Tafsir quran dengan quran 002:102(4)
10 Bukti Dari Dalam Ayat 102 Surah Al-Baqarah Itu Sendiri.
Di bawah ini dikemukakan 10 bukti dari dalam Ayat 102 Surah Al-Baqarah itu sendiri yang menolak kemungkinan mana-mana malaikat terlibat dalam pengajaran dan penyebaran ilmu sihir.
(i)Setelah Allah menyangkal tuduhan orang-orang Yahudi tentang kekufuran Sulaiman a.s. kerana kononnya Baginda a.s. mengamalkan ilmu sihir, bagaimana mungkin dikatakan pula ada dua orang malaikat yang diutus Allah membawa ilmu sihir kepada manusia! Bukankah ilmu sihir itu penuh dengan kekufuran? Bagaimana mungkin Allah menurunkan dua orang malaikat membawa kekufuran??
(ii) Setelah Allah berfirman وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ (hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir mengerjakan sihir. Mereka mengajarkan sihir kepada manusia...), tidak mungkin Allah menurunkan pula malaikat untuk mengajarkan sihir kepada manusia? Kalau begitu samalah kerja malaikat dan syaitan!
(iii)Ayat 102 Surah al-Baqarah yang dibincangkan ini jelas menyebutkan pengajaran ilmu sihir itu sendiri adalah suatu kekufuran. Kalau begitu bagaimana mungkin Allah menyuruh dua orang malaikat melakukannya dalam keadaan mereka itu menurut sifat semulajadinya adalah suci dan ma'shum (terpelihara daripada dosa-dosa)?!
(iv)Apa ertinya kedua-dua malaikat berkenaan berkata kepada orang-orang yang hendak belajar ilmu sihir dengan mereka janganlah engkau jadi kafir' dengan mengamalkan ilmu sihir yang akan kami berikan kepadamu, kemudian mereka perturunkan juga ilmu itu kepada orang ramai?!
(v)Sesuatu yang dikatakan keji dan jelik oleh Allah, ditambah pula dengan perisytiharan bahawa orang yang melakukannya tiada habuan di akhirat nanti, sukar diterima ia diturunkan Allah kepada malaikat tertentu untuk diajarkan kepada manusia!!
(vi)Ayat 102 ini dengan terang menyebutkan pertentangan di antara ilmu wahyu dan ilmu sihir. Wahyu punca petunjuk. Sihir pula punca kesesatan. Allah menyebutkan di dalamnya bagaimana orang-orang Yahudi telah sesat kerana telah mengikut ilmu sihir dan meninggalkan Kitab Allah yang berpunca daripada wahyu. Dalam keadaan ini mustahil diterima ada malaikat tertentu diutus Allah sendiri membawa kesesatan kepada manusia!
(vii) Antara yang dipelajari dan diajarkan dalam ilmu sihir ialah cara-cara memporak-perandakan rutnah tangga seseorang. Ilmu seperti ini tentunya tidak berpunca daripada wahyu dan tidak layak sama sekali dengan malaikat.
(viii) Ilmu sihir disebut Allah sebagai ilmu yang memudharatkan dan tidak berguna. Kalau begitu bagaimana akan diterima Allah menurunkannya melalui dua orang malaikat Yang dimuliakanNya?
(ix) Di dalam ayat 102 Surah al-Baqarah ini disebutkan tempat di mana dua malaikat berkenaan diturunkan dan mengajarkan sihir. Tempat itu bernama Babil. Di dalam riwayat-riwayat Israiliyyat juga tersebut nama itu, bahkan dikatakan di situlah mereka berdua dihukum hingga hari kiamat. Tetapi ia tidak pernah dapat dikesan oleh sesiapa pun, baik pengembara, penjelajah mahupun penduduk setempat.
(x) Kalau benarlah ada malaikat tertentu diutus membawa ilmu sihir ke bumi, maka tentulah terlebih dahulu mereka menyampaikan dan mengajarkannya kepada Nabi Sulaiman a.s. Kerana malaikat itu sememangnya diutuskan kepada para nabi dan rasul. Tetapi di sini Allah menyangkal dengan sekeras-kerasnya penglibatan Sulaiman dengan ilmu sihir. Ilmu sihir dikatakan sebagai ajaran syaitan-syaitan yang kafir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan