Selasa, September 06, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0059(89) 20/8/22(9)

Sahih bukhari kitab ilmu  20/8/22(9)

¹³³  Firman Allah di dalam ayat ke-28 Surah Fāhir ini dimulai dengan satu perkataan yang memberi erti ta’kīd dan ĥashr (إنما) . Perkataan “Sesungguhnya” memenuhi maksud ta’kīd (penguat ayat). Perkataan “hanya” pula memenuhi erti حصر yang membataskan atau mengkhususkan cerita dengan sesuatu perkara (subjek) di samping menafikan yang lain daripada berkongsi dengan perkara berkenaan.

Penggunaan perkataan seperti ini menunjukkan bahawa ketakutan kepada Allah s.w.t. yang sebenar-benarnya dikehendaki dan diredhaNya hanya ada pada `ulama’ sahaja. Tidak dinafikan bahawa ada juga hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya sehingga tidak dapat menjalani kehidupan seharian secara normal. Tetapi bukan takut seperti itu yang dikehendaki Allah. Takut seorang alim kepada Allah s.w.t. tidak sama dengan takut seorang jahil kepadaNya, kerana orang yang benar-benar alim dapat memahami dengan betul apakah maksud takut kepada Allah itu.
Mungkin ada orang berkata, kalau begitu, kenapa ada juga `ulama’ yang tidak takut kepada Allah? Jawabnya ialah keadaannya yang tidak takut kepada Allah itu menunjukkan ia sebenarnya bukan `ulama’. Kerana `ulama’ yang sebenarnya di sisi Allah hanyalah yang takut kepadaNya, seperti tersebut di dalam ayat yang sedang dibincangkan sekarang. Orang alim yang mempunyai banyak kitab semata-mata tetapi tidak takut kepada Allah itu di dalam al-Qur’an ada perumpamaannya yang tersendiri. 

Allah berfirman tentangnya di dalam Surah al-Jumu`ah begini:Al-Jumu'ah 62:5
مَثَلُ ٱلَّذِينَ حُمِّلُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ ٱلْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًۢاۚ بِئْسَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ 
Bermaksud: Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (al-Jumu`ah:5).
Selain itu, firman Allah di dalam Surah Fāthir ini sebenarnya bukanlah menyatakan sifat takut kepada Allah itu suatu yang mesti ada pada setiap `ulama’, ia hanya menyatakan sifat takut yang sempurna itu kalau pada seorang manusia maka ia ada pada `ulama’. 

Biar apapun, ayat itu jelas membuktikan lebihnya `ulama’ itu adalah kerana ilmunya. Amal ibadat yang dilakukan tanpa keikhlasan memang sia-sia, tetapi keikhlasan itu baru ada apabila adanya  خشية الله atau ketakutan kepada Allah, dan ketakutan kepada Allah pula baru ada setelah adanya ilmu. Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa memang ilmu itu melebihi dan mendahului segala yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan