Sahih bukhari kitab azan 13/8/22(2)
¹⁴¹³ Para 'ulama' berbeda pendapat tentang hukum ma'mum yang mampu berdiri mengikut imam yang bersembahyang sambil duduk kerana keuzuran. Berikut adalah perinciannya:
(1)Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf, Syafi'e, Sufyan ats-Tsauri, Abu Tsaur dan jumhur `ulama', termasuk Imam Bukhari, berpendapat, jika kerana keuzuran imam bersembahyang sambil duduk, para ma'mum yang mampu berdiri tidak boleh duduk, mereka sebaliknya hendaklah berdiri, kerana sembahyang fardhu tidak harus dikerjakan oleh orang yang mampu berdiri dengan duduk.
(2)Imam Malik dan Muhammad bin al-Ĥasan asy-Syaibāni berpendapat,orang yang mampu berdiri sama sekali tidak boleh menjadi ma'mum kepada imam yang bersembahyang fardhu sambil duduk kerana keuzuran, sama ada dengan berdiri atau duduk. Keharusan bersembahyang fardhu dengan mengikut imam yang bersembahyang sambil duduk kerana keuzuran itu hanya khusus dengan Rasulullah s.a.w. sahaja.
(3) Imam Ahmad, al-Auzā`i, Daud adz-Dzāhiri dan sekumpulan `ulama' yang lain pula berpendapat, ma'mum yang mengikut imam yang bersembahyang sambil duduk kerana keuzuran hendaklah mengikut imam, iaitu dengan bersembahyang sambil duduk juga.
Bagaimanapun terdapat perincian dalam mazhab Ahmad berhubung dengan masalah ini. Menurut mereka, dalam keadaan biasa orang yang tidak mampu bersembahyang dengan berdiri tidak seharusnya dilantik menjadi imam.
Dalam keadaan telah dilantik sebagai imam yang tetap di sesebuah masjid pula, jika imam itu mengalami keuzuran yang membuatkannya tidak dapat bersembahyang sambil berdiri, tetapi ia boleh bersembahyang sambil duduk, sedangkan keuzurannya itu diharapkan akan sembuh, ia boleh saja menjadi imam dengan bersembahyang sambil duduk. Para ma'mum juga hendaklah bersembahyang sambil duduk di belakangnya.
Menurut satu pendapat, ma'mum wajib duduk. Menurut pendapat yang lain pula, ma'mum hanya mustahab duduk.
Dalam keadaan keuzuran yang dialami imam mungkin berpanjangan, imam seeloknya melantik orang lain sebagai penggantinya untuk memimpin shalat berjama`ah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan