Rabu, Disember 14, 2022

Tafsir asas quran nota 9(302)252-279s 17viii(08)


Asas(usul)Tafsir  17viii (08)

Antara Sebab Dan Alasan Kenapa Konsep Nasakh Menurut Istilah Ulama' Mutaakkhirin Tidak Diterima Oleh Sebilangan Besar 'Ulamak  Mu'ashirin.
Di bawah ini dikemukakan beberapa alasan dan sebab kenapa sebilangan besar 'ulama' muaashirin dari pelbagai latar belakang dan aliran fahaman tidak mahu menerima konsep nasakh menurut istilah 'ulama' mutaakhirin:

(1) Nasakh merupakan suatu konsep yang menyalahi kedudukan asal alQur'an, Justeru alQur'an diturunkan untuk dijadikan sebagai panduan hidup dan diamalkan. Tiba-tiba ada pula terdapat di dalamnya ayat-ayat yang tidak boleh diamalkan dan dijadikan panduan hidup! Untuk mengalihkan kedudukan asal al-Quran itu  ada dalil terang putus dan tidak menerima ta'wilan, bahawa ayat tertentu sememangnya telah dimansukhkan, Sedangkan di sana tidak terdapat satu pun nas yang qath'i dalalah dan tsubutnya yang menunjukkan kemansukhan mana-mana ayat alQuran.

(2) Menukar dan mengubah suatu perkataan dengan suatu perkataan lain atau membuang terus sesuatu ayat daripada sesebuah buku hanya sesuai dengan manusin, lantaran kekurangan ilmu dan keterbatasan ma'lumatnya. Keadaan itu sama sekali tidak layak dengan Allah yang Maha Mengetahui dan meliputi ilmuNya. Adalah tidak pelik dan masih dikira biasa Iagi kalau seseorang sasterawan atau pakar bahasa menukar sesuatu perkataan yang telah digunanya dengan perkataan lain setelah disemak dan dinilainya kembali. Tidak pelik juga kalau ia membuang satu ayat atau satu perenggan sekalipun daripada bukunya pada edisi-edisi terkemudian. Tetapi perkara seperti itu tidak dapat diterima akal yang waras kalau dikatakan telah berlaku kepada al-Qur'an, Kitab suci yang terakhir daripada Allah s.w.t. kepada manusia, Kitab suci yang memansukhkan segala kitab suci lain sebelumnya. Kitab suci yang dijamin terpelihar hingga ke hari kiamat.

(3)Jika diterima konsep nasakh seperti itu, niscaya dapatlah musuh-musuh Islam menjadikannya sebagai modal untuk mengkritik al-Qur'an dan menuduh al-Qur'an hanya tulisan dan karangan Muhammad. Mereka boleh saja berkata, "Setelah Muhammad menilai kembali ayat-ayat yang telah disusunnya, lalu ia mendapati sebahagian daripada perkataan-perkataannya atau sebahagian daripada ayat-ayatnya tidak begitu kemas dan menarik, ia menda' wa perkataan-perkataan dan ayat-ayat itu dimansukhkan. Dan ia digantikan dengan yang lain."

(4)Jika diteliti dengan saksama, ayat-ayat al-Qur'an yang dikatakan telah mansukh tilawahnya itu langsung tidak senada dengan gaya bahasa al-Qur'an yang terdapat di dalam Mushaf yang tersebar hingga ke hari ini. Air bahasanya tidak selari dengan air bahasa al-qur'an. Paling tinggi pun ia lebih mirip dengan hadits, bukan dengan al-Qur'an.

(5)Sesetengah daripada susunannya bercanggah terus dengan susunan al-Qur'an yang ada di tangan kita. Sebagai contohnya firman Allah berikut:
Para 'ulama' mengatakan antara sebab dan hikmat perkataan didahulukan daripada perkataan  الز انية ialah untuk menyatakan perzinaan lebih banyak berlaku kepada perempuan berbanding lelaki, terutamanya dalam masyarakat arab semasa itu, Akibat perzinaan juga lebih teruk dan jelik nyatanya pada orang-orang perempuan.

Susunan yang terdapat pada ayat ini berbeza sama sekali daripada susunan pada ayat yang dikatakan telah mansukh tilawahnya, iaitu: الشيخ والشيخة إذا زنيا . kerana di dalamnya penzina lelaki disebut dahulu daripada penzina perempuan. Perbezaan susunan ini seolah-olahnya menunjukkan susunan perkataan-perkataan di dalam al-Qur'an itu berlaku secara kebetulan sahaja tanpa ada sesuatu sebab dan hikmatnya. Sedangkan bukan begitu kedudukan sebenarnya. Yang sebenarnya ialah setiap susunan perkataan al-Qur'an telah ditentukan oleh Allah dengan penuh hikmat,sehingga kalau didahulukan sesuatu yang terletak kemudian atau sebaliknya, maka akan tergugat dan hilanglah keindahan susunan asalnya.

(6) Terdapat beberapa riwayat mungkar yang menceritakan sebab mansukhnya ayat الشيخ والشيخة إذا زنيا. Antaranya riwayat an-Nasaa'i berikut. Beliau meriwayatkannya daripada Katsir bin asShalt:

"Marwaan bin al-Hakam pernah berkata kepada Zaid bin Tsabit, "Tak mahukah engkau menulisnya di dalam Mushaf. Jawab Zaid. "Bukankah orang muda yang telah berkahwin (secara sah) juga direjam (jika berzina)?".

Riwayat ini jelas sekali mungkarnya. Wajarkah Zaid tidak memasukkan sesuatu ayat yang dipercayainya sebagai al-Qur'an semata-mata kerana ayat rejam tidak merangkumi orang muda yang telah berkahwin (secara sah) juga?!

Riwayat al-Haakim juga mungkar. Al-Haakim juga telah meriwayatkannya daripada Katsir bin asShalt, kata beliau: "Zaid bin Tsabit dan Sa'id bin al-'Aash sedang menulis Mushaf. Apabila mereka sampai kepada ayat ini, berkatalah Zaid, "Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini:اليخ والشيخة فار جمو هما البتة. Mendengar kata-kata Zaid itu 'Umar pun berkata. "Apabila ia turun, aku pergi kepada Nabi s.a.w. lalu aku berkata, "Aku tulis ayat ini?" Nabi s.a.w. semacam tidak menyenanginya. Kemudian 'Umar berkata, 'Bukankah orang tua yang berkahwin jika berzina disebat sahaja. Dan bukankah orang muda yang telah berkahwin jika berzina direjam juga."

Kata Hafiz Ibnu Hajar, "Difaham daripada hadits ini bahawa sebab bagi ayat ini dimansukhkan tilawahnya ialah kerana hukuman sebenarnya tidak mengikut zahirnya yang umum itu."

Riwayat al-Haakim itu mengandungi dua perkara yang ganjil. (a) Bagaimana Rasulullah s,a.w. boleh tidak suka (tidak senang) ayat rejam itu ditulis dan dicatat di dalam al-Qur'an? Bagaimana Baginda s.a.w. boleh tidak senang sesuatu ayat yang diturunkan kepadanya ditulis di dalam al-
Qur'an? (b) Bagaimana 'Umar boleh mengkritik ayat yang dipercayanya telah diturunkan oleh Allah kepada NabiNya? Bagaimana boleh beliau tidak mencatatnya di dalam Mushaf sematå-mata kerana ia tidak bersesuaian dengan logik akalnya, lantaran beliau telah berkata: "Bukankah orang tua yang belum berkahwin jika berzina disebat saja. Dan bukankah orang muda yang telah berkahwin jika berzina direjam juga."

(7) Ayat-ayat yang dikatakan sebagai al-Qur'an yang mansukh tilawahnya itu jika diperhatikan akan kelihatan terputus-putus dan tidak terikat kemas seperti ayat-ayat al-Qur'an yang lain. Perawi-perawi yang mengemukakannya tidak pcpernah menceritakan di mana ayat itu pada asalnya terletak di dalam al-Qur'an. Di permulaan surahkah atau di hujung surah? Kalau ia terletak di tengah pula, pada asalnya ia merupakan ayat ke berapa dari surah yang dida'wakan?

(8) Seandainya anda membaca ayat penutup Surah al-Baqarah atau ayat penutup Surah Aali 'Imraan saja sebagai contohnya anda akan mendapatinya berada dalam susunan bahasa yang sangat tinggi dan indah. Cuba bandingkan pula dengan ayat-ayat yang dikatakan berada di dalam Surah al-Hafd misalnya, anda akan mendapati sangat jauh perbezaannya, sejauh kalam Allah dan kalam manusia.

(9)Adalah merupakan suatu yang putus dalam ilmu usul (baik Usul Fiqh atau Usul Tafsir) bahawa al-Qur'an tidak tsabit melainkan dengan jalan tawatur. Sesuatu yang tidak sampai kepada kita secara mutawatir, tidak harus dipercayai sebagai al-Qur'an. Sedangkan perkataan- perkataan atau ayat-ayat yang dikatakan sebagai al-Qur'an yang mansukh tilawahnya itu pula tidak ada satu pun mutawatir, maka ia dikira sebagai syadz. Sesuatu yang syadz tentu sekali bukan Qur'an, dan ia tidak harus dibaca dengan mempercayainya sebagai al-Qur'an, sebagaimana iajuga tidak harus dibaca di dalam shalat.

(10)Semua pihak menerima ada apa yang dinamakan sebagai Sunnah yang mansukh hukumnya, sebagaimana yang diterima oleh golongan 'ulama' usul muta'akkhirin tentang adanya di dalam al-Qur'an. Tetapi tidak tsabit daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda telah menukar mana-mana lafaz haditsnya yang mansukh atau merujuk dan tidak mahu memakai lagi lafaz haditsnya yang mansukh. Tidak pernah juga Nabi s.a.w. bersabda kepada mana-mana sahabatnya bahawa kamu jangan hafal lagi hadits berkenaan kerana Iafaznya telah mansukh atau hukummnya telah mansukh. Atau aku telah menarik balik haditsku itu, maka jangan lagi kamu menyampaikannya kepada orang lain. Ucapan-ucapan seperti itu tidak pernah diketahui disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Malah sebaliknya terdapat sekian banyak hadits yang sampai ke peringkat mustafidh dan mutawatir di segi maknanya bahawa baginda bersabda:
نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ
أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ                                                                                                                          
Bermaksud: Semoga Allah membahagiakan orang yang mendengar sesuatu hadits daripada kami lalu dihafalnya dan disampaikannya pula kepada orang lain. Alangkah ramainya orang yang membawa ilmu kepada orang yang lebih mendalam ilmu daripadanya, dan alangkah ramai orang yang membawa ilmu, sedangkan ia sendiri bukanlah seorang yang mendalam ilmunya. 
(Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud. Ibnu Majah. Ibnu Hibbaan, Abu Ya' la dan lain-lain),

Kalau Nabi s.a.w. tidak ada melakukan begitu, kenapa pula Allah dikatakan semacam meninggalkan perkataan- perkataan atau ayat-ayat tertentu yang telah difirmankanNya untuk digantikan dengan yang lain?

(11) Antara sifat al-Qur'an yang disebut Allah sendiri di dalam al-Qur'an ialah: لا ريب فيه
Bermaksud: "Tiada sebarang keraguan di dalamnya."
(al-Baqarah:2), لَّا يَأْتِيهِ ٱلْبَٰطِلُ مِنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِۦۖ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ  Bermaksud: la tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan baik dari hadapan mahupun dari belakangnya (dari mana-mana arah dan seginya sekalipun); (kerana) ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (Fusshilat:42). Dan إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ 
Bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (al-Hijr:9).
Jika sesuatu ayat al-Qur'an boleh tsabit dengan hadits-hadits aahaad dan mansukhnya juga boleh tsabit dengan hadits-hadits aahaad seperti itu, niscaya tidak benarlah firman-fiman Allah tadi. Bagaimana dikatakan tiada sebarang keraguan di dalamnya, Sedangkan sekian banyak keraguan dan kesangsian sudah timbul kerananya. Bagaimana al-Qur'an akan dipercayai terpelinara daripada sebarang tokok tambah dan kepalsuan jika seseorang yang datang kepada Rasulullah pada suatu hari, lalu pulang ke negerinya dengan membawa sepotong dua ayat-ayat al-Qur'an. Dia pula ditaqdirkan tidak bertemu lagi dengan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba ayat-ayat itu sehari dua kemudian dimansukhkan?! Lebih menyulitkan lagi jika ayat yang merupakan naasikh bagi sesuatu ayat, kemudiannya dimansukhkan pula oleh ayat lain! !

Fussilat 41:42
لَّا يَأْتِيهِ ٱلْبَٰطِلُ مِنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِۦۖ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ 
(yang) tidak akan didatangi oleh kebatilan baik dari depan maupun dari belakang (pada masa lalu dan yang akan datang), yang diturunkan dari Tuhan Yang Mahabijaksana, Maha Terpuji.

Al-Hijr 15:9
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ 
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.



(12) Tidak berlaku kekecamukan dan kecelaruan di kalangan para sahabat yang saban hari dikejutkan dengan cerita-cerita tentang mansukhnya sesuatu ayat al-Qur'an adalah suatu tidak masuk akal sama sekali. Ayat-ayat yang telah dihafal mereka dengan bersungguh-sungguh dan tiba-tiba dimansukhkan, adakah ia tidak telah dibaca mereka juga ketika bershalat, mengecamukkan fikiran dan jiwa mereka? Ayat-ayat hukum yang dijadikan panduan oleh mereka juga pada bila-bila masa terdedah kepada kemansukhan. Tidak dapat dipastikan sesuatu hukum itu akan bertahan berapa lama. Mungkin selama dua hari, mungkin juga selama dua tahun dan sebagainya. Tidakkah keadaan ini mencemaskan hati mereka'?

(13) Apakah sah amalan seseorang berpandukan ayat yang sudah dimansukhkan? Bagaimana pula dengan para sahabat yang membaca ayat-ayat yang dimansukhkan tilawahnya di shalat? Adakah shalatnya dikira sah atau tidak, dan adakah ia dikira bersalah atau tidak? Kalau tidak, sampai bilakah ia tidak dikira bersalah? Tidakkah mungkin kecelaruan berlaku di kalangan para sahabat gara-gara tidak mengetahui sesuatu ayat yang telah dihafalnya tiba-tiba diberitahu oleh seseorang bahawa ia telah dimansukhkar??

(14) Tidak ada satu pun hadits marfuk yang sahih atau hasan yang dengan jelas menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda, ayat ini dimansukhkan oleh oleh ayat ini dan ayat ini dimansukhkan oleh ayat ini pula. Kalau pun ada hanya satu hadits yang diriwayatkan oleh ad-Daaraquthni dan al-Baihaqi daripada 'Ali, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: 
نسخت الزكاة كل صدقة ونسخ غسل الجنابة كل غسل ونسخ صوم رمضان كل صوم ونسخت الأضحية كل
Tetapi hadits ini maudhu'. Di dalam isnadnya terdapat perawi kazzaab. Dialah madaar bagi hadits ini. Harish, Musaiyyib bin Syarik. Para 'ulama' rijaal bersepakat tentang mereka ini adalah perawi kazzaab dan matruk.

(15) Dan banyak lagi kemusykilan, kekeliruan dan kecelaruan fikiran akan berlaku jika diterima konsep nasakh menurut istilah mereka itu, terutamanya yang berkaitan dengan nasakh tilawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan