Sahih bukhari kitab ilmu 20/8/22(8)
¹³² Jika memilih jalan untuk mendapatkan ilmu itu sudah membawa ke syurga, bagaimana kalau seseorang itu hidup dengan ilmu? Bagaimana pula kalau seseorang itu berilmu (menjadi alim) sehingga dia menjadi tumpuan dan matlamat orang lain yang memilih jalan untuk mendapatkan ilmu yang ada padanya itu? Menyebar dan
menyampaikan ilmu sahaja, itu pun sudah dikira suatu kelebihan, mengamalkan apa yang diajarkan itu adalah suatu kelebihan yang lain pula.
Demikianlah lafaz hadits daripada riwayat Abu ad-Dardā’. Lafaz riwayat Muslim, Abu Daud dan lain-lain daripada Abu Hurairah juga lebih kurang sama. Lihat haditsnya di bawah ini:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa melepaskan orang mu’min daripada apa-apa kesedihan dan kesukaran dunia yang dialaminya, Allah pasti akan
melepaskannya daripada kesedihan dan kesukaran pada hari kiamat nanti. Sesiapa mempermudahkan orang yang susah, Allah pasti akan mempermudahkan urusannya
di dunia dan di akhirat. Sesiapa menutup ke`aiban seseorang muslim, Allah menutup ke`aibannya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selagi
hambanya menolong saudaranya. Sesiapa mengikuti sesuatu jalan demi menuntut ilmu, dengan sebabnya Allah mempermudahkan jalan untuknya ke syurga. Tidak
berhimpun sesuatu kumpulan orang di mana-mana rumah Allah (masjid), di mana mereka membaca Kitab Allah (al-Qur’an) dan bertadarus di antara sesama mereka,
melainkan turunlah ke atas mereka ketenangan, rahmat Allah pula mengelubungi mereka, mereka dikerumuni para malaikat dan Allah menyebut mereka di kalangan
orang-orang yang hampir kepadaNya. Nasab dan keturunan seseorang tidak dapat memajukannya jika kerjanya (sendiri) memundurkannya.
Imam Bukhari tidak mengemukakan hadits ini di dalam Kitab Sahihnya sebagai satu riwayat musnad kerana terdapat sedikit perselisihan pendapat tentang sanadnya.
A`masy meriwayatkannya daripada Abi Shāleĥ daripada Abi Hurairah. Sesetengah `ulama’ hadits meragui tentang A`masy sendiri secara langsung telah meriwayatkannya daripada Abi Shāleĥ. Sebabnya ialah tersebut di dalam satu riwayat
Abu Daud dan Tirmidzi kata-kata A`masy sendiri:
حُدِّثْتُ عَنْ أَبِي صَالِحٍ
(diriwayatkan kepadaku daripada Abi Shāleĥ). Zahirnya menunjukkan ada seseorang di antara A`masy dan Abu Shāleĥ. Tidak diketahui siapa dia?Imam Muslim telah menghilangkan kekeliruan itu dengan mengemukakan beberapa saluran riwayat bagi hadits tersebut. Antaranya saluran riwayat Abu Usāmah. Di dalamnya tersebut kata-kata A`masy dengan terang:حدثنا أبو صالح عن أبي هريرة
(Abu Shāleĥ meriwayatkan kepada kami daripada Abi Hurairah). Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa A`masy pada mulanya meriwayatkan hadits itu dengan perantaraan seseorang, tetapi kemudiannya beliau menerimanya secara langsung daripada Abi Shāleĥ.
Orang yang berusaha pergi ke sesuatu tempat untuk menuntut ilmu akan mendapat ilmu, dengan ilmu ia akan dapat mengerjakan amal saleh. Dengan ilmu juga akan
timbul di dalam hatinya rasa takut dan juga kasih kepada Allah. Semua hasil yang diperolehi daripada ilmu yang dipelajari itu akan membawanya ke syurga. Dengan
begitulah Allah mempermudahkan kepadanya jalan ke syurga.
Bukankah hadits itu juga membuktikan kelebihan ilmu dan keterdahuluannya daripada segala-gala yang lain? Di dalamnya tidak tersebut pun “dengan syarat ilmu
itu diamal!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan