Sahih bukhari kitab ilmu 18/02/23(9)
Jawapan kepada persoalan keempat(4):
Khilaf yang seterusnya tentang Khadhir jika dikatakan beliau seorang manusia ialah
adakah beliau masih hidup atau sudah meninggal dunia? Majoriti ahli tasawuf
menda`wa beliau masih hidup, manakala ahli hadits pula berpendapat beliau telah
meninggal dunia sekian lama sebelum kebangkitan nabi Muhammad s.a.w.
Di kalangan ulama hadits, Ibnu as-Shalaĥ, Imam an-Nawawi dan lain-lain juga
berpendapat Khadhir masih hidup. Ahli tasawuf bukan shj menerima beliau masih
hidup, malah beliau dipercayai hidup sejak zaman Nabi Nuh, bahkan sejak zaman Nabi
Adam a.s. lagi menurut sesetengah mereka. Cuma timbul persoalan lain pula jika beliau
masih hidup, di manakah beliau berada sekarang?
Imam Bukhari, Abu Ya`la al-Farra’, Ibrahim al-Harbi, Abu Bakar Ibnu al-`Arabi dan
jumhur ulama hadits dan fiqh pula berpendapat beliau telah meninggal dunia. Antara
dalil yang menjadi pegangan mereka ialah:
(1) Firman Allah berikut:
Aal-e-Imran 3:81
وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّۦنَ لَمَآ ءَاتَيْتُكُم مِّن كِتَٰبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِىۖ قَالُوٓا۟ أَقْرَرْنَاۚ قَالَ فَٱشْهَدُوا۟ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّٰهِدِينَ
Bermaksud: dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari nabi-nabi
(dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua kitab dan hikmat yang Aku berikan
kepadamu, kemudian datang pula kepadamu seorang Rasul yang mengesahkan apa
yang ada padamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan
hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya
kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan
janjiKu secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami beriqrar (mengakui dan
menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu (wahai
para nabi), dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” (Aali `Imraan:81).
Kebanyakan `ulama’ berpendapat Khadhir adalah seorang nabi. Kalau begitu beliau
juga terikat dengan perjanjian setia yang tersebut di dalam ayat di atas. Perjanjian
bahawa bilamana datang seorang rasul bernama Muhammad, mereka akan beriman
kepadanya dan menolongnya.
Jika Khadhir masih hidup di zaman Rasulullah s.a.w. - dalam keadaan beliau bebas
pergi ke mana-mana tempat yang dikehendakinya sesuai dengan kepercayaan orang-
orang yang menganggap beliau masih hidup - beliau sepatutnya pergi menolong
Baginda s.a.w., sekurang-kurangnya dalam peperangan-peperangan yang dilancarkan
oleh Baginda s.a.w.
Tetapi tidak tersebut di dalam mana-mana ayat al-Qur’an atau hadits bahawa Khadhir
pernah ikut serta bersama Rasulullah s.a.w. dalam mana-mana peperangan yang pernah
dilancarkan oleh Baginda s.a.w. `Aqal yang sejahtera tidak dapat menerima seorang
nabi yang telah membuat perjanjian setia dengan Allah akan memungkiri janjinya!
(2) Dalam perang Badar Nabi s.a.w. berdoa:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ
Bermaksud: Ya Allah, tunaikanlah untukku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku.
Ya Allah, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, seandainya
kumpulan kecil umat Islam ini musnah, Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi
ini.
(Hadits riwayat Muslim, Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Hibbaan, Abu Ya`la dan lain-lain).
Jika Khadhir masih hidup, tentulah masih ada yang menyembah Allah s.w.t. dan tidak
tepatlah kata-kata Baginda s.a.w. ini.
(3) Nabi s.a.w. bersabda:
أَرَأَيْتُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ رَأْسَ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ
Bermaksud: “Ingat baik-baik malam ini! Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang
hidup di atas muka bumi pada malam ini akan terus hidup selepas seratus tahun
(bermula dari malam ini). (Hadits riwayat Bukhari ).
“Selepas 100 tahun dari hari ini tidak ada seorang pun yang hidup pada hari ini akan
ada di atas muka bumi”. Tentunya Khadhir tidak terkecuali daripada sabda Rasulullah
s.a.w. ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan