Rabu, Februari 10, 2021

Daurah tafsir 2019 sesi 18(47)nota 14(307)

Daurah tafsir 2019 sesi 18(47)nota 14(307)

Zaman Diturunkan Surah Dan Latar Belakangnya
Nama kedua Surah Muhammad ialah Surah al-Qitaal, Surah Muhammad diturunkan sekitar bulan Sya'baan atau bulan Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah sebelum berlakunya peperangan Badar.

Sebelumnya telahpun diturunkan Surah at-Taghabun, Surah al-Baqarah dan Surah at-Thalaq. Di dalam Surah at-Taghabun manusia disuruh supaya berinfaq dan membelanjakan harta di jalan Allah sedangkan
di dalam Surah Muhammad umat Islam diminta supaya berinfaq dan juga berjihad. Setelah berhijrah ke
Madinah, asas sebuah negara Islam terbina tetapi orang-orang munafiq, kafir Quraisy dan kuasa-kuasa
Thaghut yang lain tidak henti-henti berusaha menggagalkannya. Peperangan yang mula-mula berlaku di
antara orang-orang musyrikin dan orang-orang Islam ialah di medan Badar, dalam peperangan itu pejuang-pejuang Islam yang berjumlah 313 orang telah dapat mengalahkan pasukan tentera orang-orang Quraisy yang melebihi 1,000 orang. Salah satu hikmat Surah Muhammad diturunkan sebelum perang Badar ialah supaya timbulnya kesedaran dan semangat di dalam jiwa orang-orang Islam untuk bejihad dan berinfaq, selain itu ia juga membuktikan kebenaran yang berada di pihak orang-orang Islam dan
keharusan berperang dengan orang-orang kafir Quraisy demi mempertahankan diri. Dengan itu mereka dengan senang hati dapat membelanjakan harta benda untuk tujuan itu selain daripada bersedia untuk berperang dengan penuh semangat. Di dalamnya juga tersebut tujuan-tujuan perang dan peringatan kepada orang-orang munafiqin yang sebelum itu bukan main bersemangat dan bercakap besar, tetapi setelah benar-benar berada di medan perang mereka hilang semangat.

Tiga Surah Madaniyyah Selepas Surah-Surah Yang Dimulakan Dengan (حَواميم)حم
Di dalam tertib kitabi al-Qur'an yang ada ini, tiga Surah Madaniyyah iaitu Surah Muhammad, Surah al-Fath dan Surah al-Hujurat terletak selepas surah-surah (حَواميم)حم. Selepas itu akan menyusul pula 7 Surah Makkiyyah, di dalamnya tersebut beberapa dalil tentang kelogikan adanya hari kiamat dan hari akhirat, ia bermula dengan Surah Qaf dan berakhir dengan Surah al-Waqi'ah. Selepas itu datang pula sepuluh Surah Madaniyyah yang mana kebanyakannya merupakan surah-surah   مُسَبَّحات surah-surah yang
dimulakan dengan lafaz tasbih).

Perkaitan Surah Muhammad Dengan Surah Sebelum Dan Selepasnya
1. Di dalam Surah al-Ahqaaf disebutkan tentang kebinasaan bangsa-bangsa, khususnya kaum 'Aad melalui azab secara langsung daripada Allah (Ayat: 21 hingga 27). Di dalam Surah Muhammad pula terdapat perintah membinasakan orang-orang kafir secara tidak langsung melalui tindakan orang-orang Islam dalam peperangan. Dengan memerintahkan orang-orang Islam berjihad memerangi orang-orang kafir, Allah hendak menguji iman dan amal mereka (Ayat 4).وَلَوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ لَٱنتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَٰكِن لِّيَبْلُوَا۟ بَعْضَكُم بِبَعْضٍۗ

Muhammad 47:4
فَإِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَضَرْبَ ٱلرِّقَابِ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا۟ ٱلْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّۢا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَآءً حَتَّىٰ تَضَعَ ٱلْحَرْبُ أَوْزَارَهَاۚ ذَٰلِكَ وَلَوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ لَٱنتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَٰكِن لِّيَبْلُوَا۟ بَعْضَكُم بِبَعْضٍۗ وَٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَٰلَهُمْ 
Maka apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir (di medan perang), maka pukullah batang leher mereka. Selanjutnya apabila kamu telah mengalahkan mereka, tawanlah mereka, dan setelah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang selesai. Demikianlah, dan sekiranya Allah menghendaki niscaya Dia membinasakan mereka, tetapi Dia hendak menguji kamu satu sama lain. Dan orang-orang yang gugur di jalan Allah, Allah tidak menyia-nyiakan amal mereka.


307

Tiada ulasan:

Catat Ulasan