Rabu, Mac 01, 2023

Sahih bukhari kitab ilmu 18/02/23(11)

Sahih bukhari kitab ilmu 18/02/23(11)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah ditanya tentang Khadhir, beliau menjawab: 
“Kalau Khadhir masih hidup dengan keramatnya, wajib dia akan pergi bertemu Nabi 
Muhammad s.a.w., tetapi tidak ada sesiapa dalam mana-mana hadits menyebutkan 
kehadirannya dalam mana-mana peristiwa bersama Nabi s.a.w. yang shahih”, beliau 
juga membawakan dalil hadits pertama yang telah disebutkan tadi. Imam Ahmad juga 
berpendapat sedemikian dengan menggunakan hadits ke-2 sebagai dalil.

Ibnu al-Jauzi mengatakan: “Ada 4 bukti Khadhir telah meninggal dunia dan tidak kekal: 
(1) al-Qur’an (2) Sunnah (3) Ijma’ (4) Qiyas.”

Di dalam kamus tasawuf, istilah Khadhir tidaklah semestinya merujuk kepada satu 
individu berupa manusia, ia juga digunakan untuk suatu keadaan (حال)jiwa yang 
tenang, lega dan menghijau. Untuk keadaan jiwa yang sedih, takut dan kerisauan pula 
digunakan istilah Alias.

Jawapan kepada persoalan kelima:
Salah satu kemusykilan yang sering timbul apabila anda membaca hadits tentang
Khadhir dan Musa ialah Allah berkata ada lagi orang lain yang lebih alim daripadamu 
kepada Nabi Musa a.s., adakah Khadhir lebih `alim daripada Nabi Musa a.s. dari semua 
sudut atau hanya dalam ilmu-ilmu tertentu sahaja? 

Jika Khadhir tidak dianggap sebagai seorang Nabi, maka bolehkah pula seorang 
manusia biasa mempunyai ilmu yang lebih tinggi daripada seorang Nabi? Jika Khadhir 
dianggap seorang Nabi sekalipun, bolehkah ilmu seorang Nabi melebihi ilmu seorang 
Rasul? Dan di manakah pula berada umat Khadhir?

Jawapan kepada kemusykilan ini ialah tentu sekali Khadhir tidak lebih `alim daripada 
Nabi Musa dalam semua perkara dan semua sudut, kelebihan Khadhir adalah dari sudut علم تكويني (ilmu tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di alam semesta dengan
kehendak dan kuasa Allah s.w.t.) sahaja, Nabi Musa a.s. pula lebih `alim dari sudut  علم تشرعي
(ilmu Syari`at dan hukum-hakam Allah untuk diikuti manusia sepanjang hidup 
mereka). 

Ilmu tentang kejadian-kejadian yang berlaku di alam semesta dan rahsianya yang 
dikasyaf oleh Allah s.w.t. kepada mana-mana hambaNya tidaklah seistimewa ilmu 
Syari`at, kerana manusia tidaklah diwajibkan mengetahuinya, ia pula tidaklah
menentukan bahagia atau celaka seseorang itu di dunia dan akhirat, berbeza dengan 
ilmu Syari`at yang boleh menyebabkan seseorang itu masuk syurga atau neraka.

Bukanlah juga berma`na Allah s.w.t. tidak langsung memberitahu apa-apa ilmu tentang
kejadian di alam semesta ini atau SunnahNya (Sunnatullah) kepada Nabi Musa a.s., 
tetapi baginda tidak diberikan keistimewaan tentangnya seperti diberikan kepada
Khadhir.

Ada riwayat menceritakan ketika Nabi Musa a.s. bertemu Khadhir, beliau berkata
kepadanya: “Mengapa engkau seorang Nabi datang bertemu saya untuk belajar ilmu?” 
Nabi Musa menjawab: “Allah telah memberitahuku bahawa engkau mempunyai suatu 
ilmu yang aku masih belum perolehi dan aku tidak akan pulang dengan tangan kosong.”

Satu lagi kekeliruan yang berlaku dalam masyarakat berhubung dengan perkara ini, 
iaitu sesetengah orang menganggap ilmu yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s. itu 
adalah ilmu Syari`at, dan ilmu yang dikurniakan kepada Khadhir pula adalah ilmu batin 
atau ilmu thariqat dan hakikat. Lalu mereka membuat kesimpulan bahawa hadits ini 
menunjukkan ilmu batin atau ilmu thariqat dan hakikat itu lebih mulia dan lebih 
istimewa daripada ilmu Syari`at.

Kalau tidak kenapa Allah s.w.t. berkata ada lagi orang
yang lebih alim daripadamu kepada Nabi Musa a.s.? Dan kenapa Musa keluar 
mengembara begitu jauh dengan bersusah payah untuk mencari ilmu daripada orang
yang disebut Allah sebagai seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah 
Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan 
kepadanya ilmu (yang khusus) dari sisi Kami. (al-Kahfi:65)?

Orang-orang yang berpendapat begitu sebenarnya terkeliru dan tersalah kerana dua 
sebab:
(1) Ilmu batin atau ilmu thariqat dan hakikat itu bukanlah suatu yang berasingan 
daripada ilmu Syari`at. Ia hanyalah sebahagian daripada ilmu Syari`at. Ini kerana
Syari`at adalah nama bagi ilmu yang memperbaiki hal ehwal zahir dan batin manusia. 
Syari`at selain menuntut manusia memperbetulkan urusan amalan dan mu`amalat zahir, 
menuntut juga mereka agar memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa. 
Dengan itu ia merangkumi kedua-dua ilmu zahir dan batin dalam masa yang sama. Oleh 
kerana ilmu batin itu sebahagian (satu juzu’) daripada ilmu Syari`at, maka menurut 
logiknya juzu’ tidak akan melebihi  keseluruhan dalam apa pun keadaannya.

(2) Nabi Musa a.s. memang telah mempunyai ilmu zahir dan batin itu kedua-duanya 
sekali. Baginda keluar mencari Khadhir bukanlah untuk menuntut ilmu batin atau ilmu 
hakikat daripadanya. Apa yang ada pada Khadhir ialah sebahagian daripada ilmu 
tentang pentadbiran dan pengurusan Allah terhadap alam semesta ini sesuai dengan
kehendak dan hikmatNya. Ia tidak berkait langsung dengan ilmu zahir mahupun batin. 
Tiadanya ilmu itu pada Nabi Musa a.s. bukanlah suatu yang meng`aibkan dan 
mencacatkan peranan serta tugas baginda a.s.
Hikmat di sebalik Allah memberitahu begitu kepada Nabi Musa sehingga mendorong 
baginda pergi menemui Khadhir bukanlah untuk mencari kelebihan yang belum ada 
padanya, tetapi untuk mengingatkan Musa dan mendisiplinkannya supaya baginda 
lebih berhati-hati apabila berbicara. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan