمة 
٢-حَدثنَا أَبُو بكر عَن عَليّ بن عبد الله قَالَ قَالَ يحيى بن سعيد مرسلات مُجَاهِد أحب إِلَيّ من مرسلات عَطاء بن أبي رَبَاح بِكَثِير كَانَ عَطاء يَأْخُذ عَن كل ضرب 
٣-قَالَ عَليّ قَالَ يحيى مرسلات سعيد بن جُبَير أحبي إِلَيّ من مرسلات عَطاء
٤- قلت ليحيى مرسلات مُجَاهِد أحب إِلَيْك أم مرسلات طَاوس قَالَ مَا أقربهما
٥- قَالَ عَليّ وَسمعت يحيى بن سعيد يَقُول مرسلات أبي إِسْحَاق عِنْدِي شبه لَا شَيْء وَالْأَعْمَش والتيمي وَيحيى بن أبي كثير ومرسلات بن عُيَيْنَة شبه الرّيح ثمَّ قَالَ إِي وَالله وسُفْيَان بن سعيد 
٦-قلت ليحيى فمرسلات مَالك قَالَ هِيَ أحب إِلَيّ ثمَّ قَالَ يحيى لَيْسَ فِي الْقَوْم أحد أصح حَدِيثا من مَالك 
٧-حَدثنَا سوار بن عبد الله الْعَنْبَري قَالَ سَمِعت يحيى بن سعيد الْقطَّان يَقُول مَا قَالَ الْحسن فِي حَدِيثه قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم إِلَّا وجدنَا لَهُ أصلا إِلَّا حَدِيثا أَو حديثين 

قَالَ أَبُو عِيسَى وَمن ضعف الْمُرْسل فَإِنَّهُ ضعف من قبل أَن هَؤُلَاءِ الْأَئِمَّة حدثوا عَن الثِّقَات وَغير الثِّقَات فَإِذا روى أحدهم حَدِيثا وأرسله لَعَلَّه أَخذه عَن غير ثِقَة 

١-قد تكلم الْحسن الْبَصْرِيّ فِي معبد الْجُهَنِيّ ثمَّ روى عَنهُ حَدثنَا بشر بن معَاذ الْبَصْرِيّ حَدثنَا مَرْحُوم بن عبد الْعَزِيز الْعَطَّار حَدثنِي أبي وَعمي قَالَا سمعنَا الْحسن يَقُول إيَّاكُمْ ومعبد الْجُهَنِيّ فَإِنَّهُ ضال مضل 

٢-قَالَ أَبُو عِيسَى ويروى عَن الشّعبِيّ حَدثنَا الْحَارِث الْأَعْوَر وَكَانَ كذابا وَقد حدث عَنهُ وَأكْثر الْفَرَائِض الَّتِي ترونها عَن عَليّ وَغَيره هِيَ عَنهُ وَقد قَالَ الشّعبِيّ الْحَارِث الْأَعْوَر عَلمنِي الْفَرَائِض وَكَانَ من أفرض النَّاس 

٣-قَالَ وَسمعت مُحَمَّد بن بشار يَقُول سَمِعت عبد الرَّحْمَن بن مهْدي يَقُول أَلا تعْجبُونَ من سُفْيَان بن عُيَيْنَة لقد تركت لجَابِر الْجعْفِيّ بقوله لما حكى عَنهُ أَكثر من ألف حَدِيث ثمَّ هُوَ يحدث عَنهُ قَالَ مُحَمَّد بن بشار وَترك عبد الرَّحْمَن بن مهْدي حَدِيث جَابر الْجعْفِيّ


وَقد احْتج بعض أهل الْعلم بالمرسل أَيْضا 
حَدثنَا أَبُو عُبَيْدَة بن أبي السّفر الْكُوفِي حَدثنَا سعيد بن عَامر عَن شُعْبَة عَن سُلَيْمَان الْأَعْمَش قَالَ قلت لإبراهم 
النَّخعِيّ أسْند لي عَن عبد الله بن مَسْعُود فَقَالَ إِبْرَاهِيم إِذا حدثتك عَن رجل
 عَن عبد الله فَهُوَ الَّذِي سميت وَإِذا 
قلت قَالَ عبد الله فَهُوَ عَن غير وَاحِد عَن عبد الله



Bermaksud: Kata Abu `Isa at-Tirmidzi: “Hadits kalau mursal (`aam), maka tidak sahih pada pandangan kebanyakan Ahlul Hadits. Bukan seorang (tetapi ramai) dari kalangan mereka mendha`ifkannya.

1- `Ali bin Ĥujr meriwayatkan kepada kami, katanya: Baqiyyah bin al-Walīd meriwayatkan kepada kami daripada `Utbah bin Abi Ĥakīm, kata beliau: “Pernah az-Zuhri mendengar Ishaq bin `Abdillah bin Abi Farwah¹²²/¹⁵¹ berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, Rasulullah s.a.w. bersabda.”¹²³/¹⁵²  Maka kata az-Zuhri: “Semoga Allah membinasakanmu wahai anak Abi Farwah! Engkau bawakan kepada kami hadits-hadits yang tidak bertali hidung dan tidak bertali kekang.¹²⁴/¹⁵³

2- Abu Bakar meriwayatkan kepada kami daripada `Ali bin `Abdillah, katanya: kata Yaĥya bin Sa`id: “Hadits-Hadits mursal Mujāhid jauh lebih aku suka berbanding 
hadits-hadits mursal `Athā’ bin Abi Rabāĥ. `Athā’ mengambil (hadits) daripada segala macam orang.”¹²⁵/¹⁵⁴

3- `Ali berkata, kata Yaĥya (lagi): “Hadits-Hadits mursal Sa`id bin Jubair lebih aku suka daripada hadits-hadits mursal `Athā’.”¹²⁶/¹⁵⁵
 
4- (Kata `Ali) Aku bertanya Yaĥya, “Hadits-Hadits mursal Mujāhidkah lebih engkau suka atau hadits-hadits mursal Thāwūs?” Jawab Yaĥya, “Alangkah serupanya mursal 
mereka berdua.”¹²⁷/¹⁵⁶

5- `Ali berkata, aku telah mendengar Yaĥya bin Sa`id berkata, “Hadits-hadits mursal Abi Ishaq bagiku seperti tidak ada apa-apa, demikian juga hadits-hadits mursal al-
A`masy, at-Taimi¹²⁸/¹⁵⁷ dan Yaĥya bin Abi Katsīr. Hadits-hadits mursal Ibnu `Uyainah seperti angin.” Kemudian beliau (Yaĥya bin Sa`id) berkata, “Ya, demi Allah! Hadits-hadits mursal Sufyan bin Sa`id juga sama.”¹²⁹/¹⁵⁸

6- Aku bertanya kepada Yaĥya, bagaimana dengan hadits-hadits mursal Malik? Jawab beliau, “Ia adalah yang paling aku suka.” Kemudian Yaĥya berkata, “Tidak ada siapa pun di kalangan Ahlul Hadits orang yang haditsnya lebih sahih daripada (hadits) Malik.”

7- Sawwār bin `Abdillah al-`Ambari meriwayatkan kepada kami, katanya, aku telah mendengar Yaĥya bin Sa`id al-Qatthān berkata, “Tidak berkata al-Ĥasan ketika 
meriwayatkan haditsnya “Rasulullah s.a.w. bersabda”, melainkan kami dapati ada asalnya, kecuali satu atau dua hadits sahaja. 

Sebab Kedha`ifan Hadits Mursal.
Bermaksud: Kata Abu `Isa at-Tirmidzi: “Orang yang mendhaifkan hadits mursal sebenarnya mendhaifkannya kerana imam-imam hadits (tertentu) meriwayatkan 
daripada orang-orang yang tsiqāt dan juga tidak tsiqāt. Apabila seseorang daripada mereka meriwayatkan sesuatu hadits dengan mengirsālkannya, maka mungkin juga 
dia telah menerimanya daripada orang yang tidak tsiqah.

1- Al-Ĥasan al-Bashri telah mempertikaikan Ma`bad al-Juhani,¹³⁰/¹⁵⁹ kemudian beliau meriwayatkan pula daripadanya.¹³¹/¹⁶⁰ Bisyr bin Mu`ādz al-bashri meriwayatkan kepada kami, katanya: Marĥūm bin Abdil `Azīz al-`Atthār meriwayatkan kepada kami, katanya: Ayahku dan pak cikku meriwayatkan kepadaku, kata mereka berdua: kami telah mendengar al-Ĥasan berkata: “Jauhilah Ma`bad al-Juhani, sesungguhnya dia sesat lagi menyesatkan.”

2- Kata Abu `Isa at-Tirmidzi: Diriwayatkan daripada asy-Sya`bi,¹³²/¹⁶¹ katanya: al-Ĥārits al-A`war¹³³/¹⁶² meriwayatkan kepada kami”. Sedangkan dia seorang pendusta besar.  Walaupun begitu dia (asy-Sya`bi) tetap meriwayatkan hadits daripadanya.¹³⁴/¹⁶³ Kebanyakan hadits farā’idh yang kamu lihat diriwayatkan daripada `Ali dan orang-orang lain itu adalah melaluinya. Kata asy-Sya`bi, “Al-Ĥārits al-A`war telah mengajar aku ilmu Farā’idh. Dia antara orang yang paling pandai ilmu Farā’idh.”

3- Aku mendengar Muhammad bin Basysyār berkata, aku mendengar `Abdur Rahman bin Mahdi berkata, “Tidakkah kamu hairan terhadap Sufyan bin `Uyainah? Aku telah 
meninggalkan lebih seribu hadits Jābir al-Ju`fi kerananya, apabila dia menceritakan 
tentang Jābir kepadaku.¹³⁵/¹⁶⁴ Kemudian dia sendiri pula meriwayatkan hadits daripadanya.”¹³⁶/¹⁶⁵ 
`Abdur Rahman bin Mahdi telah meninggalkan hadits Jābir al-Ju`fi.

Alasan Orang-Orang Yang Menerima Hadits Mursal.
Bermaksud: (Kata Abu `Isa at-Tirmidzi) Ada juga sesetengah ahli ilmu berhujah dengan hadits mursal (seperti mereka berhujah dengan hadits musnad).
Abu `Ubaidah bin Abi as-Safar al-Kufi meriwayatkan kepada kami, katanya: Sa`id  bin `Aamir meriwayatkan kepada kami daripada Syu`bah daripada Sulaiman al-A`masy, katanya: Aku berkata kepada Ibrahim an-Nakha`i, “Ceritakan kepadaku sanad daripada `Abdillah bin Mas`ud.”¹³⁷/¹⁶⁶ Maka berkata Ibrahim, “Apabila aku meriwayatkan kepadamu daripada seseorang daripada `Abdillah, maka dia adalah orang yang aku sebutkan namanya. Dan apabila aku berkata, “Kata `Abdullah”, maka ia adalah daripada bukan seorang (beberapa) perawi daripada `Abdillah.¹³⁸/¹⁶⁷

_____________
¹²²/¹⁵¹ Ishaq bin `Abdillah bin Abi Farwah al-Umawi, al-Madani at-Tābi`i. Seorang perawi matrūk.

¹²³/¹⁵² Tanpa menyebutkan nama sahabat yang meriwayatkannya.

¹²⁴/¹⁵² Bantahan az-Zuhri terhadap Ibnu Abi Farwah adalah kerana dia menyebarkan hadits tanpa menyebutkan sanadnya. Sikap az-Zuhri ini menunjukkan hadits mursal tidak boleh dijadikan hujah.

¹²⁵/¹⁵³ Mujāhid bin Jabr adalah seorang perawi tsiqah yang mulia, beliau juga merupakan salah seorang imam dibidang Tafsīr dan fiqh. Daripada kata-kata Yahya bin Sa`id al-Qatthān ini dapat diketahui bahawa bukan semua hadits mursal tidak mu`tabar dan dhaif. Hadits mursal 
perawi tsiqah yang hanya menggugurkan perawi tsiqah seperti Mujāhid tetap diterima dan dianggap mu`tabar. Berbeda keadaannya dengan hadits mursal `Athā’ bin Abi Rabāĥ, kerana ia dhaif dan tidak mu`tabar.

¹²⁶/¹⁵⁵ Kerana Mujahid hanya menggugurkan perawi tsiqah sahaja, sedangkan `Athā’ pula meriwayatkan hadits-hadits daripada segala macam orang, yang tsiqah dan juga yang dhaif. Riwayatnya dianggap dhaif kerana ada kemungkinan perawi yang digugurkannya itu perawi dhaif.

¹²⁷/¹⁵⁶ Riwayat mursal mereka berdua lebih kurang sama darjatnya. Kedua-duanya boleh diterima.

¹²⁸/¹⁵⁷Beliau ialah Abu al-Mu`tamir Sulaiman bin Tharkhān at-Taimi al-Bashri.

¹²⁹/¹⁵⁸ Hadits-hadits mursal mereka yang tersebut ini tidak sahih. Seperti angin adalah kinayah (bahasa kiasan) bagi lemah (dhaif).

¹³⁰/¹⁵⁹ Beliau ialah Ma`bad bin Khalid al-Juhani. Salah seorang tokoh yang berfahaman Qadariyyah, iaitu satu golongan yang tidak menerima taqdir sebagai ketentuan Allah s.w.t. 

¹³¹/¹⁶⁰ Walau Ĥasan al-Bashri telah berkata sampai begitu sekali tentang Ma`bad, tetapi beliau sendiri meriwayatkan juga hadits-hadits daripadanya. Ini menunjukkan tokoh-tokoh besar seperti Ĥasan al-Bashri juga menerima riwayat daripada orang-orang yang bermacam-macam 
latar belakangnya, termasuk daripada perawi-perawi sesat seperti Ma`bad al-Juhani. Inilah antara sebab kenapa hadits mursal Ĥasan al-Bashri dianggap dhaif oleh para ulama hadits. 

¹³²/¹⁶¹ Beliau ialah `Aamir bin Syurāĥīl asy-Sya`bi. Seorang tokoh yang setanding dengan Ibrahim an-Nakha`i. Sya`bi terbilang sebagai salah seorang imam mujtahid di Kufah.

¹³³/¹⁶² Ĥārits bin `Abdillah al-Hamdāni al-Kūfi. Al-A`war itu adalah gelarannya. Dikatakan al-A`war kerana sebelah matanya buta. Dia terbilang salah seorang murid Saiyyidina `Ali r.a.

¹³⁴/¹⁶³ Ini menunjukkan orang-orang besar seperti Sya`bi juga meriwayatkan hadits daripada perawi-perawi yang lemah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan