Sahih bukhari kitab ilmu 20/8/22(3)
¹²⁶ Para pensyarah Sahih Bukhari berbeza pendapat tentang maksud dan tujuan Imam Bukhari mengadakan tajuk bab ini. Perinciannya adalah seperti berikut:
(1) Kata al-Kirmāni, “Maksudnya ialah sesuatu perkara itu diketahui terlebih dahulu, kemudian baru diucap dan diamalkan. Dengan itu, kewujudan ilmu daripada segi
masanya tentu sekali terdahulu daripada ucapan dan amalan. Daripada segi kedudukan dan darjat juga ilmu terdahulu dan melebihi kedua-duanya, kerana ilmu itu
amalan hati dan hati adalah anggota badan yang paling mulia.”
(2) Menurut Ibnu al-Munaiyyir, “Tujuan Bukhari mengadakan tajuk bab ini ialah untuk menyatakan ilmu merupakan syarat bagi sahnya sesuatu ucapan dan amalan.
Ucapan dan amalan tidak bernilai tanpa ilmu (dan adanya niat yang betul). Kerana itu, ilmu sewajarnya berada di hadapan dan sebelum kedua-duanya. Imam Bukhari juga
mahu menghilangkan kekeliruan yang mungkin timbul dalam fikiran seseorang kerana ada juga orang berkata, “Ilmu tanpa amalan itu tiada gunanya”. Sangkaan
bahawa ilmu tanpa amalan itu tidak berguna boleh membuatkan seseorang tidak memandang ilmu sebagai sesuatu yang penting dan perlu dituntut dengan bersungguh-sungguh.”
(3) As-Sindi berpendapat, “Tujuan diadakan bab ini ialah menyatakan terkedepannya ilmu daripada ucapan dan amalan daripada segi kedudukan dan darjatnya. Ia tidak
hendak menyatakan tentang terdahulunya daripada segi masa. Daripada ayat-ayat, hadits-hadits dan atsar-atsar yang dikemukakan beliau dapat diketahui hakikat ini.”
(4) Pada pandangan Maulana Zakariya, “Ilmu daripada segi masa kewujudannya memang terdahulu daripada ucapan dan amalan. Apa yang dikemukakan oleh Bukhari
dalam bab ini sudah cukup untuk membuktikannya. Oleh kerana terdapat ancaman terhadap orang-orang yang tidak beramal dengan ilmunya, sesetengah orang mungkin
terfikir kalau begitu adalah lebih baik tidak menuntut terus ilmu. Dengan mengadakan bab ini Imam Bukhari sebenarnya hendak menolak fahaman seperti itu. Ilmu itu
sendiri tetap melebihi yang lain-lain dan ia juga terdahulu daripada segi masanya.
Tidak beramal dengan ilmu itu satu perkara lain pula, ia tentunya merugikan dan mendedahkan seseorang kepada ancaman.”
(5) Secara umumnya para pensyarah Sahih Bukhari bersetuju tentang ilmu seharusnya dituntut sebelum bercakap dan beramal. Setelah ada ilmu, barulah bercakap, mengajar, berda`wah dan sebagainya. Setelah ada ilmu juga barulah sesuatu amalan dikerjakan.
Biar apapun, ilmu semestinya ada dahulu. Itulah yang difahami mereka daripada tajuk bab ini.
(6) Selain tujuan yang tersebut di atas, Imam Bukhari juga membuat tajuk bab ini untuk menyatakan kelebihan ilmu sekali lagi. Pada bab pertama di bawah “Kitab al-`Ilmi” telah pun berlalu Bab: Kelebihan `Ilmu. Di sana Imam Bukhari hanya mengemukakan dua sahaja ayat al-Qur’an tanpa membawakan apa-apa hadits dan atsar. Kerana kelebihan ilmu itu tersangat banyak, Imam Bukhari berpada dengan
mengemukakan dua ayat al-Qur’an sahaja untuk menyatakan kelebihannya. Jika dibawakan satu atau dua hadits, maka dibimbangi akan ada orang yang menganggap bahawa kelebihan ilmu hanya tsabit berdasarkan hadits yang dibawakan itu sahaja. Kerana itulah tidak disebut langsung hadits di situ. Begitulah juga sikap Imam Bukhari di sini dalam menyatakan kelebihan dan keistimewaan ilmu, beliau hanya mengemukakan beberapa lagi ayat al-Qur’an yang lain untuk membuktikannya, tetapi ditambah juga dengan hadits-hadits dan atsar-atsar shahabat yang turut menyatakan perkara yang sama.
Beliau tidak membawa apa-apa hadits musnad di bawah bab ini, bukan kerana tiada yang menepati syarat shahihnya, tetapi kerana ia sangat banyak dan memadailah
dengan disebutkan beberapa sahaja daripadanya di dalam tajuk bab. Imam Bukhari sebenarnya mahu memberitahu kepada umum sikap `ulama’ Ahlul hadits, bahawa mereka itu bukanlah orang yang hanya melihat kepada hadits sahaja, tetapi melihat juga kepada al-Qur’an. Kalau di dalam al-Qur’an pun sudah sangat banyak menceritakan tentang sesuatu, maka itu sudah pun mencukupi dan tidak perlu
lagi dilihat kepada hadits-hadits yang tentunya lebih banyak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan