Sahih bukhari kitab azan sesi 63 4/6/22(4)
684-'Abdullah bin Yusuf meriwayatkan kepada kami, katanya: Malik meriwayatkan kepada kami daripada Abi Haazim (Salamah) bin Dinar daripada Sahal bin Sa'ad as-Saa'idi bahawa (pada suatu hari) Rasulullah s.a.w. pergi¹⁷⁸⁸ ke daerah Bani 'Amar bin 'Auf¹⁷⁸⁹ untuk menyelesaikan masalah di antara mereka. Kemudian tiba waktu shalat('Ashar), lalu mu'adzdzin datang menemui Abu Bakar seraya berkata, “Apakah engkau bersedia memimpin shalat berjama'ah? Kalau bersedia maka aku akan melaungkan iqamat.”¹⁷⁹⁰ Abu Bakar menjawab, “Ya.” Maka Abu Bakar memimpin shalat. Tidak lama kemudian datang Rasulullah s.a.w. ketika itu orang-orang sedang melaksanakan shalat . Lalu Baginda menyusup masuk ke dalam shaf ¹⁷⁹¹Terus para jama`ah bertashfiq (menepuk satu tapak tangan ke belakang tangan yang satu lagi). Abu Bakar biasanya tidak berpaling ketika bershalat¹⁷⁹². Tetapi setelah mendengar suara tepukan semakin banyak,beliau berpaling, terus beliau nampak Rasulullah s.a.w. (ada di belakangnya).
Rasulullah s.a.w. memberi isyarat yang maksudnya: “Tetaplah kamu pada kedudukanmu". Lantas Abu Bakar mengangkat kedua tangannya lalu memuji Allah¹⁷⁹³
kerana perintah Rasulullah s.a.w. itu.' Kemudian Abu Bakar mundur dan masuk ke dalam shaf (pertama), Rasulullah s.a.w. pula maju ke hadapan dan meneruskan shalat
(sebagai imam). Setelah selesai bershalat, Baginda bersabda: “Wahai Abu Bakar, apa yang menghalangimu ketika aku perintahkan agar kamu tetap pada kedudukanmu?” Abu Bakar menjawab,“Tidaklah patut bagi anak Abi Quhaafah¹⁷⁹⁴ memimpin shalat dihadapan Rasulullah”.¹⁷⁹⁵ Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda: “Mengapa kamu tadi banyak bertepuk tangan? Sesiapa menjadi ma'mum lalu ia merasa ada sesuatu yang tidak kena dalam shalat, ia hendaklah bertasbih. Kerana apabila ia bertasbih, imam akan memperhatikannya. Sesungguhnya bertashfiq (bertepuk tangan) itu untuk wanita (menarik perhatian seseorang di luar shalat).”¹⁷⁹⁶
Tiada ulasan:
Catat Ulasan