Selasa, Ogos 16, 2022

001.Al-Fatihah 1:1

001.Al-Fatihah 1:1

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ (١)
Dengan nama Allah ¹(Tuhan) Ar-Rahman juga Ar-Rahim ²[1] 


¹ Allah ialah nama zat (diri Tuhan) yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Dia tidak memerlukan makhlukNya, sebaliknya semua makhluk memerlukanNya. Di dalam ayat yang mula-mula sekali diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. 
Allah berfirman:Al-'Alaq 96:1 ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ 
Bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. (al-'Alaq:1).
Tetapi tidak disebut di situ nama Tuhan yang diperintah Baginda s.a.w. supaya membaca dengan menyebut namaNya itu. NamaNya disebutkan di dalam ayat pertama Surah al-Fatihah ini. Ia adalah Allah. Yang diperintah Rasulullah s.a.w. dan hamba-hamba Allah yang lain supaya membaca dengan nama Allah ialah Al-Qur'an.Allah secara tersirat seolah-olah mengajar hamba-hambaNya apabila hendak membaca(Al-Qur'an) supaya mengucapkan بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ Dan ia bererti aku membaca Al-Qur'an ini dengan nama Allah yang bersifat dengan   الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ    iaitu Tuhan Yang Maha Luas lagi Maha Berkekalan RahmatNya. Kepentingan menyebut nama Allah atau 
membaca  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ  bukan hanya ketika hendak membaca Al-Qur'an sahaja. Ia juga dituntut supaya dibaca ketika hendak melakukan perkara-perkara baik yang lain. Sebagai contohnya Allah melarang hamba-hambaNya memakan binatang yang disembelih dengan tidak menyebut namaNya. 

Lihat firman Allah berikut: Al-An'am 6:121
وَلَا تَأْكُلُوا۟ مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ ٱسْمُ ٱللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُۥ لَفِسْقٌۗ وَإِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِهِمْ لِيُجَٰدِلُوكُمْۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ 
Bermaksud: Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan
sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.(al-An' aam :121).

² Oleh kerana sukar sekali mendapatkan perkataan dalam bahasa Melayu yang dapat menterjemahkan dengan tepat perkataan Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang merupakan dua nama sifat Allah itu, penulis tidak menterjemahkannya. Malah mengekalkannya dalam perkataan asal.
Punca kedua-dua perkataan itu sama, iaitu الرحمة. 
Perkataan الرحمة bererti rahmat, belas kasihan, kasih, sayang, simpati, kemurahan, kebaikan dan lain-lain.
Perkataan الرحمن dan الرحيم mengandungi semua ma'na tersebut. 
Dalam qaedah bahasa 'Arab kedua-duanya merupakan shighah mubalagah, iaitu perkataan yang menyatakan adanya sifat rahmat pada Allah dengan banyak, melimpah ruah,mewah, meluas dan kuat. Ma'na ini ada pada sifat Ar-Rahman. Sifat rahmat itu juga sentiasa ada pada Allah secara berkekalan, berpanjangan dan berterusan. 
Ma'na ini terkandung dalam perkataan Ar-Rahim.
Jadi Ar-Rahman dan Ar-Rahim ialah dua sifat Allah yang menunjukkan Tuhan Yang Maha Luas lagi Maha Berkekalan RahmatNya.
Kesimpulannya ialah Allah, Tuhan semesta alam itu rahmatNya amat luas, banyak dan melimpah ruah, kerana itu Dia bersifat dengan Ar-Rahman. RahmatNya juga berkekalan, berterusan dan berpanjangan, kerana itu Dia bersifat dengan Ar-Rahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan