Rabu, September 09, 2020

Qawaid tafsir 2018 kaedah 0032

Qawaid tafsir 2018 kaedah 0032
قاعده 32
اَلِاقْتِرَانُ الْوَارِدُ فِي الْقُرْآنِ بَيْنَ بَعْضِ الْأَسْمَاءِ الْحُسْنَى ، يَدُلُّ عَلَى مَزِيْدٍ مِنَ الْكَمَالَاتِ

Tersebutnya beberapa nama Allah yang baik-baik (الأسماء الحسنى) dimana-mana tempat di dalam al-Qur'an menunjukkan ma'na kesempurnaan yang lebih.

Setiap nama sifat Allah yang tersebut di dalam al-Qur'an mengandungi kelebihan,keistimewaan dan maksudnya yang tersendiri. Seringkali kita dapati sesuatu ayat disudahi dengan menyebut dua nama Allah yang tertentu. Apakah rahsia disebaliknya? Perlulah diingat bahawa apabila dua nama sifat Allah disebutkan bersama pada mana-mana tempat, ia memberikan ma'na yang berlainan pula. Ia memberi ma'na kesempurnaan yang lebih. Kedua-dua nama sifat yang disebutkan itu tentunya mempunyai perkaitan yang rapat dengan apa yang dikemukakan sebelumnya.Sebagai contohnya lihat saja tiga ayat di dalam Surah al-Baqarah di bawah ini ke tiga2 nya mengandungi doa Nabi lbrahim dan anaknya Nabi Ismail, dan dengan dua-dua nama sitat Allah yang berlain-lainan.
Allah berfirman 
Al-Baqarah 2:127
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِۦمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ 

Al-Baqarah 2:128
رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ 

Al-Baqarah 2:129
رَبَّنَا وَٱبْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ 


Bermaksud: Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersarna Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami terimalah daripada karni(amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahu". (127).
Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (128)
Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Qur'an) dan Al-Hikmah(As-Sunah) serta rnenyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana(129).(al-Baqarah :127 -129).

Ayat 127 diakhiri dengan kata: إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ 
Kenapakan dua nama sifat Allah   ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ  disebut mereka di situ? Jawabnya ialah kerana dua sifat itu mempunyai perkaitan yang sangat rapat. Manusia kadang-kadang mendengar apa yang anda cakap, tetapi ia tidak mengetahui apa isi hati anda. Mungkin anda menyimpan perasaan dendam dan kebencian terhadap orang yang anda puji. Mendengar pujian anda ia terus berasa gembira dan seronok, tidak pula ia tahu bahawa sebenarnya anda menyimpan dendam dan kebencian terhadapnya. Ini kerana ia hanya mendengar tetapi tidak rnengetahui isi hati anda. Berbeza dengan Allah. Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui. Maha mendengar bererti Dia mendengar segala-segalanya. Dia mendengar suara yang perlahan sama seperti mendengar suara yang kuat. Dia mendengar orang yang menyeruNya dari jauh sama dengan mendengar orang yang menyeruNya dari dekat. Jauh dekat sama saja kepadaNya. Bahkan bisikan hati pun didengariNya. Maha mengetahui pula bererti mengetahui segala-segalanya. Tiada suatu apa pun tersembunyi kepadaNya. Oleh kerana Engkau mendengar doa dan permintaan kami ini dan Engkau pula mengetahui keikhlasan hati kami dalam membina rumahMu (Ka'bah), maka terimalah doa kami dan terimalah amalan mulia kami ya Tuhan kami!

Ayat 128 pula diakhiri dengan 
kata:  إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ    Kenapakah dua nama sifat 
Allah  ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ    pula disebut bersama? Jawabnya ialah setelah Nabi Ibrahim dan  Nabi Ismail a.s. berkata وتب علينا (dan terimalah taubat kami), mereka terus  menyatakan sebabnya. Sebabnya ialah kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Penerima taubat. Engkau pula Maha Penerima taubat bukan kerana terpaksa dan terdesak.Bukanlah keterpaksaan dan keterdesakan yang mendorongMu bersifat Pengampun dan Penerima taubat, sebaliknya kerana ada juga padaMu sifat Maha Penyayang. Sifat Maha Penyayang yang sentiasa ada padaMu itulah yang mengatasi sifat-sifat kesempurnaanMu yang lain, termasuk sifat menerima taubat.

Dan akhir sekali ayat 129.Ia ditutup dengan kata: إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ   . Kenapakah dua nama sifat ini .ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ disebutkan bersama setelah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memohon agar Allah mengutuskan seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan mengajarkan kepada mereka Al
Kitab (Al-Qur'an) dan Al-Hikmah (As-Sunah) serta menyucikan mereka? Jawabnya ialah kerana kerja mengutuskan seorang rasul dan menjadikan orang-orang tertentu sebagai sahabat-sahabat terpilihnya bukanlah perkara mudah. Ia memerlukan satu kuasa yang tidak terbatas dan terhad. Ia memerlukan keperkasaan. Oleh kerana Engkaulah Yang Maha Perkasa (العزيز), maka Engkau jualah yang dapat melaksanakan kerja itu. Al-'Aziz ialah 
القادر على شيء ولا يعجزه شي فى استعمال قدرته
 iaitu orang yang berkuasa atas segala sesuatu dan tidak ada sesuatu dapat melemahkannya dalam menggunakan kuasanya. Tetapi bukan keperkasaan sahaja yang diperlukan untuk melahirkan orang seperti Rasulullah s.a.w. dan para sahabat Baginda yang mulia, kebijaksanaan juga diperlukan. Kerana itulah sifat العزيزdisusuli dengan sifat الحكيم(Yang Maha Bijaksana)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan