Sahih bukhari kitab ilmu 18/02/23(08)
(3) Sesetengah `ulama’ pula berpendapat Khadhir bukan wali dan bukan juga nabi,
sebaliknya dia adalah malaikat yang telah menjelma sebagai manusia dengan perintah
dan izin Allah, untuk memberi sedikit pengajaran kepada Nabi Musa dan membuka mata umat manusia tentang hikmat-hikmatNya di sebalik kejadian-kejadian yang
berlaku di alam semesta.
Menurut Ibnu Katsīr di dalam Tafsīrnya, al-Māwardi telah menukilkan pendapat ini di
dalam Tafsirnya. Antara tokoh tafsir moden yang berpendapat Khadhir malaikat, bukan
wali dan bukan juga nabi ialah Maulana Maududi.
Maulana Maududi dan orang-orang yang sependapat dengannya membantah apa yang
disebutkan sebagai dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadits yang menunjukkan
Khadhir sebagai nabi dengan berkata:
(a) Firman Allah yang menyebut Khadhir sebagai عبدا من عبادنا (seorang hamba di antara
hamba-hamba Kami) di dalam ayat ke-65 Surah al-Kahfi itu tidak boleh dianggap
sebagai dalil yang terang tentang Khadhir itu seorang manusia, apalagi untuk dijadikan
dalil bagi kenabiannya. Ini kerana perkataan عبد (hamba) di dalam al-Qur’an tidak
semestinya digunakan dengan ma`na manusia, malah ia juga digunakan untuk malaikat,
lihat sebagai contohnya dua firman Allah s.w.t. ini:
Al-Anbiya 21:2 وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَٰنُ وَلَدًاۗ سُبْحَٰنَهُۥۚ بَلْ عِبَادٌ مُّكْرَمُونَ
Bermaksud: Dan mereka (yang musyrik) berkata: “(Allah) Ar-Rahman mempunyai
anak”. Maha Sucilah Dia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu)
ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan (malaikat). (al-Anbiya’:26).
Di dalam firman Allah ini perkataan عباد yang merupakan kata jama` bagi عبد telah
digunakan untuk malaikat.
Az-Zukhruf 43:19
وَجَعَلُوا۟ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ ٱلَّذِينَ هُمْ عِبَٰدُ ٱلرَّحْمَٰنِ إِنَٰثًاۚ أَشَهِدُوا۟ خَلْقَهُمْۚ سَتُكْتَبُ شَهَٰدَتُهُمْ وَيُسْـَٔلُونَ
Bermaksud: Dan mereka pula menyifatkan malaikat yang merupakan hamba-hamba
Allah Yang Maha Pemurah itu sebagai orang-orang perempuan. Adakah mereka
menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu),
dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya). (az-Zukhruf:19).
Di dalam firman Allah ini juga para malaikat disebut sebagai hamba-hamba Allah.
(b) Perkataan رجل untuk Khadhir yang tersebut di dalam sesetengah versi hadits kisah
pertemuan Nabi Musa dengan Khadhir juga tidak boleh dijadikan alasan tentang
kemanusiaannya, apalagi untuk dijadikan alasan untuk kenabiannya. Sebabnya ialah
perkataan itu juga ada digunakan untuk bukan manusia, contohnya firman Allah ini:
Al-Jinn 72:6
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang
dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada
ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan
jin bertambah sombong dan jahat. (al-Jinn:6).
Di dalam ayat ini, sebagaimana perkataan رجال yang merupakan kata jama` bagi
perkataan رجل digunakan untuk manusia, ia juga digunakan untuk jin.
(c) Salah satu dalil Khadhir bukan manusia malah sebaliknya dia adalah malaikat ialah
tindakannya mencabut nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa seperti di sebut
Allah pada ayat ke-74 Surah al-Kahfi. Mencabut nyawa bukan tugas manusia atau jin
yang mukallaf, ia hanya tugas malaikat.
Manusia atau jin adalah makhluk mukallaf. Apabila ia melakukannya, ia akan dianggap
telah membunuh atau meragut nyawa orang yang tidak bersalah tanpa kebenaran
daripada Allah. Itulah sebabnya Nabi Musa a.s. menegurnya.
Apa yang berlaku sebenarnya ialah Allah s.w.t. hendak menunjukkan kepada Nabi
Musa a.s. bagaimana malaikat mencabut nyawa seseorang menurut ketetapan di alam
takwiniNya.
Ini kerana tidak ada satu pun syariat yang dibawa oleh mana-mana nabi - dari Nabi
Adam sehingga Nabi Muhammad a.s. - membenarkan pembunuhan. Kalau diterima
Khadhir sebagai seorang nabi sekalipun, maka menurut Syari`at yang dibawanya juga
membunuh itu satu perbuatan yang haram dan berdosa. Nabi Musa a.s. telah
menegurnya, kerana membunuh orang bercanggah juga dengan syariat Baginda.
Oleh kerana Khadhir bagi golongan ini adalah malaikat yang datang (menjelma) dalam
rupa manusia, maka dia tidak bersalah membunuh manusia, kerana dia tidak terikat
dengan Syari`at mana-mana nabi. Membunuh atau mengambil nyawa menurut hukum
takwini Allah memang merupakan tugasnya.
Walaupun nama (gelaran)nya tersebut di dalam hadits-hadits sahih, namun sifat
seorang nabi langsung tidak terdapat padanya, malah daripada perbuatan-perbuatan dan
ucapan-ucapannya dapat dikesan bahawa ilmu yang diberikan kepadanya adalah suatu
ilmu khusus yang tiada kaitan langsung dengan ilmu Syari`at.
Sebab itulah bila Nabi Musa a.s. meminta supaya dia mengajarkan ilmu yang ada
padanya kepada baginda seperti tersebut dalam ayat ke-66 Surah al-Kahfi yang
dikemukakan oleh Bukhari di dalam tajuk bab di atas, Khadhir berkata, dan kata-
katanya tersebut dalam beberapa hadits sahih. Hadits-hadits itu membuktikan bahawa
Khadhir adalah malaikat bukan manusia. Lihat hadits-hadits berkenaan di bawah ini:
يَا مُوسَى إِنِّي عَلَى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ عَلَّمَنِيهِ لَا تَعْلَمُهُ أَنْتَ وَأَنْتَ عَلَى عِلْمٍ عَلَّمَكَهُ لَا أَعْلَمُهُ
Bermaksud: Wahai Musa, aku mendapat suatu ilmu daripada ilmu Allah yang
diajarNya kepadaku dan engkau tidak mengetahuinya. Engkau pula mendapat ilmu
yang diajarNya kepadamu dan aku tidak mengetahuinya. (Hadits riwayat Bukhari dan
Muslim).
إِنَّكَ عَلَى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ عَلَّمَكَهُ اللَّهُ لَا أَعْلَمُهُ وَأَنَا عَلَى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ عَلَّمَنِيهِ لَا تَعْلَمُهُ
Bermaksud: Sesungguhnya engkau mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang
diajarNya kepadamu, dan aku tidak mengetahuinya. Dan aku pula mempunyai ilmu
daripada ilmu Allah yang diajarNya kepadaku, dan engkau tidak mengetahuinya.
(Hadits riwayat Muslim).
قَالَ أَمَا يَكْفِيكَ أَنَّ التَّوْرَاةَ بِيَدَيْكَ وَأَنَّ الْوَحْيَ يَأْتِيكَ يَا مُوسَى إِنَّ لِي عِلْمًا لَا يَنْبَغِي لَكَ أَنْ تَعْلَمَهُ وَإِنَّ لَكَ عِلْمًا لَا يَنْبَغِي لِي أَنْ أَعْلَمَهُ
Bermaksud: Dia (Khadhir) berkata, “Tidak cukupkah lagi kepadamu Taurat yang ada
di tanganmu dan wahyu yang datang kepadamu? Wahai Musa! Sesungguhnya aku
mempunyai suatu ilmu yang tidak seyogia engkau mengetahuinya, dan sesungguhnya
engkau (juga) mempunyai suatu ilmu yang tidak seyogia aku mengetahuinya. (Hadits
riwayat Bukhari).
شَيْءٌ أُمِرْتُ بِهِ أَنْ أَفْعَلَهُ إِذَا رَأَيتَهُ لَمْ تَصْبِرْ
Bermaksud: Itu adalah suatu yang diperintahkan aku melakukannya. Jika engkau
melihatnya, engkau tidak akan sabar. (Hadits riwayat Bukhari).
Hadits-hadits di atas dengan jelas menunjukkan Khadhir bukan nabi dan bukan wali,
bahkan bukan manusia, sebaliknya dia adalah malaikat yang diutus Allah untuk
menyatakan hikmat di sebalik kejadian-kejadian yang berlaku di kalangan makhluk-
makhluk Allah di muka bumi ini. Kalau tidak, maka apakah ertinya kata-kata Khadhir
seperti, “Wahai Musa! Sesungguhnya aku mempunyai suatu ilmu yang tidak seyogia
engkau mengetahuinya, dan sesungguhnya engkau (juga) mempunyai suatu ilmu yang
tidak seyogia aku mengetahuinya.”
Apakah seorang nabi atau rasul tidak seyogia mengetahui ilmu Syari`at yang diberikan
kepada seorang nabi atau rasul yang lain? Apakah seseorang nabi yang mempunyai
ilmu yang diajar oleh Allah langsung tidak mengetahui ilmu yang diajar oleh Allah
kepada nabi-nabiNya yang lain? Alangkah banyaknya persamaan antara ajaran seorang
nabi dengan seorang nabi yang lain, khususnya mengenai aqidah dan asas-asas
Syari`at?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan