Sahih bukhari kitab ilmu 20/8/22(4)
¹²⁷ Terjemahan yang diberikan di dalam kurungan di atas adalah berdasarkan taqdīr لابدمنه sebelum perkataan قبل
Ada `ulama’ mengatakan ilmu itu hanyalah wasilah dan alat sahaja, sedangkan amal itulah sebenarnya yang dimaksudkan ( مقصود بالذات ) dan yang dikehendaki daripada ilmu. Kalau begitu, tentu sekali daripada segi kelebihan, amal-lah yang lebih berbanding ilmu.
Bagi `ulama’ yang berpendapat begini, ilmu tanpa amal itu tidak ada gunanya dan tiada kelebihannya, lebihnya ilmu itu adalah kerana amal, ilmu semata-mata tidak menyampaikan kepada maksud kenapa ia dipelajari.
Imam Bukhari tidak bersetuju dengan pendapat ini. Beliau menegaskan bahawa ilmu itu sendiri daripada segi darjatnya melebihi amal. Ilmu itu juga daripada segi zaman
(masa) dan zatnya terdahulu daripada amal dan ucapan, kerana tidak boleh dikerjakan sesuatu sembahyang tanpa mengetahui tentang cara-cara sembahyang yang
semestinya dipelajari terlebih dahulu.
Sudah tentunya ilmu yang disertai amal itu lebih istimewa daripada ilmu semata-mata, namun orang yang berilmu tetap lebih daripada orang yang tidak berilmu, biar apapun
jenis ilmu yang ada padanya. Ilmu yang disusuli dengan amal pula akan memantapkan lagi ilmu yang telah sedia ada pada seseorang, kelebihan mengamalkan ilmu tidak dinafikan oleh Imam Bukhari.
Sesungguhnya amal itu adalah hasil ilmu, dan buah tidak akan berputik tanpa adanya pokok terlebih dahulu. Amal ibadat sekalipun boleh menjadi punca seseorang berdosa
sekiranya dilakukan tanpa ilmu, seperti amalan-amalan bid`ah.
Daripada perbincangan sebelum ini telah pun sama-sama kita ketahui bahawa ilmu itu juga adalah suatu amal, iaitu amal hati. Adapun amalan-amalan lain, ia merupakan
amal anggota lahir. Kelebihan ilmu itu adalah kerana tempatnya di hati.
Berbeda keadaannya dengan amal-amal yang lain, kerana semuanya berlaku pada anggota-anggota lahir. Peri pentingnya hati berbanding anggota-anggota badan yang lain dapat dilihat pada sabda Nabi s.a.w. berikut:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Bermaksud: Ketahuilah bahawa di dalam jasad (badan) itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia rosak maka rosaklah seluruh
jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung). (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim).
Bukankah sesuatu amalan yang tidak disertakan niat itu tidak menjadi dan bukankah sesuatu yang tidak diketahui bagaimana cara membuat dan cara mengucapkannya itu
juga tidak menjadi? Ini semua menunjukkan ilmu itu melebihi amal sehingga boleh menyebabkannya tidak sah jika tidak ada ilmu terlebih dahulu.
Penghayatan, rasa khusyu`, tunduk dan tawadhu` seseorang itu tidak akan nyata pada zahir amalannya, kerana ia hanya kelihatan sama sahaja antara orang yang berilmu dan tidak berilmu. Hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di dalam hati manusia. Apa yang tersebut itu semakin bertambah kuat hanya dengan
bertambahnya ilmu seseorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan