Jami ' tirmizi kitab bersuci 19/6/22(5)
⁶⁷¹ Yang dimaksudkan dengan perkataan “masjid” di sini ialah masjid sebenar menurut istilah syara` atau tempat bersujud atau bershalat (menurut bahasa `Arab),
merangkumi masjid dan lain-lain seperti mushalla, surau atau tempat bershalat di rumah sendiri.
Disebut masjid, kerana masjidlah tempat bershalat yang paling sempurna, lebih-lebih lagi dengan berjama`ah. Ia secara tidak langsung mengisyaratkan kepada tempat
beribadat yang paling sempurna dan terpilih untuk umat Islam.
⁶⁷² Maksudnya ialah seseorang tidak perlu meninggalkan tempat shalatnya untuk pergi berwudhu’ kerana semata-mata perasan atau syak telah berkentut. Ini kerana wudhu’ seseorang yang diyakini telah ada tidak akan hilang dengan semata-mata perasan atau syak. Berbeza keadaannya apabila seseorang yakin telah berkentut, sama ada dengan mendengar bunyi kentut atau mendapat bau busuknya atau pun tidak. Dalam keadaan ini barulah ia dianjurkan keluar untuk berwudhu’ kembali.
Sabda Nabi s.a.w. “sehingga ia mendengar bunyi (kentut) atau mendapat baunya”merupakan kinayah kepada yakin telah berkentut. Mendengar bunyi kentut atau
mendapat baunya bukanlah syarat dengan ijma` `ulama’. Kerana orang tuli tidak akan mendengar dan orang yang mati deria penciuman pula tidak akan mendapat bau
kentutnya, walau sebusuk mana sekalipun kentutnya.
Antara pengajaran, panduan, pedoman dan hukum-hakam yang dapat diambil daripada hadits ini ialah:
(1) Ia merupakan satu satu asas bagi beberapa qaedah fiqh yang sangat luas cakupannya. Antaranya ialah:
١ -اليقينَ لَايزولَ بالشكَ فيَ شيءَ منَ أمرَ الشرعَ
Bermaksud: Sesuatu yang yakin tidak hilang dengan sebab syak dalam apa pun urusan agama.
٢ -الشكَ يدرأَ باليقينَ
Bermaksud: Syak tertolak dengan yakin.
٣ -اليقينَ لَايزولَ إلَابمثله
Bermaksud: Keyakinan tidak hilang melainkan dengan keyakinan seumpamanya.
ْ4 -الأَصْل بَقَاء مَا كَانَ على مَا كَانَ
Bermaksud: Pada dasarnya sesuatu (dikira) kekal atas keadaannya yang asal.
(2) Hadits ke-74 dan ke-75 menunjukkan angin yang keluar daripada dubur (kentut) membatalkan wudhu’.
(3) Tidak harus ada perasaan malu dalam mengajarkan sesuatu hukum. Nabi s.a.w. mengajarkan segala perkara kepada para sahabatnya, termasuk berkenaan dengan
kentut, adakah ia membatalkan wudhu’ atau pun tidak.
(4) Keabsahan qarinah atau bukti dalam menentukan hukum-hakam agama.
(5) Tidak wajib mengambil air sembahyang untuk setiap kali bershalat atau melakukan ibadat-ibadat lain yang disyaratkan suci (berwudhu’) ketika melakukannya.
⁶⁷³ Hadits `Abdullah bin Zaid dikemukakan oleh Bukhari dan Muslim. Hadits `Ali bin Thalq dikemukakan oleh Abu Daud dan Tirmidzi. Hadits `Aaishah dikemukakan oleh Ahmad, al-Bazzaar, dan at-Thabaraani di dalam al-Mu`jam al-Kabir. Hadits Ibnu `Abbaas dikemukakan oleh al-Bazzaar dan al-Baihaqi. Hadits Abu Sa`id pula dikemukakan oleh Abu Ya`la.
⁶⁷⁴ Selain Tirmidzi, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, Abu `Awānah di dalamMusnadnya, Abu Nu`aim di dalam Mustakhrajnya dan al-Baihaqi di dalam Sunannya
juga turut meriwayatkan hadits ke-75 ini.
⁶⁷⁵ selepas yakin telah bersuci.
⁶⁷⁶ Iaitu berani dan sanggup bersumpah bahawa wudhu’nya memang telah terbatal kerana betul-betul telah berkentut atau terkentut.
⁶⁷⁷ Kerana telah keluar sesuatu yang membatalkan wudhu’ dari salah satu saluran najis, iaitu qubul atau farajnya.
⁶⁷⁸ Berbeza daripada pendapat golongan Ĥanafiyyah. Mereka mengatakan keluar angin daripada qubul tidak membatalkan wudhu’.
Alasannya menurut Mulla `Ali al-Qāri ialah keadaan itu jarang berlaku. Maka ia tidak termasuk dalam kehendak nas hadits. Alasan yang diberikan oleh Ibnu al-Humām lebih tepat lagi. Bagi beliau, angin yang keluar daripada zakar tidak lebih daripada pergerakan urat saraf padanya, ia
bukan angin sebenar. Kerana itu tidaklah akan terbatal wudhu’ dengan sebabnya. Keadaannya sama seperti angin yang keluar daripada perut apabila dibedah.
Sesetengah `ulama’ Ĥanafiyyah di dalam Syarahnya bagi Syaraĥ Wiqāyah berkata, “Tokoh-tokoh `ulama’ dalam madzhab kita sependapat tentang angin yang keluar
daripada dubur membatalkan wudhu’. Mereka berbeza pendapat tentang angin yang keluar daripada zakar dan qubul (faraj) wanita. Al-Qudūri (seorang tokoh besar dalam mazhab Hanafi)meriwayatkan daripada Muhammad bahawa ia membatalkan wudhu’. Inilah pegangan sebahagian masyaikh.
Abul Ĥasan berpendapat angin yang keluar daripada kedua-duanya tidak membatalkan wudhu’, kecuali kalau wanita mufdhāt iaitu wanita yang bertemu kedua-dua saluran najisnya, qubul dan dubur.
(Ini menunjukan ada khilaf atau perbezaan pendapat)
Sesetengah `ulama’ berpendapat, wanita mufdhāt itu ialah wanita yang saluran kecing dan haidhnya bertemu (terkoyak), maka eloklah ia berwudhu’ jika keluar angin daripadanya. Syeikh Abu Ĥafsh al-Kabīr pula
berpendapat, wanita mufdhāt wajib berwudhu’ (untuk bershalat dan sebagainya), jika keluar angin daripada qubulnya (kerana wudhu’nya terbatal dengan sebab keluar
angin itu).
Wanita tidak mufdhāt pula tidak wajib. Demikianlah disebut oleh Hisyām di dalam Nawādirnya daripada Muhammad. Sesetengah masyaikh pula berpendapat bahawa jika angin yang keluar daripada qubul mufdhāt itu berbau busuk, maka ia membatalkan wudhu’. Jika tidak, maka tidak. Demikianlah tersebut di dalam adz-Dzakhīrah.
Daripada keterangan itu dapatlah di fahami bahawa para `ulama’ terbahagi kepada dua kumpulan berhubung dengan angin yang keluar daripada zakar dan qubul wanita:
Pertamanya ialah ia membatalkan wudhu’. Dalilnya ialah makna umum yang difahami daripada hadits bahawa hadats itu ialah apa yang keluar melalui salah satu
daripada dua saluran najis (qubul dan dubur). Ini kerana yang dikira ialah umum lafaz hadits, bukan sebabnya yang khusus. Itulah yang dipegang oleh asy-Syafi`e.
Demikian tersebut di dalam al-Bināyah(kitab syarah).
Keduanya pula ialah ia tidak membatalkan wudhu’. Inilah pendapat pengarang al-Hidāyah. Alasan beliau ialah angin itu tidak datang dari tempat najis. Pendapat ini berlandaskan angin itu sendiri bukan najis. Ia baru menjadi najis apabila melalui tempat najis. Alasan yang dikemukakan oleh orang lain pula ialah apa yang berlaku
sebenarnya hanyalah pergerakan saraf atau otot pada qubul dan zakar, bukan angin yang keluar. Tidak ada apa pun sebenarnya yang keluar. Kalau diandaikan angin
sekalipun yang keluar, tetap juga ia tidak najis.
(Lihat Taĥfatul Aĥwadzi j.1 m/s 251-252).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan