Sabtu, April 09, 2022

Kitab ilal 01-15sssP03

Kitab ilal 01-15sssP03

(مصَادر ذكر الْعِلَل فِي الْأَحَادِيث وَالرِّجَال)
Sumber-sumber 'Ilal Dalam Hadits (matan)dan Rijaal(perawi)

ِوَمَا كَانَ فِيهِ مِنْ ذِكْرِ الْعِلَلِ فِي الْأَحَادِيثِ وَالرِّجَال والتَّاريخ فَهُوَ مَا استخرجته من كتب التَّارِيخ وَأكْثر ذَلِك مَا ناظرت بِهِ مُحَمَّد بن إِسْمَاعِيل وَمِنْه مَا ناظرت بِهِ عبد الله بن عبد الرَّحْمَن وَأَبا زرْعَة وَأكْثر ذَلِك عَن مُحَمَّد وَأَقل شَيْء فِيهِ عَن عبد الله وَأبي زرْعَة وَلم أر أحدا بالعراق وَلَا بخراسان فِي معنى الْعِلَل والتاريخ وَمَعْرِفَة الْأَسَانِيد كثير أحد أعلم من مُحَمَّد بن إِسْمَاعِيل

Bermaksud:  'Illat-'illat di dalam hadits, perihal perawi-perawi dan tarikh mereka yang tersebut di dalamnya (Sunan Tirmidzi) adalah hasil yang aku perolehi daripada Kitab at-Tarikh.²⁵ Kebanyakannya adalah hasil perbincanganku dengan Muhammad bin Ismail (Imam al-Bukhari). 
Ada juga yang merupakan hasil perbincanganku dengan 'Abdullah bin Abdir Rahman (Imam ad-Daarimi) dan Abu Zur'ah. Kebanyakannya aku ambil daripada Muhammad (Imam al-Bukhari). Sedikit daripadanya aku ambil daripada 'Abdullah bin Abdir Rahman dan Abi Zurah.²⁶ Tidak pernah ku lihat tokoh besar baik di 'Iraq atau Khurasan yang lebih berpengetahuan daripada Bukhari tentang 'illal hadits, perihal perawi-perawi dan juga sanad-sanad.²⁷


_______
²⁵ 'Illat-'illat yang disebut oleh Tirmizi terdapat di dalam sesetengah riwayat yang dikemukakan oleh beliau di dalam Kitab Sunannya, demikian juga perbincangan dan kritikan terhadap sesetengah perawi serta perihal dan sejarah mereka adalah berpunca daripada Kitab Imam Bukhari yang bernama at-Tarikh al-Kabir. Kitab at-Tarikh al-Kabir adalah sebuah kitab yang sangat istimewa dalam bab ini. la mengandungi biografi perawi-perawi dan juga 'ilal hadits. Kitab inilah sebenarnya yang menjadi sumber inspirasi kepada dua tokoh hadits yang datang kemudian. Abu Zur'ah dan Abu Haatim. Masing-masing mereka telah mengarang dua buah kitab mengikut gaya Bukhari di dalam at-Tarikh al-Kabir. Mereka berdua telah menulis kitab tentang 'llal dan al-Jarh Wa at-Ta'dil.
 
Sebenarnya telah agak banyak buku-buku ditulis dalam ilmu ini, tetapi tertibnya tidak sama dengan tertib yang dibuat oleh Bukhari, Abu Haatim dan Abu Zur'ah. Antaranya ada yang dinukilkan daripada Yahya bin Sa'id al-Qatthaan, ada juga yang dinukilkan daripada 'Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma'in dan Ahmad bin Hambal. Abu Bakar al-Khallaal telah menyusun 'ilal yang dinukilkan daripada Ahmad bin Hambal menurut bab Fiqh secara berasingan, dan ia telah jadi berjilid-jilid. 

²⁶ Imam Tirmidzi menyebutkan di dalam Kitab Sunannya sekian banyak mazahib fuqaha' Ahlul Hadits yang masyhur, seperti Sufyan, Ibnu al-Mubarak, Malik, Syafi'e, Ahmad dan Ishaq. Beliau juga ada menyebut di dalamnya sekian banyak 'ilal, sejarah dan biografi para perawi. Tetapi tidak beliau sebut sanad bagi kebanyakannya. Di sini Tirmidzi hanya menyebutkan sanad-sanadnya secara mujmal sahaja. Cara seperti itu tentunya tidak memberi pengetahuan yang cukup kepada anda tentang hakikat sanad bagi setiap perkara yang diceritakan, kerana beliau hanya menyebut secara borong sahaja pendapat seseorang tanpa memperincikannya dan membezakannya daripada pendapat-pendapatnya yang lain, pendapat Syaffi'e sebagai contohnya dikemukakan Tirmidzi tanpa sanad di dalam Sunannya. Dengan itu sukar dipastikan sama ada pendapat yang dikemukakan itu merupakan qaul qadim Syaffi'e atau qaul jadidnya. Sedangkan Tirmidzi ada mengemukakan di dalam Kitabnya itu kedua-dua qaul Syaffi'e. Imam Tirmidzi sebenarnya tidak bermaksud membukukan mazhab tertentu di dalam Kitab Sunannya. Apa yang beliau maksudkan hanyalah menyatakan hadits-hadits yang dikemukakan oleh beliau itu bagaimana diamalkan oleh imam-imam mujtahid tertentu sahaja. Imam Timidzi tidak begitu menekankan soal sanad-sanad di dalam Kitab Sunannya kerana beliau telah pun memperincikan semua itu di dalam kitab beliau yang lain, iaitu sebuah kitab yang beliau kemukakan di dalamnya hadits-hadits mauquf. Kitab itu sebenarnya lebih besar lagi daripada Kitab Sunan Tirmidzi yang masyhur sekarang ini. Hadits-hadits marfu' dan atsar-atsar mauquf semuanya dikemukakan dengan sanad. Adapun Sunan Tirmidzi ini ia lebih banyak menghimpunkan hadits-hadits marfu'. Hanya sedikit sahaja hadits-hadits mauquf disebutkan di dalamnya.

²⁷ Daripada pengi'tirafan Tirmidzi terhadap Bukhari ini dapat diketahui kemahiran Imam Bukhari yang luar biasa dan tiada tolok bandingnya dalam tiga bidang ilmu hadits, iaitu 'illal hadits, perihal perawi-perawi dan juga sanad-sanad. Bidang 'Ilal secara khususnya merupakan satu bidang yang jarang sekali diceburi orang. Ia adalah satu bidang yang agak sukar dikuasai. Kerana itu hanya ada segelintir ulama' sahaja yang betul-betul mantap dalam bidang ini di sepanjang sejarah ilmu hadits. Kata Ibnu Mandah, "Hanya sedikit sahaja daripada sekian ramaî pengkaji hadits yang dikurniai Allah keistimewaan menguasai ilmu 'Ilal ini. Adapun șemua orang yang menda'wa banyak mencatat hadits, mendalami fiqh syaffi'e dan Hanafi atau mengikut ajaran al-Haarits al-Muhasibi, al-Junaid, Dzin Nuun dan ahli-ahli sufi semua meteka ini tidak layak bercakap sedikit pun tentang ilmu hadits, kecualilah kalau ia menerimanya daripada orang yang ahli dan pakar tentangnya, pada ketika itu bolehlah ia bercakap menurut ilmunya".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan