Ahad, Mac 05, 2023

Tafsir quran dengan quran 002:102(3)

Tafsir quran dengan quran 002:102(3)

¹⁶⁰ Siapakah Harut dan Marut yang tersebut di dalam ayat ini? Malaikatkah atau manusia atau jin? Kerana perbedaan pandangan para sarjana berhubung dengan i'raab ayat ke-102 ini, maka berlakulah pula perbedaan pandangan tentangnya. 
Segolongan sarjana mengi'raabnya begini:
Perkataan ما  di permulaan ayat 102 Surah al-Baqarah
(وَٱتَّبَعُوا۟ مَا تَتْلُوا۟ ٱلشَّيَٰطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَٰنَۖ)
[Dan mereka telah mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan di zaman kerajaan (Nabi) Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman mengamalkan ilmu sihir)]
yang dikemukakan di atas ialah ما موصولة. 
Dan perkataan ما yang terletak sebelum perkataan أُنْزِلَ على الملكين  juga ما. 

[وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَٰنُ وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَٰرُوتَ وَمَٰرُوتَۚ]
[padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengamalkan ilmu sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengamalkan sihir). Mereka mengajarkan (ilmu) sihir kepada orang ramai, dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut,¹⁶⁰]

Perkataan (haraf)و  sebelum  ما موصولة kedua adalah haraf 'athaf. Ma'thuf alaihnya ialah yang pertama. 
Maka mafhum yang terhasil daripadanya ialah ramai orang-orang Yahudi yang hidup di zaman Nabi Sulaiman a.s. mengikut ilmu sihir yang diajarkan oleh syaitan-syaitan. Mereka juga mengikut ilmu sihir yang diturunkan kepada dua orang malaikat yang bernama Harut dan Marut di Babil.

Oleh kerana Allah menyebut dua orang malaikat (الملكين) di dalam ayat itu, maka zahir ma'nanyalah yang harus diterima. Soal bagaimana mereka boleh melakukan dosa mengajar ilmu sihir yang diharamkan, yang pada umumnya mengandungi unsur-unsur kekufuran, padahal mereka ma'shum tidak timbul. Kerana mereka hanya melaksanakan perintah Allah berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan makhluk kejadian 
Tuhan (أمور تكوينية), bukan berkaitan dengan perkara-perkara agama atau syari'at (تشريعية تكليفية) Segala perbuatan para malaikat itu tidak terikat dengan dosa dan pahala. Makhluk Allah yang terikat segala perbuatannya dengan dosa dan pahala hanyalah jin dan manusia. Harut dan Marut hanya ujian Allah kepada manusia pada ketika itu. Antara bukti mereka hanya ujian dan cubaan daripada Allah dan mengajar ilmu sihir hanya kerana mengikut perintah Allah ialah setiap kali hendak mengajar ilmu sihir kepada sesiapa pun mereka akan berkata: "Sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, sebab itu janganlah kamu jadi kafir.

Antara hikmat mereka berdua diutus Allah mengajar sihir kepada orang-orang di zaman Nabi Sulaiman a.s. ialah supaya mereka mengetahui perbedaan di antara sihir yang sangat dikagumi mereka dengan wahyu yang diutuskan Allah kepada para nabi a.s, supaya mereka juga mengetahui perbedaan di antara para nabi a.s, dan tukang-tukang sihir. Dengan mempelajarinya mereka akan mengetahui dan betul-betul sedar tentang betapa palsu, bahaya dan karutnya ilmu sihir dan betapa suci, mulia dan bergunanya pula wahyu yang diberikan kepada para nabi a.s. untuk dijadikan pedoman oleh manusia sekaliannya.

Segolongan sarjana pula tidak menerima cara i'raab yang diterima oleh golongan pertama tadi. Tetapi mereka tetap memakai perkataan  الملكين dalam ma'na haqiqinya seperti golongan pertama. Bagi mereka, perkataan  ما  di permulaan ayat berkenaan memanglah ما موصولة , tetapi perkataan ما  yang terletak sebelum firman Allah:  أنزل على المكين bukan ما موصولة, ia bahkan ما نافية yang bererti tidak atau bukan. Perkataan و yang terletak sebelumnya pula tetap واو عطف , tetapi ma'thuf alaihnya bukan  ما تتلو sebaliknya ما كفر سسايمان. 

Maka mafhum yang terhasil daripadanya ialah sebagaimana Sulaiman tidak (pernah) kafir, tidak (pernah) juga ilmu sihir diturunkan kepada dua orang malaikat tertentu untuk diajarkan kepada orang ramai. Menurut mereka, Harut dan Marut yang tersebut selepasnya bukan menjadi badal kepada perkataan    الملكين  yang tersebut sebelumnya. Kerana itu mereka bukan malaikat. Malah ia merupakan badal bagi perkataan الشياطين yang tersebut sebelum itu. Bagi mereka, di dalam ayat ini terdapat taqdim dan ta'khir (perkataan-perkataan tertentu) yang merupakan salah satu seni bahasa 'Arab popular di kalangan sasterawan-sasterawan bahasa Arab.

Berdasarkan i'raab ini, Harut dan Marut hanya dua syaitan (sama ada dari kalangan manusia atau syaitan jin yang menyamar sebagai manusia) yang hebat dan menonjol di kalangan guru-guru sihir di Babil (Babylon). Pengajaran ilmu sihir oleh mereka berdua tersebar dengan meluas di Babil. Kerana itu mereka disebutkan secara khusus dengan nama masing-masing. Namun itu tidak bererti mereka sahaja yang mengajar ilmu sihir di sana. Masih ada ramai lagi yang lain. Kerana itulah disebut dalam bentuk jama' sebelum disebut nama mereka berdua.
Ketika mentafsirkan firman Allah:  وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ 
Imam al-Qurthubi menulis:......
Maksudnya: (Perkataan) ما memberi ma'na nafi. (Perkataan)و  (sebelumnya) untuk 'athaf kepada firmanNya {وَمَا كَفَرَ سُلَيْمننُ}. Ini kerana orang-orang Yahudi mengatakan, Allah telah menurunkan Jibril dan Mikail membawa sihir. Maka Allah menafikannya. Di dalam firman Allah itu terdapat taqdim dan ta'khir. Taqdirnya ialah: 
وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَنُ  وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلْمَلَكَيْنِ 
وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ بِبَابِلَ 
هَٰرُوتَ وَمَٰرُوتَۚ
Harut dan Marut merupakan badal bagi di dalam firmanNya وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُوا۟
Ini adalah ta'wilan yang terbaik bagi ayat berkenaan dan ia merupakan pendapat paling sahih yang pernah diutarakan tentangnya. Dengan adanya pendapat (tafsiran) ini, maka tidak perlu lagi dihiraukan pendapat-pendapat yang Iain. 
(Lihat Tafsir al-Qurthubi j.2 hal.50)

Petunjuk-petunjuk dari dalam dan luar ayat 102 Surah al-Baqarah dengan jelas menolak kemungkinan para malaikat terlibat dengan pengajaran dan penyebaran ilmu sihir di Babil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan